PAGE

Selasa, Mac 31, 2009

Kenapa pukul? Kenapa aniaya?


Oleh Dr Suriya Osman di
Nursyifa

Isteri yang didera suami kerap mahu melindungi perkara itu daripada pengetahuan umum, lebih-lebih lagi ahli keluarganya. Mereka sanggup menghadapi segala penderitaan sama ada dengan alasan mahu mengekalkan rumah tangga atau takutkan suami. Inilah dilema yang kerap berlaku dalam masyarakat sekarang.

Senario 1

Zainon( Bukan nama sebenar) mengatakan dia jatuh tangga dan kepalanya terhentak. Lebam di lehernya tidak konsisten dengan riwayat yang diberi. Lebam di leher mempunyai kesan jari.
Saya bertanya , "Siapa yang mengkasari anda? Siapa melakukan ini pada anda?"

Zainon menangis, "Doktor, sebenarnya suami saya yang mencekik saya semalam. Kini leher saya sakit, saya tidak dapat pergi kerja, saya terpaksa minta rawatan dan surat cuti sakit."

Zainon kerani di sebuah bank. Suaminya graduan yang menganggur, tinggal di rumah sementara Zainon bekerja. Ke semua duit gajinya diserahkan kepada suaminya. Suaminya bersifat cemburu dan mengawal, sering memukul dan menengking apabila dia berasa bahawa Zainon sengaja balik lambat atau memberikan wang yang kurang. Zainon menguruskan rumah, sapu simpan, memasak dan juga bekerja. Suaminya lebih suka termenung dan menonton television.

Anak-anak Zainon yang berusia tiga tahun dan lima bulan dijaga oleh ibu Zainon semasa Zainon ke pejabat. Zainon akan menghantar dan mengambil mereka setiap hari. Zainon kurang kepercayaan bahawa suaminya berupaya menjaga anak-anak mereka di rumahnya sendiri.

Senario 2

Linda( bukan nama sebenar) pula baru kahwin lima bulan. Linda berumur 17 tahun, belum bersedia mendirikan rumah tangga dengan jejaka yang menjadi temannya sehingga dia mengandung. Keluarga kedua belah pihak bersetuju bahawa jalan keluar adalah menyuruh mereka berkahwin. Anak kecil berusia dua bulan didukung Linda dengan erat.

"Suami saya marah bila anak ini menangis menganggu tidurnya. Dia naik berang, hampir melemparkan anak ini," ujar Linda dengan berlinangan air mata.

"Saya tak tahan Doktor, suami saya garang dan baran. Saya tinggal di rumah mertua sebab suami saya tidak mampu menyewa berasingan. Saya lihat mak mertua saya pun sering kena pukul dengan Pak Mertua saya. Saya tidak ada tempat nak mengadu."

Semasa Linda didapati mengandung, saya telah syurkan jangan teruskan perkahwinan itu sebab saya takutkan perkara yang mungkin berlaku akibat kedua-duanya, Linda dan pasangannya belum bersedia untuk menjadi ibu/ayah serta suami/isteri.

Begitulah secebis kisah dari file klinik saya. Ramai dari wanita ini tidak mahu melapurkan perbuatan suami dan akan menyembunyikan kejadian-kejadiannya. Ada juga yang memikirkan bahawa suami mereka berhak memukul mereka sebab sering dengar suami atau ustaz mengatakan bahawa ada ayat Quran yang membenarkan suami memukul isteri. Selain dari ini, ada juga pesakit wanita saya yang telah tidak tahan dengan penderaan berjumpa dengan pegawai di pejabat ugama untuk membuat aduan dan mereka dinasihatkan untuk jangan lari dari rumah sebab perbuatan itu adalah nusyuz dan derhaka kepada suami.

