Bagi suami isteri yang tidak makan gaji biasanya sama-sama bekerja seperti menjadi petani, berkebun, menoreh getah, berniaga dan sebagainya dan ada juga yang bekerja hanya suami seorang sahaja, sama ada makan gaji atau lain-lain pekerjaan, manakala isteri tinggal di rumah menjaga anak-anak dan membuat kerja rumah seperti memasak, membasuh pakaian suami, anak-anak dan lain-lain kerja rumah dan mengikut kebiasaannya selepas berkahwin beberapa tahun suami isteri memperolehi harta seperti tanah, motokar dan sebagainya dengan membeli secara tunai atau pinjaman dari Kerajaan atau Bank dan seumpamanya dan harta-harta tersebut dibuat atas nama salah seorang sahaja dari suami isteri itu dan jarang sekali mereka membuat nama bersama (dua nama).
Kuasa Memiliki Harta
Di dalam perundangan Islam, seseorang perempuan Islam yang berkahwin dengan seorang lelaki, dia masih diakui mempunyai kuasa memiliki ke atas apa jua harta dan masih terus boleh memiliki harta yang diperolehinya sebelum dia berkahwin dan boleh juga berbuat demikian setelah dia berkahwin sama ada dari harta pesaka:
- pemberian hidup (hibah) usahanya sendiri
- dan sebagainya dan seterusnya dia mempunyai tanggungjawab harta di mana dia boleh menuntut dan dituntut di Mahkamah.
Pada dasarnya, konsep harta sepencarian tidak dibincangkan secara khusus oleh para ulama’. Malah tidak ada sebarang dalil nas yang jelas berkaitannya. Namun para ulama’ telah memberi pelbagai pandangan dalam membicarakan tentang harta sepencarian. Ada yang menyebut ia sebagai “Mata’ al-Bayt” iaitu perkakasan rumah dan ada yang menyebut sebagai “Mal al-Zawjayn” yang bermaksud harta suami isteri.
Adat Melayu
Jika dilihat sejarah lampau, harta sepencarian telahpun dianggap sebagai satu bentuk adat dalam masyarakat Melayu. Menurut Adat Pepatih, ia disebut sebagai "carian laki bini". Misalnya dalam kes Hasmah lwn Jalil, telah diputuskan bahawa harta carian laki bini hendaklah dibahagikan dua antara suami dan isteri apabila berlaku perceraian.
Malah jika diamati, sebelum pindaan Perkara 121(1A), kebanyakan keputusan para hakim Inggeris berkaitan harta sepencarian lebih cenderung merujuk kepada pemakaian adat setempat orang Melayu. Dalam kes Robert lwn Boto’, diputuskan bahawa harta yang menjadi pertikaian dianggap sebagai harta sepencarian dan mahkamah akan membahagikan setiap setengah bahagian jika pihak-pihak bersetuju. Ini adalah berdasarkan kepada anggapan bahawa ia adalah satu adat dan bukannya hukum syarak.
Hukum Syarak
Persoalannya kini, adakah harta sepencarian itu diktiraf oleh hukum syarak? Sepertimana disebut sebelum ini, meskipun harta sepencarian tidak dijelaskan oleh apa-apa dalil nas, namun ulama’ masih lagi memperakuinya berdasarkan konsep uruf (adat) dan maslahah setempat. Ini mengambilkira soal keadilan kedua-dua pihak selaras firman Allah SWT dalam Surah An-Nur Ayat 32 menyatakan “orang–orang lelaki beroleh bahagian daripada usahanya dan orang-orang perempuan beroleh bahagian daripada usahanya juga.” Maka apabila sesuatu uruf itu diperakui baik dan sesuai oleh undang-undang kedudukannya, maka ia akan menjadi peraturan yang perlu dipatuhi. Malah ia selaras dengan kaedah fiqh antaranya ialah “adat yang diakui sebagai hukum” dan juga “uruf itu diiktibarkan oleh syarak”.
Oleh itu, kini hata sepencarian telahpun dianggap sebahagian daripada undang-undang Islam. Malah Mahkamah Syariah telahpun diberi bidangkuasa khusus dan eksklusif bagi membicarakannya. Ia juga telah diperuntukan dalam semua Enakmen Pentadbiran Keluarga Islam di setiap negeri dan juga dalam Arahan Amalan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).
