Kajian penyelidik mendapati mereka yang membujang sepanjang hayat berisiko dua kali ganda mengalami penyakit berkelakuan seperti kanak-kanak atau raban
LONDON: Berkahwin dapat mengurangkan risiko mengalami penyakit Alzheimer apabila satu penyelidikan baru menunjukkan mempunyai pasangan pada pertengahan usia, dengan individu yang mempunyai pasangan berisiko kurang 50 peratus untuk mengalami nyanyuk. Ia mendapati mereka yang keseorangan selepas perceraian berisiko tiga kali ganda mengalami Alzheimer di kemudian hari.
Kajian selama 21 tahun menekankan risiko tinggi menghadapi masalah ingatan dan kognitif bagi semua individu yang keseorangan, sama ada bujang, bercerai atau kematian pasangan. Penyelidikan terdahulu menunjukkan pengasingan sosial atau kurang hubungan peribadi meningkatkan risiko nyanyuk dan penurunan mental, dengan pakar Amerika Syarikat tahun lalu mendakwa individu keseorangan lebih berkemungkinan mengalami penyakit otak pada usia tua.
Namun, kajian Sweden yang dibentangkan di Persidangan Antarabangsa mengenai Penyakit Alzheimer di Chicago, baru-baru ini, membuktikan secara khusus bahawa berkahwin dapat mengurangkan risiko nyanyuk.
Alzheimer adalah punca utama nyanyuk, yang menjejaskan lebih 700,000 penduduk Britain.
Dalam kajian terbaru, penyelidik yang diketuai Dr Krister Hakansson dari Institut Karolinska di Stockholm memeriksa rekod 1,449 penduduk pertengahan usia di Finland dan sekali lagi pada tahun 1998, purata 21 tahun kemudian. Secara keseluruhan, 139 mengalami beberapa bentuk masalah nyanyuk, 82 dengan masalah kognitif sederhana dan 48 menghidap Alzheimer.
Pasukan penyelidik mendapati mereka yang tinggal bersama pasangan pada pertengahan usia berisiko kurang 50 peratus untuk nyanyuk pada kehidupan lewat berbanding yang tinggal sendirian. Ia mengekalkan kes walaupun selepas pengubahsuaian dibuat bagi faktor yang dikaitkan dengan risiko tinggi Alzheimer termasuk pendidikan, obesiti, kolesterol, tekanan darah tinggi, pekerjaan, aktiviti fizikal, tabiat merokok, kemurungan, gen, usia dan jantina.
Penyelidik mendapati mereka yang kekal membujang sepanjang hayat berisiko dua kali ganda untuk nyanyuk. Pasangan bercerai yang membujang selepas berpisah dengan pasangan pada pertengahan usia berisiko tiga kali ganda. Lebih dramatik, mereka yang kehilangan pasangan sebelum pertengahan usia dan kekal membujang berisiko enam kali ganda untuk nyanyuk berbanding mereka yang berkahwin pada pertengahan dan akhir hidup.
Dr Hakansson berkata: “Kajian ini menunjukkan faedah berkahwin, selari dengan hipotesis umum rangsangan sosial sebagai faktor pelindung daripada nyanyuk.”
Jurucakap Tabung Penyelidikan Alzheimer, Rebecca Wood, berkata hasil kajian itu amat membimbangkan bagi United Kingdom, yang menyaksikan kadar perceraian tinggi di kalangan penduduk, selain peratusan perkahwinan pada paras paling rendah serta peningkatan penduduk tua.
“Kita amat memerlukan lebih banyak penyelidikan dibuat mengenai faktor gaya hidup dan risiko nyanyuk jika mahu mengekang wabak nyanyuk di negara ini,” katanya.
Bagaimanapun, Dr Susanne Sorensen dari Persatuan Alzheimer berkata, sesiapa saja boleh mengambil langkah mengurangkan risiko, dengan atau tanpa pasangan seumur hidup.
“Orang bujang tidak sepatutnya bimbang - terdapat banyak cara mengurangkan risiko nyanyuk yang tidak membabitkan perkahwinan. Bukti terbaik ialah mengamalkan cara pemakanan Mediterranean, kerap bersenam dan tidak merokok,” katanya.
INFO: Alzheimer
Sumber: BHarianOnLine 2009/01/25
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...