PAGE

Rabu, April 08, 2009

Harus poligami hanya kepada yang layak

Salam,

Hari ini saya berkunjung ke blog ustaz Ahmad Baei di FiKRAH iSLAMiAH. Di shoutbox beliau, ustaz titipkan, Ahmad Baei - Terima kasih kepada yang sudi membaca dan mahu ambil manfaatnya. Cuma saya bersimpati dengan Bawang Goreng kerana niat baik disalahertikan. ...

Rasanya ulasan ustaz ini ekoran perbincangan di Al-Falaah yang saya carbon copy kepada ustaz malalui PM. Saya luahkan perasaan kecewa kerana saya di'kecam' agak hebat kerana menghantar artikel yang dikatakan berat sebelah dan 'menang'kan kaum wanita, walhal artikel-artikel berkenaan AMAT neutral, jika dibaca dan dihayati dengan AKAL, bukan dengan EMOSI. Heh... heh... Siapa termakan cili, sila ambil iktibar, ek!

Ini sambungan artikel-artikel poligami yg saya kirimkan ke grup. Semoga yang marah-marah/was-was/tidak puas hati dan sewaktu dengannya pada saya mahupun Ustaz Ahmad Baei Jaafar, berLAPANG DADAlah membaca dan ambil manafaat secebis ilmu yang ada.


¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤

Penulis asal: USTAZ Ahmad Baei Jaafar.

Harus poligami hanya kepada yang layak

Saya tidak sangka artikel mengenai poligami mendapat sambutan ramai, ada yang bersetuju dan ada juga yang tidak bersetuju. Tetapi ramai yang memberi komen melalui al-faalah sungguh membanggakan. Ada yang boleh diterima akal namun semua pandangan yang menyatakan kurang bersetuju dengan artikel itu memberi satu mesej bahawa mereka berminat untuk mengkaji ilmu tersebut dengan lebih mendalam.

Bagi mereka yang berminat, saya mempersilakan untuk melawati blog saya dan membaca semua artikel yang sudah tersiar sejak awal tahun 2009. Mereka juga boleh terus menghubungi saya untuk memperoleh ilmu tersebut secara langsung sekali gus mengelak kekeliruan.

Perlu dijelaskan di sini, kalau sesuatu artikel itu dibaca secara sambil lewa, pasti keliru. Tetapi kalau dibaca dengan baik dan disusuli setiap tajuk yang berkaitan pasti akan bertemu jawapan yang pasti.

Saya tidak kisah jika ada pembaca meragui ilmu penulis atau meragui rujukan penulis dalam bab ini jika mereka boleh memahami Bahasa Arab, kerana mereka boleh merujuk perkara itu dalam kitab fiqah yang muktabar. Tajuk ini sudah lama ditulis oleh ulama terdahulu.

Tetapi apa yang saya hendak jelaskan di sini bahawa tulisan tentang poligami (tiga artikel terdahulu: Poligami boleh mengundang ke neraka?, Poligami, suami atau isteri siapa dulu tempah ke neraka? dan Giliran wajib adil, tidak pada hubungan seks) bukan bertujuan membela wanita dan bukan juga untuk menghalang lelaki berpoligami. Sebenarnya artikel ini adalah merujuk kepada amalan poligami yang dilakukan oleh orang kebanyakan pada hari ini yang boleh dikatakan semuanya berdosa baik suami mahupun isteri.

Hal ini terjadi kerana mereka yang terlibat tidak mengikut kehendak syariat. Hakikatnya mereka belum layak untuk berpoligami. Dahulu, poligami diamalkan oleh ulama, tok guru dan orang soleh, mereka tahu hukum poligami dan pastinya mereka tidak melakukan kesalahan tentangnya.

Jadi, artikel ini adalah satu panduan kepada mereka yang baru bercita-cita hendak berpoligami atau yang telah berpoligami agar tidak terus melakukan dosa. Kalau mereka telah terlanjur, masih ada masa untuk bertaubat kerana Allah maha pengampun lagi maha penyayang.

Antara kelasahan yang lazim dilakukan oleh suami yang berpoligami ialah berbohong. Sewaktu hendak kahwin, dia tipu isteri; apabila sudah berkahwin, sewaktu hendak pergi rumah yang satu lagi, dia bohong lagi. Bukan hari pertama sahaja, malah berhari-hari sehinggalah mereka menemui ajal. Mengapa berbohong kalau mereka tahu itu satu dosa?

