PAGE

Ahad, April 26, 2009

ISU : Jodoh singkat

Oleh Siti Nur Almizan Aripin dan Bennie Zie Fauzi
bminggu@bharian.com.my

Pasangan berumur 31 hingga 35 tahun catat kes cerai tertinggi: Perceraian pasangan muda banyak berlaku di Lembah Klang disebabkan kos sara hidup yang tinggi

ISTILAH janda atau duda muda, ibu tunggal atau bapa tunggal tidak lagi membawa konotasi menjelikkan dewasa ini berbanding pada era 60an dan 70an kerana pada zaman itu perceraian 'hidup' ibarat membawa musibah dan menconteng arang ke muka ibu bapa. Peredaran zaman seiring dengan ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menjadikan istilah berkenaan hilang 'bisanya', sekali gus ia menjadi norma biasa, apatah lagi saban hari kita disajikan dengan berita perceraian selebriti, termasuk artis dan penyanyi yang diidolakan golongan muda.

Trend baru ini seolah-olah menjadikan perkahwinan itu sebagai ujian untuk meneruskan kelangsungan hidup (survival) dan bukan lagi memenuhi tuntutan agama yang mahu memperbanyakkan umat Nabi Muhammad SAW, menjauhi dosa dan mencari pahala serta mencari keredaan-Nya. Kini, tidak sukar untuk menemui wanita bergelar janda pada usia 20an, begitu juga duda muda kerana pada umur demikian selayaknya mereka mengisi kemanisan hidup bahagia bersama pasangan masing-masing.

Lebih memburukkan keadaan, kisah perceraian banyak membabitkan pasangan yang sedang mengecapi kemanisan hidup berumah tangga iaitu ketika usia perkahwinan belum memasuki tempoh matang.



Rentetan daripada itu, ada pihak tampil menuding jari menyalahkan orang lain, pihak mendakwa modul praperkahwinan yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak membawa faedah kepada bakal pengantin, manakala ada yang memberi alasan perkahwinan pada usia muda menyebabkan pasangan tidak matang dalam melayari bahtera perkahwinan.

Bagi mengetahui puncanya, Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Pengurusan Masjid (Kesuma), Jakim sudah membuat kajian mengenainya yang memfokuskan kepada pasangan yang berkahwin dan bercerai pada tahun sama.

Kajian itu dibuat untuk mencari asas kewajaran perceraian masyarakat Islam di negara ini dengan menjadikan 10% daripada 2,382 kes sejak 2005 hingga 2007 sebagai rujukan.

Keputusan kajian mendapati 33.5% pasangan hanya mampu mempertahankan perkahwinan di antara tempoh satu hingga lima tahun, manakala pasangan yang berkahwin dan bercerai pada tahun sama kurang daripada satu tahun atau 2.6%. Tempoh perkahwinan dari enam hingga 10 tahun mencatatkan kumpulan perceraian kedua tertinggi iaitu 26.9%.

Tahap umur pasangan wanita paling ramai bercerai ialah pada usia 31 hingga 35 tahun iaitu membabitkan 588 kes, diikuti usia 26 hingga 30 tahun sebanyak 511 kes. Bagi lelaki, tahap umur paling ramai bercerai ialah pada usia 31 hingga 35 tahun iaitu sebanyak 550 kes, diikuti tahap umur 36 hingga 40 tahun sebanyak 473 kes.

Mengulas mengenai statistik berkenaan, Pengarah Kesuma, Ghafani Awang Theh, berkata, daripada pengamatan jabatan itu berdasarkan kes yang dirujuk pegawai runding cara di Jabatan Agama Islam, pasangan baru berkahwin mempunyai masalah untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai suami isteri.

"Mungkin disebabkan usia belum matang menyebabkan mereka gagal memenuhi kehendak pasangan sehinggakan perkahwinan yang diinginkan penuh keindahan, sebaliknya menjadi kejutan tidak dijangka berpunca daripada sikap belum bersedia mereka melayari alam rumah tangga," katanya. Beliau mengakui trend perkahwinan singkat di antara pasangan muda berpunca daripada masalah komunikasi, selain hidup berkeluarga jauh daripada pemantauan ibu bapa dan keluarga menyumbang kepada keruntuhan ikatan rumah tangga.

