PAGE
▼
Jumaat, November 28, 2008
Wanita solehah dalam penyelesaian masalahnya
Salamun'alaik Warahmatullahi Ta'ala Wabarakatuh....
Salam serta selawat ke atas Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, ahli keluarga baginda serta salam kepada para sahabat yang berjuang menegakkan Islam di muka bumi ini.
Masalah rumahtangga memang tidak pernah habis-habis. Lebih-lebih lagi jika suami itu seorang yang tidak bertanggungjawab, membiarkan anak isteri tanpa memberi nafkah yang mencukupi, membiarkan anak isteri sakit di rumah tanpa berusaha mendapatkan rawatan yang sepatutnya, membiarkan isteri sendirian bergelut menghadapi masalah anak-anak dan lain-lain lagi. Kalau iman lemah, tentulah si isteri akan marah-marah, malah ada yang sampai mengajak suami bertarung di dalam mahkamah. Kalaulah hal ini berlaku kepada kita, bagaimana sepatutnya seorang wanita solehah menyelesaikan masalah yang dihadapinya?
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Bazzar Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: "Kamu sampaikan kepada perempuan yang kamu jumpa, bahawa taat kepada suami, dan mengakui hak-hak suami, sama pahalanya dengan berperang dan bertempur dengan musuh-musuh Islam di medan pertempuran, tetapi sedikit sangat daripada isteri-isteri yang menyempurnakan hak-hak suami mereka." (Hadis riwayat Al Imam Bazzar)
Daripada Anas, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: "Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai." (Hadis Riwayat Ahmad)
Sebenarnya, wanita yang solehah itu ialah wanita yang sangat cerdik. Cerdiknya dia ialah kerana dia faham apa maksud Tuhan di sebalik kejadian yang menimpa dirinya itu. Cerdiknya dia ialah kerana dia lihat Akhirat yang kekal abadi itu lebih besar dari dunia yang fana ini. Cerdiknya dia ialah kerana dia memahami perkara-perkara tersirat yang tidak difahami oleh wanita biasa. Cerdiknya juga kerana dia bertindak untuk jangka masa panjang dan bukan untuk jangka masa yang sementara. Dan cerdiknya juga kerana dia tidak turut menyakiti suami yang telah “menyakiti”nya itu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Bukankah baik kalau hubungan di antara suami dan isteri itu dikekalkan intim?
Kalau dicari penyelesaian dengan secara merungut-rungut dan meminta-minta sehingga suami naik bosan, atau secara bergaduh-gaduh sama ada di luar atau dalam mahkamah, bukankah ini akan meretakkan lagi hubungan suami isteri itu sehingga boleh menyebabkan penceraian? Pendek kata, cara ini ialah cara penyelesaian jangka pendek yang dicari oleh wanita yang kecil jiwanya, yang tidak tahan dengan sedikit ujian demi mendapatkan hasil yang baik. Walhal, wujudnya institusi keluarga yang aman damai itu adalah asas kepada perpaduan dan pembangunan sebuah masyarakat yang aman makmur.
Apabila seorang wanita solehah dilanda masalah, dia tidak akan terus bertindak mengikut akal dan emosinya, tetapi dia akan terus merujuk kepada Tuhan dengan melakukan beberapa perkara yang utama iaitu:
1. bertaubat atas dosa
2. merintih kepada Tuhan
3. melakukan perkara-perkara yang disukai Tuhan
Bertaubat Atas Dosa
Wanita yang faham akan maksud Tuhan akan sentiasa sedar bahawa Tuhan itu tidak akan mendatangkan masalah dengan sia-sia. Setiap kesusahan yang Tuhan datangkan itu adalah untuk penghapusan dosa atau untuk menaikkan darjatnya di sisi Tuhan. Sebagai seorang hamba yang lemah, lebih baik kita merasakan bahawa kita sudah banyak melakukan dosa sehingga menyebabkan Tuhan murka. Kenang-kenangkan dosa-dosa yang telah kita lakukan, antaranya mungkin kita cuai dan lalai dalam sembahyang, meringan-ringankan sembahyang, mungkin juga kita telah menyakiti hati kawan atau jiran dan lain-lain. Apatah lagi kalau kita selalu mengumpat, memfitnah, mengadu domba, sombong, hasad dengki dan lain-lain. Semua itu adalah dosa yang akan menjerumuskan kita ke dalam Neraka.
