PAGE

Jumaat, Januari 30, 2009

Bergantung harap kepada tangkal rosakkan akidah

Oleh Mohd Shukri Hanapi

PENGGUNAAN tangkal atau tamimah (dalam bahasa Arab) sudah lama berakar umbi dalam masyarakat Melayu, malah masih banyak digunakan hingga hari ini. Dalam masyarakat Arab, tangkal diberikan dengan pelbagai nama antaranya al-Hirz atau al-Hijab (pelindung). Kebiasaannya tangkal ini diikat pada leher, pergelangan tangan, pinggang dan kaki kanak-kanak mahupun orang dewasa. Antara tujuan penggunaannya adalah untuk mengelak daripada gangguan jin, iblis, sawan, cacing, sakit dan sebagainya. Meskipun tujuan penggunaannya menampakkan ada sedikit kebaikan, daripada perspektif Islam mengguna dan mempercayai tangkal termasuk dalam perbuatan syirik kerana seseorang yang memakai tangkal hatinya sudah tentu yakin dan percaya terhadap kekuatan tangkal itu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya jampi, tangkal dan sihir adalah syirik." (Hadis riwayat Abu Daud)

'Uqbah bin 'Amir meriwayatkan bahawa ada 10 orang datang untuk berbai'ah dengan Rasulullah SAW. Namun Baginda hanya menerima sembilan orang saja daripada mereka, manakala seorang lagi tidak diterima. Kemudian ada di kalangan mereka bertanya: "Mengapa dia tidak diterima? Rasulullah SAW menjawab: Kerana di lengannya ada tangkal. Selepas lelaki itu memotong tangkal yang dipakainya, barulah Rasulullah SAW menerima bai'ah daripadanya. Seterusnya Baginda bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang menggantungkan tangkal, sesungguhnya dia sudah syirik." (Hadis riwayat Ahmad dan al-Hakim)

Sebenarnya tangkal tidak langsung memberi manfaat kepada pemakainya, malah menjauhkan lagi daripada sesuatu yang dihajati. Seseorang hamba itu boleh berdoa dan memohon secara terus kepada Allah sesuatu yang dihajati tanpa menggunakan perantaraan atau jalan tengah. Apabila seseorang itu menggunakan perantaraan, maka Allah tidak akan memperkenankan hajatnya, malah dijauhkan daripada hajat itu.

Diriwayatkan daripada 'Imran bin Hussin bahawa Rasulullah SAW melihat seorang lelaki memakai gelang berwarna kuning di lengannya, lalu Baginda bertanya: "Apakah ini? Lelaki itu menjawab: "Saya memakainya kerana bahu saya mengalami sengal-sengal. Lalu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya benda itu tidak memberi sebarang kesan kecuali kelemahan. Oleh itu lucutkanlah ia daripada lenganmu. Sesungguhnya jika engkau mati dan benda itu (tangkal) masih berada di badanmu, nescaya engkau tidak akan bahagia selama-lamanya." (Hadis riwayat Ahmad)

Diriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang menggantungkan tangkal dan azimat, maka Allah tidak akan menyempurnakan baginya (hajatnya), dan sesiapa yang menggantungkan cengkerang siput (jenis tangkal), maka semoga Allah tidak mententeramkan baginya (dengan siput itu)." (Hadis riwayat Ahmad, al-Hakim dan Ibn Hibban)

Rasulullah s.a.w bersabda: " Sesungguhnya tawar jampi, tangkal azimat, ilmu guna-guna ( ilmu pengasih untuk menambatkan hati suami kepada isteri atau hati isteri kepada suaminya ) adalah syirik." (Hadis riwayat Ibn Mas'ud r.a.)

Inilah pendidikan yang diberikan Rasulullah SAW kepada sahabat. Pendidikan itu dapat mempengaruhi jiwa sahabat sehinggakan mereka menentang keras segala kesesatan dan kebatilan yang berlaku. Mereka tidak mempercayai sesuatu selain daripada Allah.

Pada suatu ketika, Abdullah bin Mas'ud masuk ke rumahnya. Tiba-tiba Abdullah melihat isterinya ada memakai kalung (tangkal), lalu dia terus menarik tangkal itu dan memotongnya. Kemudian Abdullah berkata: "Keluarga Abdullah harus jauh daripada mensyirikkan Allah dengan sesuatu perkara." Abdullah bin Mas'ud menjelaskan lagi dengan berkata: "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya tangkal, azimat dan pengasih adalah syirik." (Hadis riwayat Ibn Hibban)

Begitulah juga golongan tabi'in, mereka sentiasa menentang segala kesyirikan dan kebatilan. Sa'id bin Jubair berkata: "Sesiapa yang menanggalkan tangkal daripada leher seseorang, maka seolah-olah dia membebaskan seseorang hamba." (Al-Qardawi, 1994:320)

Isa bin Hamzah pula menceritakan: "Suatu ketika saya pernah masuk ke dalam rumah Abdullah bin Hakam. Saya melihat pada diri Abdullah ada tanda merah lalu saya bertanya: Apakah kamu memakai tangkal? Jawab Abdullah: Lebih baik aku mati daripada bertangkal, sebab Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang memakai sesuatu (tangkal), maka dia akan dibebaninya." (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Demikianlah sikap sahabat dan tabi'in terhadap sesuatu perkara yang ditegah Rasulullah SAW. Mereka amat berhati-hati dengan setiap perkara bersangkutan akidah. Malah, mereka menerima segala didikan Rasulullah SAW dengan hati terbuka tanpa mempersoalkannya. Berhubung jenis tangkal daripada ayat al-Quran, ada sesetengah ulama membenarkan penggunaan dan pemakaiannya. Namun, Yusuf al-Qardawi berpendapat ia juga wajar dilarang.

