ISTERI yang didera suami kerap mahu melindungi perkara itu daripada pengetahuan umum, lebih-lebih lagi ahli keluarganya. Mereka sanggup menghadapi segala penderitaan sama ada dengan alasan mahu mengekalkan rumah tangga atau takutkan suami. Inilah dilema yang kerap berlaku dalam masyarakat sekarang. Pada minggu ini dipaparkan kisah untuk renungan bersama mengenai wanita yang didera suami.
Zainon (bukan nama sebenar) mendakwa dia jatuh tangga dan kepalanya terhentak. Lebam pada lehernya tidak konsisten dengan cerita yang diberi. Lebam pada leher mempunyai kesan jari. Saya bertanya siapakah yang melakukan ini terhadapnya? Zainon menangis sambil berkata: "Doktor, sebenarnya suami yang mencekik saya semalam. Kini leher sakit, saya tidak dapat pergi kerja. Saya terpaksa minta rawatan dan surat cuti sakit."
Zainon bekerja sebagai kerani di sebuah bank. Suaminya graduan menganggur, tinggal di rumah sementara Zainon bekerja. Semua wang gajinya diserahkan kepada suaminya. Suaminya bersifat cemburu dan terlalu mengawal serta sering memukul dan menengking apabila berasa Zainon sengaja pulang lewat atau memberikan wang yang kurang. Zainon menguruskan semua urusan rumah tangga, memasak dan juga bekerja. Suaminya lebih suka termenung dan menonton televisyen. Dua anaknya dijaga ibu Zainon ketika beliau bekerja. Zainon akan menghantar dan mengambil mereka setiap hari. Ini kerana beliau kurang percaya suaminya berupaya menjaga anak mereka di rumah.
Dalam kes lain, Linda (bukan nama sebenar) baru lima bulan berkahwin. Linda berumur 17 tahun, belum bersedia mendirikan rumah tangga dengan jejaka yang menjadi temannya sehingga dia mengandung. Keluarga kedua-dua pihak bersetuju bahawa jalan keluar adalah menyuruh mereka berkahwin. Anak kecil berusia dua bulan didukung Linda dengan erat. "Suami saya marah apabila anak ini menangis kerana mengganggu tidurnya. Dia naik berang, hampir melemparkan anak ini," kata Linda dengan berlinangan air mata. "Saya tidak tahan doktor, suami saya garang dan baran. Saya tinggal di rumah mentua sebab suami saya tidak mampu menyewa berasingan. Saya lihat emak mentua pun sering kena pukul dengan bapa mentua. Saya tidak ada tempat hendak mengadu."
Begitulah secebis kisah dari fail klinik saya. Ramai wanita tidak mahu melaporkan perbuatan suami dan akan menyembunyikan peristiwa yang berlaku.
Ada juga yang memikirkan bahawa suami mereka berhak memukul mereka kerana ada ayat al-Quran yang membenarkan suami memukul isteri. Selain itu, ada pesakit wanita saya yang tidak tahan dengan penderaan berjumpa dengan pegawai di pejabat agama untuk membuat aduan. Mereka dinasihatkan supaya jangan lari dari rumah sebab perbuatan itu adalah nusyuz dan derhaka kepada suami.
Ayat 34 surah an-Nisa sering dijadikan hujah bagi mereka yang mempertahankan hak lelaki memukul isteri. Ayat ini diterjemahkan begini: "Lelaki adalah pelindung kepada wanita (qawwamuna) sebab Allah melebihkan sesetengah mereka daripada yang lain dan kerana mereka memberi belanja daripada hartanya. "Wanita yang baik (qanitat) menjaga dengan baik kehormatannya. Perempuan yang kamu khuatirkan nusyuz, maka nasihatkanlah mereka dan pisahkan daripada tempat tidur dan pukullah (daraba). Kemudian jika mereka mentaatimu, janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkan mereka."
Dari ayat ini ramai penafsir mempunyai dua fakta:
- Suami berhak memberi perintah kepada isteri dan menuntut isteri mengikut perintahnya.
- Jika isteri tidak patuh, suami berhak memaksanya patuh dengan memukulnya.
Ayat ini seterusnya membicarakan mengenai kehormatan wanita. Perkataan nusyuz bererti wanita yang tidak menjaga kehormatan atau maruah dirinya dan bukan wanita yang tidak dengar kata sebagaimana yang difahami umum.
Rajul adalah fungsi sosial seorang lelaki yang mencapai kelebihan dengan menunjukkan ciri tanggungjawab yang dikaitkan dengan istilah rajul. Ini bererti kanak-kanak lelaki tidak boleh digelar rajul. Begitu juga lelaki yang tidak mempunyai ciri rajul bukanlah rajul.
Perkataan daraba yang ditafsirkan sebagai pukul mempunyai lebih daripada satu erti antaranya mendidik, memelihara, mencangkul atau memberi contoh. Pemahaman ayat ini secara literal tanpa merujuk kepada amalan Rasulullah SAW dan juga tanpa meneliti ayat lain dalam al-Quran adalah tidak mengikut lunas penafsiran. Lebih banyak ayat al-Quran menyebutkan mengenai rahmat, kasih sayang, kesetaraan dan persefahaman antara pasangan suami isteri.
Riwayat hadis Baginda menunjukkan Rasulullah SAW tidak pernah memukul isteri-isterinya, malah ada sebuah hadis Rasulullah SAW yang berbunyi begini: "Aku tidak tahan melihat lelaki yang mudah memukul isterinya." Dan juga Rasulullah SAW bersabda: "Yang terbaik antara kalian adalah yang bersikap paling baik terhadap isterinya."
Ulama juga menegaskan pukul yang dimaksudkan tidak boleh menyakit atau mencederakan seperti yang sering berlaku apabila suami memukul isteri.
Mengapa berlaku penganiayaan ke atas isteri? Jawapannya ada dalam budaya kita yang mempunyai pelbagai anggapan dan pendirian, yang meletakkan kuasa mutlak suami ke atas isteri dengan tiada pertimbangan terhadap hak isteri ke atas suami. Masyarakat beranggapan penderaan dalam sebuah rumah tangga adalah hal suami isteri dan perlu diselesaikan antara suami isteri tanpa campur tangan orang lain. Ada juga sikap yang meminta wanita bersabar atas kerenah suami konon memelihara keutuhan rumah tangga. Masyarakat lebih cenderung melihat isteri yang didera mengekalkan kedudukannya sebagai isteri daripada menjadi janda disebabkan perceraian.
Isteri yang didera juga takut pada status janda yang mempunyai stigma tersendiri. Ramai wanita yang bergantung rezeki sepenuhnya kepada suami, tidak berupaya menyelamatkan dirinya daripada keadaan keganasan yang dialami. Kurang kesedaran terhadap tanggungjawab dan lebih penekanan terhadap kelebihan lelaki juga menghasilkan lelaki yang tidak berciri rajul seperti disebutkan sebelum ini.
Contohnya, anggota masyarakat dan umat Islam yang cintakan kedamaian dan kasih sayang, gejala penganiayaan dan keganasan rumah tangga yang berleluasa sekarang, hendaklah dibanteras.
Antara usaha yang boleh dilakukan ialah meningkatkan kesedaran terhadap hak suami dan isteri serta memupuk rasa tanggungjawab, kasih sayang dan saling hormat menghormati sesama pasangan. Paling diperlukan adalah didikan agama sempurna yang menghidupkan sifat penyayang, tanggungjawab dan adil dalam sanubari yang mana sifat ini terserlah dalam watak Rasulullah SAW.
Sumber: Dakwah.info
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...