PAGE

Rabu, April 15, 2009

Mandi Wiladah

Salam,

Wiladah bermaksud kelahiran anak termasuklah keguguran (sekalipun hanya berupa segumpal darah atau segumpal daging).

Menurut mazhab Imam Syafi’ie, Imam Malik dan Imam Ahmad (mengikut satu riwayat darinya); wanita yang melahirkan anak atau keguguran, ia wajib mandi jika ditakdirkan tiada darah nifas yang keluar. Ini kerana dikiaskan kepada mani. Anak atau janin adalah air mani yang telah menjadi kanak-kanak. Keluarnya anak atau janin dari faraj dapat diumpamakan seperti keluar mani darinya, maka wajiblah mandi. Namun jika ada darah nifas yang keluar selepas kelahiran atau keguguran tersebut, maka hukumnya tertakluk dengan hukum wanita yang kedatangan nifas dan ia hendaklah menunggu hingga kering darah nifasnya barulah mandi.

Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (kitab Fiqh mengikut mazhab Syafi’ie), pengarangnya menjelaskan; “Kemungkinan berlaku kelahiran tanpa diikuti dengan keluarnya darah. Maka hukumnya ketika itu sama seperti hukum janabah (yakni hukum keluarnya mani iaitu wajib mandi) kerana bayi adalah hasil percampuran dari air mani lelaki dan air mani wanita. Tidak ada beza pada hukum tersebut sekalipun berbeza rupa kandungan yang dilahirkan atau cara kelahirannya. Namun jika kelahiran diikuti dengan keluarnya darah – sebagaimana yang biasa berlaku, maka darah itu dinamakan nifas dan ia tertakluk dengan hukum-hakam nifas.” (Jil. 1, hlm. 82).

Namun mengikut mazhab Imam Abu Hanifah dan satu riwayat lain dari Imam Ahmad; wiladah tidak mewajibkan mandi kerana tidak ada dalil yang menegaskannya (Lihat; al-Majmu’, 2/168).

Berkata Imam Ibnu Qudamah (salah seorang ulamak mazhab Hanbali) dalam kitabnya al-Mughni; “Yang soheh ialah tidak wajib mandi ke atas wanita dengan sebab wiladah kerana suatu kewajipan hanya sabit dengan nas (dalil) Syarak. Dalam masalah wiladah ini tidak ada nas syarak yang mewajibkan mandi dan juga tidak ada pengertiannya dalam nas. Ini kerana bayi yang dilahirkan bukanlah darah dan bukan juga mani, sedangkan yang terdapat di dalam nas (dalil) syarak; perkara yang mewajibkan mandi ialah dua sebab tersebut (yakni keluar darah dan keluar mani)” (al-Mughni, 1/165).

Seorang muslim diwajibkan mandi (mandi wajib) kerana enam sebab iaitu;
  1. Kerana melakukan persetubuhan sekalipun tidak keluar mani.
  2. Keluar mani sama ada kerana berkhayal, bermimpi, mengeluarkan dengan tangan dan sebagainya.
  3. Kematian; seorang muslim yang mati wajib dimandikan sebelum dikafan kecuali orang yang mati syahid.[1]
  4. Haid; wanita yang kedatangan haid apabila kering darah haidnya, wajib ia mandi sebelum menunaikan solat atau sebelum diharuskan suaminya mensetubuhinya.
  5. Nifas; wanita yang nifas apabila kering darah nifasnya, wajib ia mandi sebelum menunaikan solat atau sebelum harus disetubuhi oleh suaminya.
  6. Wiladah; iaitu wanita yang melahirkan anak atau keguguran wajib mandi jika ditakdirkan tiada darah nifas yang keluar.[2] Jika ada nifas, hendaklah ia menunggu hingga nifasnya kering barulah ia mandi.
Selain itu, seorang muslim disunatkan untuk mandi bagi perkara-perkara berikut;
  1. Mandi hari jumaat bagi orang yang hendak menghadiri solat jumaat.
  2. Mandi pada dua hari raya.
  3. Mandi untuk menunaikan solat Istisqa’ (minta hujan).
  4. Mandi untuk menunaikan solat gerhana
  5. Mandi setelah memandikan jenazah
  6. Orang kafir yang baru masuk Islam
  7. Orang gila atau pengsan setelah tersedar dari gila atau pengsannya.
  8. Mandi ketika ihram haji atau umrah.
  9. Mandi ketika hendak memasuki Mekah
  10. Mandi untuk wuquf di ‘Arafah
  11. Mandi untuk bermalam di Muzdalifah.
  12. Mandi umtuk melontar
  13. Mandi untuk tawaf
Adapun cara mandi yang sempurna ialah dengan mengikuti setiap langkah berikut;

