PAGE

Rabu, Januari 28, 2009

Melanggari amanah bererti mengkhianati agama

Oleh Amran Zakaria
amranzakaria@gmail.com

Tanggungjawab diberi perlu dilaksana sebaik mungkin untuk wujudkan keamanan, keselamatan

AMANAH berasal daripada perkataan Arab, amana, bermaksud tenteram, aman, selamat dan harmoni. Dalam konteks akhlak, amanah ialah menghargai kepercayaan orang lain terhadap diri seseorang atau badan yang diamanahkan dengan melaksanakan tuntutan yang ada dalam kepercayaan itu. Amanah dengan kata lain ialah tanggungjawab yang diterima oleh seseorang atau pihak yang dipercayai dapat melaksanakannya seperti dituntut tanpa mengabaikannya. Apabila tanggungjawab itu ditunaikan dan amanahnya itu dihargai, maka orang yang menerima dan melaksanakannya mendapati dirinya atau badan yang diamanahkan itu berada dalam tenteram, aman, selamat dan harmoni serta diberkati atas Allah SWT dalam urusan yang bersahamkan agama.

Pecah amanah atau mengabaikan amanah yang diberikan adalah suatu kesalahan yang amat berat di sisi Islam, sehinggakan ia tidak dapat ditebus sekalipun dengan pengorbanan seseorang yang berjuang pada jalan Allah SWT. Dalam hal ini Rasulullah SAW menjelaskan kedudukan amanah dan tanggungjawab mereka yang memikul amanah itu seperti sabdanya yang bermaksud, "Menyertai perang fisabilillah akan menghapuskan segala dosa kecuali amanah. Amanah itu ada dalam solat. Amanah juga ada dalam percakapan. Maka amanah yang paling berat adalah menyimpan sesuatu yang diamanahkan." (Riwayat Abdullah Mas'ud).

Secara umumnya, terlalu banyak amanah yang perlu dilaksanakan dalam kehidupan kita. Sama ada sebagai pekerja, pengurus mahupun majikan. Kita hendaklah sentiasa ingat mengingati di antara kita bahawa apa juga bentuk amanah dipikul oleh kita, nescaya akan dipersoalkan oleh Allah SWT di Padang Mahsyar nanti. Memusnahkan amanah atau tidak berlaku amanah pastinya akan mengundang musibah, bukan saja terhadap diri pelakunya, bahkan terhadap masyarakat dan negara umumnya. Mereka yang diamanahkan untuk menjadi pengurus hendaklah membuat perancangan secara lebih strategik dengan daya fikiran lateral, jelas dan misi yang jitu. Pelaksanaannya pula hendaklah secara optimistik dengan menerap nilai yang murni di atas teras akauntabiliti, kualiti dan amanah.

Pengurusan kewangan yang bijaksana, cekap, fleksibel dan amanah adalah prasyarat bagi menjamin kedudukan kewangan yang kukuh. Islam mempunyai falsafah dan pendekatan sebagai garis panduan dalam melahirkan insan yang mempunyai sifat akauntabiliti, berkualiti dan amanah. Mereka yang bertanggungjawab dalam menguruskan amanah, terutama berkaitan dengan aspek kewangan jangan mengambil mudah berhubung dengan amaran Rasulullah SAW agar amanah yang diberi tidak dikhianati. Mereka yang diamanahkan mesti bertanggungjawab dengan amanah yang diberikan tanpa rasa angkuh, sombong dan riak dengan perjawatan itu. Mereka juga tidak boleh semata-mata mengejar keuntungan di dunia berselindung di sebalik perjawatan dan kuasa mereka. Mereka yang mempunyai sahsiah itu mesti ingat bahawa segala urusan di dunia akan dihisab di akhirat seperti mereka menghitung keuntungan yang diperoleh di dunia melalui mainan catur kepintaran dan kecekapan mereka.

Laporan, sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan juga adalah amanah dan perlu diucapkan atau direkodkan secara betul tanpa dipengaruhi emosi atau kepentingan diri. Antara lain perkataan laporan hendaklah bersih dan telus. Perbuatan menyembunyikan fakta dan rekod tertentu juga pengabaian terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan kepada pengurusan dan pekerjanya. Menyembunyikan fakta sebenar bertujuan mempertahankan imej dan personaliti majikan amat dilarang kerana kadang-kalanya ia boleh 'membunuh' terutama apabila rahsia tidak dapat disembunyikan lagi.

Justeru, jangan sekali-kali mengkhianati amanah Allah dan Rasul-Nya kerana amanah adalah suruhan dan larangan bagi agama dan melanggarnya bererti mengkhianati agama. Sesungguhnya orang yang mengkhianati amanah akan dituntut oleh Allah SWT pada hari kiamat kelak, supaya memulangkan hak kepada ahlinya. Soal menjaga kewangan, terutama berkaitan pengurusannya amat diberi perhatian dalam Islam.

Sejarah ada menceritakan bagaimana Khalifah Umar Abdul Aziz begitu sensitif terhadap perkara itu.
Beliau, yakni khalifah cukup terkenal dengan sikapnya yang berhati-hati menguruskan amanah dan menjaga amanah yang diberikan. Salah satu contoh yang dapat dijadikan pengajaran ialah kisah yang diceritakan oleh Amru Bin Muhajir. Pada suatu malam, ketika beliau didatangi oleh anaknya sendiri di pejabat khalifah, Umar terlebih dulu berkata: "Adakah kamu datang untuk urusan Muslimin atau urusan keluarga?" Selepas anaknya menjawab untuk urusan keluarga, lantas Umar memadamkan lampu pejabatnya. Bila anaknya bertanya tindakannya itu, Umar menjawab: "Lampu ini adalah milik negara, sedangkan kamu datang untuk urusan keluarga". Lalu Umar pun menyalakan lampu miliknya sendiri. Inilah ketinggian amanah pada diri khalifah Umar Bin Abdul Aziz dalam menjaga dan menguruskan harta kaum Muslimin.

Sebahagian daripada mereka yang diberi peluang untuk mentadbir dan mengurus amanah beranggapan bahawa mereka boleh melakukan apa saja kerana kuasa yang ada di tangan mereka. Mereka bebas bertindak, berbelanja atau bebas menentukan gaji yang berhak diterima sedangkan apa yang diperoleh tidak setimpal dengan khidmat dan kebolehupayaan dalam pengurusan, melainkan mengambil peluang daripada jawatan itu.

  • Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Amal Islam Hadhari (DAMAI)

Sumber: BHarianOnLine 2009/01/28

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...