Adakalanya, krisis yang berlaku menyebabkan rumah tangga yang dibina atas dasar cinta tidak mampu lagi dipertahankan.
Yang menyedihkan, apabila berlaku perceraian, anak-anak menjadi mangsa. Lebih-lebih lagi jika isteri tadi tidak bekerja.
Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto MOHD. NOOR AMIN menemu bual Pensyarah Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Datin Noor Aziah Mohd. Awal bagi mengupas isu ini.
MEGA: Isu nafkah anak adalah polemik dalam kes pasangan yang bercerai. Apakah hak isteri dan anak dalam undang-undang?
NOOR AZIAH: Bagi wanita Islam, hak mereka terhadap nafkah dikawal oleh Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam di negeri masing-masing. Bagi negeri Selangor enakmen itu ialah Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 yang telah berkuat kuasa pada bulan September 2004.
Nafkah bermakna mengeluarkan belanja dan menurut istilah syarak ia bererti sesuatu yang dikeluarkan oleh seseorang untuk keperluan dirinya atau keluarganya dan lainnya, yang merupakan makanan, minuman, pakaian dan sebagainya.
Ada beberapa sebab dalam Islam yang menyebabkan nafkah itu wajib iaitu:
a. perkahwinan yang sah;
b. kerabat;
c. milik.
Dari segi perkahwinan yang sah, hadis Nabi SAW ada menyebut: Dari Jabir r.a. dalam hadis menyebutkan soal perempuan, baginda bersabda: Dan hak bagi mereka, kewajipan atasmu memberi makan mereka dan pakaian mereka menurut yang bersesuaiannya. (Hadis Riwayat Muslim)
Dari Aisyah r.a., ia berkata, tentang seorang perempuan yang tidak pernah diberikan nafkah oleh suaminya. Rasulullah SAW telah bersabda: Ambillah olehmu dari hartanya yang sesuai, iaitu sekadar mencukupi untuk belanjamu dan mencukupi pula untuk anak-anaknya. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dari segi kerabat pula, ibu bapa mempunyai hak menerima nafkah daripada anaknya di bawah alasan kekerabatan. Hadis Nabi SAW menyatakan: Dari Abu Hurairah r.a., ia berkata: "Pernah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW lalu ia berkata: Ya Rasulullah, siapakah manusia yang lebih berhak menerima kebaikan sebagai sahabatku? Rasulullah SAW menjawab: "Ibumu". Ia berkata: "Kemudian siapa?" Nabi menjawab: "Ibumu". Kemudian siapa? Kata Nabi: "Ibumu". Ia berkata lagi, "Kemudian itu siapa?" Nabi menjawab, "Bapa engkau."
Nafkah wajib atas alasan pemilikan. Ini disokong oleh hadis Nabi SAW: Dari Abu Hurairah r.a. ia berkata: Bersabda Rasulullah SAW: Wang yang engkau belanjakan di jalan Allah dan wang yang engkau belanjakan untuk memerdekakan seorang hamba dan wang yang engkau sedekahkan kepada fakir miskin, serta wang yang engkau belanjakan untuk keperluan keluarga engkau, maka yang lebih besar pahalanya ialah wang yang engkau belanjakan untuk keluarga engkau. (Hadis Riwayat Muslim).
Apakah kadar nafkah ke atas isteri?
NOOR AZIAH: Berdasarkan hadis-hadis di atas jelaslah memberi nafkah itu wajib namun ia mengikut kemampuan orang yang memberi dan keperluan orang yang menerima.
Hak wanita terutama nafkah isteri diperuntukkan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam setiap negeri. Di bawah Enakmen 2003 bagi negeri Selangor, nafkah diletakkan di Bahagian VI.
Menurut enakmen ini, mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya, tertakluk kepada hukum syarak.
Seorang isteri bukan saja berhak kepada nafkah semasa dia masih berkahwin dengan suaminya tetapi selepas dia diceraikan. Ini diperuntukkan oleh Seksyen 66 di mana hak seorang isteri yang telah diceraikan untuk menerima nafkah dari suaminya yang dahulu di bawah suatu perintah mahkamah akan tamat dengan tempoh idahnya atau jika dia, iaitu isteri menjadi nusyuz. Jika pasangan telah membuat perjanjian mengenai nafkah, hak tersebut akan tamat jika isteri berkahwin semula.
Bagi anak-anak yang beragama Islam, mereka berhak mendapat nafkah dari bapa mereka berlandaskan firman Allah SWT yang bermaksud: Hendaklah memberi nafkah orang yang empunya kelapangan dari kalangannya (orang yang kaya sesuai menurut kekayaannya). Dan sesiapa yang ditentukan rezekinya di atasnya, maka hendaklah ia memberikan nafkah menurut yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memberati sesuatu diri melainkan menurut apa yang diberikan kepadanya. (at-Thalaq: 7)
Hak mendapat nafkah dalam Islam bergantung kepada kesahihan hubungan antara anak dengan bapa, iaitu bukti keibubapaan atau yang disebut sebagai parentage. Ini kerana hak-hak lain seperti hak nafkah, susuan, hadanah dan warisan timbul daripada pembuktian keibubapaan ini.
