PAGE

Selasa, Mei 05, 2009

Mandrem (jampi) takluk suami miang

Salam,

Saya kirimkan artikel Jadilah isteri yang disenangi suami oleh ustaz Ahmad Baei Jaafar [FiKRAH iSLAMiAH] di beberapa e-grup yang saya sertai dan mendapat feedback daripada netter seperti berikut;
Mohon Bawang Goreng boleh dapatkan maklumat tambahan agar suami tidak hipokrit, depan isteri berlakon sebagai suami yang bertanggungjawab, penyayang tetapi belakang isteri bermain kayu tiga dengan perempuan lain..penatlah jika suami berperangai macam ni...

Sepatutnya dikurniakan isteri yang sama berperangai macam suami begini ...... atau pun tinggalkan ajer suami berperangai macam nie..ada mengatakan suami yang baik untuk isteri yang baik tetapi di sebabkan zaman IT yg serba canggih, lain pula jadinya.. kecanggihan IT dijadikan tempat untuk mencari teman dan meluah kasih sayang....
Sebetulnya, soalan patut diajukan kepada ustaz, tetapi disebabkan saya ingin kongsikan apa yang ada, maka saya cuba usahakan juga menjawap soalan yang dikemukakan...

Sebelum berkahwin, kita selalunya mengharapkan yang terbaik, malah, tidak mustahil kita tidak akan menjangkakan perkara-perkara buruk akan berlaku dalam perkahwinan impian kita. Namun, selepas berkahwin, ada yang menemui kebaikan, ada yang sebaliknya. Kasihan jika kita berada dalam golongan yang sebaliknya. Umum telah kita ketahui, lelaki memang sukakan wanita. Ini jelas seperti firman Allah SWT yang bermaksud, "Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga)." (Surah Ali-'Imran [003], ayat 14)

Perasan tak kenapa Allah SWT menggunakan ayat "wanita-wanita" dan tidak "wanita" saja? Ini adalah kerana lelaki fitrahnya sukakan wanita-wanita. Wanita-wanita adalah perhiasan bagi setiap lelaki. Setiap lelaki, tidak kira sama ada yang sudah berkahwin satu, dua, tiga atau empat sekalipun, akan tetap 'memandang' wanita lain selain isterinya. Setuju?

Mandrem (jampi) takluk suami miang

Semua lelaki ada peluang untuk jatuh hati kepada setiap wanita yang dipandang amat menarik di matanya, tidak kira lelaki itu sudah beristeri, bercucu atau mungkin saja yang sudah ada cicit sekalipun. Wanita pun apa bezanya? Manusia dicipta lengkap dengan potensi akal, hati dan nafsu. Cuma yang membezakan lelaki dan wanita ialah dari segi 'kesetiaan'. Boleh dikatakan, wanita lebih cenderung setia kepada yang satu, manakala lelaki pula selalunya rambang mata, kalau boleh semuanya hak aku...

Kalau mereka bergantung kepada wahyu Allah SWT untuk menyelamatkan diri, insya Allah ketiga-tiga potensi itu tidak akan menjerumuskan mereka ke dalam jurang dosa dan kejahatan. Lelaki atau wanita miang ada di mana-mana. Minta dijauhkan daripada musibah ini, iaitu jika pasangan kita memiliki ‘kemiangan yang terlampau’.

Ada kalanya disebabkan suami memiliki pembawakan genetik yang agak pelik atau terpengaruh oleh persekitaran yang tidak sihat, maka dia mudah jatuh hati kepada sesiapa saja, terutama sekali wanita cantik. Pantang tengok perempuan berdahi licin atau muka perempuan cun melecun, terus tercungap-cungap bagai peminta sedekah, kononnya senyum itu sedekah. Berharaplah dia dilemparkan seulas sedekah daripada perempuan cun yang sedap di pandang mata itu. Gaya kasanova si pemburu cinta seperti yang diceritakan dalam novel-novel remaja, agaknya begitulah gambaran yang sesuai untuk lelaki miang. Kebiasaannya lelaki pantang dikongkong atau ditegur. Egonya melambung tinggi, tidak boleh dinasihati isteri. Jadi kalau anda boleh bersabar dengan karenah miangnya, biarkan saja dia berperangai demikian.