"Sekarang ini ramai pasangan muda yang berkahwin tidak mendapat perhatian daripada orang tua masing-masing sehingga menyebabkan pasangan gagal mematuhi rukun hidup berumah tangga, misalnya mengeluarkan bahasa kasar apabila berbual bersama pasangan. Jika dulu, hubungan kekeluargaan dan jiran tetangga sentiasa terjalin erat menyebabkan mereka saling tegur menegur jika ada sesuatu yang kurang disenangi berlaku di sekeliling mereka, kini, sikap itu semakin terhakis," katanya.

Dalam kemelut ekonomi yang semakin meruncing, Ghafani mengakui jumlah perceraian pasangan muda banyak berlaku di Lembah Klang berpunca daripada kos sara hidup yang tinggi. Tekanan dihadapi berpunca daripada masalah kewangan menjadi penyebab utama perceraian. Justeru selepas menilai hasil kajian, modul praperkahwinan sudah diubah semula pada 2007 dengan memasukkan dua subjek penting iaitu pengurusan kewangan dan pengurusan stres. Tidak kurang penting, ketiadaan ilmu dan pendedahan terhadap hubungan kelamin turut menjadi antara penyumbang kepada keruntuhan rumah tangga.

Pengaruh budaya kuning yang didedahkan menerusi internet dan video lucah memberi kesan sampingan terhadap hubungan suami isteri. Tindakan meniru adegan yang ditonton menyebabkan ketagihan dan tidak sesuai diamalkan kerana sebahagiannya bertentangan dengan ajaran Islam. Kadangkala, ia menyebabkan pertelingkahan apabila permintaan pasangan gagal dipenuhi.

Sumber : BHarian 2009/04/26


Kahwin kerana nafsu, jahil ilmu rumah tangga punca retak


PERKAHWINAN hanya untuk melepaskan nafsu dan perkataan cerai dijadikan mainan dikenal pasti menjadi antara punca peningkatan perceraian di kalangan suami isteri berusia muda.

“Mereka sebenarnya tidak memahami tujuan perkahwinan,” kata perunding motivasi, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad.

Katanya, ramai remaja dan pasangan muda mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga dengan alasan tidak mahu bergelumang dosa, sedangkan ketika itu mereka tidak mempunyai ilmu perkahwinan.

“Jahil terhadap ilmu berumahtangga itulah yang menjadi punca utama kepada perceraian di kalangan pasangan muda yang baru mendirikan rumah tangga,” kata beliau yang juga Presiden Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (Tamrin).

Malah, katanya, tempoh percintaan yang lama bukan penentu perkahwinan yang dibina kekal hingga ke hujung nyawa.

Tengku Asmadi berkata, sikap berterus terang, termasuk menjelaskan sejarah cinta lama masing-masing sebelum bersatu dengan pasangan yang dinikahi menjadi faktor penting dalam mengukuhkan hubungan suami isteri.

BawangGoreng komen : Jangan buka aib orang dan jangan dedah aib sendiri

Jauhilah perkara-perkara keji yang telah dilarang oleh Allah, sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menutupinya dengan tutupan Allah dan bertaubat kepada Allah. Ini kerana jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah Azza wa Jalla. (Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis no: 7615 dan beliau berkata: Hadis ini sahih atas syarat kedua-dua syaikh (al-Bukhari dan Muslim) dan mereka tidak mengeluarkannya. Ini dipersetujui oleh al-Zahabi.)

