Setiap kali cuti, sama ada cuti sekolah, cuti panjang juga cuti berhari raya saya macam ada masalah. Cuti lebih banyak dihabiskan di rumah keluarga sebelah isteri, juga saudara maranya. Kalau bercuti balik ke kampung saya, si isteri akan menarik muncung panjang, membisu di sepanjang perjalanan dan hilang segala gurau-senda. Kalau tidakpun dia akan tidur dan membiarkan saya seorang diri memandu dari Kuala Lumpur ke selatan.
Saya faham kampung saya memang jauh di tepi laut yang serba-serbi kekurangan selain adanya air dan api. Kalau ke belakang rumah banyak nyamuk ikut belakang kita sehinggalah sampai ke rumah. Walaupun demikian ini tidak boleh dijadikan punca untuk memuncungkan bibir di sepanjang jalan.
Isteri saya tetap memberi wang kepada orang tua, juga saudara lain biarpun jumlahnya sedikit berbanding dengan pemberian kepada kaum keluarganya.
Saya merasa malu dan rasa bersalah kerana memberi perhatian lebih kepada keluarga sebelah isteri, pada hal saya tidak berniat berbuat demikian.
- Wan Jaaffar, Sungai Buluh, Selangor.
JAWAPAN:
Bagi sebuah keluarga, isteri adalah segala-galanya dan ia memainkan peranan penting dalam membentuk keluarga bahagia. Kerana itu perkahwinan, iaitu akad yang diikat dengan nama Ilahi itu perlu dipandang serius. Islam memberi peluang kepada pasangan untuk memerhatikan bakal suami atau isteri.
Masalah yang saudara kemukakan adalah sesuatu yang lumrah terjadi apabila berkahwin dengan pasangan yang berlainan tempat, apatah lagi sekiranya si suami berasal dari selatan dan si isteri dari utara. Malah mereka yang terdiri daripada pasangan senegeri atau sekampung pun akan menghadapi masalah yang sama.
Pada hakikatnya keadaan seperti ini tidak akan menimbulkan masalah yang boleh mencetuskan kekeruhan rumah tangga sekiranya kedua-dua belah pihak saling memahami dan bertolak ansur.
Orang Islam yang berkahwin dengan pasangan yang asalnya bukan Islam, daripada bangsa yang berbeza dan tempat tinggal yang memakan masa penerbangan yang lama untuk tiba juga menghadapi masalah.
Masalah akan timbul sedikit demi sedikit, hingga pada perkara-perkara kecil sekalipun setelah pasangan hidup bersama. Perbezaan timbul pada gaya dan bahasa bercakap, cara berfikir, bertindak ketika menyelesaikan masalah, antara pasangan yang terlibat dengan kaum keluarga juga dengan masyarakat sekeliling. Masalah perbezaan kegemaran makanan juga boleh menimbulkan masalah.
Kerana itu, kalau ditinjau pelbagai masalah yang akan timbul itu, berkahwin dengan orang yang terdiri daripada bangsa dan negeri yang sama nampaknya akan lebih mudah dan tidak banyak masalah.
Walaupun perbezaan yang dijelaskan itu tidak boleh dijadikan satu halangan untuk mendirikan rumah tangga atau galakan untuk berkahwin dengan orang sebelah rumah. Yang penting ialah bagaimana kedua-dua pihak itu sanggup berkorban untuk kebahagiaan rumah tangga yang dibina. Setakat mana si isteri sanggup mengorbankan kasih sayang dan cinta yang dimiliki kepada suami yang dinikahi dan membentuk keamanan rumah tangga.
Setiap orang lebih berkecenderungan untuk mengutamakan diri sendiri, berbanding dengan orang lain, mengutamakan orang yang lebih hampir kepadanya, termasuklah saudara mara, sahabat handai. Keadaan seperti ini akan terus menerus berlaku kerana keadaan ini adalah merupakan keadaan semula jadi.
Setelah seseorang itu mendirikan rumah tangga, keutamaan yang tertumpu pada diri sendiri, pada kedua-dua ibu bapa, pada keluarga itu bertambah, diabadikan bersama untuk pasangan dan anak-anak yang dilahirkan. Kasih sayang terhadap orang yang hampir dengannya termasuk ibu bapa dan saudara mara tetap wujud bergantung setakat mana kerapnya jalinan antara mereka.
Apabila cuti panjang atau Hari Raya tiba, rasa rindu dan kasih mesra itu datang menyelinap memenuhi kalbu berbanding dengan hari-hari lain. Itulah di antara kelebihan Hari Raya, iaitu menjalin kembali segala kasih sayang dan rindu di antara individu dan kumpulan manusia. Orang yang berupaya mengawal perasaan berupaya membahagikan masa untuk melepaskan rasa rindu kepada orang yang selama ini menjadi tempat mengadu kasih, tempat bersandar dan pegangan ketika membesar. Sekali di rumah ibu bapa sendiri, bertemu adik-beradik, saudara mara dan teman-teman sekampung dan sekali di rumah ibu bapa pasangannya, kerana mereka telah menjadi saudara hasil daripada pernikahan. Jangka masa di mana perlu tinggal menghabiskan cuti bergantung kepada keperluan.
