PAGE

Rabu, April 01, 2009

Pertimbangan iman asas hadapi dugaan

Umat Islam wajib percaya qada' dan qadar serta pasrah terima ujian

PASRAH atas apa yang berlaku serta menganggap setiap ketentuan Allah tersirat seribu hikmah, adalah sifat mulia dan terpuji dituntut oleh Islam. Islam mendidik umatnya sentiasa reda melakukan kebaikan dan menerima kejahatan serta ujian.

Ketetapan Ilahi adalah sesuatu yang tidak mampu ditandingi kerana sebagai hamba, kita akan sentiasa diuji untuk menambahkan keimanan dalam diri.

Daripada Suhibul Raumi berkata, sabda Rasulullah SAW, "Betapa ajaibnya orang yang beriman itu. Sesungguhnya semua perkara adalah baik bagi mereka. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin. Jika memperoleh kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya dan jika ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Sebagai seorang hamba, setiap umat Islam perlu pasrah menerima hukum Allah dan penghakiman lain yang sudah ditetapkan melalui wahyu disampaikan Rasulullah SAW. Kepatuhan dan ketaatan terhadap suruhan dan larangan-Nya menunjukkan keredaan kita terhadap apa digariskan agama, apatah lagi jika kita melakukannya dengan ikhlas dan bertanggungjawab.

Sering kali kita melihat umat Islam diuji bertalu-talu, bukan diseksa, tetapi itulah tanda kasih-Nya kerana kadangkala ujian sajalah yang menjadikan seseorang itu kembali kepada-Nya, sedang waktu senang ada kalanya kita tergamak mendahulukan keseronokan dunia melebihi sepatutnya.

Ketika melalui ujian tidak tertanggung, jelas dilihat pada wajah orang beriman sifat pasrah atas suratan dan mereka pasti hikmah tersirat lebih istimewa daripada kesusahan dihadapi, justeru keyakinan terhadap kekuasaan-Nya saja yang mampu mengubat hati.

Daripada Anas, sabda Rasulullah SAW bermaksud, "Apabila Allah cinta kepada suatu kaum, mereka diuji. Barang siapa reda menerima ujian itu, Allah reda pula kepadanya. Dan barang siapa yang marah (tidak reda), maka Allah pun murka kepadanya." (Hadis riwayat Imam At-Tarmizi)

Sifat pasrah dan reda hanya dimiliki orang beriman, bukan yang munafik kerana orang yang menentang ketetapan serta suratan Allah tidak tergolong dalam golongan beriman. Contoh jelas dapat dilihat dalam mengamalkan ibadah diwajibkan kepada setiap individu Muslim seperti berpuasa dan solat lima waktu.

Sebagai penganut Islam, kita wajib berpuasa di bulan Ramadan dan ia tidak boleh diingkari. Ketaatan kepada suruhan itu dan pasrah dengan rasa lapar, dahaga, menahan diri dan anggota tubuh badan daripada perkara membatalkan puasa adalah bukti reda terhadap hukum ditetapkan.

Begitu juga perintah menunaikan solat lima waktu yang tidak dipertanggungjawabkan ke atas penganut agama lain. Perintah itu sukar dilakukan orang munafik, tetapi tidak susah untuk disempurnakan oleh umat yang sentiasa bersyukur atas nikmat dan kemewahan dianugerahkan Allah.

Tiada satu pun diminta bayaran, melainkan perintah melaksanakan suruhan dan meninggalkan larangan-Nya, yang juga akhirnya untuk kebaikan umat Islam itu sendiri di akhirat kelak.

Allah berfirman bermaksud: "Sesungguhnya orang munafik itu melakukan tipu daya terhadap agama Allah dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya, dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik. Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka hanya bertujuan riak memperlihatkan sembahyangnya kepada manusia supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman dan mereka pula tidak mengingati Allah dengan mengerjakan sembahyang melainkan sedikit sekali." (Surah an-Nisaa', ayat 142)

Jelas sekali percaya kepada qada' dan qadar adalah satu tuntutan dan rukun iman ke atas setiap umat Islam. Jika tidak wajib beriman dengan qada' dan qadar, sudah tentulah manusia tidak dapat menerima ketentuan Ilahi, sebaliknya menyalahkan pelbagai perkara sehingga akhirnya kesalahan itu berbalik kepada diri sendiri.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Dari Abu Hurairah, sabda Rasulullah SAW: Jika engkau terkena oleh sesuatu musibah, maka janganlah engkau berkata: Andai kata saya mengerjakan begini, tentu akan menjadi begini dan begitu. Tetapi berkatalah: Ini adalah takdir Allah dan apa saja yang dikehendaki oleh-Nya tentu Dia melaksanakan-Nya, sebab sesungguhnya ucapan andai kata itu membuka pintu godaan syaitan." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Cabaran dan dugaan dilalui setiap manusia adalah frasa kehidupan yang normal dan ketika itulah manusia manfaatkan untuk membuat pertimbangan sama ada terus menghadapinya dengan cekal, berikhtiar dan berusaha menyelesaikan segala kekusutan ataupun menyalahkan takdir semata-mata.

Kepayahan mendapat jodoh yang baik, kesukaran menunaikan tanggungjawab sebagai suami, isteri, ibu dan ayah kepada anak sehingga amanah Allah itu tidak terbentuk seperti dituntut agama, tiada komitmen dalam ibadah dan sebagainya perlu dianggap sebagai ujian, bukan suratan kerana ia perlu ditentang disebabkan sifatnya bertentangan hukum Allah.

Jangan pula kita pasrah jika malas bersolat, reda jika mengamalkan rasuah dan akur jika terus seronok mengumpat, menabur fitnah dan sifat keji lain. Sebaliknya sikap itu menunjukkan kita tidak pasrah terhadap perintah Allah.

Sesungguhnya jika kita pasrah terhadap apa yang ditentukan Allah, maka kita juga akan memperoleh keredaan Allah.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Sumber : Nik Salida Suhaila Nik Salleh di BHarian 2009/04/01





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...