Isteri hadapi masalah bawa kes ke Mahkamah Syariah dinasihat ambil peguam syarie
Soalan:
SAYA sudah memfailkan tuntutan cerai di Mahkamah Syariah. Suami hadir dan menyatakan dia tidak bersetuju dengan tuntutan itu. Kes saya ditangguhkan ke Disember untuk memberi peluang kepada saya meminda tuntutan kepada cerai fasakh atau cerai taklik. Masalahnya saya tidak tahu apakah beza antara cerai fasakh dan taklik ini dan yang manakah yang kuat untuk saya bercerai dengan suami. Harap penjelasan tuan boleh membantu.
Puan Haidar,
Shah Alam.
Jawapan:
ADA banyak jenis perceraian dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam antaranya perceraian dengan talak (secara persetujuan bersama), perceraian dengan kuasa hakam, perceraian khulu' (tebus talak), perceraian taklik atau janji, perceraian dengan li'an, perceraian fasakh, perceraian luar mahkamah dan perceraian akibat murtad.
Permohonan cerai di mahkamah perlu penuhi peruntukan Seksyen 45 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam contohnya Seksyen 45 (a), (b) dan (c) EUUKI Selangor 2003 memperuntukkan:
"Kecuali sebagaimana diperuntukkan selainnya dengan nyata, tiada apa-apa juga dalam Enakmen ini membolehkan mahkamah membuat sesuatu perintah perceraian atau perintah mengenai perceraian atau membenarkan seseorang suami melafazkan talak kecuali:
(a) jika perkahwinan itu didaftarkan atau disifatkan sebagai didaftarkan mengikut enakmen ini; atau
(b) jika perkahwinan itu dilangsungkan mengikut hukum syarak; dan
(c) jika pemastautinan salah satu pihak kepada perkahwinan pada masa permohonan itu diserahkan adalah dalam Selangor
Perkataan 'perintah perceraian' dalam seksyen 45 adalah merujuk kepada perintah perceraian yang dibuat dengan kuasa mahkamah, seperti perintah perceraian secara fasakh atau taklik.
Fasakh mengikut Seksyen 2 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam didefinisikan sebagai pembubaran nikah disebabkan sesuatu hal keadaan yang diharuskan oleh hukum syarak mengikut seksyen 53.
Alasan lain, suami mati pucuk, gila selama tempoh dua tahun atau hidap kusta, vitiligo atau hidap penyakit kelamin yang berjangkit dan isteri yang dikahwinkan wali mujbir sebelum dia baligh dan dia menolak perkahwinan itu, dengan syarat dia belum disetubuhi.
Suami menganiayai isteri dengan lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita, suami berkawan dengan perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut hukum syarak, memaksa isteri hidup secara lucah, melupuskan harta isteri atau melarang isteri daripada menggunakan haknya terhadap hartanya.
Suami menghalang isteri daripada menjalankan kewajipan agamanya, berpoligami yang tidak berlaku adil terhadap isterinya, sengaja enggan menyetubuhi isterinya lebih daripada empat bulan. Menikahi isteri secara tidak sah ketika akad nikah, sama ada dengan sebab paksaan, kesilapan, tidak sempurna akal atau lain-lain yang diakui hukum syarak.
Jika ketika akad nikah, isteri seorang yang sakit otak menurut Ordinan Sakit Otak 1952, sama ada berterusan atau selang-seli, dan sakit otaknya dalam kategori yang tidak layak untuk berkahwin serta apa-apa alasan lain yang diiktiraf hukum syarak.
Beban pembuktian adalah terletak kepada plaintif untuk membuktikan salah satu atau lebih, alasan fasakh itu. Cuma dalam kes membabitkan nafkah, beban bukti adalah ke atas suami yang perlu membuktikan dia ada memberi nafkah kepada isterinya.
Cerai taklik berdasarkan peruntukan Seksyen 50 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam ialah lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut hukum syarak dan peruntukan undang-undang.
Pihak yang menuntut cerai taklik perlu berkahwin menurut hukum syarak dan mempunyai sijil nikah yang mempunyai surat perakuan taklik yang dilafazkan dan ditandatangani oleh suami sejurus selepas akad nikah.
Lafaz taklik negeri adalah berbeza antara satu negeri dengan negeri lain. Hanya isteri boleh menuntut cerai taklik. Lafaz taklik perlu dibaca dan ditafsirkan secara keseluruhan, bukan separuh atau sekerat saja.
Beban pembuktian terletak kepada isteri untuk membuktikan suaminya ada melafazkan taklik itu dan membuktikan suaminya sudah melanggar janjinya dalam surat perakuan taklik itu.
Puan perlu meneliti dan mengkaji semula adakah alasan puan menuntut cerai itu memenuhi kriteria tuntutan fasakh atau taklik sebagaimana yang dinyatakan di atas. Kuat atau tidak tuntutan cerai bukan terletak pada nama atau sifat perceraian itu, tetapi terletak kepada cara anda membuktikan tuntutan dan dakwaan di mahkamah.
Dalam perundangan Islam, beban pembuktian ditanggung oleh pihak yang menuntut sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Keterangan (pembuktian) ditanggung di atas pihak yang mendakwa (menuntut) dan sumpah ke atas yang ingkar (menafikan)."
Sebagai pihak yang mengemukakan tuntutan, hendaklah membuktikan semua dakwaannya sehingga ke tahap yakin. Keyakinan pula adalah disabitkan melalui pengakuan, penglihatan atau keterangan dan dalil.
Seksyen 3 (1) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003, keterangan termasuk bayyinah dan syahadah, keterangan lisan dan keterangan dokumen.
Saya nasihatkan puan dapatkan khidmat peguam syarie kerana jika suami tidak bersetuju bercerai, mahkamah perlu membicarakan kes anda. Apabila berdepan dengan proses perbicaraan, puan perlu menghadapi banyak prosedur dan aturan yang perlu dipatuhi pihak-pihak. Peguam syarie boleh membantu mengemukakan bukti di mahkamah dan mendapatkan hak menurut hukum syarak.
Jawapan disediakan Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Tuan Musa Awang
Sumber: BHarianOnLine 13/11/2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...