Bagi orang yang tidak berupaya menimbang hal-hal seumpama ini dan lebih mengikut perasaan dengan tidak memikiri, menjaga hati orang yang menjadi teman hidupnya akan bertindak seperti budak-budak, hendak pergi tempat yang banyak patung atau banyak gula sahaja tanpa berupaya memikir berapa banyak wang akan habis kalau hendaknya dituruti. Ia akan memberontak dan sukar menerima alasan yang di rumah telah banyak patung atau barang mainan dibeli. Mungkin anak-anak tadi tidak masuk ruang barang mainan atau kedai gula-gula kerana kehendaknya tidak dituruti, tetapi tabiatnya terus berubah, membisu, memuncung panjang, jauh sekali untuk bergurau senda seperti biasa.
Hal-hal seumpama ini adalah remeh dan kecil. Masih banyak perkara yang lebih penting yang seharusnya menjadi masalah dalam rumah tangga perlu difikiri dan dibincangkan oleh suami isteri.
Setiap orang perlu berkorban untuk orang yang dikasihi dan bertolak ansur demi cinta. Banyak orang lain yang lebih tidak bernasib baik dan tidak dapat berhari raya di samping keluarga, termasuk perajurit yang berada di luar negara, yang sering dalam berjaga-jaga antara hidup dan mati, pegawai keselamatan yang berada di sempadan, mereka yang bekerja di pelantar minyak di tengah lautan dan sebagainya.
Kalau saudara fikir mereka yang terlibat dengan tugas-tugas seperti ini, saudara dan isteri saudara akan merasa betapa besarnya nikmat yang Allah anugerahkan kepada saudara.
Biarpun masalah yang saudara kemukakan dianggap remeh dan kecil tetapi tidak dinafikan yang boleh menggegarkan kerukunan rumah tangga yang sedia ada. Di samping menjadi punca selisih faham, keadaan boleh menjadi buruk andainya terdapat masalah-masalah lain sebelum itu, Dalam keadaan seumpama ini, jangan keruhkan lagi keadaan yang sedia buruk.
Tidak ada jalan lain untuk mengatasi masalah saudara, selain menyedari hakikat yang telah saya jelaskan. Beri nasihat isteri dengan cara sebaiknya dan jelaskan implikasi yang timbul daripada tabiat sedemikian rupa. Ia akan tersentak kesilapan, sekiranya apa yang dijelaskan itu dapat diterima dan masuk akal.
Masih ada ruang bagi isteri saudara untuk senyum di sepanjang jalan menuju ke kampung menemui ibu bapa dan saudara mara. Isteri saudara bukan tidak mahu balik kampung, lekat kaki di lantai kereta tidak mahu keluar, ia hanya tidak mahu bercakap, tanda protes yang dia tidak begitu gembira dibawa balik ke kampung saudara. Mungkin dia akan bercakap dan senyum setelah dipujuk dengan baik. Saudara tentu tahu kelemahan isteri saudara, tentang pujukan yang macam mana membolehkan ia mengorak senyum.
Jangan turut mendiamkan diri apabila isteri saudara memuncung panjang memalingkan muka ke cermin kiri ketika di perjalanan.
Mungkin ada faktor luaran menyebabkan isteri saudara bertindak begitu. Boleh jadi ia tidak suka balik kampung kerana perkahwinan saudara dengannya tidak dipersetujui keluarga saudara, menyebabkan lahir kebencian dan tidak rasa perlu untuk menghormati, bersalaman dengan mereka biarpun pada Hari Raya.
Mungkin juga kampung saudara tidak sesuai baginya, kerana ia telah dididik sejak dalam perut itu dengan air paip dan bilik berhawa dingin. Memang boleh berlaku orang yang dari kota tidak boleh buang air besar beberapa hari kalau ia ke kampung yang terpaksa ke tandas di pangkal pokok atau di semak.
Keadaan akan lebih buruk apabila nyamuk mengerumun. Biarpun ini boleh dijadikan alasan isteri saudara tetap tidak wajar mendiamkan diri ketika dalam perjalanan.
Sesungguhnya segala rintangan akan mudah diatasi dengan kasih sayang dan pengorbanan.
Dalam urusan rumah tangga, suami tetap ketua dan isterinya adalah pembantu utama. Masalah yang saudara hadapi adalah kecil, tetapi kalau difikir-fikirkan, biarpun kecil ia tetap boleh menimbulkan masalah dan saya berkeyakinan masalah saudara boleh diatasi.
Mungkin saudara mengharapkan kalau masalah yang lepas-lepas timbul dan saudara memaafkan apa yang telah berlaku dan apabila berhadapan dengan cuti panjang dilain kali atau berhari raya dan apabila kereta mengarah ke kampung mungkin isteri saudara menarik muncung panjang seperti yang dilakukan pada cuti-cuti yang lepas. Tentunya ada sesuatu yang merangsang isteri saudara berbuat demikian.
Cari puncanya, kalau dia kata dia tidak marah, tidak berkecil hati atau bukan tidak suka untuk balik kampung bertemu ibu bapa mertua, mungkin apa yang berlaku hanya perasaan saudara semat-mata.
Sumber : Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...