Orang yang berbohong adalah salah satu sifat munafik, tidak kira sama ada dia berpoligami atau tidak. Bagi yang tidak poligami, kalau suami berbohong akan isterinya yang satu sudah dikira berdosa apatah lagi kalau yang berpoligami, bertambahlah dosanya kerana dia lebih kerap berbohong kepada isteri-isterinya.

Kesalahan lain yang jarang dibahaskan pada khalayak umum ialah bersetubuh akan isteri pada hari yang bukan gilirannya. Walaupun sebelum ini saya telah nyatakan teks rujukan, tetapi masih ada yang tidak yakin. Mereka masih mahu saya datang hadis sahih. Saya tidak pasti adakah yang mempersoalkan perkara ini ialah orang yang terlibat dengan poligami atau sekadar hendakkan kepastian hukum itu.

Pada awalnya saya malas hendak berhujjah balas, tetapi kebetulan saya terjumpa dalil tersebut, maka wajarlah saya memanjangkan sedikit perkara tersebut, semoga selepas itu semua pihak boleh faham. Hadis ini sekali gus menjawab pertanyaan puan Latifah sebelum ini.

Hadis tersebut tedapat dalam bab membelai isteri iaitu ada salah seorang isteri baginda menceritakan: "Adalah Rasulullah s.a.w. tidaklah berlalu setiap hari melainkan beliau mesti mengelilingi kami semua (isterinya) seorang demi seorang. Baginda menghampiri dan membelai kami tetapi tidak bersama (bersetubuh) sehingga baginda singgah ke tempat isteri yang menjadi giliran baginda, lalu baginda bermalam di tempatnya." (Hadis Riwayat Ahmad)

Dalam hadis ini, jelas Rasulullah hanya sekadar ziarah semua isterinya setiap hari. Baginda tidak tidur dan baring dengan isterinya kecuali pada rumah isteri yang menjadi gilirannya. Jika sekiranya bersetubuh dibenarkan sudah pasti baginda akan lakukannya supaya ia menjadi ikutan umatnya terutama umat akhir zaman.

Berdasarkan itu, wahai kaum lelaki yang sudah ada dua, tiga atau empat isteri jangan ulangi larangan ini. Dan wahai kaum wanita yang bergelar madu, halanglah suami anda daripada terus melakukan dosa. Apa guna berpoligami kerana nak ikut sunnah tetapi penuh dengan dosa.

Kesalahan lain yang turut diabaikan oleh suami ialah, giliran yang tidak sama, lima : dua, empat : tiga. Giliran yang lebih dari tiga hari adalah haram kecuali dengan reda isteri berkenaan. Saya memang bersimpati dengan isteri yang diabaikan suami tentang giliran ini. Semoga suami anda insaf akan kesalahannya.

Dicatat oleh Ahmad Baei Jaafar di FiKRAH iSLAMiAH

4 ulasan:

  1. Salam dan tumpang lalu,

    Saya hanya ada sorang isteri, empat anak dan amat bahagia. Walaupun diberi peluang belum terlintas untuk tambah cawangan kerana saya ni selfish, nak tengok rumah bersih, nak semua anak2 sentiasa di depan mata.

    2. Saya ada kenalan yang beristeri dua, anak 15 orang hidup bahagia. Anak2 pulak hebat2 belaka. 11A1, 9A1 dsb. Saya salute depa ni. Suami pulak boleh kata alim lah.

    3. Tuan2 Puan2. Perasan tak hanya Islam saja agama di dunia ini yang secara formalnya membenarkan poligami. Perasan tak bahawa di
    kalangan umat Islam sahaja institusi perkahwinan kekal utuh hingga saat ini. Saya banyak kenalana dari kalangan bangsa asing. Bagi mereka, zina adalah sesuatu yang amat biasa. Kalau ada kalangan umat Islam berzina, sekurang2nya mereka masih ada rasa malu dan aib. Kenapa?

    4. Perasan tak bahawa kebanyakan yang berpoligami adalah dari
    kalangan yang agak tinggi didikan agamanya. Kebanyakan mereka
    membentuk keluarga yang taat pada agama islam. Terbalik pula di
    kalangan penganut agama lain seperti Buddha, Kristian dsb. Yang alim tak kawin dan zuriatnya terputus. Selepas 2,009 tahun apa hasilnya? Nak cari padri yang bukan gay pun susah. Umat islam pula? sekarang dianggarkan ada 9 juta hafiz? Umat Islam makin kental keyakinannya, yang lain makin longgar. Kenapa?

