Dunia Karthigeyan dan Nicholas mungkin tidak berwarna-warni seperti individu normal lain. Namun, Karthigeyan mengakui kekurangan dirinya itu meninggalkan 1,001 peristiwa lucu untuk dikenang.
"MAK, mak, ini warna apa?" tanya Jayden kepada ibunya. Sambil meletakkan semula pensel warna itu ke dalam kotak asalnya, sekali lagi Jayden bertanya: "Mak, ini warna apa ya?"
Sebenarnya, ini sudah entah ke berapa kali Jayden bertanyakan soalan serupa kepada ibunya.
Senario ini mungkin juga pernah berlaku kepada segelintir ibu bapa.
Ketidakmampuan mengenal warna biasanya sukar dikenal pasti, sehinggalah berlakunya sesuatu insiden. Sama ada oleh penderita itu sendiri atau mereka yang dekat dengannya.
Karthigeyan Shanmugam, 29, hanya menyedari dirinya gagal membezakan warna sekitar usia sepuluh tahun. Malah lebih memalukan, dia telah mewarnakan salah satu bahagian bendera Malaysia, Jalur Gemilang yang dilukisnya dengan warna ungu.
Baginya, istilah 'warna-warna pelangi' tidak pernah wujud. Apa yang ada cumalah warna-warna sama. Merah jambu dan putih kelihatan hampir serupa. Begitu juga dengan hitam dan warna-warna gelap yang lain.
"Saya juga sering keliru dengan kuning dan hijau muda. Kadangkala hijau tua dan perang. Hanya selepas membuat ujian Ishihara dalam subjek Alam dan Manusia sekitar darjah empat atau lima, barulah saya tahu saya rabun warna," katanya kepada Kosmo! dalam satu pertemuan di ibu negara baru-baru ini.
Membayangkan betapa baiknya jika diri sempurna, Karthigeyan mengakui adakalanya dia terpaksa berpura-pura mengenali warna bagi mengelakkan diri menjadi bahan ketawa kenalan rapat.
Lebih memilukan, 'kecacatannya' itu pada awalnya juga tidak difahami oleh bapanya, Shanmungam a/l Edemban yang merupakan seorang juruteknik. Seingat Karthigeyan, pengalaman membantu bapanya memperbetulkan wayar-wayar soket sering berakhir dengan kemarahan bapanya.
"Daripada tiga wayar berwarna putih, oren dan hijau, saya selalu terbalikkan wayar hijau dan oren pada kedudukan yang salah. Bapa ingat saya tidak kenal warna tapi dia tak tahu sebenarnya saya tidak dapat pastikan warna wayar-wayar itu," imbasnya sambil tertawa besar.
Risau dan sedih terbayangkan masa depan Karthigeyan, Shanmugam nekad mencari penawar untuk anaknya. Tanpa berlengah, bapa kepada tiga orang anak itu mendapatkan seberapa banyak nasihat daripada pakar tradisional dan moden.
"Sampaikan ke satu tahap, dengan doktor pun dia tanya, ada tak cermin mata khas untuk betulkan keadaan saya?" terangnya.
Masih segar dalam ingatan perunding khidmat pelanggan ini tentang riak kehampaan yang terpapar pada wajah bapanya setiap kali menerima jawapan berbunyi: "Maaf Encik Shanmugam. Masalah defek warna ini berlaku atas faktor genetik. Tiada apa yang boleh kami lakukan."
Cerita Karthigeyan lagi, 'kecacatan' itu mendedahkannya kepada pelbagai insiden lucu dalam hidup. Di dalam kelas mata pelajaran Kimia misalnya, dia memerlukan bantuan rakan untuk mengenal warna-warna bahan kimia setiap kali menjalankan latihan amali di makmal. Sebagai satu-satunya mangsa defek warna di dalam kelas, adakalanya dia malu dengan keadaan dirinya.
Pemilik ijazah sarjana muda dalam jurusan Applied Science dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang itu mendedahkan, dia juga tidak pasti sama ada mampu membezakan lebih daripada tujuh jenis warna.
Atas sebab itu, aktiviti berbelanja untuk pakaian bagi Karthigeyan lazimnya tidak lengkap tanpa ditemani seorang rakan. Hasilnya, dalam nada cukup gembira dia turut memberitahu Kosmo!, dia baru sahaja mendapatkan tiga helai seluar berlainan warna tidak lama dulu.
