PAGE

Jumaat, Mac 27, 2009

Liberalisme vs Islam dan hak wanita?


Assalamualaikum warahmatullah,


Alhamdulillah, hari ini ada feedback dari seorang peminat (saya kata peminat sebab beliau meluangkan masa membaca apa yang saya emailkan dan berusaha pula memberi komen tentang isu yang diutarakan - terima kasih ya!) katanya, "saya tertarik untuk memberi komen setelah melihat keradikalan BawangGoreng yang sentiasa bermain-main dengan isu samataraf gender yang jelas dibawa oleh puak liberalisme dan Sisters in Islam. Kebanyakan artikel yang dikeluarkan bertunjangkan idea feminisme yang benar2 terpesong dari landasan islam yang sebenar. Saya berharap agar BawangGoreng menilai kembali artikel yang disiarkan dengan fikrah islam yang benar2 melandasi syariah dan bukan pendapat peribadi yang berpaksikan nafsu."

Saya masih belajar mengawal emosi, jadi sudah tentulah bila mendapat feedback sebegini, saya rasa seolah-olah ditampar. Saya menulis berpaksikan nafsu? Astagfirullah hal adziiim..... Mengucap panjang dibuatnya... Alhamdulillah, dalam sekejap masa saya dapat menurunkan suhu dan bertenang... Dia marahkan artikel ustaz Ahmad Baei Jaafar [Poligami, suami atau isteri siapa dulu tempah ke neraka?], BUKAN saya! Huk... huk...

Sebelum tu, saya nak beritahu, saya tak berapa faham, apa itu liberalisme dan apakah perjuangan SIS. Ok, setelah bertanya kepada En Google, jawapannya saya rujuk di Gerakan liberalisasi dan doktrin-doktrin. Oooo... mereka memperjuangkan hak kesamarataan wanita dengan lelaki rupanya. Ada juga yang menolak hadis (GAH) dan lain-lain. Saya tidak berminat untuk memberi komen tentang gerakan atau perjuangan mereka ini.

Cuma saya sedikit terkilan, mengapa masih ada orang yang cepat sangat buruk sangka terhadap orang lain...? Hemmm...
Ingat, Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda: "Hindarilah prasangka, kerana prasangka itu berita yang paling bohong." (Sahih Muslim). Jangan cepat melatah atau buruk sangka, itu sikap yang tak bagus diamalkan!

Pertama, saya terangkan kepadanya, artikel yang dihantar bukanlah nukilan saya. Artikel [Poligami, suami atau isteri siapa dulu tempah ke neraka?] ditulis oleh USTAZ Ahmad Baei Jaafar [FiKRAH iSLAMiAH]. Tak perasan pula saya jika ustaz berfahaman liberalisme atau penyokong Sisters-In-Islam. Ustaz menulis BUKAN sebab nak tempelak orang lelaki (ustaz tu LELAKI, ya!) atau menangkan orang perempuan, TETAPI sengaja isu ini diketengahkan kerana terlalu banyak kepincangan rumahtangga disebabkan pengabaian hak oleh suami/isteri, tidak kira dalam monogami mahupun poligami. Saya lihat, isu ini tidak bias kepada lelaki mahupun perempuan.

Profile Ustaz
- Mendapat pendidikan agama di peringkat sekolah menengah di Pulau Pinang, Madrasah Faqiyatid Daemiah, Permantang Pauh dan Madrasah Islamiah Al-Mashoor Pulau Pinang. Beroleh Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-undang di Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan, Nilam Puri. Pernah menjawat jawatan Editor Majalah Dewan Agama dan Falsafah. Kini, sebagai Sub Editor Akhbar Sinar Harian. Pada masa yang sama turut ditugaskan sebagai Penolong Pendaftar Nikah bagi kariah Taman Putra Perdana, Puchong, Sepang.


Mungkin ramai yang tidak tahu atau tidak mahu ambil tahu, sebenarnya, Islam tidak pernah mengajar umatnya memandang rendah kepada kaum wanita. Perjuangan hak kesamarataan wanita juga telah lama diwujud, iaitu sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Jadi isu perjuangan hak kesamarataan wanita itu ideolologi Liberalisme adalah tidak benar sama sekali. Tak percaya? Luangkan masa anda baca artikel di bawah dan fikir-fikirkanlah sebelum anda mengkritik artikel-artikel yang ber'bau' feminisme!

Islam adalah satu-satunya agama yang bersikap tegas dalam membela nasib kaum wanita. Islam membawa pembaharuan dalam menilai, memandang dan mengakui taraf kedudukan wanita sehinggakan Saidina Umar bin Al-Khattab r.a. pernah mengeluh tentang keadaan wanita setelah 'dimerdekakan' oleh Islam. Beliau merasa takut jika angin pembaharuan yang, membela wanita Islam akan menjejaskan kekuasaan lelaki ke atas mereka.

Diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab r.a. berkata: Kami orang-orang Quraisy (di Makkah) pada mulanya mengalahkan kaum wanita. Namun ketika kami hijrah kepada orang Ansar (di Madinah), kami lihat mereka dikalahkan oleh isteri-isteri mereka.
Maka isteri-isteri kami mengikuti cara hidup isteri-isteri orang Ansar. Suatu hari aku mengherdik isteriku. Lalu dia mengingatkan aku. Ketika aku tidak menerima nasihatnya, dia berkata, “mengapa kamu tidak menerima peringatanku, padahal demi ALLAH, isteri Rasulullah SAW mengingati baginda, bahkan salah seorang dari mereka suatu hari mendiamkan baginda hingga ke malam hari.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata, hadis ini menunjukkan bahawa sikap terlalu menekan isteri adalah perbuatan tercela kerana Rasulullah SAW menggunakan cara hidup orang Ansar dalam menjalani kehidupan isteri-isteri Rasulullah dan Rasulullah SAW telah meninggalkan cara hidup adat kaum Quraisy. Akhirnya Rasulullah SAW betul-betul membebaskan wanita dari kezaliman kaumnya menuju cahaya Islam yang terang-benderang. Islam telah menberikan kaum wanita hak sebagai manusia yang merdeka. Manakala para lelaki pula dituntut untuk menggauli mereka dengan sebaik cara. Sesuai dengan sabda Baginda, “Orang mukmin yang lebih sempurna imannya adalah yang paling berakhlak dan paling lemah lembut kepada isterinya.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi dan al-Nasai)

Islam dan hak wanita [Nukilan Suzana Ghazali di BersamaSuzana]

SEBELUM kedatangan Islam, wujud satu zaman yang dinamakan zaman jahiliyah, zaman ketika segala kebodohan manusia terserlah, zaman tika kemaksiatan bermaharaja lela. Tika itu, wanita dipandang sebagai pemuas nafsu seks semata-mata. Malah wanita dianggap sial. Anak-anak perempuan yang lahir, ditanam hidup-hidup.

Islam datang mengubah segalanya. Kaum wanita diberikan pengiktirafan. Tika Islam mula mendapat tempat di hati manusia, ramai kaum muslimin berebut untuk beribadat. Dalam masa yang sama, kaum wanita juga mempunyai tekad dan azam yang sama tapi terhalang dek tanggungjawab rumahtangga. Tika inilah isu hak dan kesamarataan telah dibangkitkan.

Asma’ binti Yazid as-Sakan al-Anshariyah atau dikenali juga dengan nama Ummu Salamah al-Anshariyah merupakan individu yang berjuang menuntut kesaksamaan hak di kalangan kaum wanita. Puteri kepada bapa saudara Muaz bin Jabal ini terkenal sebagai wanita yang petah berpidato, teguh pegangan agama di samping boleh meriwayatkan hadis. Dia juga memainkan peranan penting untuk mewakili kaum wanita dalam isu-isu kewanitaan, sekali gus keistimewaan itu melayakkannya dianggap sebagai jurucakap kaum wanita.

Dalam satu peristiwa, Asma telah mengetuai kaum wanita membawa pengaduan kepada Rasulullah mengenai hak mereka. Dia membawa masalah yang dialami kebanyakan kaum wanita, menuntut Rasulullah memberikan hak yang jelas dan adil di sisi agama.

Katanya, “Saya dilantik sebagai jurucakap kaum wanita untuk bertemu tuan. Sesungguhnya Allah telah mengutus tuan kepada kaum lelaki dan wanita keseluruhannya. Kami mempercayai tuan dan tuhanmu juga. Kami kaum wanita, terbatas dalam gerak-geri. Kami sentiasa duduk di rumah untuk kamu (berkhidmat untuk lelaki) melepaskan syahwat kamu, dan mengandungkan anak-anak kamu. Sedangkan kamu lelaki, mempunyai banyak kelebihan berbanding kami. Kamu boleh melakukan solat Jumaat, solat jemaah, menziarahi orang sakit, menyaksikan jenazah dan mengerjakan haji berkali-kali. Yang utama, kamu boleh keluar berjihad ke jalan Allah. Apabila kamu keluar untuk menunaikan haji dan berjihad, kami yang akan menjaga harta benda kamu, menjahitkan pakaian kamu dan kami yang memelihara anak-anak kamu. Tidakkah dapat kami berkongsi pahala itu dengan kamu?”