Dari Ibnu Umar radhiallahuanhu berkata, Rasulullah SAW menaiki mimbar lalu berkata dengan nada suara yang tinggi, lalu bersabda, Wahai manusia yang masuk Islam dengan lisannya, dan tidak memasukkan iman (sepenuhnya) dalam hatinya, janganlah mencerca muslim lain, jangan memalukan mereka, jangan mencari keaiban mereka, kerana sesungguhnya barangsiapa yang mencari keaiban saudara seislamnya, maka Allah akan turut menuruti keaibannya, dan siapa yang Allah turuti keaibannya, akan dibukakan walaupun dalam tempat persembunyiannya.. (Sahih Sunan Tirmizi, no hadis: 165)

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. (Surah Al-Hujurat, ayat 11)

“Dalam kehidupan sekarang, kita tidak nafikan sebelum berkahwin masing-masing bercinta dengan orang lain. Ada kes, ketika bersatu sebagai suami isteri barulah rahsia sebelum ini terbuka. Ada suami berasa tertipu apabila mendapati isteri yang disangka suci sudah tiada dara lagi pada malam pertama dan apabila suami tidak boleh menerima kenyataan, tercetuslah pergaduhan sehingga membawa kepada perceraian,” katanya.

Berselindung di sebalik perbuatan baik ketika di alam percintaan juga boleh menjadi punca perceraian di kalangan pasangan baru berkahwin.

“Ramai pasangan bercinta berlagak baik demi menarik perhatian si kekasih. Apabila berkahwin dan duduk serumah, perkara negatif yang sebelum ini tidak pernah ditunjukkan tiba-tiba kelihatan, menyebabkan timbul rasa jelik atau benci. Ketika ini perlu ada kesediaan menerima pasangan seadanya kerana sebelum berkahwin kita melihat nilai positif di dalam diri pasangan, jadi kenapa selepas berkahwin kita tidak boleh menerima keburukan pasangan. Hargai kekurangan yang ada dan pada masa sama berseronoklah dengan persamaan yang wujud,” katanya.

Tengku Asmadi berkata, ketika awal pernikahan, cara berkomunikasi memainkan peranan utama dalam menentukan kerukunan rumah tangga berkekalan.

Perlu diingat, setiap orang tidak suka jika sentiasa dipersalahkan dalam apa jua perkara. Justeru, amat penting pasangan yang baru berkahwin bersama-sama mengubah kekurangan diri dan berjanji untuk menjadi yang terbaik. Berilah masa kepada pasangan untuk mencari titik pertemuan dan persefahaman. Bagaimanapun, ada pasangan yang tidak dapat menerima kekurangan ketara pada pasangan sehingga membawa kepada perceraian pada awal usia perkahwinan. Misalnya, suami yang selama ini dirasakan mampu membimbing ke arah kebaikan berubah sikap tidak seperti diharapkan atau ada suami yang langsung tidak memberi nafkah.

“Ketika itu, pasangan perlu bersikap rasional demi mengelakkan perceraian kerana kita tidak boleh berputus asa terhadap mahligai yang dibina kerana perceraian adalah perkara halal paling tidak disukai Allah,” katanya.

Selain itu, pasangan muda sering dikaitkan dengan darah muda atau tidak sabar sehinggakan perkataan cerai mudah dilafazkan tatkala berlaku perselisihan faham kecil.

“Pesan saya, perkataan pertama yang perlu dipadamkan terus daripada fikiran seorang suami ialah cerai kerana ia menandakan anda sememangnya ingin memberikan komitmen penuh untuk menjayakan sesebuah perkahwinan. Pasangan muda sekarang tidak nampak impak perceraian kerana mereka tidak memikirkan soal tanggungjawab, selain tidak mendalami ilmu pernikahan sehinggakan mereka berani mempermainkan perkataan cerai itu sendiri,” katanya.

Modul kursus praperkahwinan yang ada untuk bakal pengantin diteliti semula dengan menekankan pelbagai elemen baru terutama yang membabitkan ilmu rumah tangga. Lebih elok jika tempoh kursus dilanjutkan supaya bakal suami dan isteri dapat belajar banyak perkara dan ilmu yang diajar benar-benar berkesan di hati.