Apa yang boleh disarankan di sini ialah, para isteri mesti melakukan kajian terhadap suami masing-masing. Bagaimanakah sejarah kehidupan suami sebelum anda mengahwininya? Kalau memang dia dulu termasuk ke dalam ketegori ‘playboy’, anda mesti menelan hakikat bahawa anda telah mengahwini ‘playboy’ itu. Kalau sifat miangnya memang sudah menjadi darah daging dan sulit untuk ditinggalkan, cuba tanya pada diri anda sendiri, mengapa dulu anda berani mengambil risiko berkahwin dengannya?

Cari punca masalah

Kalau mahu menakluki hati si ‘playboy’ itu, carilah punca yang mendorong dia bersikap miang. Ada yang memang tidak bahagia dengan layanan isteri, lalu cuba mengekspresikan cintanya kepada wanita lain. Ada yang memang gayanya terlalu mesra dan penampilannya terlalu OK, hingga siapa pun pasti terpikat. Akhirnya anda tersalah menilai suami. Padahal dia tidaklah semiang mana, tetapi ramai wanita miang suka kepadanya. Ada pula jenis yang ikut-ikutan pengaruh kawan-kawan, penyakit berjangkit itu didapati daripada oerang lain, bukan daripada dirinya sendiri. Pengaruhnya akan cepat hilang jika suami tidak bercampur-baur dengan mereka lagi.

Menilai tahap keseriusan penyakit

Setelah anda mengenal pasti punca-puncanya, maka tidak salah anda menimbang, berat atau ringankah penaykit suami anda itu dan ubat apakah yang paling sesuai untuk merawatnya?

Paling parah ialah jika suami anda menderita penyakit ketidakpuasan seks dan cepat bosan. Walaupun isteri sedaya upaya ikut cara suami, taat dan patuh, sediakan layanan terbaik dan cuba hapuskan rasa cemburu di hati kalau suami bertingkah laku mencurigakan, tapi kegilaannya terhadap wanita lain tidak boleh diubat, melaikan dirinya sendiri yang mahu berubah. Jika agama tidak dapat menahan nafsu syahwatnya, cinta isteri yang ikhlas dan kasih sayang keluarga tidak juga boleh menyelamatkkannya, maka hanya doa yang dapat menolong.

Teruskanlah melayan suami dengan baik dan jangan berputus asa mencari jalan yang diredhai Allah SWT, KECUALI anda telah dizalimi fizikal dan mental secara teruk, anak-anak pula menjadi mangsa dan jika ada pengabaian hak anda dan anak-anak, anda wajib bertindak dengan melaporkan kepada pihak berkuasa. Tidak salah jika perpisahan menjadi pilihan untuk memperbaiki keadaan. Sila rujuk entry Q&A : Dilema isteri cikgu miang untuk menangani masalah suami yang terbabas daripada landasan syariat yang ditetapkan.

Kadangkala manusia tersalah pilih jalan hingga mengorbankan akidah dan agama. Mahukan suami setia, lantas gunakan khidmat bomoh, dukun, peramal nasib dan yang sebangsa dengannya. Padahal, tidak ada sesuatupun yang dapat memberi manafaat dan mudharat melainkan kuasa Allah Taala. Dialah yang berkuasa menyembuhkan dan menimpakan penyakit. Jika manusia diuji, sebenarnya Allah SWT mahu mendengar suara hamba-Nya yang meminta pertolongan. Ternyata ujian akan merapatkan manusia kepada Allah SWT. Suami tersilap dan melakukan maksiat ada hikmahnya, supaya isteri jujur menilai adakah dia telah menjadi isteri yang diidamkan?

Bagaimana elak suami miang atau curang?

Meskipun tidak mahu perkara ini berlaku namun hal yang sebaliknya boleh berlaku sekiranya suami isteri lemah dalam menghadapi godaan. Lebih memburukkan lagi jika pasangan iaitu isteri sendiri memberikan peluang atau memberikan suatu persekitaran untuk menyebabkan berlakunya kecurangan. Jadi bagaimana hendak mengelakkan suami anda berlaku curang, berikut adalah tips yg mesti diketahui oleh setiap isteri mahupun suami.

Tips # 1 - Selalu Berpenampilan Menarik

Setelah menjalani alam rumahtangga bertahun-tahun, penampilan diri selalunya diabaikan. Keinginan untuk menarik perhatian pasangan pun semakin pupus. Namun begitu bila berada diluar seperti ditempat kerja, penampilan kita selalunya berbeza.

Kita cukup mengambil berat soal penampilan bila berhadapan dengan orang lain terutamanya jika ada yang memuji. Puji-pujian ini merupakan salah satu punca yang memungkinkan berlakunya kecurangan.

