1. Saya bahagia berumahtangga sekarang dan mempunyai seorang cahaya mata. Tetapi kadang-kadang perbualan suami isteri ada juga yang mengguris hati saya. Saya faham jika isteri menyakiti hati suami atau menimbulkan kemarahan suami akan menyebabkan 'nusyuz' lalu isteri perlu meminta maaf daripada suami. Apakah yang berlaku jika sebaliknya, suami mengguris hati isteri, adakah perlu suami meminta maaf juga?
2. Suami menyuruh saya mewarnakan rambut, bolehkah saya mewarnakan rambut dengan jenama Clairol yang mempunyai tanda halal yang disahkan oleh JAKIM (pewarna rambut lain mempunyai tanda halal tetapi tidak disahkan oleh JAKIM)?
3. Apakah hukumnya jika saya memperolehi pendapatan RM2400 sebulan dan suami berpendapatan RM2900 sebulan, adakah masih wajib ke atasnya memberi nafkah wang ke atas saya. Suami berpendapat dia mungkin tidak lagi perlu memberi nafkah kerana saya sudah ada pendapatan sendiri. Bagaimana jika saya masih inginkan nafkah dalam bentuk sepasang baju (harga dalam RM100-150) setiap bulan adakah ini masih dikira adil? Suami juga berpendapat dia ketidakcukupan wang untuk memberi nafkah maka dia tidak memberi setiap bulan tetapi memberi rantai tangan, jam atau baju di lain-lain masa, tetapi tidak tetap setiap bulan, adakah itu dikira hadiah atau nafkah? Agak sukar untuk saya mengajukan soalan ini kepadanya kerana dia akan mengatakan saya 'berkira', sedangkan saya berpendapat nafkah setiap bulan adalah HAK saya. Bolehkah saya mengatakan begitu kepada suami atau adakah itu sudah dikira nusyuz?
Sekian sahaja soalan saya. Saya berharap ustaz dapat membantu menyelesaikan kebuntuan masalah saya ini.
JAWAPAN :
1) Suami dan isteri perlu saling maaf-memaafkan antara satu sama lain. Kedudukan sebagai ketua keluarga bukan bermakna dia tidak perlu meminta maaf kepada isteri atau pun anak.
2) Kami mencadangkan saudari gunakanlah inai untuk mewarnakan rambut kerana penggunaan inai ini tidak diragui hukumnya berbanding produk-produk pewarna rambut yang berada di pasaran sekarang. Saudari perlu memastikan tujuan saudari mewarnakan rambut itu hanyalah untuk suami dan bukan untuk tatapan umum.
3) Hukum memberi nafkah kepada isteri adalah wajib mengikut kemampuan suami setiap bulan. Perbezaan gaji isteri dan suami bukanlah menjadi satu alasan untuk menggugurkan hak dan tanggungjawab sebagai seorang suami mengikut hukum syarak. Pendapatan isteri adalah hak isteri tetapi ia hendaklah bekerja dengan izin suami. Walau bagaimanapun isteri boleh memberikan sumbangan (dengan rela hati) dalam urusan kewangan, rumah tangga dan setiap sumbangan isteri akan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah.
Sekian, Wallah'ualam.
Sumber : JAiS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...