PAGE

Jumaat, Mei 29, 2009

Budaya ukhuwah landasan eratkan perpaduan umat Islam

CIRI utama ibadat dalam Islam berpaksikan ukhuwah dan persaudaraan. Kewajipan ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji antara lain membina ukhuwah serta perpaduan.

Justeru, Allah mengisyaratkan setiap mukmin adalah bersaudara seperti firman Allah bermaksud: “Sebenarnya orang beriman itu bersaudara maka damaikanlah antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Orang beriman diikat oleh tali kekeluargaan seagama, satu ikatan yang mengatasi hubungan darah dan keluarga. Mereka berkewajipan memelihara persaudaraan dengan saling menghormati, bekerjasama dan membantu dalam kehidupan seharian.

Inilah ciri persaudaraan Islam unggul dibina Nabi SAW ketika berhijrah ke Madinah. Persaudaraan berasaskan akidah itu berjaya menyatukan masyarakat Madinah yang terdiri daripada pelbagai pegangan agama dan kabilah.

Sejarah mencatatkan kehebatan tahap persaudaraan ketika itu antara Ansar dan Muhajirin. Dinyatakan keluarga Ansar yang memiliki dua pakaian memberikan sehelai kepada saudaranya daripada golongan Muhajirin.

Mereka yang memiliki dua rumah menghadiahkan sebuah kepada keluarga Muhajirin dan mereka mempunyai dua bidang tanah, sebidang diwakafkan kepada Muhajirin. Demikianlah tingginya tahap persaudaraan dan kasih sayang yang dihayati masyarakat Islam pada zaman Nabi SAW.

Sesungguhnya persaudaraan Islam yang bercirikan roh kekeluargaan dan semangat kekitaan semakin berkurangan, malah ada sesetengah keluarga tidak mengenali saudaranya serta jarang berjumpa.

Sesetengah jiran tetangga pula tidak mengenali dan bertegur sapa dengan jiran, peniaga memeras pengguna, majikan mengabaikan kebajikan pekerja atau fakir dan miskin yang lemah tidak dipedulikan golongan berada.

Fenomena hasad dengki, khianat, dendam dan buruk sangka berleluasa dalam masyarakat. Dalam perkembangan semasa, apa yang membimbangkan lagi ialah berlaku permusuhan dan perbalahan di kalangan pemimpin serta pengikut parti politik yang pasti mengancam kekuatan dan kedaulatan umat.

Persoalan besar timbul dan terus menjadi tanda tanya ialah mengapa umat Islam terus berpecah walaupun kekuasaan kita semakin mengecil? Antara sebabnya ialah pegangan akidah dan takwa umat Islam sedang dilanda krisis.

Kehidupan harian sebahagian umat Islam tidak dikuasai iman dan akhlak, tetapi dipengaruhi nafsu yang mengutamakan kepentingan peribadi, bukan kepentingan agama, masyarakat dan negara.

Menangani permasalahan membimbangkan ini, segenap lapisan masyarakat Islam diseru menghayati budaya ukhuwah dan perpaduan dengan kaedah digariskan Allah antaranya:

l Mengikis perbuatan saling mencaci, mengeji, mengadu domba dan berprasangka buruk antara satu sama lain yang menjadi punca perselisihan dan perbalahan.

Ini selaras dengan perintah Allah dalam firman bermaksud: “Wahai orang beriman! Jangan sesuatu puak merendahkan puak lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan jangan pula wanita ke atas wanita yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan jangan kamu mencela dirimu sendiri; dan jangan kamu panggil-memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Amat buruk sebutan nama fasik sesudah ia beriman. Sesiapa tidak bertaubat, maka merekalah orang yang zalim.” (Surah al-Hujurat, ayat 11)

l Memastikan hak sosioekonomi dan politik dalam masyarakat dipenuhi dengan adil serta saksama. Hindari diskriminasi dalam apa juga aspek menyentuh kepentingan individu.

Dengan terlaksana keadilan, timbul kepuasan mewujudkan persefahaman, penghormatan dan kerjasama yang sekali gus mengukuhkan perpaduan. Firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman, hendaklah kamu sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan kebencian kamu terhadap suatu kaum itu mendorong kamu tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana ia lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Maidah, ayat 8)

l Setiap individu perlu menjadi anggota masyarakat yang berfikiran positif iaitu bersedia bekerjasama dan saling membantu dalam apa juga kebajikan dilakukan oleh sesiapa saja selagi kegiatan itu berlandaskan tuntutan syarak, berkebajikan dan mendatangkan maslahah umat.

Hindari sikap ego atau fanatik kepada fahaman sendiri serta serba tidak kena dengan pendapat dan usaha orang lain. Mari kita ambil iktibar dan cermin diri pada masa ini ada tanda kekuatan politik umat Islam semakin lemah, penguasaan ekonomi juga tertinggal di belakang kaum lain dan kualiti sosial umat merosot.

Oleh itu, kita tiada pilihan kecuali kembali bersatu menguatkan persaudaraan berdasarkan ketaatan kepada ajaran al-Quran dan al-Sunnah.

Khutbah online Jakim

Sumber : BHarian 2009/05/29

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...