Langkah 1

Mulai dengan membaca Bismillah dan membasuh kedua tangan sebanyak tiga kali.

Langkah ke 2

Dengan menggunakan tangan kiri, basuh kemaluan dan bersihkan najis atau kekotoran di badan jika ada.

Langkah ke 3

Ambil wudhuk dengan sempurna sebagaimana wudhuk untuk mengerjakan solat. Jika ingin menangguhkan basuhan kaki ke hujung mandi diharuskan. Namun yang afdhal ialah menyempurnakannya.

Langkah ke 4

Sambil memasang niat untuk menghilangkan hadas besar, mulakan mandian dibahagian kepala terlebih dahulu. Mula-mula, ambilkan air dan selati celah-celah rambut dengan jari-jari tangan hingga rata air di kulit kepala dan akar-akar rambut. Setelah itu jiruskan air ke atas kepala dan ulanginya sebanyak tiga kali cebukan.

Langkah ke 5

Berikutnya, lakukan pula mandian di bahagian badan dengan menjirus air ke sebelah kanan terlebih dahulu, kemudian baru ke sebelah kiri. Semasa mandi, tangan hendaklah menggosok-gosok badan terutamanya bahagian-bahagian yang berlipat yang dikhuatiri tidak sampai air jika tidak digosok.

Langkah ke 6

Akhiri mandian dengan membasuh kedua kaki dan menggosok dicelah-celah jarinya. Apabila selesai mandian, bacalah doa sebagaimana doa yang sunat dibaca selepas mengambil wudhuk. Antara hadis yang dijadikan rujukan cara mandi wajib ialah yang diceritakan oleh Saidatina ‘Aisyah r.a.;

كَانَ رَسُولُ اللّهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- إِذَا اغْتَسَلَ مِنَ الْجَنَابَةِ، يَبْدَأُ فَيَغْسِلُ يَدَيْهِ، ثُمَّ يُفْرِغُ بِيَمِينِهِ عَلَى شِمَالِهِ، فَيَغْسِلُ فَرْجَهُ، ثُمَّ يَتَوَضَّأُ وُضُوءهُ لِلصَّلاَةِ. ثُمَّ يَأْخُذُ الْمَاءَ، فَيُدْخِلُ أَصَابِعَهُ فِي أُصُولِ الشَّعْرِ، حَتَّى إِذَا رَأَى أَن قد اسْتَبْرَأَ، حَفَنَ عَلَى رَأْسِهِ ثَلاَثَ حَفَنَاتٍ، ثُمَّ أَفَاضَ عَلَى سَائِرِ جَسَدِهِ، ثُمَّ غَسَلَ رِجْلَيْهِ

“Adalah Rasulullah SAW apabila baginda mandi janabah, baginda mula dengan membasuh dua tangannya. Kemudian baginda menuangkan air ke tangan kirinya dengan menggunakan tangan kanannya, lalu (dengan tangan kiri itu) baginda membasuh kemaluannya. Kemudian baginda mengambil wudhuk sebagaimana wudhuk untuk mengerjakan solat. Kemudian baginda mengambil air, lalu memasukkan jari-jarinya ke akar rambutnya hingga apabila melihat air telah membasahi seluruh (kulit kepala dan akar-akar rambutnya), baginda mencebuk air (dan menjirus) ke kepalanya sebanyak tiga cebukan. Kemudian baginda menyiram air ke seluruh badannya. Kemudian baginda membasuh kedua kakinya.” (Riwayat Muslim)

Wallahu'alam.

Sumber : email Taman2Syurga

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...