PAGE

Jumaat, April 03, 2009

Padah dedah seks depan kanak-kanak

Penulis asal : Unknown

Sikap sesetengah pasangan suami isteri yang melakukan seks di depan anak berusia antara empat hingga tujuh tahun dikesan antara faktor menyumbang kepada peningkatan 80 peratus pendedahan seks kanak-kanak dan remaja yang kini dianggap berada pada tahap membimbangkan.

Walaupun beranggapan tindakan itu tidak akan memberi kesan kepada anak mereka, ia sebenarnya mengundang padah kerana memberi kesan psikologi besar kepada anak kecil yang pada tahap usia begitu dikategorikan mempunyai ingatan cukup kuat.

Ramai yang tidak mengetahui, pada peringkat usia pertengahan kanak-kanak antara empat hingga tujuh tahun, kanak-kanak hanya akan menonton apa yang berlaku, belajar secara pemerhatian. Bagi mereka, melihat aksi ibu bapa berpelukan, berciuman dan melakukan seks, tidak memberi sebarang makna.

Namun, apabila masuk ke peringkat sekolah bermula seawal usia tujuh tahun, peluang untuk melihat semula aksi yang pernah dilihat itu terbuka luas termasuk melalui aksi ghairah dan seks di televisyen, permainan video lucah yang boleh didapati dengan cara mudah, semurah RM5.

Jadi, tidak hairanlah pada zaman moden yang digelar dunia tanpa sempadan, zaman teknologi maklumat, peratusan remaja yang terbabit dalam seks bebas dianggarkan lebih 27 peratus kerana peluang dan ruang semakin terbuka termasuk mendapat bahan lucah di internet.

Hakikat bahawa 80 peratus pendedahan seks ke atas remaja dan kanak-kanak itu adalah berdasarkan peringkat usia 11 tahun ke atas yang dikira sudah memahami apa yang ditonton dan dilihat. Cukup mudah muat turun video lucah di internet, membaca majalah hiburan atau lucah bahkan boleh dikongsi bersama rakan melalui telefon bimbit.

Hakikat ini diakui Pensyarah Kanak Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Mariani Md Nor, yang menyifatkan ia suatu perkembangan yang membimbangkan dan menakutkan kerana remaja adalah golongan pelapis negara.

Katanya, kanak-kanak dan remaja yang terdedah kepada perlakuan seks terutama secara langsung di depan mata mereka sendiri akan mempelajari dan menimba kemahiran tertentu, cuma belum sampai ke tahap mengamalkannya.

“Mereka sudah melihat proses tingkah laku seks itu melalui video, televisyen dan pengamatan. Mereka sudah tahu bagaimana perlakuan seks berlaku, bagaimana permainan awal seks dan selepasnya kerana mereka sudah belajar daripada kecil tanpa pengetahuan ibu bapa atau guru.

“Pada zaman sekarang, keadaan cukup berbeza berbanding dulu, apabila masuk peringkat remaja 11 tahun ke atas, keinginan memenuhi ghairah nafsu akan timbul terutama selepas baligh,” katanya.

Beliau turut berkongsi pengalaman mengenai satu kes kajian yang pernah dijalankan ke atas remaja perempuan berusia 12 tahun yang mengatakan melakukan seks tidak menjadi kesalahan, bahkan sering melakukannya dengan lebih daripada seorang.

“Itu kajian lima tahun dulu, remaja itu sudah sampai ke tahap begitu serius dalam seks bebas, apatah lagi pada peringkat usianya sekarang yang sudah mencapai 17 tahun,” katanya.

Perlu diakui, peringkat usia remaja adalah zaman perkembangan individu mencari identiti diri dan jika tidak mendapat bimbingan, panduan, ajaran daripada ibu bapa, mereka akan terpesong apatah lagi jika akrab dengan rakan sebaya yang sememangnya sudah rosak akhlak.

Pada peringkat usia inilah hormon badan dirembes yang membawa kepada kehendak untuk nafsu seks bahkan wujud sikap menunjuk-nunjuk mereka mampu lakukan sesuatu dan bersaing sesama sendiri termasuk berapa ramai yang ditiduri pada satu malam.

Pada zaman kanak-kanak, mereka hanya memerhatikan apa yang berlaku. Jika ibu bapa mencium pipi sebagai tanda kasih sayang, tetapi sekarang itu lebih kepada nafsu seks.

Berikutan itu, Dr Mariani menjelaskan ada juga remaja perempuan berusia belasan tahun yang masih ingin tidur bersama bapanya dan hakikat sebenarnya mereka lebih inginkan perlakuan seks.

“Itu yang kita bimbangkan, akan berlaku sumbang mahram. Memang ini terjadi dan jika tak dapat, mereka mula mencari ‘makan’ di luar rumah. Satu contoh mudah ialah kenapa wujudnya ‘minah rempit’, mereka umumnya adalah remaja perempuan yang sering menjadi habuan seks,” katanya.

Pendedahan seks awal kepada remaja itu turut dipengaruhi peranan media massa yang sering memaparkan laporan aksi, gambar, temuramah mangsa seks atau rogol sehingga ia turut mempengaruhi keinginan untuk mencuba di kalangan remaja.

Contohnya, laporan mengenai rakaman video seks remaja sama ada dilakukan sendiri atau rakaman secara curi pihak tertentu dan menyebarkannya ke dalam internet. Remaja mudah terpengaruh dan akan mencuri idea misalnya sering dilaporkan seks dilakukan di taman, tangga bangunan, rumah kosong atau tempat perkelahan.

“Bukan salah media, mereka laporkan untuk bagi kesedaran bahawa tindakan salah, tetapi remaja gunakan itu sebagai maklumat berguna. Jika orang lain boleh lakukan seks di tangga bangunan, mereka juga boleh kerana di situ selamat, mungkin sebelum ini tidak pernah terfikir.

“Banyak juga laporan operasi polis atau pihak berkuasa ke atas siber kafe yang menyediakan permainan video lucah. Mereka akan ikuti perkembangan itu dan memang terasa ingin mencuba. Apabila sudah masuk dan melihat sendiri, keinginannya akan membuak-buak kerana didorong, dipersembahkan perkara mendorong kepada nafsu seks,” katanya.

Peluang ini pula diberikan kepada golongan yang sememangnya tercari-cari hiburan seperti itu, umpama ‘orang mengantuk disorongkan bantal’.

Sumber : SIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...