Pengaduan ini mengandungi semacam satu tuntutan hak yang lebih saksama dan bertimbang rasa. Kata-kata Asma’ umumnya menggambarkan peranan wanita yang hanya terbatas dalam lingkungan kediaman mereka, yang selalu berkhidmat untuk suami dan menjaga anak. Ini berbeza dengan peranan yang dimainkan oleh kaum lelaki yang boleh keluar berjihad dan boleh menunaikan haji bila-bila masa sahaja tanpa terikat kepada sesiapa pun. Perbezaan peranan ini menjadikan kaum wanita berasa bahawa tugas mereka tidak penting dan menuntut kesaksamaan daripada Rasulullah.

Tanpa rasa gentar Asma’ membawa pengaduan itu menghadap Rasulullah. Hujahnya bernas dan logik dengan alasan yang munasabah sehingga sukar untuk dibangkang. Namun dalam kelantangan itu, wanita ini tidak melupakan tatasusila dengan mukadimahnya yang cukup tenang dan teratur iaitu, “Sesungguhnya Allah telah mengutus tuan kepada kaum lelaki dan wanita keseluruhannya.”

Hujah yang dibawa Asma’ menarik perhatian Rasulullah. Baginda tidak pernah mendengar seorang wanita yang begitu berani dan berterus-terang meluahkan masalah seperti itu. Malah baginda juga kagum kerana wanita itu begitu bijak melontarkan masalah dengan tenang dan hujah yang bernas.

Baginda lalu menoleh ke arah para sahabat yang lain lalu bertanya mereka, “Pernahkah kamu mendengar bicara seorang wanita yang lebih pandai membawakan masalah-masalah agama selain wanita ini?”Para sahabat membalas dengan rasa kagum, “Kami sama sekali tidak sangka ada seorang wanita yang dapat membawa masalah ini, Rasulullah.”

Rasulullah kemudian menoleh ke arah Asma’ semula dan berkata kepadanya, “Ketahuilah wahai wanita dan sampaikan juga kepada teman-teman wanitamu yang lain. Sesungguhnya seorang wanita yang menjaga suaminya, mencari keredaan suami dan melakukan segala yang disukai suami, adalah menyamai semua yang dilakukan suaminya.”

Jawapan Rasulullah adalah kegembiraan kepada kaum wanita sebenarnya. Jawapan itu juga adalah satu pengiktirafan kepada seluruh kaum wanita bahawa tugas mereka sebagai isteri dan ibu sama seperti jihad yang dilakukan para suami mereka di luar rumah. Justeru jawapan itu turut menjadi penawar dan merawat kekecewaan yang dirasakan oleh Asma’ dan rakan-rakan wanitanya yang lain.

Pengaduan Asma’ juga merupakan bukti bahawa Islam memberikan kebebasan penuh kepada wanita untuk meluahkan masalah dan kemusykilan mereka. Mereka boleh meluahkan apa-apa sahaja masalah sama ada yang berkaitan peribadi, cara hidup, kewajipan dan persekitaran. Justeru apabila Rasulullah memberikan respons kepada kemusykilan yang dibawa oleh kaum wanita, ia sekaligus menunjukkan bahawa baginda turut mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh seorang ketua wanita.

Apabila Rasulullah memberikan reaksi kepada permasalahan itu, secara tidak langsung ia menunjukkan baginda turut mengiktiraf gerakan kaum wanita. Antaranya kata-kata Rasulullah, “Ketahuilah kaum wanita dan sampaikan kepada teman-teman wanitamu yang lain...” menunjukkan bahawa baginda mengakui pengaduan itu bukan mewakili individu sebaliknya mewakili semua kaum wanita Islam ketika itu.

Inilah peranan yang dimainkan Asma’ yang dianggap antara pencetus gerakan kewanitaan. Wanita ini bukan sahaja dikagumi kerana keberaniannya meluahkan pendapat tetapi kerana kebijaksanaan mengatur bicara dengan penuh tertib dan hujah yang kukuh.

Jelas sekali, telah lama isu hak wanita ini diperjuangkan. Paling nyata, jika kaum wanita sendiri enggan berusaha untuk memperjuangkan dan mendapatkan hak yang sepatutnya dan sewajarnya menurut kehendak Islam, nak harapkan siapa lagi?

Jangan hanya pandai menuding jari. Jangan juga hanya menyalahkan orang sekeliling sebaliknya kita perlu sentiasa koreksi diri dan memperbaiki kelemahan agar kelebihan dan kekuatan yang ada di dalam diri mampu menjadikan diri kita lebih kental dan kebal, insyaAllah!!

Renung-renungkanlah.


1 ulasan:

  1. saya sokong perjuangan hak wanita, err..tapi yg patut dirisaukan ialah tafsiran atau definisi terhadap satu2 perkara. Silap tafsir bole jatuh akidah kot...huhuhuhu, pastu bole mempengaruhi orang lain. Sbb tu kalu Muslim murtad kena hukum bunuh. Bukan ape...takut merebak je mcm kanser.

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...