PAGE

Rabu, Mac 18, 2009

Zinirah diseksa tuannya

ZINIRAH adalah wanita Rom yang ditawan dan dibawa ke kota Mekah bagi dijual sebagai hamba. Ada beberapa wanita dan lelaki berdiri di samping Zinirah ketika dilelong kepada bangsawan Quraisy.

Mereka mengerumuni kawasan jualan hamba bagi mencari lelaki dan wanita yang terbaik bagi dijadikan hamba di rumah mereka.

"Wanita Rom ini kuat dan boleh melakukan apa sahaja pekerjaan di rumah tuan. Lihat badannya yang tegap dan tinggi," penjual hamba cuba memancing pembeli dengan kata-kata positif mengenai diri Zinirah.

"Jual dia kepada saya. Ini wangnya!" tiba-tiba Umar al-Khattab bersuara, lalu menyerahkan sejumlah wang kepada penjual hamba.

"Ikut saya!" perintah Umar al-Khattab kepada Zinirah yang sudah dibukakan ikatan tangan dan kakinya.

"Baik tuan," balas Zinirah lalu mengekori Umar al-Khattab balik ke rumahnya.

Setiap hari, Zinirah melakukan pekerjaan di rumah tuannya dengan tekun dan rajin. Oleh kerana ajaran agama Islam menyatakan semua manusia itu setaraf, beberapa orang hamba memeluk agama Islam.

Zinirah menerima ajaran Islam dengan sepenuh hati. Beliau melakukan kewajipan sebagai seorang Islam ketika Umar al-Khattab berada di luar rumah dan ketika tuannya tidur pada waktu malam.

Umar al-Khattab terkenal sebagai seorang yang benci kepada Islam sebelum dia memeluk agama Islam. Dia akan menghukum sesiapa sahaja yang memeluk Islam dengan harapan mereka meninggalkan agama Islam.

Zinirah tahu tuannya akan menghukumnya sekiranya rahsianya terbongkar. Walaupun Zinirah kelihatan lembut daripada segi penampilannya, tetapi jiwanya tabah. Beliau sanggup menghadapi apa sahaja hukuman yang diberikan oleh Umar al-Khattab sekiranya rahsianya terbongkar.

"Tahukah kamu bahawa Zinirah sudah memeluk Islam secara sembunyi?" kata salah seorang bangsawan Quraisy kepada Umar al-Khattab yang sedang berjalan pulang ke arah rumahnya.

"Apa?" Hamba saya sudah memeluk Islam? Saya akan pastikan dia mendapat hukuman yang setimpal sehingga dia kembali ke agama kita!" Umar al-Khattab marah mendengar kata-kata bangsawan Quraisy itu.

Umar al-Khattab berjalan pantas dengan hati yang marah. Dia menolak daun pintunya dengan kasar sehingga kedengaran bunyi kuat pintu itu apabila menghentam dinding rumahnya. Dia mencari Zinirah yang kelihatan sedang berdoa di dalam biliknya.

"Saya memang sudah syak kamu sudah memeluk Islam kerana ada perubahan dalam diri kamu sejak kebelakangan ini," Umar al-Khattab terus menengking Zinirah dengan suara yang kasar.

"Berani kamu memeluk agama Islam walaupun tahu hukuman berat menanti kamu!" Umar al-Khattab memukul badan Zinirah dengan dua belah tangannya sehingga Zinirah rebah menyembah tanah.

"Tinggalkan agama Islam jika kamu mahu hidup lagi!" Umar al-Khattab terus menyeksa Zinirah supaya meninggalkan agama Islam.

"Allah! Allah! Allah!" jawab Zinirah dalam kesakitan.

Api kemarahan Umar al-Khattab memuncak apabila mendengar jawapan Zinirah. Matanya merah. Dia mengambil tali cemeti dan meneruskan seksaan ke atas Zinirah.

