PAGE
▼
Khamis, Disember 04, 2008
Banyak cakap atau diam?
Salamun'alaik Warahmatullahi Ta'ala Wabarakatuh....
Salam serta selawat ke atas Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, ahli keluarga baginda serta salam kepada para sahabat yang berjuang menegakkan Islam di muka bumi ini.
Hari ini saya sempat menyemak semula entry Jaga-lidah-elak-buat-dosa dan telah membuat sedikit amendment. Pepatah Melayu ada mengatakan, "Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya...." Berapa ramai di kalangan kita, dapat menjaga lidahnya, setelah menbaca entry di atas? Hu... hu... saya pun kadang-kadang ada juga mengeluarkan kenyataan yang lazer, yang mungkin mengguris mata yang membaca. Tapi saya percaya, jika mereka membacanya secara positif atau cuba berfikiran positif, pasti mereka tidak akan terasa hati. Saya kongsikan lagi tentang lidah, cuma kali ini fokuskan kepada lidah yang 'diam'.
Peliharalah lidah daripada menuturkan kata-kata yang tidak berfaedah, cakap kosong mengumpat keji dan mengadu-domba. Bukanlah kita tidak dibenarkan bercakap, tetapi jika terlalu banyak bercakap, tentulah banyak terkeluar daripada percakapan itu dan nanti natijahnya banyaklah juga dosa.
Pesan Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang banyak bercakap banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak kesalahannya banyaklah dosanya, api nerakalah yang layak untuk dirinya." (Hadis riwayat Baihaqi). Jika sudah banyak dosa, maka tentulah neraka yang paling layak untuk si mulut murai ini, seperti sabda Rasulullah SAW, "Tidaklah dihumban muka manusia ke dalam neraka itu sebagai hasil tuaian (jelik) lidahnya." (Hadis riwayat At-Tarmizi)
Imam Nawawi juga ada berpesan, kita wajar menjaga lidah daripada bercakap yang sia-sia, kecuali jika percakapan itu mendatangkan kebaikan. Apabila bercakap dan berdiam diri adalah sama saja hasilnya, maka mengikut sunnahnya adalah lebih baiklah berdiam diri. Hal ini kerana percakapan yang diharuskan mungkin membawa kepada yang haram atau makruh. Kejadian demikian telah banyak berlaku, tetapi kebaikan daripadanya adalah amat sedikit/jarang.
Apa yang pasti, jika tidak ada lagi yg hendak diperkatakan, eloklah berdiam diri sahaja. Rasulullah bersabda bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah dia mengucapkan perkataan yang baik dan kalau tidak, hendaklah diam." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Daripada hadis di atas, dapatlah kita memahami bahawa seseorang yang beriman itu perlu sentiasa mengawasi lidahnya dan apabila berkata hanya kepada perkara yang memberi kebaikan kepada dirinya dan orang lain. Kalau tidak dapat memberi sesuatu yang membawa kebaikan, maka adalah lebih baik berdiam diri saja.
Rasulullah ditanya mengenai kelakuan yang paling banyak memasukkan seseorang ke dalam syurga. Jawab baginda: "Takwa kepada Allah dan keindahan akhlak." Ketika Baginda ditanya apakah yang paling banyak memasukkan orang ke dalam neraka? Baginda menjawab: "Kejahatan mulut dan kemaluan." Rasulullah SAW lagi bermaksud: "Sesiapa mengawal lidahnya (daripada memperkatakan kehormatan orang), maka Allah akan menutup kecelaannya (hal yang memalukan). Sesiapa yang menahan kemarahannya, Allah akan melindunginya daripada seksa-Nya. Dan sesiapa yang meminta kelonggarannya kepada Allah, maka Allah akan menerima permintaan kelonggarannya." Rasulullah bermaksud: "Tidak akan lurus iman seseorang hamba, sehingga lurus pula hatinya, dan tidak akan lurus hatinya sehingga lurus pula lidahnya. Dan seorang hamba tidak akan masuk syurga selagi tetangganya belum aman daripada kejahatannya." (Hadis riwayat Ibnu Abib-Duanya).
