BERSYUKUR kepada Allah bukan saja ketika senang tetapi juga pada saat menghadapi ujian-Nya. - Gambar hiasan |
Rahmat, musibah diturunkan Allah patut jadi medan umat muhasabah diri setiap saat
SESUNGGUHNYA orang yang memiliki ketajaman mata hati mengakui bahawa bencana dan seksa Allah tidak hanya dalam bentuk kelaparan, sakit, miskin dan muflis. Sesungguhnya bencana paling hebat ialah azab Allah bersifat maknawi, tidak nampak di mata manusia tetapi kesannya sungguh dahsyat dirasai.
Ia boleh membuat hati mereka tertekan seperti disebut dalam al-Quran yang bermaksud, "Barang siapa yang Allah menghendakinya mendapat petunjuk nescaya Dia melapangkan dadanya untuk menerima Islam. Siapa yang dikehendaki Allah mendapat kesesatan nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit seolah-olah ia sedang mendaki ke langit." (Surah Al-An'am, ayat 125)
Walaupun semua nikmat dunia sudah dimiliki dada rasa sempit, susah, takut, risau dan sedih. Bukankah perasaan itu adalah azab yang bersifat maknawi? Apakah lagi azab Allah yang ditimpakan kepada manusia supaya mereka beringat?
Azab di hati, tidak berasa manisnya iman. Mengapa orang yang lalai kepada Allah hidupnya bergelumang harta dan kuasa? Tidak nampak kesusahan pada wajah mereka, sentiasa sihat dan gembira dengan apa dimiliki. Tetapi benarkah mereka bahagia?
Mana mungkin harta boleh membeli ketenangan jiwa, bahkan hakikatnya semua yang ditonjolkan adalah palsu belaka. Hati mereka menjerit dikejar rasa bersalah, diburu bayang-bayang dosa dan maksiat yang dilakukan.
Nurani yang bersih sentiasa berbisik bahawa mereka melakukan kesilapan memilih jalan sedangkan nafsu yang keji cuba menjerat dengan pelbagai kenikmatan sesaat. Memang mereka menikmati segalanya tetapi jiwa tidak pernah puas, hampa dan kosong.
Allah menyeksa dengan cara mengunci mati hati mendapat hidayah-Nya. Azab Allah membuat hidup seseorang tidak menentu, tertekan, tersesat tanpa kuasa yang boleh menolongnya selain Allah.
Jika Allah cabut kemanisan iman dari hati, sesungguhnya Dia mengazab mereka secara senyap, ramai yang sembahyang tetapi tidak rasa manisnya sujud atau khusyuk dan mereka berilmu tetapi tidak mengenal jalan menuju Allah.
Mereka kaya tetapi tidak merasai keberkatan hartanya. Mereka kepenatan mengejar dunia, menitiskan air mata untuk dunia, risau dan takut kerana dunia, berjuang untuk dunia, sakit dan akhirnya mati untuk dunia tanpa melalui kemanisan saat beribadah dan kenikmatan memuji Allah.
Hati tempat jatuhnya rahmat dan azab Allah. Alangkah ramainya manusia yang tidak menyedari dirinya sedang diazab kerana dosa membutakan hati sehingga tiada mampu membeza manakah salah satunya, antara rahmat atau azab?
Orang berilmu buta hati jika ia menganggap dirinya sentiasa dirahmati Allah walaupun maksiat menghiasi peribadi, apatah lagi orang awam yang kering iman lagi jahil. Walaupun mesti bersangka baik kepada Allah, jangan sampai dia langsung tidak kisah dengan karat maksiat dan hanya berlagak umpama suci dalam debu.
Semakin dia rasa tidak kisah dengan maksiat itu, semakin hatinya kotor dan tidak layak dijatuhi pandangan rahmat-Nya. Kemudian dia tidak mampu lagi membeza mana rahmat dan mana azab, akhirnya buta hati.
Azab di mata, tidak mahu membaca hikmah peringatan Allah. Setiap peristiwa mesti mengandungi hikmah untuk kebaikan manusia. Ujian dan azab yang dideritai adalah bentuk tarbiah berkesan untuk menyedarkan kesilapan manusia.
Tetapi, ada pula orang yang semakin diuji semakin teruk kesesatannya, bahkan berterusan melakukan maksiat. Azab di atas azab! Apabila sakit yang dideritai, kehilangan harta, kegagalan hidup dan ajal maut sama sekali tidak menyedarkan bahawa semua itu adalah peringatan Allah.
Padahal duri yang mencucuk kulit itu menyimpan petanda peringatan daripada Allah bahawa manusia memang lemah, miskin dan tidak berupaya melawan kehendak Allah. Orang yang degil dan derhaka anggap semua itu lumrah hidup tiada campur tangan Allah.
