Oleh Dr Juanda Jaya
Tanpa sentuhan hidayah jiwa sentiasa celaru, mudah diperhamba syaitan
KESEIMBANGAN memegang prinsip agama dan dunia adalah tuntutan keimanan. Tekanan orang yang mengejar dunia dan melupakan akhirat, akan tidak tidur lena kerana syaitan sentiasa mengganggunya dan menakutkan mengenai bahaya kemiskinan, muflis, kehilangan harta benda dan kejatuhan kuasa.
Syaitan meracuni hati manusia dengan penyakit dengki, takbur, ego, su’uzzhan, riak, putus asa ketika dihimpit musibah dan ghurur yang memadamkan cahaya iman. Syaitan menjadikan hawa nafsu sebagai gula-gula yang menyedapkan deria insan lemah. Akhirnya mereka berada dalam penjaranya, menjadi tawanan dan patuh setia terhadap arahannya.
Orang mukmin berjaya berlainan dengan orang yang tertawan dengan sifat ini. Orang mukmin setia memegang prinsip keseimbangan dalam mengharungi kehidupan dunia demi mendapatkan habuan akhirat yang menjadi cita-cita teragung dalam kehidupannya.
Al-Quran dan al-sunnah, sentiasa teguh bersama keduanya dalam menghadapi cabaran dunia. Orang mukmin yang berjaya tidak pernah dilalaikan kuasa dan perniagaan kerana mampu menakluk kedua-duanya dengan iman teguh.
Rasulullah SAW pernah rasai kerinduan sebegini, apabila wahyu tidak turun seketika sehingga orang kafir mengejek Baginda ditinggalkan Tuhannya. Rasulullah diuji dengan keadaan ini, menanti Jibril di atas bukit mengharap turunnya ayat menenteramkan jiwa dan menghapuskan kesedihan.
Hakikatnya, Rasulullah bukan takut dan sedih kerana gangguan orang kafir tetapi Baginda takut dan sedih jika hidayah itu tidak turun bagi menenteramkan jiwanya lagi. Sehingga surah al-Dhuha dianugerahkan untuk menghibur jiwa kekasih Allah yang rindukan ayat rahmat-Nya. Firman Allah yang bermaksud, “Demi waktu matahari sepenggalahan naik. Dan demi malam apabila sunyi (gelap). Tuhanmu tiada meninggalkan kamu dan tiada (pula) benci kepadamu. Dan sesungguhnya hari kemudian itu lebih baik bagimu daripada yang sekarang (permulaan). Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan kurnia-Nya kepadamu, lalu (hati) kamu menjadi puas. Bukankah dia mendapatimu sebagai seorang Yatim, lalu dia melindungimu? Dan dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung, lalu dia memberikan petunjuk. Dan dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu dia memberikan kecukupan.” (Surah Al-Dhuha ayat: 1-8)
Ingat kepada akhirat mampu melepaskan tekanan dihadapi seseorang. Bukankah tabiat jiwa diciptakan untuk sentiasa memerlukan hidayah Allah? Jika jiwa tidak mendapatkan sentuhan hidayah sudah tentu dia akan menjadi tidak tentu hala tuju, bercelaru dan mudah dipermainkan syaitan. Jadi, amat penting menjadi seorang perindu kepada hidayah Allah.
Hidayah bukanlah jaminan kemudahan untuk menghalalkan perbuatan buruk seseorang. Apabila berbuat jahat dan mengaku belum mendapat hidayah Allah. Padahal dia menutup mata dan hatinya ketika hidayah Allah itu datang.
Hidayah perlu dicari, dipelajari dan dibuktikan dengan amalan. Hidayah bukan sekadar ilmu tanpa direalisasikan, bukan angan-angan. Untuk itu orang beriman perlu menghadirkan hatinya sentiasa bersedia menerima hidayah Allah. Petunjuk Allah berada di mana-mana, pada ayat tergambar di dalam al-Quran, pada keadaan manusia beraneka sifat dan tabiat, pada gambaran kehidupan alam semesta yang memantulkan kebesaran Allah.
Hidayah itu berada dekat dengan diri manusia, amat dekat tetapi tidak diendahkan. Hidayah itu yang berbisik di hatinya, suara hati yang suci. Bukankah Allah sentiasa berada dekat dengan hamba-Nya.
Seseorang perlu mengamalkan beberapa langkah untuk mendapat hidayah Allah, iaitu:
Kedudukan ilmu bukan untuk menghantarkan seseorang pada satu gelaran alim, ustaz atau tok guru. Tetapi, matlamat menghidupkan ilmu dalam diri adalah untuk menghantarkan kita berada dekat dengan Allah.
Ilmu membolehkan seorang hamba memahami bentuk ketaatan dan kesetiaan kepada Allah, mempelajari dan menghindari jalan yang dimurka-Nya. Ilmu juga membuka mata hati insan untuk mengenali diri sendiri dengan lebih mendalam, di mana kekuatan dan kelemahan yang perlu diperbaiki. Ilmu diharapkan melahirkan Khalifatullah berpotensi memakmurkan bumi.
Beruntung sesiapa yang bersahabat dengan mereka disebabkan amal soleh dan teladan ikhlas mampu menggerak hati ke jalan Allah dengan memperingatkan hamba-Nya berwaspada memilih sahabat sehidup semati, dunia akhirat.
Fenomena mengada-adakan sesuatu urusan agama yang tidak pernah dilakukan baginda dan sahabatnya jika dibiarkan berlarutan boleh menimbulkan fahaman baru yang menyalahi sunnah Rasulullah. Rasulullah pernah menyentuh perkara ini kepada Huzaifah Ibn al-Yaman, kebaikan yang ada pada umat Islam menjadi pudar kerana timbulnya unsur dakhan di kalangan mereka.
Sumber: BHarian 2009/03/17
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...