PAGE

Rabu, Oktober 22, 2008

Lelaki baik cuma untuk perempuan baik saja?



Assalamualaikum warahmatullah

Segala puji-pujian kehadrat Allah subhanahu wata'ala, kepada-Nya kita menyembah. Salam serta selawat ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda yang berjuang menegakkan Islam di muka bumi ini.

Jutaan terima kasih kepada saudara AzrulAlwi (azrul.alwi@gmail.com) untuk entry kali ini.

Pernahkah anda dengar, "Lelaki baik cuma untuk perempuan baik saja, lelaki jahat pula untuk perempuan yang jahat juga dan begitulah sebaliknya"? Saya agak cuak dengan ayat ini, tetapi ayat ini selalu juga saya temui dalam bahan bacaan dan dalam mesej e-grup yang saya sertai.

Mungkin semua orang ketahui, bahawa seorang lelaki yang baik dipasangkan dengan perempuan yang baik (dan sebaliknya), manakala lelaki yang jahat pula dipasangkan dengan perempuan yang jahat (dan sebaliknya). Saya sering tertanya-tanya, tidak mungkinkah lelaki atau perempuan yang jahat tetapi sudah insaf dan bertaubat mesti berkahwin (atau dijodohkan) dengan orang seperti mereka (mungkin yang sebelum insaf dan bertaubat). Tidak mungkinkah mereka akan dipasangkan dengan orang yang baik-baik akhlaknya (supaya yang baik ini dapat membimbing mereka ke jalan yang diredhai Allah)? Pernahkah anda mengenali pasangan yang suaminya cukup baik (alim) tetapi isterinya tidak hidup mengikut lunas Islam, tidak menghormati suami atau bengkeng? Pernahkah anda dengar isteri yang cukup baik tingkah tetapi dikurniakan suami yang tidak bertanggungjawap, hantu judi, pemabuk atau kaki pukul? Jadi, dimanakah rasionalnya klausa "Lelaki baik cuma untuk perempuan baik saja, lelaki jahat pula untuk perempuan yang jahat juga dan begitulah sebaliknya" ini?

Saya kira, klausa ini cuma valid untuk menafikan kejadian 'Aisyah r.a. difitnah. Di dalam surah an-Nur ayat 26, Allah SWT berfirman maksudnya, "Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka keampunan dan rezeki yang mulia (syurga)."

Ayat ini diturunkan bersempena dengan peristiwa "al-ifki", iaitu ketika Saiyidatina 'Aisyah r.a. difitnah oleh puak-puak munafiq di Madinah telah melakukan perbuatan curang dengan seorang sahabat yang baik bernama Sofwan bin Mu'attol.

Allah SWT mempertahankan kesucian 'Aisyah r.a. dan menegaskan bahawa jika benarlah 'Aisyah itu jahat, masakan dia dapat mendampingi seorang manusia paling suci seperti Muhammad SAW dan amat disayangi pula oleh baginda? Pengajaran yang dapat diambil dari ayat ini ialah hubungan intim antara pasangan suami isteri itu hanya berlaku apabila wujud persamaan dari segi akhlak serta cara hidup. Orang yang mulia akhlaknya tidak akan bahagia di sisi orang yang jahat dan begitulah sebaliknya.

Benarkah "Lelaki baik cuma untuk perempuan baik saja, lelaki jahat pula untuk perempuan yang jahat juga dan begitulah sebaliknya"? ... Cuba rujuk di bawah:

1. Menurut Ibnu Kathir, menurut Ibnu Abbas, ayat tersebut bermaksud, "Ucapan keji adalah untuk orang-orang yang keji. Orang-orang keji adalah untuk ucapan yang keji. Ucapan yang baik adalah untuk orang-orang yang baik dan orang-orang yang baik adalah untuk ucapan yang baik." Tiada kaitan dengan "lelaki yang baik untuk perempuan yang baik." [Klik sini]

Dan kita tahu siapa Ibnu Abbas, seorang mufasirrin yang didoa oleh Rasulullah SAW. Menurut Ibnu Kathir lagi, pandangan yang sama juga diriwayatkan daripada Mujahid, Ata, Said bin Jubair, Ash-Sha'bi, Al-Hassan bin Abu Al-Hassan Al-Basri, Habib Bin Abi Thabit dan Ad-Dahhak, dan menjadi pandangan yang dipersetujui oleh Ibnu Jarir (At-Tabari).

