PAGE

Jumaat, Januari 09, 2009

Hayati kemuliaan Muharam


MENURUT kalendar masihi, Awal Muharam 1430 hijrah tahun ini jatuh pada Isnin, 29 Disember 2008. Kedatangan Muharam biasanya disambut dengan perarakan beramai-ramai sebagai memperingati peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad dari Makkah ke Madinah.

Di samping itu, masjid-masjid pula akan mengadakan majlis syarahan dan bacaan al-Quran. Bulan ini dinamakan ‘Bulan Muharam’ kerana bulan itu mulia. Dalam bahasa Arab ‘Haram’ bererti ‘mulia’. Penamaan bulan itu sebagai penguat dari kemuliaan bulan itu.

Firman Allah bermaksud: "...janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu sebab dosa yang dilakukan pada bulan-bulan tersebut lebih dahsyat dari bulan-bulan selainnya". (Surah At Taubah, ayat 36)

Ibnu ‘Abbas r.a dalam mentafsirkan ayat ini berkata yang bermaksud: “Di bulan-bulan yang Allah tetapkan di dalam setahun kemudian Allah khususkan dari bulan-bulan tersebut empat bulan, yang Allah menjadikan sebagai bulan-bulan yang mulia dan mengagungkan kemuliaannya, dan menetapkan perbuatan dosa di dalamnya sangat besar, begitu pula dengan amal salih pahalanya begitu besar dibandingkan bulan-bulan lain.”

Menyentuh ‘Keutamaan Bulan Muharam’ Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka jangan-lah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimna mereka pun memerangi kamu semuanya; dan ketahuilah bahawa Allah be-serta orang-orang yang bertaqwa.” (Surah At Taubah, ayat 36).

Rasulullah SAW menjelaskan maksud ayat di atas dengan sabdanya yang bermaksud, "Di dalam satu tahun ada dua belas bulan dan di antaranya terdapat empat bulan yang mulia, tiga di antaranya Zulqa’dah, Zulhijjah dan Muharam selain Rajab di antara bulan Jumada dan Syaban." (Hadis Riwayat Bukhari).

Demikianlah Allah SWT dan Rasul-Nya mengagungkan bulan ini dan demikian pula seharusnya sikap kita orang Islam.

Terdapat beberapa peristiwa penting dalam bulan ini. Di antaranya:

  1. 1 Muharam - Khalifah Umar Al-Khattab mula membuat penetapan kiraan bulan dalam Hijrah.
  2. 10 Muharam – Hari ini dinamakan juga hari ‘Asyura'. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilah dan kebenaran.
  3. Pada 10 Muharam Nabi Adam bertaubat kepada Allah, Nabi Idris diangkat Allah ke langit dan Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya selepas bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
  4. Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
  5. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
  6. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
  7. Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkan Allah.
  8. Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
  9. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
  10. Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
  11. Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
  12. Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
  13. Hari pertama Allah menciptakan alam.
  14. Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
  15. Hari pertama Allah menurunkan hujan.
  16. Allah menjadikan Arasy.
  17. Allah menjadikan Luh Mahfuz.
  18. Allah menjadikan Malaikat Jibril.
  19. Nabi Isa di angkat ke langit.
Selain itu terdapat pula amalan-amalan yang sunat yang dilakukan pada Muharam, antaranya:
  1. Berpuasa. Sabda Nabi bermaksud: “Barang siapa berpuasa satu hari dalam bulan Muharam pahalanya seumpama berpuasa 30 tahun. Nabi bersabda lagi yang bermaksud: “Barangsiapa yang berpuasa tiga hari dalam bulan Muharam, iaitu hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, Allah tulis padanya pahala seperti mana beribadat selama 2 tahun.
  2. Banyakkan amal ibadat seperti solat sunat dan zikir.
  3. Berdoa akhir tahun pada hari terakhir bulan Zulhijah selepas Asar sebanyak tiga kali.
  4. Berdoa awal tahun pada 1 Muharam selepas Maghrib tiga kali
  5. Kita juga digalakkan banyak melakukan amalan sunat pada hari Asyura (10 Muharam).
Sumber: HMetroOnLine 2009/01/09

2 ulasan:

  1. Salam alaik,

    Saya seronok baca you punya blog. Dapat meningkat ilmu pengetahuan dan menyejukkan hati saya.

    Semoga Allah merahmati Puan dan ahli keluarga dengan segenap rahmah dan barkah.

    BalasPadam
  2. Wasslm wbt,

    Terima kasih atas kunjungan tuan ke blog yang tidak seberapa ini. Alhamdulillah, dikurniakan Allah untuk menghimpunkan artikel yang dapat memberikan manafaat kepada kita.

    Sebetulnya saya juga amat kagum dengan usaha tuan di kenaliarabi.com .... berpeluang belajar bahasa arab amat menyeronokkan. Tahniah atas usaha tuan!

    Ada sekali tu, saya terjenguk blog tuan dan terpandanglah oleh saya satu gambar yang begitu 'menggiurkan'... aduhai... nampaknya saya kena hadkan kunjungan kerana saya sekarang dalam stage 'berhati-hati' agar tidak mengidam yang bukan-bukan... kut nanti tuan juga yang jadi mangsa kena poslaju makanan untuk saya.. hu hu...

    Jemput singgah lagi ya!

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...