PAGE

Sabtu, Januari 31, 2009

Bersembang ganggu solat jemaah lain

Bersama Jakim

USAH ganggu kekhusyukan mereka yang sedang bersolat. - Gambar hiasan

SOALAN:

APAKAH hukumnya apabila jemaah yang sudah selesai bersolat duduk berkumpul dan bersembang dan mengganggu jemaah lain yang mahu bersolat? Senario ini seakan sudah menjadi satu kelaziman baik di surau mahupun masjid sementara menunggu masuk waktu, sedangkan ia sebenarnya satu gangguan kepada jemaah lain. Apakah yang boleh dilakukan bagi mengatasi masalah seperti ini?

Hamba Allah
Selangor


JAWAPAN:

Masjid dan kawasan sekitarnya adalah salah satu pusat aktiviti masyarakat. Ia bukan semata-mata dijadikan tempat ibadah khususiyah saja tetapi merangkumi pelbagai aktiviti lain, umpamanya tempat diadakan majlis ilmu, muzakarah agama dan sebagainya.

Hukum berzikir dengan kuat di dalam masjid adalah makruh, dikhuatiri mengganggu orang sedang solat, mereka yang sedang bermutalaah, guru sedang mengajar atau orang beriktikaf yang sedang tidur. Apatah lagi jika seseorang itu bercakap mengenai perkara tidak perlu, maka hukum perbuatan itu haram. Jika seseorang itu bercakap-cakap mengenai perkara yang dikatakan perlu sekalipun, perbuatan meninggikan suara tetap dilarang.

Merujuk kepada persoalan anda, bagi menangani pemasalahan seperti itu, pihak jawatankuasa masjid boleh berbincang bagi meningkatkan kesedaran jemaah bagi menghormati masjid dan sebagainya. Begitu juga dengan jemaah, mereka boleh bertolak ansur dan saling hormat-menghormati contohnya bagi yang sudah menunaikan solat boleh beralih ke penjuru, ke belakang atau ke beranda masjid untuk melakukan aktiviti selanjutnya seperti berzikir, membaca al-Quran, berusrah atau bermuzakarah. Manakala jemaah yang baru sampai untuk menunaikan solat hendaklah terus maju dan bersolat di barisan hadapan bagi mengelakkan gangguan ketika mendirikan solat.

Sumber: BHarian 2009/01/31

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...