Tips # 2 - Kehidupan Seks Yang Sihat

Memenuhi keperluan seks pasangan sangat penting untuk menjaga perkahwinan tetap utuh. Banyak kes penceraian atau perkahwinan runtuh akibat masalah seks suami isteri. Jika anda menghadapi masalah yang berkaitan dengannya, berusahalah untuk mengatasinya secepat yang mungkin.

Tips # 3 - Persamaan

Menikahlah dengan lelaki atau pasangan yang anda rasa sama dengan anda. Sama dalam erti, sama menariknya, berpendidikan setara dan memiliki pendapatan yang hampir sama. Percaya atau tidak, persamaan yang banyak antara suami isteri dapat mengecilkan kecenderungan untuk berlakunya kecurangan.

Tips # 4 - Waspada

Jika anda mengesan pasangan anda berlaku curang, jangan ragu untuk menyiasatnya. Kecurangan akan berlangsung lebih lama jika pasangan anda berasa senang dan jauh dari jangkauan anda. Jangan biarkan perkara ini berlaku dalam perkahwinan anda.

Tips # 5 - Waktu Hanya Berdua

Ada pasangan menganggap perkara ini sebagai perkara remeh temeh. Waktu romantis hanya untuk anda berdua sekurang-kurangnya seminggu sekali cukup penting untuk membuatkan hubungan suami isteri bertambah erat.

Tips # 6 - Mencari Kaunselor

Jangan ragu untuk mendapat khidmat daripada kaunselor ataupun orang tengah sekiranya merasakan hubungan anda menghadapi masalah atau ada masalah yang sukar untuk diatasi. Kebun bunga tidak akan nampak segar dan indah tanpa disiram dan dipupuk.
Begitu pula dengan perkahwinan. Jika bukan anda berdua yg bersikap proaktif dalam menjaga keutuhan rumahtangga, siapa lagi yang anda harapkan?

Tips # 7 - Menghargai Pasangan

Hargailah pasangan, kerana penghargaan akan dibalas dengan kesetiaan. Ucaplah terima kasih setiap kali pasangan membantu anda. Sekali sekala berilah hadiah buat suami ataupun isteri sebagai tanda anda menghargai apa yang dilakukan.

Tips # 8 - Bersahabat Dengan Teman-Teman Pasangan

Sekiranya pasangan curang, anda lebih cepat mengetahuinya dan tindakan segera boleh cepat diambil sebelum segala-galanya terlambat. Jadikan teman-teman pasangan anda sebagai teman anda sendiri.

Temukan penawarnya

Bukan hanya isteri idaman, tetapi isteri yang berani menegakkan kebenaran, bertanggungjawab terhadap amanah yang dipikul dan peranan secara aktif menjadi isteri mithali. Kesilapan kecil dan dosa-dosa ringan jangan dipandang remeh kerana ia boleh menyulut api dosa yang lebih besar. Kalau suami bermain mata, elok palingkan pandangannya ke tempat terindah dalam diri anda. Penampilan, perkataan, kelembutan dan perhatian anda boleh mengubat gelojak nafsu syahwatnya.

Binalah benteng yang paling kukuh di dalam hati suami agar dia tidak diserang oleh penyakit syahwat yang keji. Benteng itu ialah ilmu agama dan cuba aplikasikannya bersama dengan suami. Tidak mahu suami menjadi miang, maka ajaklah dia mendalami ilmu agama Islam, beribadah sambil melancong ke Makkah untuk mengerjakan umrah atau haji, rajin berusaha dan gemar bersedekah. Jaga masa dan disiplin kerja dengan baik, pastikan lingkungan yang berada disekeliling anda dan suami, sihat dan tidak tercemar dengan unsur-unsur maksiat. Terutama dalam rumah dan bilik tidur hendaklah istimewa dengan haruman amal ibadah di dalamnya, cahaya tasbih dan doa para malaikat menjadi ketenteraman di hati suami dan isteri yang beriman. Pencegahan lebih mudah daripada pengubatan. Cegahlah suami anda daripada melakukan maksiat dengan cara paling lembut dan berhikmah, jangan tunggu penyakit yang bertenggek menjadi parah, barulah anda sibuk mencari ubatnya.

Jika semuanya telah anda lakukan, namun masih gagal merubah sikap suami yang menjengkelkan, maka sudah tiba masanya anda fokuskan perhatian kepada diri sendiri dengan mendekatkan diri kepada-Nya, sambil tidak mengabaikan hak-hak suami. Anda akan lebih tenang nanti, insya Allah.

Sumber : Dr Juanda Jaya dan intim.wordpress.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...