Misalnya dibawah Seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 “harta sepencarian” ditafsirkan sebagai harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak. Berdasarkan takrif yang diperuntukan, bolehlah difahami bahawa harta sepencarian termasuklah harta samada harta alih atau tidak alih yang diperoleh suami dan isteri melalui usaha mereka bersama dan bukannya daripada satu pihak sahaja semasa perkahwinan. Harta yang dikumpul selepas perceraian atau kematian tidaklah boleh dianggap sebagai harta sepencarian.
Sumbangan tidak langsung
Namun kini, konsep harta sepencarian telah mula diluaskan termasuk juga harta yang diperoleh suami melalui usahanya sendiri semasa perkahwinan dengan sumbangan secara tidak langsung daripada isteri. Sumbangan tidak langsung bermaksud suatu usaha yang disumbangkan oleh mana-mana pasangan dalam mendapatkan harta itu di mana usaha yang disumbangkan adalah kecil berbanding dengan hasil atau manfaat sumbangan itu yang menghasilkan sesuatu harta yang besar.
Ini bermaksud, salah satu pasangan memberi sumbangan secara tidak langsung samaada melalui idea, dorongan, nasihat, keselesaan, ketenteraman dan sebagainya kepada pasangan satu lagi yang berusaha dan berjaya dalam mendapatkan harta itu. Dalam kes Tengku Anum Zaharah, mahkamah memutuskan bahawa harta yang menjadi pertikaian ialah harta sepencarian hasil daripada sumbangan tidak langsung isteri yang berketurunan berpengaruh. Kesan pengaruh isteri membolehkan suaminya mendapat gelaran Dato’ dan berjaya memajukan perniagaannya.
Tuntutan
Bagi tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Syariah, ia boleh dilaksanakan dalam tiga keadaan iaitu tuntutan selepas perceraian, tuntutan semasa perkahwinan dan juga tuntutan selepas kematian. Bagi tuntutan selepas perceraian, Seksyen 122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 misalnya memperuntukkan bahawa mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk memerintahkan pembahagian harta sepencarian apabila mahkamah itu membenarkan lafaz cerai atau perintah perceraian. Oleh itu, mahkamah hanya berbidangkuasa membicarakan kes harta sepencarian di mahkamah di negeri di mana perceraian berlaku dan didaftarkan.
Tuntutan harta sepencarian juga boleh dibuat semasa tempoh perkahwinan. Seksyen 23(10)(b) memperuntukan bahawa isteri boleh memohon perintah daripada mahkamah supaya diadakan terlebih dahulu pembahagian harta sepencarian sebelum permohonan poligami disahkan. Malah Seksyen 119(11) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003 menyebut bahawa sebelum Mahkamah mengesahkan keluar agama, satu perintah untuk membahagikan harta sepencarian hendaklah dilaksanakan. Kedua-dua peruntukan tersebut berkaitan dengan permohonan poligami dan juga keluar agama Islam.
Bagi tuntutan selepas kematian, meskipun tiada peruntukan khusus yang membolehkan mahkamah membahagikan harta sepencarian sekiranya akibat kematian, namun fatwa negeri Selangor menjelaskan bahawa jika berlaku kematian, maka pihak yang hidup boleh memohon pengisytiharan harta sepencarian sebelum harta itu menjadi harta pusaka. Jadi pihak itu perlu membuktikan bahawa sebahagian harta itu adalah harta sepencarian.
