PAGE

Rabu, April 08, 2009

Nabi kehilangan bonda

APABILA membaca surah Ad-Dhuha, tentu sahaja ia tidak ada kena mengena dengan satu tempoh masa yang berlaku di pertengahan waktu pagi, iaitu semasa cahaya matahari belum panas lagi yang dikira 24 minit selepas waktu terbit matahari.

Ini kerana jika kita hayati, surah itu seolah-olah Rasulullah sedang dipujuk hatinya jika baginda berada dalam hati yang rawan akibat dilahirkan sebagai anak yatim.

Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat) sehingga engkau redha - berpuas hati. Bukankah ia mendapati engkau yatim piatu, lalu diberikan perlindungan? (ad-Dhuha: 5-6)

Surah ini mungkin memberikan semangat yang kuat kepada baginda untuk mengharungi arus kehidupan seorang diri di dunia ini, tanpa ayah dan ibu di sisi .

Begitupun bagi membesarkan anak yatim ini, Nabi Muhammad telah Allah berikan pelbagai 'penjagaan' khas sedari baginda kecil mengenangkan anak yatim ini akan memikul satu tanggungjawab yang sangat berat, besar dan mencabar sebagai Pesuruh Allah kala dewasanya kelak!

Begitulah yang terjadi ketika baginda kembali semula ke Kampung Bani Saad selepas ibu susu baginda, Halimatus Saadiah berjaya memujuk Siti Aminah untuk beliau terus memelihara walaupun anak susuannya itu telah habis tempoh penyusuannya, iaitu dua tahun.

Dikatakan ketika baginda berusia dalam lingkungan empat atau lima tahun maka berlakulah peristiwa ajaib iaitu dada baginda dibedah oleh malaikat.

Muslim meriwayatkan daripada Anas bahawa Rasulullah pernah didatangi malaikat Jibrail ketika baginda masih kanak-kanak dan sedang bermain dengan kanak-kanak sebaya yang lain.

Jibrail yang lazimnya muncul dalam rupa seperti manusia telah menangkap baginda lalu tanpa membuang masa, dada Nabi Muhammad telah dibelah terutama di bahagian organ hati lalu dikeluarkan organ itu.

Sebuku darah

Daripada organ itu, Jibrail telah keluarkan sebuku darah, sesetengah riwayat mengatakan sebuku darah itu berwarna hitam lalu berkata: "Inilah bahagian syaitan yang ada padamu!"

Lalu organ hati itu dimasukkan ke dalam sebuah bikar emas lalu dibasuhkan hati itu dengan air Zamzam.

Hati yang telah dicuci bersih itu kemudiannya dikembalikan semula ke tempat asalnya dan dada Rasulullah dicantumkan semula.

Rasulullah SAW dikatakan terpinga-pinga dengan kejadian yang menimpa baginda itu.

Tetapi berbeza dengan mereka yang menyaksikan bagaimana Nabi Muhammad telah ditangkap dan dibedah dadanya itu.

Belum sempat mereka menyaksikan kejadian itu sehingga habis dan Jibrail hilang dari pandangan, dalam serba ketakutan rakan-rakan Rasulullah itu kemudiannya berlari kepada ibu susu baginda, Halimah dan memberitahu bahawa Nabi Muhammad telah dibunuh oleh seorang lelaki. Mereka berkata dengan cemas: "Muhammad telah dibunuh! Muhammad telah dibunuh!"

Lalu apabila mereka kembali semula ke tempat kejadian, didapati Nabi Muhammad berada dalam keadaan selamat tanpa sedikit pun sebarang kecederaan.

Kejadian yang penuh makna itu, bagaimanapun telah menimbulkan kebimbangan di hati Halimah. Beliau begitu bimbangkan mengenai soal keselamatan Nabi Muhammad dan jika terjadi sebarang yang tidak diingini tentu sahaja beliau tidak dapat melindungi anak yatim itu.

Ini menyebabkan Halimah merasakan sudah tiba masanya beliau terpaksa juga berpisah dengan Rasulullah demi kebaikan anak itu sendiri.

Walaupun perpisahan itu bakal mencalarkan kebahagiaan beliau selama ini kerana dapat membesarkan seorang anak yang sebaik Rasulullah. Namun beliau sedar anak susuannya perlu kembali ke tempat asal usulnya di mana baginda dilahirkan dahulu.

Dalam hal ini kala dewasa, baginda masih mengenang jasa dan keikhlasan ibu-ibu susu yang pernah memberikan yang terbaik dan paling berkhasiat kepadanya.

Selain ajaran baginda dan Islam itu sendiri amat menggalakkan susuan susu badan ini, kedudukan ibu yang menyusukan anak, dipandang sangat mulia dan tinggi oleh Rasulullah. Ini sebagaimana sabda baginda, yang bermaksud; "Bahawa dia (Halimatus Saadiah) adalah ibuku setelah ibuku sendiri".