Ayat 34 dari surah An Nisa sering dijadikan hujah bagi mereka yang mempertahankan hak lelaki Muslim memukul isteri. Ayat ini telah diterjemahkan begini, "Lelaki adalah pelindung kepada wanita (qawamuna sebab Allah melebihkan setengah mereka dari yang lain dan kerana mereka memberi belanja dari hartanya). Wanita yang baik (qanitat) menjaga dengan baik kehormatannya. Perempuan yang kamu khuatirkan nusyuz maka nasihatkanlah mereka dan pisahkan dari tempat tidur dan pukullah (daraba). Kemudan jika mereka mentaatimu, janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkan mereka."

Dari ayat ini ramai penafsir mempunyai dua fakta:

1. Suami berhak memberi perintah kepada isteri dan menuntut isteri mengikut perintahnya.
2. Jika isteri tidak patuh, maka suami berhak memaksanya patuh dengan memukulnya.

Jika dilihat pada seluruh ayat yang sebenarnya bermula dengan menyebutkan bahawa lelaki yang bergelar rajul adalah pelindung wanita disebabkan rajul mempunyai kelebihan di atas wanita disebabkan lelaki rajul membelanjakan dari pendapatannya untuk wanita. Ini bererti bukan sebarang lelaki yang mempunyai kelebihan
di atas wanita tetapi lelaki yang mempunyai sedikit kelebihan adalah lelaki yang memberi nafkah kepada wanita (isterinya). [NB : Suami yang culas berikan hak isteri maksudnya yang tidak bertanggungjawab dalam nafkah zahir dan batin, BUKAN seorang rajul.]

Ayat ini seterusnya membicarakan tentang kehormatan wanita dan kesimpulan perkataan nusyuz adalah bererti wanita yang tidak menjaga kehormatan dirinya dan bukan wanita yang tidak dengar kata sebagaimana difaham umum.

Mengikut Dr Nasaruddin Umar, istilah rajul tidak boleh disamakan dengan gender lelaki. Gender lelaki disebut zakar, sedangkan rajul adalah peranan sosial seorang lelaki yang telah mencapai kelebihan dengan menunjukkan ciri-ciri tanggung jawab yang dikaitkan dengan istilah rajul. Ini bererti kanak-kanak lelaki tidak boleh digelar rajul. Begitu juga lelaki yang tidak mempunyai ciri-ciri rajul bukanlah rajul.

Mengikut penafsir mutakkhir, di antaranya Dr Nasarudin Umar, perkataan daraba yang telah ditafsirkan sebagai pukul mempunyai lebih dari satu erti. Di antaranya mendidik, memelihara, mencangkul, memberi contoh dan lain-lain. Dr Nasarudin bertanya, mengapa pula harus perkataan ini ditafsirkan dengan memukul sedangkan pada lain tempat di dalam Al Quran ia membawa maksud memberi contoh?

Pemahaman ayat ini secara literal tanpa merujuk kepada amalan Rasulullah SAW dan juga tanpa mentelitikan ayat-ayat lain di dalam Al Quran adalah tidak mengikut lunas-lunas penafsiran. Lebih banyak ayat Quran menyebutkan tentang rahmat , kasih sayang, kesetaraan dan persefahaman di antara pasangan suami isteri.

Di dalam buku Purnama Madinah karya Ibn Saad, Bandung , Mizan1997, mukasurat 173, ada tercatat sebuah hadis yang berbunyi begini, "Umar pernah berkata, Ya Rasul mahukah engkau mendengar aku? Kami kaum Quraisy biasa menguasai isteri kami. Kemudian kami pindah ke sebuah masyarakat (Madinah) di mana laki-laki dikuasai isteri mereka. Kemudian kaum perempuan kami meniru perilaku perempuan Ansar ini. Suatu hari aku memarahi isteriku dan dia membalasnya. Aku tidak menyukai perilaku seperti itu. Dan dia berkata, “Apakah engkau tak menyukai aku menjawab? Demi Allah, para isteri Rasullullah membalas beliau. Sebahagian mereka mendiamkan beliau sepanjang hari sampai malam.” Umar lalu berkata, “Dia celaka dan merugikan. Apakah dia merasakan aman dari kemurkaan Allah kerana kemarahan Rasulnya sehingga dia mendapat hukuman?” Nabi tersenyum dan tidak menjawab aduan dari Sayidina Umar." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Demikian satu ciri khas Rasulullah SAW. Senyum, suatu senjata yang menimbulkan karisma yang begitu kuat. Bahkan ketika Umar mengutarakan ketakutan terhadap bahaya yang dihadapi kaum lelaki yang disebabkan oleh potensi pemberontakkan kaum wanita Rasulullah membalas dengan sebuah senyuman sahaja.

