IMAM BUKHARI dilahirkan pada 13 Syawal 194 Hijrah bersamaan 21 Julai 810 Masihi di Bukhara, sebuah kawasan yang terletak di Uzbekistan. Nama sebenar Imam Bukhari ialah Abu ‘Abdillah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin Mughierah bin Bardizbeh al Ja’fiy. Nama Bukhari yang popular itu mengambil sempena nama tempat kelahirannya, Bukhara. Imam Bukhari merupakan seorang perawi hadis yang paling terkemuka sekali. Semua ulama dan cerdik pandai Islam sependapat bahawa dalam bab dan selok belok hadis, Imam Bukhari menduduki tangga teratas sekali. Kebolehan dan kehebatannya memang tiada tolok bandingnya. Menurut catatan, Imam Bukhari mengetahui hampir sejuta hadis termasuk hadis-hadis palsu. Penyisihan dan pembersihan yang teliti kemuadiannya dilakukan oleh Imam Bukhari dan pakar-pakar hadis yang lain ke atas semua hadis-hadis ini sehinggalah hadis-hadis yang palsu kemudiannya disisihkan. Bukhari lahir dari keturunan ulama. Bapanya Ismail merupakan ulama yang masyhur pada ketika itu, terkenal sangat alim dan tinggi akhlaknya. Walaupun Imam Bukhari terkenal sebagai perawi hadis tetapi tidak ramai yang mengetahui tentang kehidupan semasa kecilnya. Tidak seperti kanak-kanak lain, Bukhari terpaksa menempuh berbagai penderitaan semasa kecilnya. Sebagai anak ulama, Bukhari mula belajar ilmu agama menerusi bapanya Ismail. Malang bagi Bukhari ketika dia memasuki usia enam tahun, bapanya meninggal dunia. Bukhari bukan sahaja kehilangan kasih sayang dari seorang bapa sebagai tempat bergantung tetapi juga kehilangan guru dalam pengajian ilmu agamanya. Takdir menentukan bahawa Bukhari terpaksa menjadi anak yatim dalam usia yang terlalu muda. Tidak cukup dengan itu, pada masa dia masih kanak-kanak itu juga Bukhari tiba-tiba diserang satu penyakit. Akibat dari itu, kedua-dua matanya yang normal itu akhirnya mengalami kecacatan penglihatan. Bukhari tidak mampu melihat lagi. Penglihatan Bukhari kembali pulih lama selepas itu.
Sesungguhnya Bukhari memang anak pintar. Dia adalah kanak-kanak luar biasa yang dianugerahi Allah SWT dengan segala bakat dan kelebihan. Bukhari mula menghafal hadis ketika masih berusia 10 tahun. Malah pada umur yang sedemikian, beliau telah menunjukkan kebolehan yang mengkagumkan di bidang hadis. Ketika berusia 11 tahun Bukhari sudah mampu memperbetulkan kesilapan yang dibuat oleh gurunya dari sebesar-besar kesalahan hinggalah sekecil-kecilnya. Dalam satu kes, salah seorang dari gurunya iaitu Sufyan telah membacakan sebuah hadis dengan menyebut perawi hadis itu dengan nama Abu Zubair. Bukhari segera menyanggah dengan mengatakan bahawa Abu Zubair tidak pernah meriwayatkan hadis yang sedemikian. Akhirnya untuk menentukan siapa yang benar, gurunya itu terpaksa membuka kitab dan selepas itu kembali menyoal Bukhari:-
“Wahai anak kecil, siapakah sebenarnya yang meriwayatkan hadis tersebut?” tanya gurunya itu kepada Bukhari.
“Zubair bukan Abu Zubair. Dia ialah Zubair bin ‘Uday yang menerimanya dari Ibrahim,” jawab Bukhari.
Insiden ini menunjukkan ketelitian luar biasa yang ditunjukkan oleh Bukhari yang hanya berusia 11 tahun dalam membincangkan permasalahan hadis. Sejak itu Bukhari terus cemerlang dalam bidang hadis. Bukhari amat rajin dan sentiasa menunjukkan minat yang tinggi dalam mendalami dan mengkaji hadis. Menurut catatan, bilangan guru hadisnya mencecah ke angka 1,080 orang. Mereka terdiri daripada kalangan sarjana hadis yang telah diakui kewibawaan mereka. Bukhari juga menjelajah ke serata pelusuk Tanah Arab semata-mata untuk mengumpul dan mengkaji hadis. Diberitakan beliau pernah berjalan kaki sejauh lebih kurang 8,000 kilometer semata-mata untuk mendalami ilmu hadis daripada pelbagai ulama di merata-rata tempat.
