PAGE

Ahad, Mei 17, 2009

Kaunselor Anda: Isteri risau suami dingin

Wanita akui sengsara tidak dipedulikan pasangan di rumah, tempat kerja

SOALAN :

SUDAH lama saya menanggung perasaan ini. Saya tertekan kerana pendamkan masalah hanya kerana ingin menjaga hati pihak lain. Saya ibu kepada seorang cahaya mata berusia 15 tahun dan bersekolah di asrama penuh. Saya dan suami ialah kakitangan kerajaan.

Malangnya, hubungan saya dan suami tidak seperti suami isteri lain. Pada awal perkahwinan, semuanya berjalan lancar sehinggalah saya melahirkan anak. Suami bertambah dingin terhadap saya. Pada mulanya saya beranggapan bebanan kerja menjadikannya sedemikian lalu saya diamkan saja. Lama kelamaan keadaan semakin teruk. Saya tidak mendapat layanan yang sepatutnya. Suami kini tidur di ruang tamu dengan alasan menonton bola. Apabila saya memintanya masuk ke dalam bilik, alasannya panas. Masalah ini berlarutan beberapa tahun dan saya cuma menerima nafkah batin hanya sekali atau dua kali setahun! Masalah ini bertambah berat apabila saya ditukarkan ke tempat kerja suami. Oleh sebab di rumah sememangnya kami ada masalah, di tempat kerja menambahkan lagi masalah kami. Saya cuba menolak dan membuat rayuan supaya tidak ditukarkan, namun rayuan saya gagal. Tekanan perasaan ini menjadikan saya suka menyendiri. Apabila saya berada di luar, saya seolah-olah mendapati semua manusia di sekeliling melihat dan memandang sinis kepada saya. Jika boleh, saya mahu bersemuka dengan Puan.

ISTERI TERTEKAN

JAWAPAN:

Salam ikhlas buat isteri duka yang setia dan puan adalah isteri yang baik, tetapi kebaikan tidak dihargai suami. Ini biasanya menjadi duri dalam daging, nak dikata hidup tak nampak gerak, nak dikata mati tidak ada kuburnya. Itulah kenyataan hidup yang disediakan Allah untuk kita pilih, sama ada untuk kekal dalam derita ini atau mencari jalan keluar daripada belenggu yang tidak pasti bila berakhirnya. Puan ibarat kata pepatah diluah mati mak ditelan mati bapa.

Namun begitu, puan harus berusaha menyelamatkan diri sendiri. Pada pendapat saya, puan tidak wajar terus bersedih dan tertekan, belajarlah menghadapi kenyataan. Jika anda menganggap rumah tangga tidak bahagia, maka duka lara yang anda temui sepanjang hayat. Jika anda tidak mengharapkan apa-apa daripada penderitaan ini dalam kehidupan ini, maka jiwa anda akan melupakan segala-galanya.

Apabila anda berasakan tidak dipedulikan, itu penderitaan, maka anda akan terus derita. Buatlah pilihan sama ada mahu terus kekal sedemikian atau mahu mengubah kehidupan. Cadangan saya, jika anda mampu hidup berdikari lebih baik buat keputusan keluar daripada penderitaan itu sebelum emosi menjadi lebih kronik.

Anda terdedah dengan ancaman gangguan emosi yang jika dibiarkan, boleh mengundang serangan perasaan kronik. Boleh berdikari bermakna, mampu dari segi emosi, ekonomi dan kemampuan bergerak atau mampu memandu dan ada tempat tinggal yang selamat dan mampu dibayar.

Jika kemudahan ini tidak ada, puan harus belajar merawat perasaan sendiri dengan bantuan kaunselor yang anda yakini dapat membantu. Jika anda bercadang berjumpa saya, hubungilah 017-8724285. Selebihnya panjatkan kepada Allah kerana Dia yang menghidupkan dan memberi rezeki. Berpegang pada keyakinan ini, kita tidak harus takut kepada manusia untuk meneruskan hidup ini sama ada dia kawan, suami, keluarga atau majikan.

Apa yang membuat kita bimbang dalam hidup ini apabila kita menggantungkan hidup kepada orang lain, menagih simpati, ingin dihargai, ingin dipuja dan dipuji dan tidak mahu dicela, sedangkan semua ini adalah berpunca daripada lemahnya hubungan kita dengan Allah.

Satu lagi sikap yang harus anda bina ialah jangan menganggap caci maki orang akan membahayakan diri kita. Binalah sikap bahawa semua cacian orang tidak akan merubah hidup kita. Apabila mereka sudah penat mencerca, mereka akan berhenti. Jangan habiskan masa dan hidup dengan memikirkan apa yang orang lain fikirkan kerana ini membuang masa dan melelahkan jiwa. Jika boleh, pedulikan apa yang mereka kata, berpalinglah daripada mereka kerana kita bukannya dilahirkan untuk memikirkan apa yang mereka fikir dan mahukan. Berpalinglah kepada Allah dan maafkanlah mereka kerana mereka jahil.

Lagi pun, tiada apa yang harus dibanggakan dengan umpatan mereka yang suka berdengki dan menjatuhkan orang lain. Hayati pesanan bijak pandai ini sebagai senjata untuk hidup: ‘Cintailah musuh-musuhmu.’ Ungkapan itu bermaksud anda harus memberi maaf yang seluas-luasnya kepada semua orang yang tidak gembira dengan anda dan jangan membina sebarang prasangka dan mendendami mereka. Jika ini anda dapat lakukan bermakna anda mampu menghadapi apa saja bentuk kehidupan dengan lebih yakin dan dapat membebaskan perasaan negatif yang tersimpan dalam benak anda selama ini. Menyimpan semua rasa marah dan tidak puas hati itu akan membinasakan hidup anda seterusnya. Belajarlah menerima apa yang ada dengan lapang dada kerana Allah akan melapangkan hidup kita sebenarnya.

Sumber : BHarian 2009/05/17

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...