Hanya Lelaki - Pengakuan Duda
Kehilangan syaril menjadi pengajaran yang paling sukar diterima oleh aiman (Bukan nama seBenar) dan Zila (juga Bukan nama seBenar). semuanya BerpunCa dari sikap panas Baran dan CemBuru memBaBi Buta yang sukar dibendung aiMan.
Habis ditumbuk dan dimaki hamun budak-budak yang cuba menggatal dengan isterinya. Sudahnya mereka pulang dengan tangan kosong tanpa sempat membeli-belah. Tidak cukup dengan itu, tiba di rumah Zila juga menjadi mangsa amarahnya. Walaupun jauh di sudut hatinya tahu Zila langsung tidak bersalah, namun perasaan marah yang membuak-buak dan sukar dibendung membuatkannya hilang kewarasan diri.
Sudah acap kali kejadian ini berlaku. Malah, Aiman juga sudah beberapa kali berjumpa pakar kaunseling dalam usaha untuk memperbaiki sikap diri. Tetapi, paling lama sikap sabarnya hanya bertahan selama seminggu. Kemudian, sikap baran Aiman akan kembali semula dan kadangkala amarahnya melampau-lampau. Entah apa yang terbuku di hati Zila mengenai dirinya, Aiman sendiri tidak berani memikirkannya. Bimbang apa yang difikirkannya bakal menjadi kenyataan.
Bukannya Aiman tidak sayangkan Zila tetapi dia sendiri lebih arif sikap barannya sukar diubah. Tanpa disedari sikap barannya memberi kesan terhadap anaknya. Syaril, dulunya seorang yang ceria dan aktif kini semakin menjadi pendiam. Mungkin kerana barannya yang tidak menentu sehingga kadangkala dilepaskan terus kepada Zila di hadapan anak kecilnya. Dek kerana barannya, Syaril semakin menjauhi dirinya dan lebih rapat ibunya.
Kacau juga hatinya memikirkan anak kesayangannya tidak mahu berdekatan dengannya. Tahun lalu, Syaril sudah mula bersekolah di tahun satu. Setiap hari, Zila akan menghantar Syaril ke sekolah, menemaninya sehingga waktu rehat. Namun, tindakan Zila menjadikan api cemburunya semakin menyala-nyala. Sikap barannya menjadi-jadi.
Semuanya gara-gara dia tidak senang dengan pandangan mata ‘lelaki-lelaki’ lain terhadap isterinya. Berkali-kali pergaduhan terjadi antara mereka. Seperti biasa, Zila akan disakiti semahu-mahunya. Untuk tidak menjadikan keadaan lebih teruk, Aiman terus melarang Zila menemani Syaril di sekolah. Zila hanya dibenarkan menghantar dan mengambil Syaril sahaja.
Anak alami kemurungan
Tidak mampu melawan atau berkata apa-apa, Zila hanya akur walaupun di hatinya tidak menyenangi tindakan suaminya. Syaril pula, dilihatnya semakin takut dengan dirinya. Pantang terserempak di dalam rumah, Syaril akan seboleh-bolehnya mengelakkan diri. Tidak pernah mereka duduk di dalam satu tempat yang sama. Jika Aiman di ruang tamu, Syaril akan memerap di dalam bilik.
Syaril tidak lagi lincah, aktif dan ceria seperti dahulu. Walaupun dengan ibunya sendiri dia lebih banyak menyendiri dan mendiamkan diri. Syaril seolah-olah berada dalam dunianya sendiri, keseorangan tanpa sesiapa di sisinya. Perubahan Syaril disangkanya hanya kerana tidak senang dengan sikapnya yang sering memukul dan menyakiti Zila. Tetapi, siapa tahu ia sebenarnya lebih daripada itu.
Disebabkan terlalu tertekan dengan keadaan yang berlarutan begitu setiap hari, Syaril mengalami masalah kemurungan. Masalahnya semakin berat dan tidak tertanggung kerana umurnya yang masih kecil, dia sendiri tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Akibat tekanan yang melampau, sikap murungnya semakin teruk hingga tiada selera makan.
Sebak di hati Aiman apabila suatu hari tergerak di hatinya untuk mengejutkan Syaril bangun ke sekolah. Anaknya terbujur kaku di katilnya, tidak lagi bergerak-gerak. Kemurungan yang dihadapinya telah membawa kepada kematiannya. Kenyataan tersebut membuatkan Zila bagaikan hilang akal. Di hatinya, hanya Syaril pengubat duka lara selama ini.
Sungguh dia tidak dapat menerima apa yang berlaku kepada anaknya. Dia lebih rela dirinya disakiti tetapi dia tidak dapat menerima kehilangan Syaril. Tidak disangka anaknya yang menjadi satu-satunya kekuatan untuknya teruskan hidup bersama suaminya selama ini pergi meninggalkannya. Tiada apa lagi yang tinggal untuknya.
Zila nekad memutuskan ikatan perkahwinan mereka. Baginya, sudah tiada erti lagi hidup bersama Aiman sedangkan ‘nyawanya’ yang selama ini memberi kekuatan hidup padanya tiada lagi di sisinya. Berat untuk dirinya melepaskan Zila, namun bimbang memburukkan keadaan, Aiman terpaksa melakukannya. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...