INFO: Punca perceraian pasangan muda

  • Jahil ilmu rumah tangga
  • Gaya hidup moden yang banyak menjurus kepada masalah sosial
  • Belum bersedia menjadi suami isteri
  • Gagal memahami dan menghargai pasangan
  • Menyembunyikan sejarah silam
  • Masalah komunikasi
  • Kurang pemantauan daripada keluarga dan orang tua
  • Kurang masa berkualiti bersama-sama
  • Gagal memenuhi tuntutan batin pasangan.

Sumber : BHarian 2009/04/26


Pengakuan mangsa perceraian pada usia muda

Kes 1: Berpunca orang ketiga

Kakitangan kerajaan di sebuah universiti terkemuka, Linda (bukan nama sebenar) merasai derita berumah tangga apabila diceraikan pada usia 27 tahun hanya selepas tiga tahun berkahwin. Keretakan rumah tangga mereka berpunca daripada orang ketiga iaitu rakan sekerja suaminya dan bibit cinta bermula usik-mengusik, selain kerap menghabiskan masa bersama.

“Bermula secara suka-suka langsung hati terpaut. Lelaki suka bergurau, silapnya wanita mudah perasan dan percaya. Usikan yang mulanya bertujuan mengeratkan persahabatan bertukar menjadi hubungan cinta,” katanya.

Perkahwinan pada usia 25 tahun pada 2001 itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan. Selepas berpisah, Linda menuntut hak penjagaan kerana ingin menumpahkan sepenuhnya kasih sayang terhadap anaknya itu.

“Lagipun, ini satu-satunya zuriat dan buah cinta kami. Bagi saya, kasih ibu, cinta sejati dan tidak ada sesiapapun yang dapat menandinginya,” katanya.

Kecurangan suami dihidu apabila dia lebih suka menghabiskan masa di pejabat berbanding di rumah. Kedatangan wanita tidak dikenali di tempat kerja dan mendesaknya bercerai dengan suami mengukuhkan firasat bahawa suaminya bermain kayu tiga. Hatinya lebih hancur apabila suaminya mengaku menjalinkan hubungan terlarang dengan wanita itu.

“Oleh kerana sayang dan fikirkan anak, saya sanggup bermadu. Namun, suami berat hati kerana kekasihnya itu mengenakan syarat iaitu jika ingin kekalkan perkahwinan, tinggalkannya,” katanya sebelum berusaha mengajak suami bertemu kaunselor bagi mencari penyelesaian terhadap kemelut rumah tangga mereka. Malangnya, selepas dua sesi kaunseling, suami enggan memberi kerjasama.

Bermula detik itu, Linda faham suaminya tidak berminat meneruskan ikatan perkahwinan mereka. Mengimbau semula perkahwinan singkatnya, Linda mengaku serik dan lebih berhati-hati menjalinkan persahabatan dengan lelaki. Baginya, status ibu tunggal bukan halangan untuk bahagia tetapi kebajikan dan keselesaan anak menjadi keutamaan.

“Biarpun hampir tujuh tahun bercerai, saya masih trauma untuk berkahwin,” katanya yang bersetuju faktor usia turut menyumbang kepada kemusnahan institusi keluarga.

“Sungguhpun usia 25 tahun dikatakan peringkat umur paling sesuai mengakhiri zaman bujang namun perlu ingat, ketika itu juga kerjaya baru hendak bertapak. Kesibukan kerja juga penyebab hubungan dingin kerana tidak ada masa berkongsi cerita, selain jarang bertemu muka. Faktor kerja luar dan lebih masa juga sering dijadikan alasan tidak pulang ke rumah. Di sinilah silap saya kerana terlalu percayakan kata-kata suami. Saya fikir dia banyak kerja, rupa-rupanya dia main cinta dengan rakan sepejabat,” ujarnya.

Kes 2: Terlalu berusaha sehingga hipokrit

HUSAIRI Husin, seorang guru, tidak menyangka usia perkahwinan lebih singkat daripada tempoh bercinta. Rumah tangga dibina hanya bertahan dua tahun berbanding 14 tahun melayari alam percintaan.