2. Jika kita buka Tafsir Al-Azhar, karangan Dr HAMKA pun, kita akan jumpa terjemahan seperti berikut, "Perkara-perkara yang kotor adalah dari orang-orang yang kotor, dan orang-orang yang kotor adalah untuk perkara-perkara yang kotor. Sedang perkara-perkara yang baik adalah untuk orang-orang baik, dan orang-orang yang baik menimbulkan perkara-perkara yang baik pula." Tiada kaitan dengan "lelaki yang baik untuk perempuan yang baik."

3. Menurut Ibnu Kathir, "Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik" dan sebaliknya adalah pendapat Abdul Rahman Bin Zaid bin Aslam (Ibnu Zaid).

4. Dr Muhammad Muhsin Khan, menterjemahkan ayat berkenaan dengan maksud yang lebih jelas "Bad statements are for bad people (or bad women for bad men) and bad people for bad statements (or bad men for bad women). Good statements are for good people (or good women for good men) and good people for good statements (or good men for good women), such (good people) are innocent of (each and every) bad statement which they say, for them is Forgiveness, and Rizqun Kareem (generous provision i.e. Paradise)."

Bertaubat dan memperbaiki diri adalah proses berterusan yang amat dituntut oleh setiap muslim, tiada kaitan dengan soal jodoh. Kita dituntut agar selalu bertaubat dan memperbaiki diri. Rasulullah SAW telah menggariskan panduan buat lelaki dan wanita tentang memilih jodoh. Lalu, sesiapa yang ikut, dapatlah jodoh yang baik. Siapa yang mendapat jodoh yang tidak baik pula, mungkin tidak mengikut panduan Rasulullah SAW. Mustahil Rasulullah SAW menyampaikan yang tidak benar.

Namun, tidak semestinya kesudahan sesuatu itu baik-baik belaka. Jika kita menjadi baik (pada anggapan kita sendiri), tidak semestinya jodoh yang kita dapat itu baik. Di sinilah pentingnya iman kita kepada qada' dan qadar Allah. Tidak dinafikan adanya jodoh antara dua insan yang berbeza matlamat serta cara hidupnya. Boleh juga rujuk artikel Permulaan Yang Baik Bukan Suatu Jaminan oleh SAiFULiSLAM.

Di dalam Quran juga menceritakan perihal lelaki-lelaki yang baik tingkah-lakunya seperti kisah Nabi Nuh dan Nabi Lut tetapi mereka mendapat jodoh tidak baik, juga kisahnya Asiah dengan Fir'aun, dan pasangan-pasangan lain yang dapat kita saksikan sepanjang sejarah manusia.

Mungkin juga Allah mahu menguji hamba-Nya. Jika kita dikurniakan pasangan yang jahat (maksudnya bila kita rasa kita lebih baik/bagus dari pasangan kita), anggaplah semua itu adalah ujian Allah kepada hamba-Nya bagi meningkatkan lagi darjat hamba-Nya yang sedang diuji.

Dalam surah Al-Ankabut ayat 2-3, Allah telah berfirman yang bermaksud, "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."

Di dalam Al-Mumtahanah ayat 10, Allah SWT berfirman, "Hai orang-orang yang beriman, apabila datang berhijrah kepadamu perempuan-perempuan yang beriman, maka hendaklah kamu uji (keimanan) mereka. Allah lebih mengetahui tentang keimanan mereka; maka jika kamu telah mengetahui bahawa mereka (benar-benar) beriman maka janganlah kamu kembalikan mereka kepada (suami-suami mereka) orang-orang kafir. Mereka tiada halal bagi orang-orang kafir itu dan orang-orang kafir itu tiada halal pula bagi mereka."

