PAGE

Ahad, April 12, 2009

Q&A: Urusan jual-beli emas

Bersama Zaharuddin Abd Rahman

SOALAN:

PERTUKARAN barangan kemas membabitkan emas lama atau baru, selain membelinya secara ansuran, hampir menjadi kebiasaan bagi ramai rakyat Malaysia.

Saya turut menerima beberapa soalan berkenaan perkara itu seperti:

“Ustaz, saya ada mendengar barangan emas tidak boleh dibeli secara ansuran. Adakah ia benar dan mengapa? Untuk makluman, jual beli emas secara tangguh ini sangat berleluasa, terutama di Kelantan.

“Pohon penjelasan ustaz cara menukar emas lama kepada baru yang lazim dilakukan wanita di Malaysia.”


JAWAPAN:

Emas dijual beli secara ansuran

Perlu diketahui semua ulama empat mazhab mengharamkan jual beli barangan kemas membabitkan emas secara ansuran dan hutang.

Wujud pandangan minoriti ulama yang mengatakan ia bukan lagi dianggap emas kerana sudah dirupabentukkan melalui proses pengilangan.

Bagaimanapun, semua empat mazhab Islam dan keputusan Majlis Fiqh Antarabangsa menolak hujah itu kerana gelang, cincin selain rantai emas, walaupun sudah dibentuk, ia masih lagi emas dan tidak akan terkeluar daripada sifat emasnya.

Ia juga adalah pendapat sahabat seperti Ibn Umar, Udabah bin Somit dan disokong oleh pelbagai ulama kontemporari seperti Profesor Dr Muhydin Qurah al-Daghi, Profesor Dr Ahmad al-Kurdi, Profesor Dr Ali Salus, Profesor Dr Mohd Said Ramadhan Al-Buti dan ramai lagi.

Rujuk pandangan mazhab empat dalam Al-Mabsut 14/4, Al-Bayan wa at-Tahsil 6/444, At-Tamhid 2/246, Al-Umm 2/32, Takmilah al-Majmu’ oleh As-Subky, 10/83 Mughni al-Muhtaj, 2/25 al-Mughni oleh Ibn Quddamah 6/60.

Ibn Abd al-Barr dalam Istizkar menyatakan, sudah berlaku ijma’ (sepakat) mengatakan emas dengan emas seperti dalam bentuk ‘at-tibr’ (serbuk) dan apa jua bentuk emas berkenaan, hukumnya tetap tidak harus berlaku sebarang tafadhul (tambahan dari mana-mana pihak yang berurusniaga), demikian juga perak.

Justeru, tidak harus membelinya secara ansuran dan hutang.

Khatib As-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj (2/25) mengatakan, hasil pembuatan atau tukangan emas hingga menjadi barang kemas berbentuk itu tidak memberi kesan kepada hukum emas yang asal.

Bagaimanapun, wujud satu pendapat minoriti ulama yang mengatakan, emas tulen apabila dibentuk sehingga menjadi rantai, gelang dan cincin, ia sudah menjadi sil’ah (barangan dagangan seperti kereta kerana wujud proses pembentukan dan pembuatan) dan tidak lagi dianggap sebagai emas biasa, justeru hukumnya juga berubah.

Ia adalah pendapat Mu’awiyah (rujuk riwayat ini dalam Al-Muwatta oleh Imam Malik dalam kitab Buyu’ nombor 254, An-Nasaie 7/279, Al-Bayhaqi 5/280, tetapi Abu Darda menegur Mu’awiyyah kerana pandangannya bersalahan dengan nas hadis dan kemudian diadukan kepada Sayyidina Umar dan Umar juga mengharamkan).

Ibn Taymiah dan Ibn Qayyim (rujuk i’lam al-Muwaqqi’ien, 2/141 untuk pendapat Ibn Qayyim dan rujuk kitabnya Tafsir ayat Asykalat untuk pendapat Ibn Taymiah 2/632, tetapi jika dirujuk Majmu’ al-fatawa kita akan dapati Ibn Taymiah bersama pendapat jumhur pula).

Hasilnya, menurut kumpulan ini adalah HARUS untuk menjual dan membelinya secara hutang dan ansuran kerana ia sudah menjadi sil’ah (barang dagangan).

Ia disokong Profesor Dr Mahmud ‘Akkam dari Syria dan dipersetujui oleh As-Syeikh Profesor Dr Yusof al-Qaradhawi (kerana ‘umum al-balwa’ — Perkara maksiat yang kurang mudarat tetapi terlampau meluas dan sukar dihalang).