Perlu juga kita lihat pada contoh Rasulullah SAW. Kajian riwayat hadis menunjukkan Rasulullah SAW tidak pernah memukul isteri-isterinya malahan ada sebuah hadis Baginda Rasulullah SAW yang berbunyi begini,
“Aku tidak tahan melihat lelaki yang mudah memukul isterinya.” Tidakkah malu orang yang memukul isterinya seperti memukul budak, dipukul pada siang hari dan digaulinya pada malam hari?

Baginda Rasulullah SAW sangat marah tatkala melihat seorang suami memukul isterinya. Rasulullah menegur, "Mengapa engkau memukul isterimu?" Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, "Isteriku sangat keras kepala. Sudah diberi nasihat dia tetap degil, jadi aku pukul dia."
"Aku tidak bertanya alasanmu," sahut Rasulullah SAW. "Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?" Dan juga Rasulullah SAW bersabda, “Yang terbaik di antara kalian adalah yang bersikap paling baik terhadap isterinya.

Contoh Rasulullah SAW menidakkan tafsiran yang digunakan sebagai alasan untuk mengarah isteri mengikut kehendak suami dengan sewenang-wenangnya. Ia juga membuka ruang untuk memikirkan bahawa ada kemungkinan perkataan 'daraba' tidak bererti Islam membenarkan isteri dipukul. Bagi ulama tafsir yang menafsirkan perkataan daraba sebagai pukul, ramai yang menegaskan pukul yang dimaksudkan tidak boleh menyakitkan atau mencederakan seperti yang sering berlaku bila suami memukul isteri.

Mengapa berlakunya penganiayaan seperti saya riwayatkan dari kisah benar di klinik saya? Jawapannya ada di dalam budaya kita yang mempunyai berbagai tanggapan dan pendirian yang meletakkan kuasa mutlak suami terhadap isteri dengan tiada pertimbangan tentang hak-hak isteri terhadap suami.

Masyarakat bertanggapan penderaan di dalam sebuah rumah tangga adalah "hal suami isteri" atau "perkara dalam kelambu" dan perlu diselesaikan di antara suami isteri tanpa campur tangan orang lain.

Juga terdapat sikap yang meminta wanita bersabar atas kerenah suami demi untuk memelihara keutuhan rumah tangga kononnya. Masyarakat lebih suka melihat isteri yang didera mengekalkan kedudukannya sebagai isteri daripada menjadi janda disebabkan penceraian. Isteri yang didera juga takut pada status janda yang mempunyai stigma tersendiri. Ramai wanita yang bergantung rezeki sepenuhnya pada suami tidak berupaya menyelamatkan dirinya dari situasi keganasan yang dialami.

Kurang kesedaran tentang tanggung jawab dan lebih penekanan tentang kelebihan lelaki juga menghasilkan lelaki yang tidak berciri rajul seperti yang disebutkan sebelum ini. Kita sebagai anggota masyarakat dan umat Islam yang cintakan kedamaian dan bersifat kasih sayang sesuai dengan kalimah "bismillahirahmanirahim" perlu lakukan untuk membenteras gejala penganiayaan dan keganasan rumah tangga yang berleluasa masakini dengan meningkatkan kesedaran tentang hak suami dan isteri adalah antara langkah-langkah yang perlu.