"Pernah sekali saya pergi mendapatkan khidmat seorang tukang jahit untuk menjahitkan sepasang seluar jean warna gelap. Dia pun tunjukkan satu material baru yang saya nampak seperti warna hitam.
"Selang seminggu dua kemudian, saya pun pergilah ambil jean itu dan mencubanya di rumah seorang kawan. Bayangkan betapa terkejutnya saya apabila mendapat tahu rupa-rupanya jean yang dipakai itu sebenarnya berwarna meron, bukannya hitam!" jelasnya tanpa menahan rasa lucu mengenangkan insiden tersebut.
Tambah Karthigeyan, jean itu hanya digunakan beberapa kali sebelum dia memutuskan untuk tidak memakainya lagi kerana merasakan ia adalah warna yang pelik bagi seorang lelaki.
Pemegang lesen kenderaan 'L' itu juga pernah berasa takut dan bimbang jika gagal ujian rabun warna yang menjadi salah satu perkara wajib pemeriksaan memandu. Namun, berpandukan pada kuasa memori, kedudukan warna-warna lampu isyarat berjaya dijawabnya dengan betul.
"Kini, saya tidak lagi banyak berfikir tentang kekurangan itu. Bagi saya, hidup perlu diteruskan sama ada anda rabun (warna) ataupun tidak biarpun warna memainkan peranan penting.
"Hakikatnya, kadang-kadang orang normal pun boleh jadi keliru dengan sesetengah jenis warna, apatah lagi orang seperti saya," katanya memohon pengertian.
Ibu mahu Nicholas berdikari
Seperti Karthigeyan, dunia Nicholas Lee Wei Han tidaklah berwarna-warni seperti kehidupan kebanyakan orang. Lelaki bercermin mata itu berkata, sewaktu kecil ketidakupayaannya mengenal perbezaan warna sering membuatkan bapanya berasa kecewa.
"Masa kecil, ahli keluarga dan saudara mara minta saya namakan warna-warna poster di depan mata. Malangnya, saya memang tak boleh," jelasnya kepada Kosmo! dalam satu pertemuan di Restoran A&W, KLCC baru-baru ini.
Mahu menguji keseriusan defek warna yang dialami Nicholas, penulis bertanya apa warna bekas hotdog A&W yang berwarna oren itu.
"Macam hijau," jawabnya tanpa ragu-ragu.
Petang itu, ibunya, Sabrina Choy, mengenakan blaus berwarna merah jambu. Nicholas dengan yakin memberitahu penulis blaus itu berwarna hijau muda.
Namun, dia tetap tahu daun berwarna hijau dan darah berwarna merah. Alasannya mudah, semua itu berdasarkan kepada logik.
Selain rabun warna, Nicholas turut didiagnosis dengan pelbagai masalah penglihatan lain seperti nistagmus kongenital, rabun dekat dan juling.
Jelas Sabrina, sewaktu bayi, anaknya itu sudah menunjukkan pelbagai petanda berbanding kanak-kanak lain.
"Belum pun usianya mencecah setahun, saya dapati kepala Nicholas sering bergerak-gerak. Matanya juga tidak henti berkelip-kelip. Waktu itu, manalah saya tahu istilah rabun atau defek warna" katanya mengenai penglihatan anaknya yang berusia 25 tahun itu.
Biarpun kegagalan mengenal warna disifatkannya sebagai satu kecacatan, sebagai ibu, Sabrina tahu anaknya itu perlu belajar berdikari.
Justeru, sejak menuntut di sekolah menengah, Nicholas diberi kebebasan memilih dan memadankan pakaiannya sendiri.
Tanpa rasa bimbang, anak bongsu Sabrina itu tahu selain warna, dia masih boleh bergantung kepada kepelbagaian rekaan untuk memadankan pakaiannya.
"Saya suka rekaan. Itulah yang saya titikberatkan bila saya membeli pakaian sendiri. Saya suka warna-warna lembut. Contohnya, pastel atau warna-warna tanah. Jadi, rekaan diutamakan dulu, kemudian baru warna,
"Lagipun, rabun warna bukannya buta," jelas Nicholas.
Menariknya, padanan warna pakaian Nicholas tidaklah pelik. Tiba-tiba, dia bersuara: "Coolnya kalau ada jean warna emas."
Kami yang kehairanan tertanya-tanya bagaimanakah warna emas pada pemahamannya. Lalu, dia menjawab: "Tu...tempat sembahyang di rumahkan warna emas?Sumber : Kosmo!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...