Dari Ibnu Syuraih Al Adawi r.a., katanya: "Kedua telingaku mendengar dan kedua mataku melihat ketika Rasulullah SAW mengucapkan sabdanya : "Siapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tamunya, selebihnya." Para sahabat bertanya, "Apa yang dimaksud dengan selebihnya, ya Rasulullah?" Jawab baginda, "Iaitu siang dan malamnya, bertamu itu hanya tiga hari. Lebih dari itu adalah sedekah atas tamu itu." Dan sabda baginda: "Siapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata dengan perkataan yang baik-baik, atau diam!" (Hadis Sahih Muslim, No 1710)
Setelah diteliti hadis-hadis yang diberikan, dapatlah kita membuat kesimpulan, DIAM adalah benteng bagi lidah manusia daripada mengucapkan perkataan yang sia-sia.
Hikmah lidah yang 'diam':
1. Sebagai ibadah tanpa bersusah payah
2. Perhiasan tanpa berhias
3. Kehebatan tanpa kerajaan
4. Benteng tanpa pagar
5. Kekayaan tanpa meminta maaf kepada orang
6. Istirehat bagi kedua malaikat pencatat amal
7. Menutup aib diri
Hadis-hadis Rasullulah SAW mengenai kelebihan diam yang bermaksud: "Barangsiapa yang banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya. Barangsiapa yang banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya. Dan barangsiapa yang banyak dosanya, nescaya Neraka lebih utama baginya." (Hadis riwayat Abu Naim)
"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata dengan perkataan yang baik-baik, atau diam." (Riwayat riwayat Bukhari dan Muslim)
"Barangsiapa diam maka ia terlepas dari bahaya." (Hadis riwayat At-Tarmizi)
Ada pepatah mengatakan, banyak diam tidak semestinya bodoh, banyak cakap tidak semestinya cerdik.... Manusia tidak akan dapat mengalahkan syaitan kecuali dengan mendiamkan lidahnya. Jalan yang terbaik ialah diam jika kita tidak dapat bercakap ke arah perkara-perkara yang membawa kebaikan. Bicara yang baik adalah lambang hati yang baik dan bersih yang bergantung kepada kekuatan iman pada diri manusia itu sendiri.
Manusia Yang Dikasihi Dan Dibenci
Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang paling aku kasihi di kalangan kamu dan orang yang paling dekat tempat duduknya denganku dihari kiamat ialah orang yang paling baik akhlaknya. Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku pada hari kiamat ialah orang yang banyak bercakap perkara sia-sia, dan berlagak angkuh, sombong malah ia merasa bangga dengan kesombongannya.” Para sahabat bertanya lagi, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami telah mengetahui maksud perkataan orang-orang yang suka bercakap banyak yang sia-sia, dan yang berlagak angkuh dan sombong, tetapi apakah maksud orang yang bangga dengan kesombongannya? Jawab Rasulullah, “ialah orang yang takbur.” (Hadis Riwayat At-Tarmizi)
Daripada hadis di atas, dapatlah kita tafsirkan, orang yang berakhlak mulia adalah orang yang paling dikasihi oleh Rasulullah dan diberi tempat yang paling dekat dengan baginda di hari kiamat nanti. Bercakap-cakap kosong atau perkara-perkara yang sia-sia dan membuat fitnah adalah perbuatan yang dilarang oleh agama kerana ia tidak mendatang apa-apa kebaikan bahkan bakal mengundang azab di hari akhirat kelak. Islam juga melarang umatnya bersifat membangga diri dan memandang rendah serta menghina orang lain tetapi hendaklah bersifat tawaduk dan rendah diri demi menjaga hati dan perasaan orang lain.
Renung-renungkan, dan selamat beramal!
Banyak bercakap di dunia boleh menjadi sebab banyak menjawap di akhirat.
BalasPadam