Bukhari juga memiliki ingatan yang sungguh luar biasa. Beliau mampu menghafal sejumlah lebih 300,000 hadis tanpa membuat sebarang catatan tapi hanya dengan mengingat. Hadis-hadis ini termasuklah 100,000 hadis sahih dan 200,000 hadis palsu. Kekuatan ingatan Bukhari yang luar biasa ini diceritakan oleh Hasyid bin Ismail yang ketika itu bersama-sama Bukhari belajar hadis dengan beberapa orang guru di Basrah semasa mereka masih kanak-kanak lagi. Menurut Hasyid, dia dan kanak-kanak lain belajar hadis dengan membuat catatan pada buku setiap hadis yang diajar guru mereka. Sebaliknya Bukhari hanya mendengar dan mengingat tanpa melakukan apa-apa catatan. Tindakan Bukhari itu kemudiannya dikritik oleh Hasyid dan rakan-rakannya yang lain yang menuduh Bukhari mengabaikan dan tidak menumpukan perhatian terhadap apa yang diajar. Sebagai menyahut kritikan rakan-rakannya itu, Bukhari kemudiannya telah meminta mereka membuka buku catatan masing-masing sementara dia membacakan semula kesemua hadis-hadis itu. Dalam peristiwa ini, Bukhari menunjukkan kebolehan luar biasanya dengan membacakan semula kesemua 15,000 hadis yang diajar guru mereka tanpa melakukan apa-apa kesalahan pun. Inilah bukti kebolehan luar biasa Bukhari dalam menghafal dan mengingat hadis. Pengalaman Muhammad bin Abi Hatim bersama-sama Bukhari juga boleh dijadikan contoh luar biasa Bukhari dalam bidang hadis. Dalam satu peristiwa, seorang guru hadis terkenal, Faryabi telah membacakan sebuah hadis dengan menyebutkan nama periwayatnya seperti berikut, “Diriwayatkan dari Sufyan dari Abi ‘Urwah, dari Abil Khattab, dari Abi Hamzah.” Sebenarnya nama-nama tersebut merupakan nama-nama gantian bagi nama-nama sebenar periwayat itu tetapi tidak ada seorang pun yang mengetahui siapa sebenarnya mereka kecuali Bukhari. Bukhari menjawab, “Abi ‘Urwah itu ialah M’mur bin Rasyhid, Abil Khattab itu ialah Qatadah bin Di’amah dan Abi Hamzah itu pula ialah Anas bin Malik.”
Ketokohan dan keluarbiasaan Imam Bukhari dalam ilmu hadis terus dibuktikannya. Dalam satu peristiwa ketika mengetahui bahawa Imam Bukhari akan datang ke Baghdad, para pengetua dan cerdik pandai di situ telah mengumpulkan 10 orang pakar-pakar hadis di situ untuk menguji kebolehan luar biasa Imam Bukhari itu. Daripada 10 orang itu setiap seorang telah menyediakan 10 hadis untuk dibacakan di hadapan Imam Bukhari nanti. Hadis-hadis yang akan dibacakan itu ialah hadis-hadis sahih yang telah dirosakkan tata bahasanya iaitu ayat-ayatnya ditulis secara tunggang terbalik, yang pangkal ke hujung, yang hujung ke tengah, yang tengah ke pangkal dan bermacam-macam cara kesalahan bahasa lain yang sengaja direka dan ditokok tambah. Bila tiba masanya maka majlis ilmu itupun berlangsung. Ia turut dihadiri oleh ramai ulama, sarjana dan ahli-ahli hadis terkemuka. Bila tiba masanya maka orang yang terpilih tadi pun membacakan hadis yang telah disediakannya. Setelah dibacakan maka ditanyanya kepada Bukhari bagaimana pendapatnya tentang hadis tersebut. Imam Bukhari menjawab,
“Saya tidak tahu hadis yang sedemikian.”
Begitulah seterusnya hingga habis dibacakan sepuluh hadis yang disediakan. Kesemuanya dijawab oleh Imam Bukhari dengan jawapan yang sama. Kemudian tampil pula orang kedua dengan membacakan satu persatu sehinggalah habis kesemua sepuluh hadis yang disediakannya. Setiap kali selepas dibacakan maka Imam Bukhari tetap memberikan jawapan yang sama. Begitulah seterusnya sehingga habis kesemua 10 orang penyoal itu membacakan 100 hadis di hadapan Imam Bukhari. Oleh kerana hadis-hadis itu telah disilapkan tatabahasa dan ayat-ayatnya maka Imam Bukhari tetap memberikan jawapan yang sama iaitu:-
“Saya tidak tahu hadis yang sedemikian.”
Setelah selesai kesemua 10 hadis yang disilapkan itu dibacakan di hadapan Imam Bukhari maka tibalah masanya pula bagi beliau menghuraikan semula kesemua hadis-hadis itu. Disinilah Imam Bukhari menunjukkan kekuatan ingatannya yang luar biasa itu. Sebelum memperbetulkan dengan menyebut hadis-hadis yang sebenarnya, Imam Bukhari telah menyebut semula apa yang dibacakan oleh 10 penyoal tadi. Beliau menuturkan semula kesemua seratus hadis yang disilapkan tatabahasanya itu dengan menyebutnya sama seperti sepuluh orang penyoal tadi menyebutnya. Beliau dapat menghafal di ingatannya ke semua hadis yang disilapkan itu. Ia sesuatu yang amat luar biasa dan mengkagumkan. Setiap hadis yang silap itu diiringkan pula dengan hadis sebenar yang betul tatabahasa dan ayat-ayatnya. Kesemua mereka yang menyaksikan peristiwa luar biasa itu mengakui kekuatan hafalan Imam Bukhari. Mereka mengiktiraf Imam Bukhari sebagai sarjana hadis yang terunggul dan tiada tolok bandingnya dalam sejarah Islam.
Sumber: Taman2Syurga
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...