Peruntukan Di Dalam Kitab-Kitab Fiqh
Di dalam kitab-kitab fiqh tidak ada peruntukan khusus membicarakan tentang harta sepencarian. Sungguhpun demikian, cuba kita lihat kepada beberapa kitab fiqh yang menjadi rujukan kepada Hakim-Hakim Mahkamah Syariah di negeri-negeri dalam Malaysia apabila
berhadapan dengan kes harta sepencarian di antaranya:
Kitab Bughyah at-Mustarsyidin muka surat 159 ada menyebut :
ولاوارثه تصرف في شىء منه قبل ااتمييز أو الصلح إلا مع صا حبه اذلامرجح آما قالو افيما لواختلط حمامهما وحينئذ
فان امكن معرفتهما والاوقف الا مر حتى يصطلح الزوجان أوورثتهمابلفظ صلح أو تو اهب بتساو أو تفاوت إن
آانواآاملين ويجب أن لا ينقص عن النصف في الحخور نعم ان جرت العادة بأن أحدهما يكسب اآثرمن الآخرآان الصلح
والتواهب على نحو ذلك فان لم يتفقواعلى شىَ من ذلك فمن بيده شى من المال فالقول قوله بيمينه إنه ملكه فا ن آان
بيدهما فلكل تحليف الا خر ثم يقسم نصفين
Maksudnya:
"Telah bercampur harta suami dan tidak diketahui harta sesiapa yang lebih banyak, tidak ada tanda-tanda yang dapat membezakan harta salah seorangnya, kemudian berlaku perceraian di antara keduanya atau meninggal dunia, maka tidak sah salah seorang dan mereka (suami isteri atau warisnya) memerintah (mengguna) sesuatu daripada harta itu sebelum dapat dibezakan atau sebelum dibuat perdamaian (al-Sulh) kecuali bersama-sama dengan pemiliknya sebab tidak ada murajjih (tidak ada tanda yang membezakan). Seperti mereka berkata, "jika bercampur burung merpati keduanya (suami isteri) di ketika itu jika boleh diketahui atau dibezakan keduanya, tetapi jika tidak diketahui dan tidak dapat dibezakan, perkara ini hendaklah ditangguh sehingga suami atau waris kedua-duanya berdamai atau pun menyerah (hibah) dengan sama banyak atau berlebih kurang jika mereka (suami isteri) dan waris orang-orang yang sempurna (bukan mahjur a'laihi) dan wajib supaya jangan berkurang (orang yang tidak dibenarkan mentadbir harta). Tetapi jika berlaku kebiasaan yang tetap bahawa salah seorang dari keduanya (suami isteri) mendapat pendapatan yang lebih banyak dari yang seorang lagi maka perdamaian (sulh) dan penyerahan (hibah) adalah berdasarkan demikian (lebih kurang). Jika mereka tidak menyetujui satu pun daripada yang demikian, maka pihak yang memiliki sesuatu dari harta (memegang harta) akan diterima cakapnya dengan sumpahnya; bahawa harta itu miliknya. Tetapi jika harta itu dimiliki oleh kedua-duanya (masing-masing memegang harta), maka masing-masing boleh meminta pihak yang lain bersumpah, kemudian harta itu di bahagi dua."
Apabila kita perhati kepada nas dalam kitab ini perkataan ( اطلتخ مال الزوجين ) maknanya bercampur harta kedua suami isteri dan tidak diketahui harta siapa yang lebih banyak dan tidak ada qarinah yang membezakan antara keduanya. Adakah pengertian ini sama dengan tajuk yang dibicarakan berhubung dengan harta sepencarian yang diperolehi oleh suami isteri hasil daripada masing-masing berusaha atau bekerja, dan harta tersebut bercampur.
Ada yang berpendapat harta yang bercampur itu sebagai harta ( المشاع ), dan tidak sama dengan harta sepencarian. Dan ada pula yang berpendapat bahawa apabila perolehan daripada suami isteri itu bercampur dan tidak diketahui harta siapa yang lebih banyak dan tidak ada qarinah, maka bolehlah diqias dan disamakan dengan harta yang bercampur ( المشاع ) itu untuk menyelesaikan mengikut nas dalam kitab tersebut di atas.
Asas-Asas Pertimbangan
Mengikut pendapat Sayed Sabiq data kitab Fiqh al-Sunnah, jilid 2, muka surat 174, Cetakan Tahun 1981 Darul Fikr, Beirut, Lubnan yang menerangkan di bawah tajuk "خدمة المرأة زوجها" dengan berdasarkan ayat al-Quran surah al-Baqarah, ayat 228 Allah SWT berfirman yang bermaksud: "...Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka terhadap suami dengan cara yang sepatutnya yakin sebagaimana seseorang isteri menanggung tanggungjawab terhadap suami yang wajib dilaksanakan dengan cara yang baik, maka suami juga menanggung kewajipan terhadap isteri yang wajib dilaksanakan dengan cara yang baik. Dalam pada itu suami itu mempunyai satu darjat kelebihan atas isterinya kerana suami yang berkuasa mengawalnya dan memberi nafkah dan ayat tersebut memberi hak kepada perempuan sama dengan lelaki."
