PAGE

Isnin, April 13, 2009

Pemergian datuk tersayang

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

NIAT asal hanya menziarahi pusara ayahanda, namun Nabi Muhammad SAW akhirnya meninggalkan Madinah dan pulang semula ke Mekah dengan meninggalkan dua pusara yang menjadi pengabadian kedua-dua ayahanda dan bonda tercinta!

Alangkah pilu si anak yatim kerana ternyata kini baginda sebatang kara. Namun tidak sempat untuk baginda bersedih pilu, mujur masih mempunyai seorang datuk yang tahu peranannya untuk mengambil alih tanggungjawab menjaga cucu tersayang.

Sedangkan nama si cucu atas pemberian dan ilham si datuk, maka sekujur hidup cucu tersebut kini di bawah tanggungan Abdul Mutalib. Malah dikatakan usia Abdul Mutalib telah menjangkau 100 tahun. Sekali pun berat tanggungjawab itu namun Nabi Muhammad dipujuk agar meneruskan hidup bersamanya kerana beliau akan menjaga cucunya itu sebagai pengganti ibu dan ayah yang telah pergi.

Bangsawan besar Mekah itu dengan dibantu Ummu Aiman, menjaga Nabi Muhammad dengan penuh kasih sayang tanpa memberi sedikit ruang pun kepada baginda untuk meratapi nasib diri atau merasakan dirinya terasing.

Ini menjadikan hubungan cucu dan datuk itu akrab tanpa dapat direnggangkan sedikit pun. Sehinggakan di mana ada Abdul Mutalib di situlah ada cucunya.

Malah dikisahkan dalam satu peristiwa bagi menunjukkan betapa rapatnya hubungan antara Nabi Muhammad dan datuknya itu. Iaitu dikatakan Abdul Mutalib mempunyai sehelai hamparan cantik dan khas yang diletakkan di bawah teduhan kaabah atau di sisi Rumah Allah itu.

Belas pada anak yatim

Kesemua anak pinak Abdul Mutalib, tidak seorang pun yang berani duduk di atas hamparan itu kerana terlalu menghormatinya di samping bimbang akan dimarahi kecuali perlu mendapat kebenaran darinya terlebih dahulu.

Namun berlainan dengan Nabi Muhammad, yang datang dan terus duduk di atas hamparan itu. Melihatkan perbuatan Nabi Muhammad itu, kesemua yang lain terutama kalangan bapa-bapa saudara nabi cuba menghalang anak saudara mereka itu.

Mereka berkata: "Muhammad! Jangan kamu duduk di tempat duduk datukmu itu! Tidak kau takut akan dimarahi oleh datuk mu itu kerana kau berani duduk di tempatnya tanpa meminta kebenaran darinya terlebih dahulu?"

Tetapi Abdul Mutalib yang kemudian menyaksikan kejadian itu berkata: "Biarkan cucuku ini duduk di tempat itu, tidakkah kamu semua belas pada anak yatim itu kecuali dengan aku sahaja tempat dia kini untuk mengadu?".

Dalam satu peristiwa lain, Abdul Mutalib yang ketika itu berada dalam satu majlis bersama-sama para pemimpin Quraisy yang lain dengan Abdul Mutalib berada di tempat duduk yang tinggi berikutan kemuliaan yang dimiliki. Nabi Muhammad yang masuk ke majlis itu cuba dihalang oleh pemimpin-pemimpin Quraisy yang lain.

Namun Abdul Mutalib meminta mereka supaya jangan menghalang cucunya itu sambil berkata: "Jangan halang Muhammad dari bertemuku, sesungguhnya cucuku itu akan menjadi seorang manusia yang agung (Sya'nun azim)".

Sepanjang hayatnya, Abdul Mutalib banyak menghabiskan masa di sekitar Kaabah dan Mekah dengan pelbagai urusan. Ini diikuti sekurang-kurangnya setahun sekali beliau dan bersama anggota rombongan dagangannya akan ke negeri Syam (Syria) untuk berniaga di sana.

Mereka lazimnya akan pulang dengan membawa pelbagai kekayaan dan keuntungan bagi menjadikan Abdul Mutalib semakin dihormati di kalangan kaum dan penduduk Mekah.

Sehinggalah Nabi Muhammad ketika itu menjangkau usia lapan tahun. Maka pada suatu hari baginda sekali lagi terpaksa menjadi seorang 'lelaki' yang tabah apabila sudah tiba masanya datuk kesayangan baginda meninggalkannya buat selama-lamanya.