Hujah beliau ialah:


1. Hadis yang menegah amalan bertangkal berbentuk umum. Ia tidak membezakan antara satu bentuk tangkal dengan yang lain. Ketika Rasulullah SAW menegah seorang lelaki memakai tangkal, Baginda tidak pun berkata kepadanya adakah tangkal itu daripada al-Quran atau tidak. Sebaliknya, Baginda menegah tangkal dalam apa juga bentuknya.

2. Berdasarkan prinsip sadd al-Zara'i (menutup pintu keburukan), sesungguhnya sesiapa yang memakai tangkal daripada ayat al-Quran sudah tentu dia akan menggantungkan tangkal lain pula. Orang yang melihatnya tidak akan mengetahui sama ada tangkal itu al-Quran atau tidak.

3. Ini adalah satu bentuk penyalahgunaan al-Quran. Pemakai tangkal akan memasuki tandas, beristinjak, menunaikan hajat dan berada dalam keadaan janabah atau haid bagi wanita, sedangkan tangkal itu sentiasa terikat di badannya.

Berdasarkan hujah itu, mengguna dan mempercayai tangkal adalah dilarang. Larangan itu tidak kira apa juga bentuk tangkal sama ada daripada ayat al-Quran atau tidak. Ibrahim al-Nakhaei berkata, "Mereka (sahabat) membenci tangkal dalam apa juga bentuknya, sama ada daripada al-Quran atau bukan daripada al-Quran." (al-Qardawi, 1994:320)

Sesungguhnya mempercayai atau bergantung harap kepada tangkal menyebabkan akidah seseorang itu rosak kerana jelas wujudnya elemen menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain. Mentauhidkan Allah adalah ajaran Islam terpenting. Termasuk dalam prinsip tauhid adalah keyakinan sepenuhnya bahawa tidak ada sesuatu yang dapat memberi sebarang manfaat atau menolak kemudaratan melainkan Allah. Jelaslah bahawa akidah adalah perkara yang cukup penting dalam Islam. Ia tidak boleh dipersenda atau dipermain-mainkan sama ada dengan hati, perkataan mahupun perbuatan. Perlu diingatkan, dosa mensyirikkan Allah adalah dosa paling besar. Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu), dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia sudah melakukan dosa besar." (Surah al-Nisa', ayat 48)

Pengajaran hadis
  1. Tawar jampi, tangkal azimat dan ilmu pengasih adalah haram di sisi Islam sekiranya ia mengandungi perkataan yang tidak difahami maknanya atau yang berdasarkan sihir, memuja hantu syaitan dan jin iblis atau yang mengandungi benda-benda najis dan kotor.
  2. Perbuatan ini adalah termasuk dalam perbuatan ‘syirik yang tersembunyi’ yang diertikan sebagai mengiktiqadkan sesuatu sebab itu dengan keadaan hakikatnya memberi kesan yang baik atau buruk, contohnya disebabkan tangkal azimat yang digunakan itu maka seseorang itu terselamat daripada bahaya dan sebagainya.
  3. Kecuali jika ia menggunakan ayat-ayat al-Quran, nama-nama Allah atau sifat-Nya atau yang berbentuk zikrullah maka yang demikian tidaklah diharamkan.
  4. Selaku umat Islam hendaklah kita menjauhi segala bentuk perbuatan yang mensyirikkan Allah kerana dosa syirik adalah dosa yang paling besar. Sebaliknya hendaklah meletakkan keyakinan bahawa segala sesuatu itu adalah bergantung pada takdir Allah dan keizinan-Nya jua.
  5. Di antara perbuatan syirik tersembunyi yang lain adalah seperti;
  • Menanamkan perasaan takut dan gerun kepada kekuatan sesuatu yang lain dari Allah.
  • Menumpukan harapan kepada sesuatu yang lain daripada Allah.
  • Bersumpah dengan sebarang sebutan yang lain daripada menyebut nama atau sifat Allah.
  • Mengatakan: "Kalaulah tidak kerana pertolongan dia, tentulah aku tidak berjaya" dan sebagainya.
  • Mengatakan: "Kalaulah tidak kerana ayam berkokok, polis meronda dan sebagainya tentulah rumahku dimasuki pencuri."
  • Melakukan sesuatu amal ibadat atau membuat sesuatu pengorbanan, perjuangan, bukan kerana menjunjung perintah Allah tetapi untuk suatu tujuan yang lain.
Hadis Qudsi yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik katanya: "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Allah berfirman yang maksudnya: Wahai anak Adam! Sesungguhnya selama engkau berdoa dan berharap kepada-Ku, Aku akan mengampuni bagimu di atas dosa yang ada padamu dan Aku tidak peduli wahai anak Adam! Walaupun dosamu sudah sampai ke langit, kemudian engkau memohon keampunan-Ku, nescaya Aku ampuni bagimu. Dan Aku tidak peduli wahai anak Adam! Sesungguhnya jika engkau datang kepada-Ku dengan kesalahan sepenuh bumi, kemudian itu engkau menemui Aku padahal engkau tidak mempersekutukan Aku dengan sesuatu pun, nescaya Aku berikan kepadamu keampunan dengan sepenuh bumi." (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Dosa yang bukan kerana mensyirikkan Allah masih ada harapan untuk mendapatkan keampunan daripada-Nya. Ini menunjukkan rahmat dan belas kasihan Allah kepada orang yang melakukan dosa,
asalkan bukan dosa mempersekutukan-Nya.

Sumber: BHarianOnLine 2009/01/29 dan sedikit tambahan sendiri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...