Jadi, apabila kita selalu mengenang dosa-dosa ini, akan timbul rasa untuk bertaubat. Cepat-cepatlah kita bertaubat dengan penuh keinsafan dan dengan hati yang sangat takutkan kemurkaan Tuhan serta merasakan diri kita sangat berdosa dan tidak selamat dari Neraka Tuhan.
Merintih Kepada Tuhan
Selain dari bertaubat atas dosa, wanita solehah juga suka bercakap-cakap dan mengadu kepada Tuhan. Dia akan merayu-rayu dan merintih-rintih kepada Tuhan agar Tuhan membantu menyelesaikan masalahnya. Kalau didengarilah rintihan mereka ini, ia ibarat rintihan seorang kekasih kepada kekasihnya, atau rintihan seorang hamba tawanan kepada pemerintah yang sangat berkuasa. “Wahai Tuhan, Engkau Maha Berkuasa, Maha Penyayang dan Maha Penyelesai Masalah. Dan aku sangat lemah dan sangat berdosa. Memang layaklah aku Engkau timpakan masalah sebegini kerana dosa-dosaku yang terlalu banyak terhadap-Mu. Tetapi Tuhan, aku tidak sanggup menghadapi masalah ini tanpa pertolongan-Mu. Tolonglah aku Tuhan! Tolonglah aku Tuhan! Aku sangat lemah kerana memang Engkau ciptakan aku lemah. Manakala Engkau sangat berkuasa dan boleh menyelesaikannya hanya dalam sekelip mata. Tunjukkanlah aku akan kehebatan-Mu sebagai yang Maha Penyelesai Masalah”, begitulah mungkin sedikit daripada kata-kata rintihan seorang wanita solehah apabila dilanda masalah. Dia akan merintih dan terus merintih di dalam hati, walaupun di waktu dia tersenyum gembira di hadapan manusia ramai.
Melakukan Perkara-perkara Yang Disukai Tuhan
Kerana begitu seriusnya dia hendak mengambil hati Tuhan agar Tuhan berkenan dengannya dan sudi menyelesaikan masalahnya, wanita yang solehah ini akan melakukan apa sahaja perkara yang disukai oleh Tuhan, selagi dia termampu.
Di sinilah logiknya mengapa seorang wanita solehah tidak akan menyakiti hati suaminya dengan meminta-minta, memarahi atau bergaduh dengan suaminya kerana dia tahu perkara itu ialah perkara yang tidak disukai oleh Tuhan. Kalau Tuhan sudah tidak suka, tentulah Tuhan tidak akan selesaikan masalahnya. Atau, kalau dapat diselesaikan pun, ia adalah penyelesaian yang Tuhan berikan dengan kebencian dan kemurkaan.
Kerana inilah, dia sanggup menekan perasaannya untuk terus melayan suaminya dengan baik, malah kalau boleh, diperelokkan lagi layanannya itu. Tujuannya bukan untuk mengampu suami, tetapi untuk menagih simpati dan kasih sayang Tuhan. Dia juga akan melakukan perkara-perkara lain seperti bersedekah, membantu orang susah, menambah amalan sunat dan lain-lain lagi. Beginilah yang akan dilakukannya terus-menerus sehinggalah Tuhan kasihan kepadanya dan sudi campur tangan untuk menyelesaikan masalahnya.
Dan apabila masalahnya itu Tuhan sendiri yang selesaikan, tentulah hasilnya selamat dan menyelamatkan. Penyelesaiannya kadang-kadang melalui jalan yang tidak disangka-sangka. Adakalanya, Tuhan berikan dorongan yang kuat (ilham) untuk dia mengambil sesuatu tindakan yang akan mendatangkan kesan yang sangat positif. Adakalanya, Tuhan datangkan seseorang yang sangat prihatin hendak membantunya. Atau mungkin tiba-tiba suatu kejadian berlaku ke atas suaminya sehingga menyebabkan sikap suaminya itu berubah. Atau kalau pun Tuhan mahu mereka berpisah kerana tahu suaminya itu tidak boleh berubah.