Mereka semua menyokong apa yang disebut oleh Ibn Rusyd al-Maliki (w 595H) berkata (rujuk Bidayatul Mujtahid 2/103) yang mengatakan: ‘Perhiasan emas dan perak terkeluar daripada kategori emas tulen (yang tertakluk kepada hukum tukaran emas dalam Islam), justeru harus menjual dan membelinya walaupun secara tangguh.

Ibn Mufleh al-Hanbali (w 763H) pula berkata (rujuk al-Mubdi’ 4/149): “Sesungguhnya ia sudah keluar daripada sifat asal dengan sebab sun’ah (pembuatan dan pertukangan).”

Dalil jumhur dari pelbagai hadis boleh rujuk di dalam kitab Az-ziyadah Wa atharuha fi al-Mu’awadah al-Maliah oleh Dr Abd Raouf Bin Muhd Al-Kamali (tesis Phd di Universiti Imam dengan tahap Mumtaz, 2/558).

Kesimpulan dan pandangan terpilih: ‘Maka hukum barang kemas adalah sama dalam hal ini kerana ia tetap emas pada pandangan majoriti, lalu setiap pembelian dan penjualan yang dibayar menggunakan duit (maka Kesatuan Fiqh Sedunia memutuskan mata wang kertas adalah ‘nuqud istilahiah’ (wang pada istilahnya) yang sama hukum hakam pada ketika berurusan dengannya seperti emas)’.

Hasilnya, sebarang penjualan dan pembelian barang kemas dengan wang kertas adalah sama seperti pertukaran perak dengan emas, maka hukumnya adalah wajib serah terima dilakukan secara serentak dalam satu masa, namun berat atau nilainya boleh berbeza disebabkan jenisnya yang berbeza.



Tukar beli emas lama dengan emas baru

Sudah jelas menurut perbahasan hukum tukar beli emas lama dengan yang baru atau barang kemas emas lama dengan yang baru mesti mengikut hukum yang dibincangkan di atas, iaitu menurut majoriti ulama setiap barang kemas tetap dianggap emas dan bukan sil’ah (barang komoditi).

Apabila seseorang ingin menukarnya dengan barang kemas baru emas yang lain, ia mesti punya dua syarat tanpa khilaf (boleh rujuk pelbagai kitab antaranya al-muamalat al-Maliah al-Mu’asiroh oleh Profesor Dr Ali Salus, halaman 180, Al-Buyu’ al-Sya’iah oleh Dr Tawfiq al-Buti dan lain-lain), iaitu:

1) Mutamathilan — mesti sama berat timbangannya. Manakala standard emas berkenaan (‘Iyar) 20 atau 21 atau 24 tidak memberi sebarang kesan.

Ia berdasarkan hadis yang menyebut berkaitan tamar khaibar (yang kurang elok atau buruk) yang ditukar dengan tamar Janib (yang elok) yang mana ia mesti menuruti syarat sama berat walaupun berbeza kualiti.

Hadis ini riwayat al-Bukhari dalam kitab al-Buyu’, no 4553. Jika tidak, Riba Al-Fadl akan berlaku.

2) Mesti ‘Taqabud fil hal aw fil majlis’ (diserah dan terima dalam satu masa) — kerana ia tertakluk kepada hukum sarf (tukaran mata wang dengan mata wang), maka tidak dibenarkan untuk menangguh masa serahan.

Justeru, kita mesti menyerahkan emas lama dan kemudian penjual menyerahkan emas baru yang sama berat pada ketika itu juga. Jika tidak, Riba Nasiah akan berlaku.

Mungkin ada yang akan bertanya, kalau ingin melakukan tukar-beli dengan emas baru yang lebih mahal harganya, bagaimana kita hendak bayar tambahan harga itu?

Jawapannya: Ia sama dengan kes dalam hadis Tamar Khaibar dan Janib tadi. Jawapan yang diberi oleh Rasulullah SAW adalah: “Juallah dengan sempurna, ambillah harganya dan kemudian belilah semula dengan duit kamu tadi.”

Jelas, caranya: mestilah seseorang yang ingin melakukan tukar-beli menjual terlebih dulu kepada pekedai emas itu lalu dia mestilah mengambil wang harga rantai lama itu.

Contoh, harga seutas rantai emas lama kita RM2000 dan beratnya 200 gram. Apabila kita ingin tukar-beli dengan rantai berharga RM2500, maka kita mesti jual dulu, selepas kita pegang wang RM2000, baru kita pilih rantai baru dan kemudian tambah dengan RM500, kemudian pembeli membayar kepada pekedai lalu mengambil rantai baru itu.

Kemungkinan jika transaksi seumpama itu dilakukan di Malaysia, ia kelihatan pelik. Bagaimanapun, itulah cara yang selamat daripada riba. Fikirkan dan bertindaklah.

Sumber : HMetro 2009/04/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...