SOALAN :
Ayat al-Quran, zikir boleh halang gangguan syaitan
SEJAK akhir-akhir ini, kita kerap mendengar masalah histeria di sekolah luar bandar dan bandar. Baru-baru ini, sekolah anak saya di Petaling Jaya turut mengalaminya. Dari segi psikologi, ia dikaitkan dengan tekanan. Apakah histeria daripada pandangan Islam dan bagaimanakah menangani masalah itu serta doa yang boleh diamalkan bagi mengelak masalah ini.
Puan Nur, Petaling Jaya, Selangor.
JAWAPAN :
HISTERIA atau dalam bahasa Melayu dikenali sebagai kerasukan sesuatu yang benar-benar wujud. Sebagai contoh, Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 275 bermaksud: "Orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama saja seperti riba". Padahal Allah sudah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu, sesiapa yang sudah sampai kepadanya peringatan (larangan) daripada Tuhannya lalu ia berhenti (daripada mengambil riba), maka apa yang sudah diambilnya dulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya dan perkara itu terserah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi (perbuatan mengambil riba), maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya."
Dirasuk ditafsirkan oleh ulama, contohnya Ibn Kathir dalam tafsir al-Quran al-Azim bahawa pemakan riba tidak dapat berdiri dengan betul pada hari kiamat. Mereka akan berjalan terhuyung-hayang seperti orang kerasukan.
Sebagai keterangan lanjut yang berkaitan, dalam hadis sahih riwayat al-Hakim daripada Kharijah As-Shalt daripada Alaqah Sahar, dia berkata: "Pada zaman Nabi dulu, penduduk sebuah kampung pernah meminta tolong kepadaku mengubati seorang yang selalu ditimpa penyakit gila dan kerasukan di kalangan mereka. Orang lelaki ini diikat bagi mengelakkan dia menyusahkan orang lain.
"Alaqah akhirnya membacakan al-Fatihah untuk orang yang ditimpa musibah itu setiap hari, pagi dan petang selama tiga hari berturut-turut sehingga dia sembuh dan dilepaskan daripada gangguan syaitan itu."
Merujuk bukti al-Quran dan hadis yang sangat banyak, ulama ahli Sunnah bersepakat mengatakan kerasukan syaitan benar-benar wujud. Ia satu bentuk penguasaan syaitan ke atas manusia di samping cara mempengaruhi yang lain.
Allah SWT menjelaskan dalam surah al-Mujadalah ayat 19 bermaksud: "Syaitan sudah menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati (ajaran dan amaran) Allah."
Matlamat terakhir gangguan syaitan seperti digambarkan dalam surah al-A'raf ayat ke-17 bermaksud: "Kemudian aku datangi mereka dari hadapan serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka, dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur."
Bagi mengatasi masalah gangguan itu, cara paling berkesan terutama apabila berlaku kepada ramai, seseorang melaungkan azan. Nabi SAW menyatakan dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim: "Apabila azan dilaungkan, syaitan bertempiaran lari sambil membunyikan kentutnya kerana tidak mahu mendengar suara azan."
Dalam hadis lain, rawatan yang sangat berkesan ialah membaca surah al-Fatihah, ayat Kursi, dua ayat terakhir surah al-Baqarah, surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas. Cara dicadangkan menurut hadis riwayat Abu Daud ialah membuat tiupan kepada pesakit dan mengulangi bacaan itu tiga kali atau lebih.
Bagi mengelak ditimpa gangguan syaitan yang pelbagai, kita perlu sentiasa zikir dan wirid sekurang-kurangnya selepas solat, sentiasa membaca al-Quran dan mengamalkan doa pilihan.
Sebagai contoh pembaca boleh merujuk kitab zikir nabi karangan al-Imam an-Nawawi yang sangat padat dengan amalan dan petua yang dianjurkan Baginda SAW. Nabi juga pernah mengalami gangguan syaitan akibat disihir oleh Yahudi Labid al-A'sam, tetapi Baginda diselamatkan Allah dengan amalan membaca al-Falaq dan an-Nas.
Sebagai wasiat yang penting daripada Nabi SAW seperti yang diriwayatkan al-Imam al-Bukhari dan Muslim, Baginda bersabda:
"Apabila kegelapan malam tiba, iaitu waktu petang, tahan anakmu, sesungguhnya syaitan bertebaran pada waktu itu. Apabila malam mula berlalu, maka lepas mereka, tetapi tutup pintu rumahmu dan sebutlah nama Allah. Sesungguhnya syaitan tidak membuka pintu yang tertutup, tutup makanan dan minuman serta sebut nama Allah SWT, sekalipun dengan meletakkan sesuatu di atasnya."
INFO: Elak gangguan syaitan
- Membaca surah al-Fatihah, ayat Kursi, dua ayat terakhir surah al-Baqarah, surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas.
- Membuat tiupan kepada pesakit dan mengulangi bacaan di atas sebanyak tiga kali atau lebih.
- Zikir dan wirid sekurang-kurangnya selepas solat, sentiasa membaca al-Quran dan mengamalkan doa pilihan.
- Larang anak keluar ketika Maghrib dan tutup pintu rumah kerana syaitan bertebaran pada waktu itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...