PAGE

Jumaat, November 28, 2008

Bukan Islam boleh makan akikah


SOALAN:

Baru-baru ini saya mengadakan majlis akikah untuk anak lelaki saya yang baru saja dilahirkan. Mengikut hukum anak lelaki harus korbankan dua ekor kambing, jadi saya telah pun menunaikannya. Ketika majlis ini berlangsung ada juga tetamu bangsa Cina yang hadir.

Adakah sah akikah saya yang dimakan oleh tetamu bangsa Cina itu?


JAWAPAN:

Tiada tegahan dalam mana-mana nas secara qatie (muktamad) sama ada di dalam al-Quran mahupun hadis-hadis Rasulullah SAW yang sahih yang boleh difahami bahawa orang bukan Islam tidak boleh memakan daging akikah. Selagi mana tiada nas yang secara sorih (terang) yang menegah maka selagi itulah perkara itu dilihat suatu yang tidak mutlak dari hukumnya. Apa yang perlu difahami di sini ialah hukum melaksanakan akikah itu sendiri.

Di samping itu daging akikah yang dimasak dengan sedikit rasa manis itu diharapkan agar perangai dan budi pekerti anak tersebut akan menjadi elok dan baik. (Al-Majmu’: 8/322)

Pengertian akikah menurut syarak

Akikah dalam pengertian syarak ialah binatang ternakan yang berkaki empat (binatang an’am) yang disembelih ketika hendak mencukur rambut kepala anak yang baru dilahirkan, sama ada disembelih pada hari ketujuh atau selepasnya. Falsafah tuntutan menunaikan akikah adalah sebagai tanda kesyukuran seseorang setelah mendapat anugerah cahaya mata yang dikurniakan oleh Allah SWT. Justeru ia lebih baik di kongsi sesama Islam. Ini kerana ia juga seumpama satu peringatan kepada yang lain untuk berakikah juga untuk anak mereka (jika belum). Bagi bukan Islam, tiada peruntukan akikah.

Hukum melakukan akikah itu adalah sunat muakkad, iaitu sunat yang sangat digalakkan dalam syarak. Perkara ini bukan sekadar nas semata-mata malahan boleh dilihat sebagaimana perbuatan Rasulullah SAW ketika baginda mengakikahkan cucundanya Hasan dan Husain r.a. Ia bukanlah perkara yang wajib dilakukan kerana hal ini pernah ditanyakan kepada Rasulullah, lalu baginda bersabda yang maksudnya: “Allah tidak menyukai kedurhakaan, seolah-olah Baginda tidak suka menyebut nama itu (akikah). Baginda bersabda: “Barang siapa yang dikurniakan baginya anak, lalu dia ingin menyembelihkan untuk anaknya maka sembelihlah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya dan bagi anak perempuan seekor kambing.” (riwayat Abu Daud) Maksud hadis daripada perkataan (suka atau ingin menyembelihkan untuk anaknya) itu menunjukkan tidak wajib melakukan akikah, melainkan jika akikah itu dinazarkan baharulah ia dipanggil akikah wajib.

Dalam hadis yang lain, sabda Rasulullah SAW: “Anak-anak tergadai (terikat) dengan akikahnya, disembelih (akikah) untuknya pada hari ketujuh (kelahirannya) dan diberi namanya serta dicukur rambutnya.” (riwayat at-Tirmidzi) Terdapat dua pendapat dalam menghuraikan maksud hadis “anak tergadai dengan akikahnya” di sini. Pendapat pertama mengatakan bahawa jika tidak diakikahkan, anak itu akan terbantut atau terhalang pertumbuhannya, tidak seperti anak-anak lain yang diakikahkan. Pendapat kedua mengatakan bahawa maksudnya ialah anak itu tidak akan memberi syafaat kepada kedua ibu bapanya pada hari kiamat kelak jika dia tidak diakikahkan. Pendapat kedua ini adalah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal, dan pendapat ini dilihat pendapat yang lebih utama. (Mughni al-Muhtaj: 4/369)

Akikah disebut dalam hadis yang bermaksud: "Bersama bayi yang lahir itu akikah, maka kerana itu mengalirkanlah darah (sembelihan) untuknya, dan jauhkan baginya segala kesakitan (godaan syaitan)." (riwayat Bukhari) Ini bermakna: “Setiap anak perlu dipajakkan (terhutang) dengan akikah, disembelih untuknya pada hari ketujuh umurnya, dan diberi nama dan dicukur rambut kepalanya.” (riwayat Ashabus Sunan). Akikah itu pula dari sudut bahasanya adalah tolakan iaitu tolakan dari gangguan dan godaan syaitan.

Adapun persoalan mengenai memberi makan atau dimakan daging akikah oleh bukan Islam tidak mencacatkan amalan akikah. Biarpun daging akikah itu dimakan oleh bukan Islam, akikah itu tetap sah dan tidak perlu diulangi. Sebenarnya perbuatan kita melabelkan hidangan dengan ayat hidangan untuk orang Islam sahaja adalah tidak wajar. Seolah-olah kita memperkecilkan tetamu yang datang ke majlis keraian kita dengan tidak mengizin mereka menjamah apa yang dihidangkan oleh tuan rumah. Sedangkan bukan Islam muslim boleh memakan daging akikah.

Setiap ibu bapa atau ahli keluarga apabila mengadakan majlis tersebut mereka mengharapkan doa yang ikhlas daripada sanak saudara dan sahabat andai atau jiran tetangga yang datang bertandang ke majlis itu. Jika yang diundang itu bukan Islam sekurang-kurang kita dapat menghampiri mereka dan memahamkan bahawa Islam tidak menghalang pergaulan dan penglibatan bukan Islam dalam majlis yang diadakan oleh orang Islam. Ini sekurang-kurangnya memberi peluang kepada kenalan kita yang bukan Islam mengenal amalan yang terkandung dalam agama yang suci ini.

Sumber: UtusanOnLine 28/11/2008

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...