Memupukkan rasa kasih sayang dan saling hormat menghormati juga adalah penting. Dan yang paling diperlukan adalah didikan ugama yang sempurna yang menghidupkan di dalam jiwa sanubari sifat penyayang, tanggung jawab dan adil yang mana sifat-sifat ini terserlah di dalam watak Rasulullah SAW contoh ikutan yang agung.

HENTIKAN KEGANASAN RUMAH TANGGA!!!

STOP DOMESTIC VIOLENCE AGAINST WOMEN!!!

17 ulasan:

  1. sof_sirihbesar@yahoo.com31 Mac 2009 pada 5:25 PTG

    STOP DOMECTIC VIOLENCE AGAINST WOMEN ! ! !

    Tahukah anda mengapa keganasan dalam rumah tangga harus dihentikan?

    Selain ianya bertentangan dengan Hak Asasi Manusia, yang paling mengerikan adalah akibat atau dampaknya bagi anak-anak yang dibesarkan dalam lingkungan rumah tangga yang penuh keganasan atau bagi generasi mendatang.

    Seorang anak perempuan yang dibesarkan dalam lingkup rumah tangga seperti itu atau ia sering melihat ibunya dianiaya atau dipukul, mempunyai potensi 3 kali lebih besar untuk menjadi korban keganasan rumah tangga pada masa dewasanya kelak di banding anak yang dibesarkan dalam lingkungan yang aman.

    Sedangkan anak lelaki yang dibesarkan dalam lingkup rumah tangga yang penuh dengan keganasan atau sering melihat ayahnya memukul atau menganiaya keluarganya, berpotensi 7 kali lebih besar untuk menjadi pelaku keganasan pada masa dewasanya kelak dibandingkan dengan anak-anak lain yang dibesarkan dalam keluarga yang aman.

    So... boleh dibayangkan, betapa mengerikan...

    BalasPadam
  2. mohd izzuddin (izzu_87@...)3 April 2009 pada 10:38 PG

    Salam, terima kasih kepada bawang goreng yang sentiasa menghiasi
    ruangan yahoo groups ini dengan artikel yang berbaur feminisme.
    Sudah2lah bawang goreng...senang2 hang tak payah kahwin la ek..

    BalasPadam
  3. Mohd Izzuddin,

    Saya amat bersimpati dengan saudara. Banyakkan istighfar, pada hemat saya, saudara ada penyakit hati yang agak KRONIK.

    Semoga saudara diberkati Allah SWT.

    BalasPadam
  4. rahamahraffar (rahamah@....)3 April 2009 pada 10:42 PG

    Salam

    Saya setuju benar dengan Bawangoreng. Rata-rata ayat quran ditafsirkan secara mudah/ikut selera/kepentingan.

    Orang-orang dipejabat agama yang biasanya menangani hal-hal ini juga
    mereka-mereka yang memberikan kursus kahwin perlu benar-benar bertauliah agar tidak ada pihak yang teraniya manakala kesedaran tentang hak perlu diberikan dengan terus-terusan kepada semua pihak sehingga semua faham dan bukan ikut-ikutan.

    Bagi kaum wanita yang tergolong dari wanita baik-baik, Allah menjadikan kita bukan untuk dibuli dan kepada kaum lelaki, Allah menjadikan kamu sebagai pelindung bukan pembuli.... Jika kamu tidak baik akhlaknya, bagaimana kamu harus mendapat isteri yang baik?

    BalasPadam
  5. anim salim (animsa...@yahoo.com)3 April 2009 pada 10:47 PG

    Salam....

    Cuma nak berkongsi pengalaman. Semasa saya hendak bernikah saya berjumpa dengan seorang sahabat saya yang juga seorang pegawai penerangan agama yang pernah diam serumah dengan saya semasa kami bujang dulu. Emak dah memberikan nasihat, saya cuma perlukan sedikit tambahan sahaja. Dia memberikan saya satu nasihat yang pada pandangan saya amat berkesan sekali. Suami saya setelah berkahwin baru saya sedar bahawa beliau adalah seorang yang pemarah dan panas baran.