Pada waktu itu, para sahabat Rasulullah SAW diperintah untuk "menguji" iman para wanita yang berhijrah. Hari ini, kita pun perlu ada teknik untuk menguji mereka yang mengaku beriman dan bertaqwa. Namun, sudah tentu untuk menguji bakal pasangan, kita perlukan ilmu. Hanya jauhari mengenal manikam. Mungkin di dalam keadaan ini tafsiran Ibnu Zaid lebih releven. Wallahu'alam.

Memang secara lazim apabila dikemukakan Surah An-Nur ayat 26, ramai di kalangan kita yang akan guna-pakai pendapat Ibnu Zaid dan tidak menceritakan apa-apa daripada mufasirin lain, mungkin untuk mengelakkan polemik. Namun, saya dapati "penyembunyian" ilmu ini, menyebabkan orang-orang yang asing dengan penafsiran Al-Quran menganggap ayat tersebut adalah "janji Allah". Kecewa sungguh mereka (yang baik tetapi dikurniakan pasangan yang kurang baik) apabila "Allah tak tunai janji".

Mungkin ada yang berkata, "kenapa Allah janji perempuan baik untuk lelaki baik tetapi si fulan tu suaminya begitu begini sedangkan dia seorang yang baik". Siapalah kita untuk mempersoalkan "janji Allah"? Benarkah Allah SWT tidak menunaikan janji kepada hamba-Nya? Jika mereka dah ‘terkahwin’ dengan pasangan yang kontra akhlaknya, masa itu barulah kita nak kata kat depa, “….sabaqq akak .. ujian akak ooi ... lebam sikit saja ....” Mungkin ada juga yang mengata, "Ala.... Si fulan tu bukannya baik sangat, memang padanlah dapat suami/isteri jahat..." dan sebagainya.

Tapi sekiranya mereka telah didedahkan dengan terjemahan seperti yang dibuat oleh Dr Muhammad Muhsin Khan sebelum berkahwin, mungkin mereka akan mencari langkah proaktif sebab mereka tahu, Allah SWT tidak menjanjikan begitu. Sebab itulah, di dalam Tafsir Pimpinan Rahman (keluaran Jabatan Perdana Menteri Malaysia) diletakkan perkataan berkurungan "Lazimnya" di awal ayat, untuk mengelakkan ia dianggap sebagai "janji Allah".

Janganlah kita melulu memberi klausa tanpa mengetahui/mempelajari makna ayat yang kita bawa, kerana kita tidak mahu ada yang tersalah faham dan menyalahkan pencipta kita! Sesungguhnya kita dilarang mentafsirkan Al-Quran ikut fikiran kita. Rasulullah SAW bersabda, "Sesiapa yang mentafsirkan Al-Quran menurut pandangannya atau berdasarkan sesuatu yang tidak ia ketahui, maka ia menempah kedudukan di neraka." (Riwayat Tirmizi, Abu Daud, Nasai). Ini bermakna, kita tak boleh beri pandangan sendiri tentang Al-Quran melainkan ada sandaran yang sahih.

Secara ringkasnya, surah an-Nur ayat 26 ini diturunkan untuk membebaskan Aisyah r.a. daripada difitnah. Segala kata-kata keji yang keluar daripada mulut pemfitnah, kembali kepada mereka. Para pentafsir tidak membicarakan apa-apa tentang pasangan hidup. Jadi klausa, "Lelaki baik cuma untuk perempuan baik saja, lelaki jahat pula untuk perempuan yang jahat juga dan begitulah sebaliknya" adalah sangat-sangat TIDAK RELEVAN dalam menentukan persoalan jodoh.

Wallahu'alam.

Sebarang komen, pendapat dan pembetulan dialu-alukan, semoga mendapat walau sekelumit manafaat daripada artikel ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...