Setahun selepas melamar, Husairi dan pasangannya diijabkabulkan ketika masing-masing berusia pertengahan 20-an. Kedua-duanya berazam melakukan yang terbaik untuk rumah tangga tanpa sedar kesungguhan membahagiakan hati masing-masing akhirnya meleburkan perkahwinan.

“Saya dan isteri terlalu berusaha hingga akhirnya terpaksa menjadi hipokrit. Oleh kerana ingin dilihat sempurna, kami menyembunyikan masalah serta kelemahan peribadi. Apabila mula tidak berkongsi cerita, rumah tangga menjadi dingin, sekali gus hilang punca,” katanya yang membujang kembali ketika umur belum pun mencecah 30 tahun.

Bagi Husairi, cabaran utama berkahwin muda ialah menyesuaikan diri daripada kehidupan solo kepada komitmen perkahwinan. Dalam usaha mengenali dan saling berkongsi itu, karektor serta kelemahan yang sebelumnya cuba disorok mula menjelma.

“Ketika ingin membiasakan diri, timbul perangai yang tidak disenangi, namun masing-masing enggan berterus-terang. Itu sebabnya, sekecil-kecil masalah pun boleh mencetuskan pertengkaran, misalnya berbalah memilih saluran televisyen, tidak sependapat mengenai restoran pilihan untuk makan malam, malah waktu serta tempat tidur pun menjadi isu,” katanya.

Keadaan bertambah buruk apabila pasangannya yang berkerjaya tetap, memiliki segala-galanya, daripada rumah, kereta dan simpanan sendiri. Faktor ini dianggap Husairi mempengaruhi gaya hidup berdikari, melenyapkan perasaan hormat isteri terhadap suami sekali gus menjarakkan lagi kemesraan di antara mereka.

“Disebabkan isteri ada segalanya, dia enggan mengikut dan mendengar kata suami. Saya pernah mempelawanya tinggal bersama, namun dia menolak kerana ada rumah dan boleh hidup sendiri,” katanya. Oleh kerana masih mahu memperbaiki hubungan suami isteri, dia dan isteri mendapatkan khidmat kaunseling, namun tidak berjaya kerana isterinya sudah terlalu lama memendam perasaan.

“Kami ambil keputusan berpisah kerana tidak mahu membazirkan usia muda dengan perkahwinan yang tidak bahagia,” katanya yang belum bersedia mencari pengganti.

Ditanya mengenai kesilapan yang tidak mungkin diulang andai satu hari nanti bertemu jodoh lagi, Husairi berazam tidak memendam rasa, berusaha memahami hati pasangan, berkongsi kehendak dan keperluan, selain paling mustahak, menerima kelebihan serta kekurangan pasangan seadanya.

Sumber : BHarian 2009/04/26

2 ulasan:

  1. ===
    Punca perceraian pasangan muda: Menyembunyikan sejarah silam

    Tengku Asmadi berkata, sikap berterus terang, termasuk menjelaskan sejarah cinta lama masing-masing sebelum bersatu dengan pasangan yang dinikahi menjadi faktor penting dalam mengukuhkan hubungan suami isteri.
    ===

    Saya tak berapa setuju dengan komen tersebut. Menurut saya menceritakan sejarah masa lalu yang kelam, tidak perlu diceritakan, kalau itu membawa keburukan. Kecuali kalau ditanya misalnya "Apakah kamu masih perawan?" Terpaksalah dijawab, karena tidak dibolehkan berbohong.

    BalasPadam
  2. Salam bapak...

    Maaf, saya terlepas pandang yang ini...

    Ya, benar, saya juga setuju dengan bapak :

    Jauhilah perkara-perkara keji yang telah dilarang oleh Allah, sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menutupinya dengan tutupan Allah dan bertaubat kepada Allah. Ini kerana jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla. (Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis no: 7615 dan beliau berkata: “Hadis ini sahih atas syarat kedua-dua syaikh (al-Bukhari dan Muslim) dan mereka tidak mengeluarkannya. Ini dipersetujui oleh al-Zahabi.)

    Saya sudah update entry yang ini.

    Syukran.

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...