    Balik semula kepada nasihat sahabat saya itu, beliau berkata pada malam pertama itu, sebelum 'bersama' buatlah perjanjian dengan
    suami... perjanjian lisan pun tak apa kerana apa yang penting ialah
    untuk memberitahu suami kita bahawa kita tahu hak kita. Katanya apa-apa sahaja yang kita hendak mestilah kita cakapkan dalam 'perjanjian' itu. So pada malam pertama itu banyak yang saya minta dari suami saya, antaranya ialah mohon kebenaran keluar bekerja, mohon kebenaran untuk ke rumah ibu pada bila-bila masa walau pun tak sempat memberitahunya dan yang penting sekali saya katakan pada suami saya, walaupun saya melakukan kesalahan (yang mana saya katakan padanya saya pasti tidak akan melakukan kesalahan/curang terhadapnya) apa yang perlu dilakukan ialah menegur saya dan saya juga katakan padanya saya tidak mahu dia memukul saya. Jika dia menampar saya sekalipun, saya katakan padanya saya akan pergi meninggalkan dia. Saya tidak
    mempunyai masalah kewangan dengan suami saya kerana beliau sejak dari
    saya berkawan lagi (selama tempoh 6 bulan) dia telah menyerahkan kada
    ATM gajinya pada saya untuk ditadbirkan hal ehwal kewangannya.

    Tapi Alhamdulillah, dengan perjanjian itu, walau pun suami saya yang bersikap panas baran itu, belum lagi pernah sekali pun mengangkat tangan pada saya, mungkin kerana dia faham tentang perjanjian itu. Kalau dia marah sekali pun maka dinding rumah/pintu rumah lah yang
    menjadi mangsanya.....

    bagi mengatasi sikan panas baran suami saya itu memakan masa bertahun-tahun lamanya... bila dia marah/mengamuk, saya biarkan sehingga dia betul-betul reda, dan kemudian saya akan nasihatkan dia perlahan-perlahan dan saya katakan pada dia apa faedah yang dia dapat bila dia marah/mengamuk? Saya katakan pada dia, kan lebih baik kalau kita berbincang? mmmm tu pun kena cakap perlahan-perlahan, supaya dia tak melenting semula.... memang kena berbanyak sabar... dan alhamdulillah kini tahap kemarahan/banas baran dia dapat dikawal.

    Wanita bukan hanya perlu tahu tentang hak-hak mereka tetapi
    menggunakan hak-hak mereka itu.

    ~ i treat my friends importantly ~

    BalasPadam
  6. Salam Anim,

    Syabas. Puan telah mengambil tindakan yang bijak.

    Semoga puan sekeluarga diberkati Allah SWT. Amiin.

    BalasPadam
  7. RizahMin [riha515@yahoo.com.my]6 November 2009 pada 12:30 PTG

    Maaf mencelah ...Entahlah.... mungkin tabiat kot....mungkin seronok kot tengok isteri lemah dan tak bermaya.. dan ego diri rasa hebat sebagai seorang suami...

    BalasPadam
  8. DaraPujaan [darapujaanhati@yahoo.com]6 November 2009 pada 12:32 PTG

    Sememangnya menakutkan....

    Kenapa ada lelaki yg sebegini ye??

    BalasPadam
  9. Nanie [izh_na@yahoo.com.my]6 November 2009 pada 12:32 PTG

    Alhamdulilah kakak saya akhirnya berjaya membebaskan diri daripada lelaki ganas..Tapi saya rasa dia perlukan bantuan untuk memulihkan dirinya..Dimana kakak saya boleh dapat bantuan kaunseling di perak??(Taiping ,Perak) sesiapa yang tahu sila berikan info...

    BalasPadam
  10. MarsitaMohd [marsita@ijn.com.my]6 November 2009 pada 12:33 PTG

    Mereka ni sebenarnya ‘sakit’.