Ketika sakit dia menyumpah seranah, jika rugi dia membuat penyelewengan demi mendapat keuntungan secara haram, jika dizalimi dia membalas dendam dengan kezaliman yang lebih teruk ke atas orang lain.
Tidak ada kamus taubat dan insaf dalam hidupnya. Mereka tidak mahu mengambil pelajaran kisah penyelewengan manusia yang berakhir dengan kesengsaraan dunia akhirat. Mata, telinga, hati dan akal dikurniakan Allah untuk mendapat hidayah tidak dimanfaatkan sehingga kesesatan tiada berakhir.
Firman Allah yang bermaksud: "Perumpamaan mereka seperti orang yang menyalakan api, maka selepas api itu menerangi sekelilingnya Allah hilangkan cahaya (yang menyinari) mereka, dan membiarkan mereka dalam kegelapan, tidak dapat melihat. Mereka tuli, bisu dan buta." (Surah al-Baqarah, ayat 17)
Mengapa manusia mudah tertipu? Bukankah mereka tahu musuh paling berbahaya ialah iblis dan syaitan tetapi mereka menjadikannya teman setia? Manusia juga dibekalkan syariat, hati dan mata. Justeru, dengan modal itu mereka pula semakin tersesat.
Orang Islam mengetahui syurga dan neraka, tetapi ramai pilihannya selalu silap. Mereka tahu dunia ini palsu dan menipu tetapi di situlah mereka memuaskan nafsu. Jadi, bagaimana menyelamatkan diri daripada kebodohan sendiri yang selalu tertipu sebelum azab datang?
Setiap kali mengulangi dosa dan maksiat kepada Allah, cubalah ancam diri sendiri. Awas! Jaga-jaga kuasa Allah boleh menarik balik semua yang anda miliki. Bayangkan perkara negatif terkena pada tubuh, harta, anak, isteri dan keluarga, kedudukan serta kuasa.
Apabila seseorang hidup dalam zon selesa dan tidak pernah mengancam diri maka keadaan ini membuatnya hanyut, lalai dan lupa daratan. Jika dia sentiasa berjaga-jaga dan suka menakutkan diri, ia sebagai langkah pencegahan sebelum kemurkaan Allah tidak dapat dibendung. Cara paling berkesan untuk mengancam diri dengan azab Allah ialah dengan mentadabburkan al-Quran. Sesungguhnya al-Quran bukan hanya membawa khabar gembira kepada hamba Allah yang beriman bahkan ada ayat ancaman supaya manusia tidak leka dibelai dunia. Sedikit tertawa dan banyak menangis adalah wasiat Rasulullah SAW supaya manusia suka mengancam dan memperingatkan diri dengan seksa Allah yang begitu pedih.
Ketinggian akhlak manusia bergantung dengan seberapa kerap dia bersyukur kepada Allah. Orang itu layak dipanggil manusia paling mulia dan tahu mengenang budi. Sesungguhnya manusia tanpa sifat syukur seperti penderhaka yang mengambil kesempatan dan menikam dari belakang.
Walaupun ilmu menjulang ke langit, harta setinggi gunung, kuasanya segagah ruang angkasa tetapi jika sifat kufur mengatasi segala-gala maka dia menjadi sehina makhluk pada pandangan Zat Yang Maha Pemberi Nikmat.
Lebih baik hidup sebagai cacing yang sedar diri sambil berzikir pagi dan petang mengingat jasa baik Allah memberinya makanan di dalam tanah. Walaupun syukur sang cacing tidak dibalas dengan nikmat di akhirat tetapi dia pandai berterima kasih kepada Allah atas rezekinya dalam tanah. Cacing hanya makan kotoran tetapi pandai bersyukur. Manusia jauh lebih baik makanan dan nikmat hidup yang dianugerahkan Allah tetapi betapa sedikitnya yang pandai bersyukur.
Syukur bermakna berhias dengan lidah yang memuji saja tanpa sepatah pun mencela perbuatan Allah ke atas diri kita, berhias dengan perbuatan mengikut undang-undang Tuhan sekali gus menolak logik manusia yang bodoh berlagak tahu segala-gala.
Syukur itu perhiasan paling cantik jika dipakai, ilmu bermanfaat jika diamal dan akhlak indah pada pandangan Tuhan, bahkan ia boleh menahan azab yang turun dari langit. Allah berfirman yang bermaksud: "Jika kamu bersyukur, Aku tambahkan nikmat-Ku namun jika kamu kufur sungguh azab-Ku amat pedih."
Sumber : BHarian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...