Dia akan berikan laluan yang mudah, tanpa perlu pergaduhan atau pertelingkahan. Paling tidak, Tuhan akan berikannya ketenangan dan ketabahan untuk menempuh masalah itu. Bukankah lebih baik mempunyai hati yang tenang walaupun dilanda masalah daripada tiada masalah tetapi hati gundah-gulana? Apabila datangnya bantuan Tuhan ini, wanita yang solehah ini akan cepat mengucapkan syukur seraya memuji-muji Tuhan.
Dia benar-benar merasakan bahawa Tuhanlah yang telah menyelesaikan masalahnya tanpa diduga. Kalaupun ada usaha-usaha lahir yang dilakukannya, dia langsung tidak merasakan yang dirinya hebat kerana pandai menyelesaikan masalah, sebaliknya rasa malu dan tidak layak kerana diberi bantuan.
Pendek kata, semakin banyak masalah yang menimpanya, semakin dekatlah dia kepada Tuhan dan semakin kuatlah imannya. Hatinya akan bertambah tenang kerana dia tidak takut menghadapi sebarang jenis masalah. Dia yakin, walau besar macam mana pun masalahnya, Tuhan boleh selesaikan. Berbeza dengan wanita yang mahu mencari penyelesaian lahiriah tanpa bergantung harap kepada Tuhan, dia akan menghadapi pelbagai kesusahan untuk menyelesaikan masalahnya itu. Sudahlah susah disakiti suami, susah pula hendak selesaikan masalah. Apabila selesai pula, datang pula masalah yang baru. Contohnya, seorang isteri yang begitu bersusah payah naik turun mahkamah untuk mendapatkan penceraian daripada suaminya. Sudahlah habis wang dan masa hanya untuk mendapatkan penceraian, bila sudah bercerai, si suami pula tidak mahu memberikan nafkah atau membawa lari anak kesayangannya. Hatinya akan terus menerus gundah-gulana dan kacau-bilau.
Hakikatnya, Tuhan tidak suka dengan dia kerana dia telah mengenepikan Tuhan. Dia lebih bergantung kepada kepandaian dan kemampuan dirinya sendiri, dan tidak bergantung kepada Tuhan untuk menyelesaikan masalahnya. Secara tidak sedar, dia sudah melakukan syirik khafi (syirik tersembunyi) kerana dia merasakan dirinya itu cukup berkuasa untuk menyelesaikan masalah. Walhal, satu kelipan mata pun tidak akan berlaku kalau bukan dengan kekuasaan Tuhan. Inilah sebenarnya wanita yang tidak pandai menyelesaikan masalah. Dia akan terus-menerus dibelenggu oleh masalah demi masalah, dengan penyelesaian yang kusut dan mengusutkan.
Terseksalah hidupnya di dunia, sebelum seksa yang lebih dahsyat di Akhirat nanti.
Waliyauzubillah.
Sumber: Raudhah.com
Puan Bawang, hadis riwayat Al-Bazzar, itu menarik sekali. Asalnya kerana wanita tidak berpuas hati dengan lelaki. Lelaki jamaah di Masjid, ditikam dan menikam dalam medan perang, mendengar khutbah Nabi, musafir bersama Nabi; Itulah ucapan Nabi kepada wanita yang menjadi jurucakap.
BalasPadam----------------------
Bila bawa kes perhubungan suami isteri ke mahkamah, memang orang akan tanya siapa menang. Agaknya lebih tepat kalau ditanya, "siapa yang kurang kalahnya". Kalau minta mahkamah meleraikan pergaduhan, biasanya tiada yang menang. Biasanya, yang kalah dan yang lebih kalah. Kalau mahu juga di sebut menang, barangkali syaitan lebih layak dicalonkan sebagai pemenang.
Sebaiknya tiada penceraian. Kalau berlaku juga biarlah penceraian yang bukan pergaduhan.