Soalan:
SAYA sering bergaduh dengan suami disebabkan suami terlalu kasar dan tidak mahu bertolak ansur. Sepanjang lapan tahun berkahwin, saya selalu dipukul dan dimaki hamun jika bergaduh. Kami tidak mempunyai anak kerana jarang mengadakan hubungan kelamin. Bagaimana dapat saya menasihat suami dan membuat dia sedar akan kesalahannya. Buat masa ini saya tidak mahu berpisah walaupun terseksa bersamanya. Saya tidak sanggup menghadapi masyarakat dan keluarga jika diceraikan. Saya berharap suami akan berubah satu hari nanti?
YANG MENGHARAP
Pulau Pinang
Jawapan:
Perselisihan faham adalah lumrah dalam rumah tangga. Walaupun demikian, jika perselisihan faham itu membawa kepada pergaduhan lebih besar seperti maki hamun dan memukul tanpa sebab yang munasabah, maka ia bukan lagi perkara biasa. Antara tujuan perkahwinan dalam Islam ialah berkasih sayang dan memenuhi naluri semula jadi manusia. Oleh itu, Islam menggariskan peranan, tanggungjawab dan hak suami isteri dalam perkahwinan.
Peranan, tanggungjawab dan hak itu mesti dipikul secara bersama dan tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Jika tujuan rumah tangga tidak dapat dicapai dan mungkin menimbulkan mudarat sama ada kepada isteri atau suami, pihak itu boleh memohon membubarkan perkahwinan berdasarkan alasan dan cara dibenarkan hukum syarak ialah talak perkara halal yang paling dibenci Allah. Oleh kerana puan dan suami sering bergaduh, selalu dimaki hamun dan dipukul tentu sebarang inisiatif puan untuk menasihati suami secara sendiri akan berakhir dengan pergaduhan juga. Lebih baik puan meminta bantuan pihak ketiga bagi membantu menyelesaikan masalah rumah tangga.
Antaranya kenalan rapat suami, keluarga, pakar kaunseling ataupun sesiapa saja yang dihormati suami. Bagaimanapun, puan perlu berhati-hati memilih perantara supaya tidak diperbesar dan menimbulkan kekecohan lain pula. Perantara mesti orang yang boleh dipercayai dan tidak menghebohkan perkara itu kepada orang lain. Perantara juga perlu tahu peranannya dan boleh memberi nasihat kepada suami secara berkesan. Cari perantara yang difikirkan sesuai bagi membantu menyelamatkan rumah tangga.
Puan juga perlu tahu punca suami panas baran. Adakah ia sifat semula jadi, masalah kewangan, tekanan di tempat kerja, masalah keluarga atau perkara lain. Jika puan dapat mencari puncanya mungkin cara untuk menangani masalah suami akan menjadi lebih mudah.
Umpamanya masalah kewangan yang menyebabkan suami menjadi tidak tentu hala dan naik angin, puan mungkin boleh menolong suami meringankan masalah kewangan. Jika sifat semula jadi suami, mungkin ini mengambil sedikit masa bagi suami berubah dan elok puan dan suami mendapatkan khidmat pakar kaunseling yang boleh membantu membuka mindanya supaya berubah.
Jika faktor tiada anak pula menjadi isu, puan dan suami boleh membuat pemeriksaan perubatan dan mendapatkan rawatan ke arah itu. Kini banyak kaedah perubatan yang membolehkan perempuan hamil. Namun, puan perlu berhati-hati supaya kaedah yang dibuat tidak tergelincir daripada hukum syarak.
Selepas berusaha, berserah kepada Allah bagi menentukan hasil usaha itu. Berdoalah kepada-Nya bagi membuka ruang di hati suami dan menanam benih kesedaran di jiwanya untuk berubah.
Bertawakal kepada-Nya kerana ini ujian yang ditentukan-Nya kepada puan. Allah tidak akan menguji hamba-Nya melainkan apa yang mampu dihadapi mereka. Disamping itu, puan perlu mengetahui hak di sisi undang-undang syariah supaya kebajikan dan keselamatan puan terpelihara.
Jika khuatir keselamatan akan terancam, puan boleh memohon kepada Mahkamah Syariah perintah menghalang suami daripada mengganggu dan memukul puan. Bagi memudahkan mahkamah membuat pertimbangan memberikan perintah tegahan itu dokumen seperti laporan perubatan, laporan polis dan dokumen lain berkaitan insiden pukul itu perlu dikemukakan kepada mahkamah untuk pertimbangan.
Oleh itu, puan dinasihatkan mengumpul dokumen berkenaan bagi digunakan jika perlu untuk memohon perintah tegahan di mahkamah nanti. Puan juga berhak memohon di Mahkamah Syariah untuk perintah pembubaran perkahwinan secara fasakh atau taklik jika terbukti suami memukul dan mencederakan puan.
Puan perlu bijak membuat keputusan sama ada untuk terus hidup dengan suami atau mengakhiri perkahwinan.
Jika matlamat perkahwinan tidak dapat dicapai selepas segala usaha dilakukan dan keselamatan terancam, mungkin jalan terbaik ialah berpisah.
Namun, berusaha sedaya upaya untuk mencari jalan terbaik menjernihkan suasana dan kembali kepada syariat yang ditentukan. Insya Allah hidup kita akan diberkati Allah.
Jawapan disediakan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar
Sumber: BHarianOnLine 2008/12/17
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...