Dia menyebat badan Zinirah berulang-kali tanpa perasaan belas kasihan sehingga pakaiannya dibasahi darah. Akhirnya, Umar al-Khattab menghentikan seksaannya apabila Zinirah jatuh pengsan.

Apabila Zinirah tersedar daripada pengsan, hukuman yang sama diulangi ke atasnya. Hati Umar al-Khattab tidak puasa selagi Zinirah tidak kembali ke agama nenek moyangnya. Walaupun pelbagai seksaan dikenakan ke atas Zinirah, hatinya semakin tabah menghadapinya kerana cintanya yang menalam pada agama Islam dan Allah.

"Ini sahaja cara bagi memaksa kamu meninggalkan agama Islam!" ugur Umar al-Khattab yang mula mengikat tangan Zinirah menariknya ke padang pasir pada suatu pagi.

"Kamu akan dijemur di sini sehingga kamu meninggalkan agama Islam!" sambung Umar al-Khattab yang mengikat badan Zinirah pada bongkah batu yang dibakar oleh panas matahari yang terik.

Keperitan dan bahang matahari yang membakar tubuh Zinirah tidak meruntuhkan imannya kepada Allah. Tubuhnya semakin lemah kerana menahan kesakitan tetapi hatinya masih yakin Allah sahaja yang dapat membantunya.

"Allah! Allah! Allah!" mulut Zinirah tidak berhenti-henti menyebut nama Allah sebagai penawar segala keperitan yang sedang dialaminya.

"Kamu masih mahu berpegang pada agama Islam?" tanya Umar al-Khattab yang memegang dua batang besi panas di hadapan muka Zinirah.

Mendengar jawapan Zinirah, Umar terus mencucuk mata Zinirah dengan besi panas. "Allah! Allah! Allah!" mulut Zinirah tidak menjawab soalan Umar al-Khattab.

Kini mata Zinirah sudah buta dan dunia sekitarnya menjadi gelap. Mulutnya masih kumat kamit mengungkap nama Allah walaupun kesakitan akibat cucukan besi panas itu masih terasa. Umar al-Khattab mengundang beberapa orang bangsawan Quraisy bagi melihat keadaan Zinirah yang masih mempertahankan agama Islam walaupun badanya sudah terkulai tidak bermaya dan buta matanya.

"Hanya Allah sahaja yang dapat membuat mata saya melihat kembali kerana Allah adalah pencipta semua makhluk." Zinirah cuba menyedarkan Umar al-Khattab dan bangsawan Quraisy tentang kuasa Allah.

Kata-kata Zinirah membuatkan api kemarahan Umar al-Khattab semakin meledak lalu disebat Zinirah bertubi-tubi. Berdesing bunyi cemeti memecah udara padang pasir. Mulut Zinirah hanya mengucapkan "Allah! Allah! Allah" tanpa henti menahan kesakitan akibat sebatan tali cemeti yang singgah ke atas badannya.

"Kamu akan hidup sengsara kerana tidak dapat melihat lagi. Puas hati aku sekarang," kata Umar al-Khattab. Dia mengajak bangsawan Quraisy meninggalkan Zinirah yang terbaring tidak bermaya dengan pakaiannya dibasahi darah.

Kisah seksaan Zinirah akhirnya sampai ke pengetahuan Abu Bakar as-Siddiq dan beliau bergegas ke tempat Zinirah diseksa untuk membelinya dari Umar al-Khattab.

Dia menyerahkan sejumlah wang bagi menebus dan menyelamatkan Zinirah daripada tangan Umar al-Khattab. Maka terlepaslah Zinirah daripada seksaan musuh Islam dan dia hidup gembira bersama tuan barunya yang beragama Islam. Zinirah yang teguh dan yakin dengan keimanan kepada Allah dapat melihat kembali dengan izin Allah tidak lama selepas kejadian itu.

Sumber : Utusan 18/03/2009

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...