Assalamualaikum warahmatullah,
AMANAH berasal daripada perkataan Arab, 'amana' yang bermaksud tenteram, aman, selamat dan harmoni. Dalam konteks akhlak, amanah ialah menghargai kepercayaan orang lain terhadap diri seseorang atau badan yang diamanahkan dengan melaksanakan tuntutan yang ada dalam kepercayaan itu. Amanah dengan kata lain ialah tanggungjawab yang diterima oleh seseorang atau pihak yang dipercayai dapat melaksanakannya seperti dituntut tanpa mengabaikannya.
Apabila tanggungjawab itu ditunaikan dan amanahnya itu dihargai, maka orang yang menerima dan melaksanakannya mendapati dirinya atau badan yang diamanahkan itu berada dalam tenteram, aman, selamat dan harmoni serta diberkati atas Allah SWT dalam urusan yang bersahamkan agama.
Kepimpinan
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Ia (iaitu kepimpinan) adalah amanah dan di akhirat ia menjadi kehinaan dan penyesalan kecuali mereka yang mengambilnya dengan hak dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan di dalamnya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Huraian:
- Sekurang-kurangnya setiap manusia itu menjadi pemimpin kepada dirinya sendiri. Oleh itu ia bertanggungjawab menjaga dirinya dan orang yang diamanahkan kepadanya seperti anak, isteri, keluarga, para pekerja dan sebagainya agar hidup mereka berjalan dengan baik dan sempurna.
- Setiap amanah mestilah diterima secara hak dan penuh kefahaman tentang tugas-tugas dan kewajipan yang terkandung di dalamnya. Seterusnya dipikul dengan ikhlas dan jujur serta berusaha sedaya upaya agar tanggungjawab tersebut dapat dilaksanakan.
- Sebaliknya sesuatu amanah itu jika dijadikan batu loncatan untuk kepentingan diri, bermegah dan berseronok maka kepimpinan itulah yang bakal menjadi punca penyesalan dan kehinaan di akhirat. Bahkan ketika di dunia lagi ia akan merasai kehinaannya terutama apabila kepimpinannya itu terlucut daripadanya.
- Oleh itu bagi orang yang benar-benar menyedari tentang hakikat sesuatu tanggungjawab kepimpinan, tidak mungkin akan meminta atau terlalu ghairah merebut sesuatu jawatan kerana setiap amanah itu perlu dipikul dengan berhati-hati kerana setiap kepimpinan adalah amanah dan setiap amanah adalah tanggungjawab yang akan disoal di hari akhirat kelak.
Dari Abdur Rahman bin Samurah r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda kepadaku, “Hai Abdur Rahman! Janganlah engkau meminta-minta hendak jadi pembesar negara kerana jika engkau jadi pembesar kerana permintaan, tanggungjawabmu akan besar sekali. Dan jika engkau diangkat tanpa permintaan, engkau akan dibantu orang dalam tugasmu.” (Hadis Riwayat Muslim)
Tanggungjawab jika dilaksanakan secara kolektif dan penuh keikhlasan akan menerbitkan semangat untuk berkhidmat dengan lebih baik. Oleh itu tidak dinafikan bahawa tugas dan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin bukannya mudah. Akan ada kawan dan lawan. Sebagai rakyat pula, kita tentulah berharap agar setiap pemimpin itu akan sentiasa memberikan yang terbaik, bukan membelakangkan kepentingan rakyat. Demikian juga sebagai pemimpin, tidak sepatutnya mereka mementingkan populariti, menceburkan diri dalam arena politik semata-mata untuk menambah harta dan kekayaan peribadi, menggunakan wang dan menyalahgunakan kedudukan politik untuk menarik sokongan. Kuasa yang ada sebenarnya adalah amanah dan hendaklah digunakan untuk menjamin kesejahteraan rakyat.
