SEREMBAN 8 Jan. - Ramai ibu bapa yang tidak tahu wujudnya sebuah pusat penjagaan disleksia di negeri ini yang berperanan besar untuk mengembalikan keyakinan mereka berhadapan saingan sengit dalam pembelajaran.
Menurut seorang bapa, Mohd. Kharsani Abu Bakar, 32, yang menghantar anaknya, Muhammad Ariff, 7, di Persatuan Jagaan Kanak-Kanak Disleksia Seremban menjelaskan selepas diberikan perhatian dan tunjuk ajar serta pembelajaran secara one to one, sudah ada perkembangan positif ke atas anaknya.
''Dahulu anak saya tidak mampu memberikan tumpuan dan sukar untuk belajar. Selepas menghantar ke pusat ini, anak saya sudah boleh mengira, membaca dan melakukan penyelesaian kepada latihan yang diberikan," katanya di sini hari ini.
Menurutnya, dia mula mengesan sindrom disleksia yang dihidapi anaknya ketika berusia dua tahun apabila Muhammad Ariff kurang bercakap dan cuma menunjukkan kepada sesuatu objek yang diminatinya.
''Saya telah merujuk kepada beberapa pakar dan akhirnya saya mendapat maklum yang anak saya menghidap sindrom disleksia, yang mana memerlukan sebuah pusat khusus untuk membentuk keyakinan dan pembelajarannya," kata pekerja syarikat Nestle Manufacturing (M) Bhd. di Chembong, Rembau itu.
Mohd. Kharsani menasihatkan ibu bapa yang telah mengenal pasti masalah anak-anak seperti ini eloklah membuat pemeriksaan segera di hospital untuk didiagnos sama ada menghidap sindrom disleksia atau tidak.
''Jangan tunggu terlalu lama untuk membuat keputusan kerana ia penting untuk masa hadapan anak-anak kita," katanya.
Sementara itu fasilatator di Persatuan Jagaan Kanak-Kanak Disleksia Seremban, Azizah Manaf, 41, memberitahu kanak-kanak ini perlu 'dimanjakan' dan dibelai dengan baik kerana mereka terlalu sensitif.
''Kanak-kanak disleksia perlu didisiplinkan kerana mereka sukar untuk mendengar kata. Kita perlu banyak bersabar dalam mendidik mereka," katanya.
Menurut Azizah, pengalaman mengajar mereka cukup mencabar kerana kanak-kanak ini tidak suka membaca, menulis tetapi mereka mudah faham dalam bahasa Inggeris.
''Kita perlu menggunakan kaedah 'flash card', penggunaan alat pembelajaran yang dilihat secara realiti, komputer untuk alat pandang dan dengar. Ini boleh membantu mereka," jelasnya.
Sementara itu Azizah juga memaklumkan, persatuan ini akan menganjurkan seminar berkaitan disleksia pada 7 Februari depan di Persatuan Jagaan Kanak-Kanak Disleksia Seremban dengan dihadiri oleh Presiden Disleksia Malaysia, Sariah Amirin dan Pakar Psikiatrik Pusat Perubatan Gleneagle, Dr. Norhamidah Mohd. Salleh serta beberapa yang lain.
''Kita juga menjemput pesakit disleksia yang berjaya dalam kerjaya, Eksekutif Kanan Maxis (M) Sdn. Bhd., Boo Kian Seng untuk menyampaikan pandangan dan nasihat. Dia telah mendapat pendidikan di Universiti Oxford, United Kingdom. Ibu bapa dan orang ramai dijemput hadir," katanya.
Persatuan Jagaan Kanak-Kanak Disleksia Seremban terletak di No. 993, Taman Marida, Senawang dan boleh menghubungi sekretariat di talian 06-6785160 untuk sebarang pertanyaan.
Sumber: UtusanOnLine 09/01/2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...