PAGE

Jumaat, Mac 13, 2009

Pengislaman Abu Darda'

"WAHAI orang-orang beriman, masuklah ke dalam agama Islam seluruhnya, dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata." (Surah al-Baqarah, ayat 208)

ABU Darda' merupakan seorang seorang lelaki yang kuat mengamalkan ajaran menyembah berhala. Beliau menyerahkan semua urusan di tangan berhalanya itu. Dia amat bergantung kepada berhala di rumahnya apabila ingin membuat keputusan. Kepala berhala akan dibungkuskan dengan secebis kain yang kemudiannya diletakkan di dalam sebuah bilik khas. Bilik itu dijadikan Abu Darda' sebagai bilik penyembahan.

Abdullah bin Rawahah merupakan sahabat baik Abu Darda'. Malah lelaki itu sudah dianggap saudaranya. Mereka saling mengenali ketika zaman jahiliah lagi. Abdullah terlebih dahulu memeluk agama Islam.

Oleh sebab itu, dia sering ke rumah Abu Darda dan mengajak sahabatnya itu memeluk agama Islam, namun Abu Darda' sering kali menolak. Dia memberi alasan bahawa dia belum bersedia lagi hendak meninggalkan agama nenek moyangnya itu.

Pada suatu hari, Abdullah pergi ke rumah Abu Darda'. Beliau tidak masuk ke dalam rumah dan menemui Abu Darda'. Sebaliknya beliau bersembunyi dan menunggu sehingga Abu Darda' keluar. Abdullah lalu masuk ke dalam rumah Abu Darda'. Dia merapati isteri Abu Darda; yang sedang menyikat rambut.

"Di mana Abu Darda?" Abdullah berpura-pura bertanya kepada wanita itu.

"Oh, dia baru saja keluar. Ada urusan," maklum isteri Abu Darda'.

Apabila isteri Abu Darda' tidak melihatnya, Abdullah bagaikan pencuri segera memasuki bilik penyembahan Abu Darda'. Abdullah mengambil kapak yang tersimpan di dalam bilik itu lalu menghampiri berhala milik Abu Darda' yang amat disayanginya itu. Kapak itu diangkat setinggi-tingginya lalu dengan deras Abdullah menghayun kapak itu ke arah berhala Abu Darda'.

"Ingatlah, segala apa yang disembah selain Allah adalah tidak benar. Bodoh!" kutuk Abdullah sambil terus memecahkan berhala itu. Berhala itu berkecai-kecai dalam masa yang singkat sahaja. Abdullah terus mengutuk berhala itu.

Isteri Abu Darda' yang sedang menyikat rambutnya terkejut. Dia mendengar bunyi bising dari dalam bilik berhala. Dia pun segera menuju ke bilik itu. Sebaik sahaja pintu itu terbuka, dia terkejut melihat berhala suaminya sudah hancur berkecai ke atas lantai. Abdullah kelihatan masih lagi menghayun kapaknya.

"Eh, Abdullah! Apa yang engkau lakukan ini?" tanya isteri Abu Darda'. "Matilah aku kalau Abu Darda' melihatnya nanti."

Abdullah tidak menjawab. Dia segera keluar dan melarikan diri dari rumah itu. Apabila Abu Darda' pulang ke rumah, dia terus menuju ke bilik berhalanya. Alangkah terkejutnya Abu Darda' apabila melihat berhala yang selalu disembahnya sudah hancur. Tidak ada apa-apa pun yang tertinggal.

"Siapa yang pecahkan berhalaku?" tanya Abu Darda' kepada isterinya. Dia menengking isterinya kerana menyangkakan wanita itu yang memecahkannya.

"Bukan saya yang pecahkan berhala itu," jawab isteri Abu Darda' sambil menangis teresak-esak. Dia sesal kerana Abdullah telah memecahkan tuhan mereka itu. Pasti tuhan mereka itu akan murka nanti.

"Kalau bukan kau yang pecahkan, siapa dia yang kurang ajar ini?" soal Abu Darda' lagi.

"Abdullah, saudara itu," jawab isterinya.

"Abdullah? Tapi kenapa?" soal Abu Darda' lagi.

"Saya tidak tahu. Saya pun tidak menyangka dia akan berbuat begitu. Dia datang bertanya sama ada kau ada atau tidak. Saya pun tidak perasan bila dia masuk ke dalam bilik penyembahan dan memecahkan tuhan kita itu," jawab isterinya lagi.

Abu Darda' berasa amat marah kepada Abdullah. Ini adalah perbuatan yang tidak dapat dimaafkan sama sekali. Namun, tiba-tiba Abu Darda' terdiam. Amarahnya perlahan-lahan menurun. Dia memandang berhalanya yang sudah berkecai itu.

"Kenapa tuhan ku ini mendiamkan diri saja bila Abdullah memusnahkannya? Kenapa dia tidak mempertahankan diri dan bertindak balas? Bagaimana dia mahu melindungi kami jika dirinya sendiri pun dia tidak mampu melindungi," fikir Abu Darda' di dalam hatinya.

Mulai hari itu, Abu Darda' selalu memikirkan persoalan itu. Akhirnya, Abu Darda' berjumpa Abdullah dan memberitahu keinginannya untuk memeluk agama Islam. Abdullah pun membawa sahabatnya itu berjumpa dengan Rasulullah. Di hadapan Rasulullah, Abu Darda' memeluk agama Islam dengan hati yang ikhlas.

- Petikan daripada buku Untaian 366 kisah daripada al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...