    5. Ya, memang ada yang bahagian kawin ikut nabi tapi yang lain2
    tak ikut babi.

    6. Pada yang marah sangat.... saya nak tanya sikit jer. Where your centre is? yourself? your family? your religion? ... tak payah jawab kuat-kuat. Jawab dalam hati jer.

    7. Ringkas cerita, hukum Allah jangan soal. Dia lebih mengetahui. Kita ni lembab, setengah ayat quran sampai seribu tahun lebih baru kita faham. Tu pun ada banyak lagi yang belum faham, mungkin 3 ribu tahun lagi kot. Yang kita belum paham, bila Allah kata boleh = boleh, tak boleh = tak boleh, tak payah soal .... sebab kita ni
    lembab.

    my two cent....

    SALIM

    BalasPadam
  2. Salam,

    Saya bukan seorang yang berpoligami, tapi terjumpa hadis di bawah mengenai hak giliran.

    Hadis riwayat Aisyah ra., ia berkata: Rasulullah saw meminta izin kepada kami pada giliran hari isteri beliau yang lain setelah turun ayat: Kamu boleh menangguhkan menggauli siapa yang kamu kehendaki di antara mereka (isteri-isterimu) dan (boleh pula) menggauli siapa yang kamu kehendaki. Mu`adzah bertanya kpd Aisyah: Lalu apa yang kamu katakan jika Rasulullah saw. meminta izinmu? Aisyah berkata: Aku jawab: Kalau itu giliranku, maka aku tidak
    akan mengutamakan orang lain atas diriku. (Shahih Muslim No.2697)

    BalasPadam
  3. Ermm..macam mana pulak kalau isteri pertama tu dah memang taknak digauli..?

    2. Macam mana pulak kalau isteri pertama nak duit je yang soal nafkah lain dia tak kisah pun..?

    3. Macam mana kalau isteri pertama tidak taat dan tidak hormat suami..? Wajar tak suami hanya balik sekali sekala hanya untuk tengok keadaan anak-anak dan keperluan rumah saja..?

    Saya perlukan jawapan yang membina bukan kritikan. TERIMA KASIH

    BalasPadam
  4. @Tanpa Nama

    Ketiga-tida persoalan berkait rapat dengan niat dan matlamat perkahwinan. Jika matlamat perkahwinan untuk mendapatkan redha Allah, maka tidak wajar berbuat sesuatu yang menyalahi syarak.

    Ermm..macam mana pulak kalau isteri pertama tu dah memang taknak digauli..?

    al-jawab : Telah ada isteri nabi (Saudah r.a.) yang menyerahkan gilirannya kepada Aisyah r.a. kerana dia telah tua dan giliran bergaul bukan keutamaannya.

    Jika saja-saja tidak mahu digauli, atas alasan geli atau jijik, mintalah redha suami. Jika suami tidak redha, maka jatuh status nusyuz.

    2. Macam mana pulak kalau isteri pertama nak duit je yang soal nafkah lain dia tak kisah pun..?

    al-jawab : Suaminya kisah atau tidak? Jika tidak kisah, dua-dua tidak jadi masalah. But again, apa matlamat perkahwinan begini?

    3. Macam mana kalau isteri pertama tidak taat dan tidak hormat suami..? Wajar tak suami hanya balik sekali sekala hanya untuk tengok keadaan anak-anak dan keperluan rumah saja..?

    al-jawab : Jika isteri tidak taat dan tidak hormat, maka jadilah isteri itu isteri yang nusyuz atau derhaka. Perlu dijelaskan, taat kepada suami bukan mutlak tanpa kompromi. Ramai orang silap konsep ketaatan kepada suami. Jika suami nusyuz terhadap isteri, maka gugur hak taat (isteri tidak berdosa). Penyelesaian suami nusyuz boleh rujuk kepada entry suami derhaka di Nusyuz suami dan Suami nusyuz a.k.a. suami derhaka.

    Adakah sekali sekala yang dimaksudkan itu mengikut giliran? Jika tidak, maka suami telah melakukan kezaliman yang nyata kerana tidak berlaku adil.

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...