INDONESIA berjaya membentuk satu bangsa yang bersatu melalui dasar pendidikan nasional yang berlandaskan kepada Pancasila. Sistem persekolahan yang sama untuk seluruh rakyat mengggunakan satu bahasa sahaja iaitu bahasa Indonesia sebagai pengantarnya. Sejak tahun 1960, sekolah-sekolah yang menggunakan bahasa asing tidak dibenarkan oleh pemerintah. Malah sekolah antarabangsa juga tidak dibenarkan wujud.
Bagi etnik Cina dan kalangan yang kaya memilih menghantar anak-anak mereka belajar di luar negara termasuk di Amerika Syarikat, Belanda, Australia dan Timur Tengah. Namun demikian, sekolah-sekolah swasta kini dibenarkan beroperasi untuk mengajar bahasa-bahasa asing sebagai pelengkap kepada pendidikan negara. Kebebasan menggunakan bahasa asing tidak disekat seperti juga amalan beragama dan berbudaya.
Semasa pemerintahan Order Baru, tidak ada hari cuti rasmi untuk Tahun Baru Cina dan perarakan tarian singa. Namun perayaan keagamaan itu dibenarkan semasa pemerintahan Presiden Abdurahman Wahid, iaitu bermulanya era prodemokrasi selepas kejatuhan rejim Presiden Suharto.
Apa yang pasti sistem persekolahan yang sama terus dikekalkan hingga ke hari ini telah memberi kesan ketara kepada perpaduan bangsa di negara ini yang mempunyai lebih 230 juta penduduk dan ratusan etnik lain. Masyarakat keturunan Cina dan lain-lain etnik menggunakan bahasa Indonesia sepenuhnya dalam pertuturan harian dan persuratan tanpa rasa canggung.
Hakikatnya orang keturunan Cina terutama generasi muda tidak lagi mampu berbahasa ibunda. Mereka menjunjung bahasa Indonesia sebagai bahasa rasmi mereka.
Membezakan
Sukar untuk membezakan bangsa atau keturunan di negara ini apabila mereka semuanya menggunakan bahasa yang sama dalam perbualan harian. Penggunaan bahasa Indonesia sebagai bahasa rasmi dalam pemerintahan dan bahasa pengantar pendidikan serta bahasa dalam pengembangan ilmu pengetahuan dan teknologi tidak menimbulkan masalah kaum.
Perlu disebut, Indonesia mempunyai kira-kira 10 juta rakyat keturunan Cina ataupun antara tiga hingga lima peratus daripada jumlah pendudukan negara. Walaupun orang Cina merupakan golongan minoriti, jumlah itu lebih ramai daripada jumlah rakyat keturunan Cina di Malaysia. Namun dari segi ekonomi, masyarakat keturunan Cina di Indonesia menguasai ekonomi kerana mereka adalah para pedagang dan pemilik hartanah di negara ini. Ia satu hakikat yang tidak dapat dinafikan.
Mereka tidak merasa terpinggir di Indonesia walaupun tidak lagi menggunakan bahasa ibunda dan tidak menggunakan tulisan Cina pada iklan perniagaan dan papan tanda di gedung dan toko perniagaan.
Pendidikan di bawah satu sistem persekolahan telah menyatukan bangsa dan berjaya menanamkan nilai-nilai keindonesiaan kerana pendidikan tidak hanya berupa pengajaran ilmu pengetahuan. Pendidikan bukan sekadar pemindahan dan pengembangan ilmu pengetahuan, tapi juga sebagai media integrasi bangsa.
Seorang anggota Parlimen, Daud Iswandi Nasution menyatakan, di negara ini walaupun sekolah swasta dibenarkan, ia masih menggunakan bahasa Indonesia kecuali di sekolah antarabangsa. Hakikatnya, kata Daud, rakyat Indonesia yang bukan pribumi dapat menerima pendidikan di bawah satu bumbung tanpa rasa terpinggir dan dasar itu ternyata mampu mengukuhkan perpaduan bangsa dan menanamkan nasionalisme terhadap seluruh rakyat.
Namun apa yang dikhuatiri ialah perpecahan akan berlaku apabila sumber tenaga manusia berbeza disebabkan oleh kualiti pendidikan yang berbeza-beza di daerah-daerah dan jurang ekonomi yang luas antara yang kaya dan miskin.
Sumber: UtusanOnLine 06/12/2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...