Pembuktian keibubapaan dilakukan melalui bapa dan ibu sebenar anak dan mestilah mereka ini telah melalui satu akad nikah yang sah di antara mereka.
Islam juga menggariskan penanggungan nafkah itu berasaskan konsep yang anak itu telah dikandung lebih dari enam bulan dari tarikh akad nikah ibu bapa anak itu.
Firman Allah yang bermaksud: Para ibu hendaklah menyusukan anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada ibu dengan cara yang makruf.. (al-Baqarah: 233)
Berlandaskan nas-nas di atas, bapa wajib menanggung nafkah anak dari sejak dalam kandungan lagi. Ini berlandaskan firman Allah SWT yang bermaksud: Berilah perempuan- perempuan yang telah diceraikan itu tempat kediaman, kira-kira setanding dengan tempat yang telah kamu diami menurut kesanggupanmu. Dan janganlah kamu susahkan mereka dengan sengaja hendak menyempitkan mereka. Dan apabila mereka sedang hamil maka berilah mereka nafkah hingga mereka melahirkan anak... (at-Thalaq: 6)"
Nafkah anak termasuk penyusuannya semasa ia masih kecil. Ini berasaskan ayat 233 dari surah al-Baqarah. Nafkah dalam hal penyusuan termasuk membeli susu formula atau mencarikan ibu susu dan membayar upah penyusuan kepada orang lain atau kepada isteri yang telah diceraikan jika dia yang menyusukan anak.
Apabila ibu bapa atau bapa mati, tugas siapakah memberi nafkah kepada anak-anak berkenaan?
NOOR AZIAH: Dalam situasi di mana ibu bapanya telah meninggal dunia semasa ia masih kecil atau ibu bapanya tiada, maka tanggungjawab penyusuan anak hendaklah diambil alih oleh para warisnya sama ada abang atau datuk (sebelah bapa).
Apa yang dimaksudkan di sini ialah wajib menanggung segala perbelanjaan keperluan penyusuan seperti mencari ibu susu dan membayar upah penyusuan.
Kerap berlaku suami ingkar terhadap perintah mahkamah mengenai nafkah anak-anak. Apakah peruntukan yang ada untuk mengatasi hal ini?
NOOR AZIAH: Kita ada undang-undang untuk menguatkuasakan perintah nafkah iaitu Akta Perempuan Bersuami dan Anak-anak (Menguatkuasakan Nafkah) 1968, Akta 356 dan Akta Perintah Nafkah (Kemudahan Bagi Penguatkuasaan) 1949, (Akta 34). Akta ini terpakai kepada orang Islam.
Kedua-dua akta ini digubal kerana walaupun telah mendapat perintah nafkah suami didapati masih enggan membayar nafkah. Untuk mengambil tindakan di bawah peruntukan Seksyen 4 Akta 263 akan mengambil masa, maka dengan itu isteri boleh, semasa membuat permohonan memohon untuk perintah potongan gaji dibuat.
Di bawah Akta 356 ini, suami mestilah seorang yang bekerja dan mempunyai 'pendapatan' dan dia juga mesti ada 'majikan' di mana perintah tersebut boleh dibuat terhadapnya.
Bagi isteri yang suaminya tidak mempunyai majikan, akta ini memperuntukkan bahawa nafkah boleh dibayar melalui mahkamah. Sesiapa yang melanggar perintah di bawah Seksyen 4 akan didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara maksimum satu tahun.
Bagi mereka yang melanggar peruntukan Seksyen 13 mereka boleh dipenjara selama sebulan bagi setiap bulan yang mereka tidak membayar nafkah.
Akta 34 adalah untuk menguatkuasakan nafkah di negara lain yang mempunyai perjanjian dengan Malaysia. Ini sangat berguna bagi pasangan yang berkahwin dengan rakyat asing yang kemudiannya melarikan diri ke negara asalnya untuk tidak membayar nafkah.
Namun keberkesanannya bergantung kepada berapa banyak negara yang bersetuju untuk menandatangani persetujuan bersama ini. Buat masa ini negara yang boleh dikuatkuasakan suatu perintah nafkah yang telah diperintahkan di mahkamah di Malaysia adalah: England, Wales, Ireland Utara, Brunei, Australia, Sri Lanka, Hong Kong, India, New Zealand, Pakistan, Singapura dan Afrika Selatan.
Mahkamah juga ada kuasa menyita dan melelong harta jika suami tidak mampu membayar nafkah tetapi ada harta yang boleh dijual. Mahkamah ada kuasa mengeluarkan waran tangkap terhadap suami yang enggan hadir prosiding di mahkamah.
Sebenarnya perundangan ada tetapi pelaksanaannya yang lembap.
Sumber: UtusanOnLine 28/10/2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...