    BalasPadam
  11. SitiNorashikinMohdYusoff [ekin_mir82@yahoo.com]6 November 2009 pada 12:34 PTG

    kalau aku, aku pukul dia balik.
    silap2 time tido aku tikam pastu aku cabut. hehe


    jahat ke x jahat aku?? lelaki zaman sekarang mmg melampau ar.
    ingat perempuan neh kuli batak ke apa ke? nak pukul2 aje.

    kita kawan-kawan,
    kita takmo lawan-lawan,
    biar perbezaan kita,
    merapatkan kita, bukan memisahkan kita,

    www.facebook.com/sitiselamanyaluvjunki.

    BalasPadam
  12. Brotherhood Islam [islam_brotherhood88@yahoo.com]6 November 2009 pada 12:35 PTG

    Biasanya orang tanya salah siapa bila jadi benda camni, tapi sebenarnya smua masalah ni bermula pada mula2 perkenalan lagi.Banyak pasangan yang nampak dan sedar , cuma diorg tutup sbelah mata pada naluri mereka, bila dah kahwin, mula la jadi bnda2 yang pelik.Kerana Saya tak pernah tengok lagi pasangan yang baik didikan agamanya/moralnya mengalami masalah sedemikian(domestic violence)

    BalasPadam
  13. RioHirowati [riorhs@yahoo.com]6 November 2009 pada 12:36 PTG

    Pada pengamatan saya, lelaki yang memukul isteri hanya mahu menyembunyi kelemahan diri nya. Kalau kita berani lawan kita tak akan di buli. Ambil ikhtibar dari keadaan buli, kalau kita lawan dan setanding dengan nya kita akan menjadi kawan. Lawan, biar putih tulang jangan putih mata.


    rhirowati - rhirowati

    BalasPadam
  14. Yullyati Ayusniza Abdul Rahman [ayusniza@willis.com.my]6 November 2009 pada 12:37 PTG

    kalo ade lelaki yang pernah pukul isteri (ade ke yang nak ngaku neh...???) anyway, sila nyatakan reason anda.... isteri tu jahat sampai tahap mane kah..sampai anda sanggup memukul???

    BalasPadam
  15. WidaRamli [charisma_4095@yahoo.com]10 November 2009 pada 1:16 PTG

    haa..lempang je balik..ingat kita ni pompuan senang2 jerk ke nak pukoi2...ee..geram woo dengan lelaki yg kaki pukoi ni...

    BalasPadam
  16. SalinaNan [nannsally@yahoo.com]10 November 2009 pada 1:17 PTG

    Salam.

    Dari pengamatan saya, pasangan yang resort pada physical abuse ni mempunyai masalah tidak keserasian dalam berkomunikasi. Kadang kadang kita cakap biasa je...tapi pada pasangan cara tu dia tak suka. Tapi pasangan tak faham dan terus melakukan kesilapan yang berulang kali. Kalau dah start memukul bermakna tak ada keserasian... Camne cinter setinggi gunung pun kalau kaki tangan naik memanjang sebab perkara remeh... maka anggaplah tiada keserasian dalam rumahtangga dan carilah jalan penyelesaian dalam masa terdekat. Lama lama sangat takut akan memudaratkan pasangan...

    wallahualam

    BalasPadam
  17. RoslanSalleh [roslan.salleh@yahoo.com.my]10 November 2009 pada 1:19 PTG

    Org pompuan pandailah tgk mood suami tu. Mood tak bagus biarkan, jgn byk pokpet. Mood dia baik, layan dia eluk2...tanyakan apa yg nak ditanya.

    Personallly sy sendiri tak pernaklah lempang atau terajang bini saya dah lebih 10thn kahwin. Ada sekali aje tolak dia......bila rasanye dia a bit too much dlm hubungan kekeluargaan. Kdg2 rasa menyesal.....tp fikir eluk2 bagus gak, jadi jgn melampaui sehingga tidak menghurmati suami atau keluarga.

    Cukup sekedarnya. Org lelaki kenalah pandai-pandai dlm menguruskan pompuan ni.......kalau biar terus bengkuk, kalau kuat sgt dia patah.

    Mga Allah mengampuni.

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...