Namun apa yang berlaku ialah tidak semua pemimpin mempunyai keikhlasan dalam memikul tanggungjawab mereka bahkan tidak menyedari tentang beratnya tanggungjawab dan amanah yang dipikul. Mereka menjadikan jawatan sebagai batu loncatan untuk menjadi jutawan. Oleh sebab itu janganlah kita merasa hairan apabila ramai yang berani menampilkan diri untuk menjadi pemimpin malah berlumba-lumba untuk menjadi pemimpin padahal dalam hati mereka sendiri tidak ada keikhlasan. Maka di sinilah pentingnya peranan rakyat dalam memilih bakal pemimpin mereka. Adakah dia benar-benar layak atau sebaliknya kerana jika kita tersilap dalam memilih, padahnya adalah kepada kita sendir sebagai rakyat dan negara juga akan ditimpa mudharat.
Amanah Kunci Keamanan
Dari Huzaifah, katanya: “Diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada kami dua buah hadis; salah satu dari padanya telah saya lihat kenyataannya; dan sekarang saya sedang menunggu kenyataan hadis yang kedua. Hadis yang pertama, bahawa amanah itu turun lalu masuk ke lubuk hati orang, Kemudian turun Al-Quran lalu menjadi pedomannya, demikian pula sunnah Rasulullah SAW. Hadis yang kedua, tentang pencabutan amanah. Kata Rasulullah SAW: “Seseorang tidur sekejap lalu dicabut amanah dari hatinya dan tinggallah bekasnya seperti titik yang kecil; kemudian ia tidur pula lalu dicabut lagi sisa amanah itu, dan hanya tinggal seperti bengkak kecil di telapak tangan yang timbul setelah mengerjakan sesuatu dengan memakai kapak atau sebagai bengkak di kaki kerana memijak bara, isinya hanya sedikit cairan. Pada masa itu kelak hampir saja tak ada lagi amanah dalam masyarakat sehingga dikatakan: “Oh, di sana ada orang yang amanah; kata orang kepadanya; alangkah sabarnya, alangkah baiknya, alangkah cerdiknya; tetapi sebenarnya batin orang itu kosong dari keimanan.” Kata Huzaifah: “Pada masa yang silam, zaman kejujuran itu telah ku alami, sehingga saya biasa berniaga dengan siapa pun; jika dengan orang Muslim ia jujur kerana agamanya, jika dengan orang Nasrani atau Yahudi maka kejujuran itu ada di tangan atasannya.” Adapun zaman sekarang, aku tidak mahu lagi berniaga kecuali dengan si Anu dan si Anu (kerana amanah).” (Hadis Riwayat Muslim)
Dunia hari ini sering digemparkan dengan berita-berita mengenai pecah amanah di sana sini. Bapa merogol anak, bayi baru lahir dibuang, warga tua diragut, kanak-kanak didera, dan berbagai-bagai lagi kejadian yang menyentuh hati dan membangkitkan kemarahan banyak pihak. Semuanya berpunca daripada hilangnya sifat amanah dari jiwa manusia.
Sesungguhnya di akhir zaman ini amat sukar untuk mencari orang yang benar-benar amanah sedangkan apa jua perkara dan tindakan yang diambil perlukan sifat amanah. Seorang bapa yang khianat tidak akan menjaga anak yang menjadi amanah Allah kepadanya bahkan diperkosa anaknya sendiri atau dia berzina dengan wanita lain. Begitu juga dengan kerajaan yang dipimpin oleh penguasa yang tidak amanah sudah pasti suatu hari nanti umat akan hancur. Fakir yang sombong juga tidak akan sudi menerima bantuan dan perhatian orang lain sedangkan ia sangat memerlukannya. Kesudahannya hidupnya tidak akan berubah sampai bila-bila hinggakan kefakiran tersebut membawanya kepada kekufuran.
