PAGE

Isnin, Mei 11, 2009

Akal didasari iman, akhlak mulia pertingkat martabat manusia

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

MANUSIA menjadi mulia kerana sifat kemanusiaannya yang berteraskan kekuatan fikiran. Malang sekali jika disalahgunakan kecerdasan fikiran boleh membawa kerosakan bukan saja pada diri, juga mereka di sekeliling.

Akal manusia menjadikannya makhluk mulia, berbanding makhluk lain ciptaan Allah sehingga boleh membina tamadun dibanggakan. Melalui kurniaan Allah itu juga manusia mencipta peralatan moden serta canggih untuk keperluan mereka.

Kemampuan manusia membezakan perkara baik dan buruk juga daripada akal fikiran. Namun, kelihatannya kecenderungan manusia lebih kepada melakukan kerosakan daripada mendatangkan kebaikan untuk seluruh isi alam.

Apabila akal yang sepatutnya diletakkan pada kedudukan yang tinggi dikorbankan untuk sesuatu kepentingan diri, maka tepat apa difirmankan Allah, manusia akan terjun menjadi serendah-rendah makhluk, bahkan lebih rendah daripada haiwan yang melata.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya manusia Aku cipta dalam sebaik-baik kejadian. Lalu Aku jatuhkannya menjadi serendah-rendah makhluk; kecuali mereka yang beriman, beramal salih. Mereka mendapat ganjaran yang tidak putus-putus."

Maruah kemanusiaan yang ada pada diri tergadai kerana menurutkan nafsu yang menjadi musuh kepada akal. Kecantikan dan keindahan insan kerana akhlaknya yang baik dan bertepatan dengan kehendak agama.

Akhlak Islam mesti bersumberkan wahyu al-Quran dan sunnah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Agama itu adalah akhlak yang baik."

Jelaslah, kedudukan akhlak seseorang menggambarkan kedudukan iman dan pegangan agama sama ada terbukti kukuh atau tidak. Dalam Islam, akhlak yang baik mencerminkan penghayatan seseorang terhadap ajaran agama.

Nabi SAW berpesan dalam sabda yang bermaksud: "Sesungguhnya orang paling baik akhlaknya ialah yang paling baik agamanya."

Ini menunjukkan akhlak adalah roh kepada agama. Roh akhlak meliputi semua aspek kehidupan sama ada akidah, keimanan, ibadah dan muamalah. Persoalan yang timbul ialah bagaimana akal dijaga supaya manusia berada pada taraf yang tinggi.

Manusia mesti kembali kepada Allah, beriman serta mengabdikan diri semata-mata kepada-Nya. Manusia tidak akan sempurna setakat mempunyai pengetahuan luas dalam pelbagai bidang bersifat keduniaan tetapi tiada keimanan teguh terhadap Allah. Kepercayaan dan keimanan kepada Allah menjadi paksi segala kesedaran yang akan mendorong manusia melakukan amalan baik seperti dituntut Allah.

Pada masa sama, manusia akan menjauhkan diri daripada melakukan perkara mungkar yang boleh menyebabkan kemurkaan Allah.

Apabila seseorang mengaku beriman kepada Allah, ia bukan sekadar ucapan tetapi diterjemahkan melalui perbuatan kerana kita dipertanggungjawabkan terhadap setiap apa yang dilakukan di duni.

Oleh sebab pentingnya akal, sepatutnya kita menggunakan ia untuk tujuan kebaikan. Jika manusia masih membuat bohong, fitnah, mencuri, memukul, rasuah, zina dan pelbagai kejahatan lain, ingatlah Allah tetap memerhatikannya dan memberi hukuman setimpal.

Apa juga yang kita lakukan adalah hasil pemikiran akal. Oleh itu, jangan salahkan orang lain jika kita tersalah langkah kerana hak menentukan perjalanan hidup terletak seratus peratus di tangan sendiri. Memang hidup sudah ditentukan Allah, tetapi kita perlu berusaha sebelum bertawakal kepada-Nya.

Adalah menjadi tanggungjawab kita memastikan akal yang dimiliki dapat membawa kepada keredaan Allah. Hanya dengan keimanan kepada Allah yang dapat menyelamatkan diri daripada ditimpa kemurkaan.

Gunakan akal kurniaan Allah untuk mencapai kejayaan serta keredaan-Nya bukan mencari sebab untuk dimurkai. Oleh itu, sentiasalah mengharapkan apa yang kita lakukan dapat memberi kebaikan untuk di dunia dan akhirat.

Sumber : BHarian 2009/05/11

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...