PAGE

Jumaat, Mei 15, 2009

Keinginannya melebihi kemampuanku

Hanya Lelaki - Pengakuan Duda

Muzamil dan Norsa (bukan nama sebenar) baru sahaja mendirikan rumahtangga. Perkahwinan mereka tidak dilakukan secara besar-besaran, sebaliknya sederhana. Muzamil seorang bujang terlajak yang pendiam dan tidak pandai memikat wanita. Dia terlalu mengalah dalam banyak hal. Namun dia bukanlah dalam lategori lelaki lurus bendul tetapi seorang yang baik hati dan tidak banyak karenah.

Usianya memasuki 40 tahun, namun masih bersendirian. Si ibu yang semakin uzur bimbang dengan keadaan anaknya. Sekiranya dia tiada kelak siapa pula yang akan menjaga dirinya. Lalu si ibu dan adik-beradik yang lain membuat pakatan mencari pasangan hidup untuk Muzamil. Setelah diselidik dan dicari selama hampir berbulan-bulan, akhirnya mereka dikenalkan dengan seorang anak dara yang juga telah lewat usianya.

Walau bagaimanapun, gadis itu tidak sempurna seperti anak gadis yang lain. Walaupun punya wajah yang menarik namun gadis tersebut bisu. Rupa parasnya yang cantik membuatkan Muzamil terus jatuh hati sebaik diperkenalkan kepadanya. Awalnya ibu tidak berapa merestui perhubungan antara Muzamil dengan bakal isterinya, Norsa.

Sungguhpun dia yang berkeras untuk menikahkan satu-satu anak bujangnya itu, namun dia tidak menyangka anaknya itu akan memilih seorang gadis bisu sebagai pasangan hidup. Bukankah nanti mereka akan menghadapi masalah untuk berkomunikasi. Muzamil bersungguh-sungguh untuk memiliki Norsa menjadi isterinya. Dia juga semakin gigih bekerja demi menambah wangnya yang sedia ada. Memandang kesungguhan anaknya itu, si ibu terpaksa merelakan pilihan Muzamil.

Akhirnya, Muzamil dan Norsa selamat diijabkabulkan. Kedua-duanya tinggal bersama dengan ibunya yang telah uzur. Walaupun tidak bersuara, Norsa seorang yang rajin dan ramah orangnya. Ada sahaja cara yang dilakukan agar dia dapat berbicara dengan ibu mentuanya. Muzamil dan Norsa cukup serasi, walaupun ada di kalangan saudara mara yang tidak memahami bicara Norsa, Muzamil dapat menjelaskan dengan tepat.

Norsa pula tahu bagaimana untuk menyesuaikan diri di rumah mentua. Norsa dilahirkan dalam sebuah keluarga yang agak mewah. Apa sahaja kehendaknya pasti akan dipenuhi oleh kedua ibu bapanya. Atas sebab itu juga apabila dia mendirikan rumah tangga dengan budak kampong seperti Muzamil ibu bapanya berasa cukup bimbang sekali.

Mereka risau andai Muzamil tidak dapat menyediakan keperluan Norsa sebagaimana yang selalu mereka berikan. Namun, kesungguhan Muzamil membuka pintu hati kedua ibu bapa Norsa. Tinggal di rumah kampung tidak membuatkan Norsa kekok, sebaliknya perasaan cintanya kepada Muzamil begitu mendalam membuatkan segala kepayahannya dapat diatasi dengan mudah.

Jatuh pengsan

Tiga bulan pertama kehidupan pasangan suami isteri itu berjalan dengan cukup lancar. Selepas lima bulan disahkan menjadi suami isteri, mereka dikhabarkan berita gembira iaitu Norsa mengandung. Berita itu benar-benar membuatkan Norsa dan Muzamil gembira bukan kepalang. Demi meraikan kegembiraan itu, mereka melakukan kenduri doa selamat.

Selesai kenduri, Norsa pengsan secara tiba-tiba. Keadaan itu membuatkan Muzamil menjadi cukup panik. Dia terlalu terkejut hingga tidak dapat hendak membuat apa-apa. Mujur adik beradiknya yang lain masih lagi belum pulang. Merekalah yang menguruskan Norsa ke hospital.

Selesai pemeriksaan, Norsa hanya didapati berada dalam keadaan letih yang keterlaluan. Sememangnya sepanjang berada di rumah itu, Norsalah yang menguruskan segala-galanya. Memandangkan Norsa tidak pandai berbicara, segala-galanya diserahkan kepadanya termasuklah dalam urusan membasuh pinggan mangkuk.

Suaminya, Muzamil hanya memandang kepayahan isterinya dengan hambar sahaja. Dia langsung tidak memikirkan keadaan diri Norsa yang sarat mengandung dan ketidakupayaannya untuk menolak setiap pekerjaan yang diberikan oleh adik-beradiknya yang lain. Sekembali dari hospital, adik-beradik Muzamil tidak banyak bicara dengannya. Malah mereka sempat menasihati Muzamil agar tidak terlalu memanjakan Norsa secara berlebihan. Kata mereka Muzamil perlu bertegas dan tidak menurut kehendak Norsa secara melulu.

Campur tangan mentua

Muzamil hilang punca, perasaan sayang pada isterinya terlalu menebal. Dia tidak nampak manja yang bagaimanakah telah dia berikan kepada isterinya itu. Cuma dia sedar sejak akhir-akhir itu, permintaan Norsa ada kalanya keterlaluan. Dia meminta Muzamil menggantikan kipas biliknya dengan penghawa dingin. Muzamil menuruti tanpa banyak kerenah. Dia juga meminta Muzamil membelikan sebuah mesin basuh baru automatik bagi memudahkannya membasuh kain kelak.

Muzamil tidak menghadapi masalah untuk memenuhi permintaan isterinya itu. Apatah lagi, gajinya masih boleh menampung kehidupan mereka berdua termasuk ibunya. Namun apakah nanti dia dapat bertahan sekiranya bayi dalam kandungan Norsa selamat dilahirkan. Pasti dia memerlukan banyak duit untuk memenuhi setiap keperluan Norsa yang terbiasa hidup mewah itu. Selepas setahun anaknya dilahirkan, rumah tangga mereka mulai dilanda konflik.

Ia berpunca dari soal kewangan Muzamil yang sederhana manakala keinginan Norsa tidak sepadan dengan kemampuan suaminya. Kesudahannya Norsa lari meninggalkan Muzamil dan pulang ke rumah ibunya. Kekecohan mulai terjadi, campur tangan ibu dan ayah mentua membuatkan rumah tangga yang dibina tidak sampai dua tahun itu berantakan juga akhirnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...