Dalam riwayat lain; "Diriwayatkan daripada Hajjaj al-Aslami bahawa dia bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah yang boleh menghilangkan ingatan hatiku daripada mengenang jasa orang yang telah menyusuiku?" Lantas Rasulullah menjawab dengan katanya: "Hendaklah kamu menghadiahkan kepadanya seorang hamba atau jariah yang masih kecil".

Lalu berpisahlah ibu susu yang namanya begitu tercatat besar dalam sirah Nabi Muhammad dengan anak susuannya itu. Berkat dan kesudian Halimah menyusukan Rasulullah ternyata melihatkan kesan yang cukup ketara apabila Nabi Muhammad tumbuh besar dengan baik, sihat dan kuat.

Meskipun hatinya amat berat sekali, namun Nabi Muhammad tetap dipulangkan semula ke ibu kandungnya, Siti Aminah.

Sebaik sahaja, anak itu diserahkan sehingga itu sahajalah catatan sejarah yang menceritakan mengenai kemuliaan Halimah.

Namun beliau meninggalkan juga satu lagenda dan bagaimana umat kini dapat mempertahankan ibu susuan kerana tanpa bantuan dari Halimah, manakan Rasulullah tetap gagah perkasa sehingga ke akhir hayat baginda. Semua itu berkat dari susu badan wanita desa yang dipercayai sangat berhikmah, lemah lembut dan berbudi pekerti mulia, Halimatus Saadiah!

Sebagai ibu kandung, melihat anaknya membesar dengan sihat dan kuat merupakan satu kegembiraan kepada Siti Aminah selepas kehilangan suami tercinta, Abdullah.

Namun kita akan memasuki satu lagi episod sedih apabila kegembiraan dari pertemuan semula seorang ibu dan anaknya itu ditakdirkan berlangsung tidak lama.

Sehinggalah pada suatu hari, dikatakan hanya selepas setahun bersama ibu kandungnya itu, dalam usia enam tahun baginda telah dibawa ibunya untuk menziarahi kubur ayahanda baginda yang terletak di Yathrib (nama lama Madinah).

Itulah pertama kali baginda hendak 'didekatkan' dengan bapa kandung yang tidak sempat baginda temui di samping telah menjadi tanggungjawab kepada Siti Aminah yang setiap tahun mesti menziarahi pusara suaminya itu.

Menziarahi pusara bapa

Rombongan untuk menziarahi pusara Abdullah itu diketuai sendiri datuk baginda, Abdul Mutalib yang turut bersama dalam rombongan itu, hadina (pengasuh) Rasulullah, Ummu Ayman.

Dalam ziarah itu mereka menetap di Yathrib selama sebulan sebelum kembali semula ke Mekah.

Dalam perjalanan pulang itu, iaitu setibanya rombongan itu di suatu tempat bernama Abwak, Siti Aminah mengadu sakit manakala sesetengah riwayat berkata Ummul Mukminin itu dikatakan jatuh demam yang menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan perjalanan ke Mekah.

Pada hari itu juga, bonda Nabi Muhammad ini dikatakan akhirnya menghembuskan nafas terakhir ketika dalam tidurnya.

Maka, yatim piatulah Nabi Muhammad dengan kehilangan ibu tercinta di kala usia baginda enam tahun, iaitu satu usia yang sangat muda dan amat memerlukan belaian dan kasih sayang seorang ibu, lebih dari segala-galanya di dunia ini.

Namun dikatakan sebelum wafat ibu Rasulullah itu, Siti Aminah sempat menitipkan pesan kepada anak yang tercinta; "Ya Muhammad, kun rajullan, li annanni saamutu". (Wahai Muhammad, jadilah seorang lelaki sejati, kerana sesungguhnya aku akan mati).

Walaupun pesanan itu sungguh bermakna besar kepada Rasulullah tetapi bayangkan kesedihan yang ditanggung oleh si anak kecil melihatkan ibu tercinta turut menjejak langkah bapanya dengan meninggalkan beliau seorang diri di dunia ini.

Namun sebagaimana yang dipesankan oleh ibunya itu, maka jadilah baginda seorang lelaki di waktu kecil, di waktu kanak-kanak, di waktu muda, di waktu dewasa sehinggalah di waktu usia tua baginda. Iaitu baginda begitu matang berbanding usia sebenar.

Datuk mana yang tidak belas, melihat cucunya kini benar-benar si yatim piatu walaupun luluh lagi hatinya mengenangkan anak dan menantunya lebih dahulu pergi meninggalkannya berbanding dirinya yang lebih tua.

Abdul Mutalib kini bertanggungjawab untuk mewarnai kesuraman akibat kehilangan ayah dan ibu akan cucunya itu. Namun terdayakah beliau, sedangkan dirinya sendiri juga semakin di makan usia?

Ikuti bagaimana Nabi Muhamad menempuh kehidupan 'lelaki' dalam usia yang masih kanak-kanak!

Sumber : Utusan 06/04/2009

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...