PAGE

Jumaat, Oktober 24, 2008

Budaya berbasikal di Jepun

Oleh Hidayah Mohammad (hidayah@bharian.com.my)



BANYAK tempat khas disediakan di Kobe bagi memudahkan penunggang meletak basikal.

Lebih separuh penduduk guna kenderaan paling jimat atasi sesak, pencemaran

SEBELUM menjejakkan kaki ke Jepun, penulis pernah mendengar orang bercerita mengenai budaya berbasikal di kalangan masyarakat di sana. Sebaik saja sampai di bandar Kobe iaitu lokasi pertama menjejakkan kaki di Jepun, penulis dapat menyaksikan sendiri banyak basikal di sana sini berbanding kenderaan lain. Berbasikal adalah kaedah pengangkutan utama masyarakat Jepun baik ke pejabat, sekolah, universiti, pasar, pusat beli belah, perpustakaan atau ke mana saja. Menariknya, basikal bukan saja digunakan anak muda tetapi bagi warga tua sejak 90 tahun lalu.

Bagaimanapun, pasti ada rasa pelik ataupun menganggap ia kerja ‘gila’ jika ada masyarakat kita mengayuh basikal ke tempat kerja dengan memakai pakaian pejabat. Mana tidaknya, tahap kehidupan rakyat negara kini semakin meningkat, malah kebanyakannya berkereta.

Menariknya, sepanjang lima hari berada di Jepun ketika bulan puasa lalu, penulis teruja melihat pelbagai ragam dan gaya masyarakat Jepun menunggang basikal. Ada yang lengkap berpakaian pejabat dan bertali leher, berfesyen ranggi dan gaya ringkas kasual mengayuh selamba menuju ke destinasi masing-masing.

Penulis dibawa melancong ke beberapa tempat menarik ketika wakil media lain menikmati sajian makan tengah hari. Sempat juga berbual bersama pemandu pelancong, Yumi Masaki mengenai gaya hidup berbasikal masyarakat di sana. Yumi yang bertugas sebagai pemandu pelancong sejak lebih 10 tahun lalu berkata, lebih 60 peratus daripada 127 juta penduduk Jepun memilih menggunakan basikal. Malah, dalam satu isi rumah mereka sekurang-kurangnya memiliki dua hingga empat basikal.




MAsyARAKAT di Jepun sentiasa sibuk dan bergerak pantas.

Penulis juga berkesempatan menjejakkan kaki ke bandar Kyoto yang terkenal dengan kawasan pendidikan kerana ia mempunyai sebanyak 36 universiti di bandar berkenaan. Dari jumlah itu, seramai 80 peratus pelajarnya menunggang basikal ke universiti. Hakikatnya tidak dinafikan, menaiki kereta perjalanan lebih selesa tetapi jika ruang tempat letak kereta terhad dan mahal, lebih baik mengayuh basikal! Lebih memeranjatkan apabila diberitahu sewa tempat meletak kereta di kawasan rumah juga terlalu mahal iaitu antara 10,000 yen hingga 30,000 yen iaitu antara RM300 hingga RM900 sebulan.

Bayaran tempat letak kereta yang mahal itu secara tidak langsung turut menggalakkan masyarakatnya menggunakan perkhidmatan tren. Namun basikal tetap pilihan utama. Jika ada yang naik basikal tetapi mahu ke bandar, mereka akan meletakkan basikal ruang tempat letak basikal khas berhampiran. Untungnya, kadar bayaran tempat letak basikal jauh lebih murah iaitu antara 100 hingga 150 yen (antara RM3) sehari.

Masyarakat Jepun tidak sukakan kesesakan. Dengan menaiki basikal ia sekali gus dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di samping mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Bandar besar seperti di Kyoto, Kobe dan Tokyo juga banyak laluan jalan sehala dan lorong kecil. Dengan mengayuh basikal ternyata lebih mudah. Selain itu, harga barang keperluan harian di Jepun terutama petrol yang semakin mahal mengikut pasaran global, ia secara tidak langsung membantu meringankan beban masyarakatnya.

Yumi berkata, bagi masyarakat Jepun, berbasikal adalah aktiviti terbaik membantu meningkatkan tahap kesihatan badan. Mengayuh basikal menggunakan banyak pergerakan kaki dan otot badan. Oleh itu, tidak mustahil ia sebagai senaman sihat yang membantu menguatkan kaki dan otot masyarakatnya.

Ketika kecil, basikal bagaikan ‘kenderaan’ pertama sebelum mula pandai membawa kenderaan lain. Seperti penulis, kenderaan kecil itu ditinggalkan selepas mula meninggalkan alam persekolahan. Tidak salah mengayuh basikal di negara ini, tetapi oleh kerana faktor cuaca panas dan lembap membataskan masyarakat negara ini menggunakannya sebagai pengangkutan utama.

Namun, jika diamati kembali, berbasikal memberi banyak kebaikan kepada individu dari segi kesihatan, ekonomi (berjimat cermat) dan kurangnya pencemaran alam. Ketika kita hangat dengan masalah kenaikan harga minyak baru-baru ini, ramai juga rakan penulis ingin menaiki basikal ke tempat kerja.

Sumber: BHarianOnLine 22/10/2008

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...