Malah terdapat satu kisah, iaitu pada suatu hari, apabila Abdul Mutalib yang uzur kerana telah begitu lanjut usianya menyedari dirinya akan meninggalkan dunia yang fana ini, beliau pun menyuruh khadamnya memanggil semua anaknya supaya berada di sisinya untuk kali terakhir.

Ketika itu, Nabi Muhammad, berada di belakang tempat tidur Abdul Mutalib dan baginda mendengar dan memerhatikan datuknya yang sedang sakit itu.

Apabila anak-anak Abdul Mutalib telah berada di sisinya, maka beliau pun berkata: "Anak-anakku sekalian, dapat ku rasakan bahawa aku tidak akan kekal lama lagi bersama kamu malah aku akan kembali ke negeri yang kekal abadi. Oleh itu, sebelum aku menghembuskan nafas yang akhir, ada suatu pesanku yang penting," kata Abdul Mutalib sambil memegang tangan Nabi Muhammad.

Abdul Mutalib berpesan kepada anak-anaknya supaya mereka berjanji untuk menjaga cucu kesayangannya itu, sepeninggalan beliau kelak ke alam barzakh.

Mendengarkan pesanan itu, salah seorang anaknya, Al-Abbas bin Abdul Mutalib berkata: "Jika itu yang ayahanda kehendaki, biarlah anakanda menjaga Muhammad. Lantaran anakanda tidak mempunyai anak, lagipun anakanda mampu menyaranya!" kata Abbas.

Mendengar kata-kata Abbas itu, anak-anak Abdul Mutalib yang lain hanya memandang sahaja kepada ayahanda mereka yang terbaring di atas tempat tidurnya. Mereka menanti sama ada Abdul Mutalib bersetuju atau tidak dengan permintaan Abbas itu tadi.

"Aku tahu! aku tahu! kamu Abbas memang mampu berbanding saudara-saudaramu yang lain! Tetapi dalam hal ini biarlah aku berlaku adil!.

"Supaya adil biarlah aku suruh Muhammad sendiri memilih kepada siapa yang suka untuk tinggal bersama selepas pemergian ku kelak. Pemilihan Muhammad ini adalah muktamad!," kata Abdul Mutalib.

Nabi memandang datuknya dengan penuh hiba dan sayu. Bagi memenuhi permintaan terakhir datuknya itu, baginda memerhatikan setiap satu bapa-bapa saudaranya itu. Akhirnya baginda menggenggam tangan Abu Talib.

"Nah! Muhammad memilih kamu, Abu Talib! Aku tahu engkau mempunyai ramai anak. Oleh itu aku berharap engkau dapat menjaga Muhammad lebih daripada engkau menjaga anakmu sendiri. Semoga dengan penjagaan engkau itu, Tuhan akan memberkati engkau!," kata Abdul Mutalib.

Pemilihan Nabi Muhammad terhadap Abu Talib itu bukan sesuatu yang menghairankan kerana sebelum ini jika baginda ditinggalkan Abdul Mutalib untuk berurusan berniaga di luar kota, baginda sering ditinggalkan bersama Abu Talib.

Walaupun menyedari Abu Talib itu seorang yang sangat sederhana kerana mempunyai bilangan anak yang ramai namun Abu Talib kaya dengan hati budinya. Maka pilihan Nabi terhadap Abu Talib memang tepat.

Abdul Mutalib kemudiannya meninggal dunia dengan penuh tenang tanpa sebarang perasaan bimbang mengenai nasib anak piatu, Nabi Muhammad. Ini kerana beliau yakin Abu Talib dapat menjaga Muhammad sebaik yang pernah beliau lakukan.

Namun, bagi seorang cucu yang selama ini begitu rapat dan baik bersama datuknya, pemergian Abdul Mutalib sangat memberi kesan yang sedih kepada baginda. Kesedihan yang terpaksa ditunjukkan kerana mengenangkan jasa si datuk yang sedari kecil, Abdul Mutalib adalah segala-galanya buat baginda.

Melihat kesedihan Muhamad sedemikian rupa, Abu Talib cuba menghiburkan hati Nabi dengan mengajak Nabi bermain-main dengan anak-anaknya.

Demikianlah berkat kesabaran dan ketekunan Abu Talib, Nabi Muhammad merasakan kehilangan datuknya telah berganti. Abu Talib juga sangat sayang kepadanya.

Ikuti kisah Abu Talib selanjutnya dan bagaimana anda dapat menjawab dakwaan bahawa baginda Rasulullah tidak berjaya mengislamkan bapa saudaranya itu. Malah dikatakan Abu Talib mendapat seksaan yang paling ringan di neraka dengan kakinya beralasan sepatu bagi melindungi dari terbakar oleh api!

Sumber : Utusan 13/04/2009

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...