Seterusnya Sayed Sabiq menjelaskan:-
والاساس الذى وضعه الاسلام للتعا مل بين الزو جين وتنظيم الحياة بينهما هو أساس فطرى وطبيعى
فالر جل أقدر على العمل والكدح والكسب خارج المنزل والمر أة أقدر على تدبير المنزل وتربية الاولاد وتيسير أسباب
الراحة البيتية وتكلف المرأة ماهومن طبيعتها وبهذا ينتظم البيت من نا حية الداخل والخارج دون أن يجداى واحد من
الزوجين سببا من اسباب انقسام البيت على نفسه
Maksudnya:
“Dasar yang ditetapkan oleh Islam dalam mengatur dan menguruskan kehidupan suami isteri adalah merupakan suatu dasar yang sesuai dengan fitrah dan tabiat semulajadi manusia itu sendiri maka yang lelaki lebih menumpukan kepada pekerjaan dan perusahaan di luar rumah, manakala perempuan lebih layak menjalankan pekerjaan di dalam rumah seperti mengurus rumahtangga, mendidik anak-anak, menyediakan segala kemudahan bagi menjadikan suasana dalam rumah tenang dan tenteram. Maka sebab itu ditugas kepada lelaki kerja yang sesuai baginya, begitu juga ditugaskan kepada perempuan dan dengan itu barulah rumahtangga berjalan dengan baik di dalam dan di luar rumah tanpa menjejaskan mana-mana pihak.”
Selanjutnya Sayed Sabiq membawa contoh hukuman Rasulullah SAW di antara Saiyidina Ali (r.a.) wakarramallahu wajhah dengan isterinya Fatimah (r.a.) di mana Rasulullah memutuskan ke atas Fatimah bertugas atau menjalankan pekerjaan di rumah, manakala Ali berusaha dan bekerja di luar rumah. Pekerjaan masing-masing dari suami isteri yang diakui oleh Rasulullah s.a.w. sebagai tanggungjawab masing-masing itu ada hubungan dengan apa yang diperolehi atau hasil yang didapati dari pekerjaan itu dan oleh kerana masing-masing ada peranan dan usaha mengikut tugas masing-masing, maka sudah patut dan wajar harta yang diperolehi dari sama-sama bekerja itu dijadikan harta bersama (sepencarian) di antara suami isteri selagi tidak ada apa-apa bukti atau pengakuan bahawa harta-harta yang diperolehi itu adalah hak masing-masing sama ada dari pemberian orang lain atau pesaka dan sebagainya.
Penyelesaian
Kaedah penyelesaian apabila melibatkan harta sepencarian ialah melalui kaedah sulh iaitu dengan cara berdamai samada melalui pengakuan dan penyerahan hak pemilikan kepada satu pihak lagi atau nilai harta yang dipersetujui dibahagi mengikut persetujuan. Persetujuan ini boleh dibuat samaada di luar mahkamah atau di hadapan pegawai sulh dan kemudian ianya akan diendors sebagai satu perintah oleh mahkamah.
Kaedah lain adalah melalui persetujuan semasa perbicaraan sedang berlangsung. Hakim kebiasaannya akan memberi peluang kepada kdua-dua pihak untuk mencapai persetujuan bersama. Maka persetujuan ini akan diendors sebagai satu perintah Mahkamah.
Sekiranya kedua-dua kaedah tersebut tidak dapat menyelesaikan pertikaian, maka mahkamah akan meneliti setiap keterangan dan penghujahan pihak-pihak. Seterusnya mahkamah akan memutuskan pembahagian harta sepencarian tersebut melalui perintah mahkamah.
Kesimpulan
Berdasarkan kepada penjelasan dan huraian ringkas di atas, bolehlah dirumuskan
sebagaimana berikut :
- Masalah harta sepencarian di antara suami isteri adalah merupakan sesuatu perkara yang sangat penting dan perlu diselesaikan dengan cara yang adil dan saksama terutama sekali apabila berlaku perceraian.
- Khidmat dan kerja seseorang isteri di dalam rumah patut diberi pertimbangan sewajarnya dan diberi nilaian yang patut jika khidmat tersebut tidak ada tanda-tanda yang ianya diberi secara sukarela, sekurang-kurangnya sebagai upah (Ujrah at-Misl).
- Kedua-dua pihak suami isteri yang masing-masing ada peranan dan usaha bagi memperolehi harta, hendaklah diberi hak masing-masing. Dan dalam menentukan kadar dan bahagiannya terserahlah kepada pertimbangan Hakim apabila berlaku pertengkaran dan perselisihan.
- Adat juga perlu diambil kira sebagai kaedah Syariah dalam menentukan hak masing-masing.
- Satu perjanjian berhubung dengan harta sepencarian perlu dikaji sama ada ianya sesuai dibuat atau sebaliknya pada masa ini.
Sumber: Disusun semula dari JAKiM dan syafiqe.wordpress.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...