Amanah hilang beransur-ansur
Dari Huzaifah r.a. katanya: “Kami menerima dua buah hadis dari Rasulullah SAW, yang satu telah kulihat kenyataannya, sedangkan yang satu lagi masih kutunggu-tunggu." Rasulullah SAW bersabda kepada kami: "Sesungguhnya amanah itu bertempat di hati sanubari seseorang. Kemudian Al Qur'an turun, lalu mereka belajar dari Al Qur'an dan Sunnah. Kemudian Rasulullah SAW bersabda pula tentang hilangnya amanah. Sabda baginda: "Seorang sedang tidur, lalu dicabut amanah dari hatinya, maka tinggallah bekasnya seperti noktah. Kemudian ia tidur lagi, lalu dicabut pula amanah dari hatinya maka kini tinggallah bekasnya seperti lepuh yang membengkak di tangan atau di kaki yang terkena bara panas, dan lepuh itu mengandung air sedikit. Ketika itu amanah hampir saja hilang sehingga orang mencarinya ke mana-mana. Ketika dikatakan orang: Disana ada amanah! Mereka sama berkata: Alangkah sabarnya dia; atau alangkah baiknya dia dan atau alangkah cerdiknya dia. Tetapi yang sebenarnya batin orang itu kosong dari iman." Kata Hudzaifah, "Dahulu, ketika amanah masih dipegang orang erat-erat, aku boleh berdagang dengan sesiapa pun. Jika dengan orang muslim, ia berlaku jujur kerana agamanya, dan jika dengan orang Nasrani atau dengan orang Yahudi, kejujuran itu pun terdapat pada majikannya. Tetapi sekarang, aku tak hendak berdagang lagi melainkan dengan orang-orang tertentu, seperti si Anu dan si Anu yang masih memegang amanah erat-erat.” (Sahih Muslim)
Serah amanah kepada yang berhak
Amanah merupakan suatu yang penting dalam kehidupan. Amanah yang dipertanggungjawabkan kepada seseorang itu, wajib dipelihara sebaiknya. Setiap orang mempunyai amanah yang perlu ditunaikan sama ada amanah kepada Tuhannya, dirinya, keluarganya, majikannya, masyarakatnya mahupun negaranya.
Mereka yang tidak menjaga amanah dianggap sebagai seorang yang khianat. Bukan semua orang layak menerima sesuatu amanah. Pemilihan mereka yang berhak menerimanya hendaklah dibuat berasaskan kelayakan dan kebolehan dengan memiliki ciri-ciri amanah, kepakaran dan ketakwaan.
Sekiranya sesuatu amanah diserahkan kepada mereka yang tidak layak dan tidak mampu menanggungnya, maka akan berlaku kucar kacir dalam masyarakat kerana khianat pula yang berleluasa di mana-mana.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila dipertanggungjawabkan sesuatu kepada yang bukan ahlinya, tunggu sajalah masa kehancurannya.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Pemimpin yang amanah pula akan bersikap adil terhadap hukuman yang dijatuhkan ke atas rakyatnya tanpa membezakan antara ahli keluarganya ataupun tidak. Dengan ini, masyarakat berasa puas hati hingga tidak timbul soal balas dendam dan persengketaan. Mereka dapat hidup dengan aman dan tenteram di bawah pimpinan pemimpin yang adil dan beramanah.
Kesimpulan
Bukan semua orang dapat memikul amanah dan kepercayaan yang diserah kepada mereka. Hanya mereka yang betul-betul layak sahaja berhak menerima amanah itu. Mereka adalah dari kalangan orang-orang yang berilmu dan tinggi ketaqwaannya kepada Allah SWT. Mereka takut mengkhianati amanah yang dipertanggungjawabkan kerana tahu balasan yang bakal mereka terima sekiranya mereka mengkhianati amanah itu.
Jika kita saling menjaga amanah, insya Allah, kita dapat menjauhkan diri daripada bersikap mementingkan diri sendiri dan mengekang nafsu daripada berbuat sesuatu yang boleh mengundang keburukan, kebinasaan, kehancuran dan bermacam-macam lagi. Hakikatnya janganlah kita mengkhianati amanah sedangkan kita mengetahuinya. Balasannya di hari akhirat kelak amat dahsyat menunggu kita.
Renung-renungkan!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...