PAGE

Khamis, April 23, 2009

Kasih sayang kunci kesejahteraan keluarga, masyarakat

SIFAT kasih sayang kunci perpaduan manusia. Seorang pemimpin pengasih dan prihatin, menyebabkan rakyat dan pengikut hormat serta menyanjunginya. Seorang ayah penyayang dan prihatin, akan dicintai dan dihormati anak dan isterinya.

Demikianlah rahsia kekuatan kasih sayang dalam kehidupan manusia. Kasih sayang akan mendekatkan antara benua, negara dan mengikat persaudaraan manusiawi sekalipun berlainan bangsa, agama, budaya, warna kulit serta pangkat. Kasih sayang juga kunci kesejahteraan keluarga dan masyarakat. Oleh itu, penting kita usahakan supaya disayangi dan sekali gus menyayangi orang lain.

Jika kita seorang anak, usahakan kita disayangi ibu bapa. Jika kita ibu bapa, usahakan anak menyayangi kita. Dengan demikian, akan wujud dalam rumah tangga, orang tua sayang pada anak dan anak sayang pada orang tua.

Bagi pasangan suami isteri, kita mesti berusaha supaya pasangan disayangi dan menyayangi kita. Demikian juga dengan kepemimpinan negara, pendidik, ketua jabatan atau pemimpin masyarakat, perlulah berusaha menyayangi dan disayangi orang di bawah jagaan kita demi menjadi pemacu kesejahteraan sejagat.

Ambillah iktibar bagaimana kasih sayang seekor kucing dan ular seperti diceritakan Imam Malik bin Dinar. Menurut beliau ketika hendak makan, tiba-tiba seekor kucing menyambar sepotong daging daripada pinggannya.

Lalu beliau mengekori ke mana ia dibawa. Rupa-rupanya kucing itu mencampakkan daging berkenaan ke dalam lubang berbatu yang dihuni seekor ular buta yang kelaparan. Renungilah, betapa pengasih dan penyayang haiwan itu walaupun berlainan jenis.

Allah sengaja mempamerkan naluri sayang binatang ini untuk menjadi pengajaran manusia. Walaupun ada antaranya bersifat ganas, tetapi kasih sayangnya sangat tinggi.

Isu perceraian yang tinggi di kalangan masyarakat Islam memang membimbangkan, kegagalan ibu bapa mengawal tingkah laku jelek anak, peningkatan gejala sosial, kurangnya semangat kejiranan, tidak mengambil berat masalah masyarakat, seakan petanda perasaan kasih sayang dalam masyarakat sudah hilang.

Sebagai Muslim dan Mukmin berpegang dengan al-Quran dan sunnah, marilah kita menghayati semangat kasih sayang dan muhibah dalam kehidupan seharian demi mencapai keredaan Allah dan kebahagiaan dunia serta akhirat.

Semangat ditunjukkan kepemimpinan melalui ikrar mereka ketika majlis angkat sumpah, adalah tanda kasih sayang pemimpin untuk berbakti kepada rakyat serta memastikan pengurusan negara yang berkesan.

Semoga sumpah mereka akan diterjemahkan melalui tindakan serta gerak kerja yang pastinya menjadi bukti kepada kasih sayang mereka dan usaha ke arah mencari keredaan Allah di dunia dan akhirat.

Firman Allah bermaksud: "Kamu tidak dikira salah oleh Allah mengenai sumpah kamu yang tidak disengajakan, akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat." (Surah al-Maidah, ayat 89)

Sumber : BHarian 2009/04/23

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...