JIKA sebelum ini samseng jalanan hanya membahayakan pengguna jalan raya dengan perlumbaan haram, tetapi sejak akhir-akhir ini mereka bertindak lebih ganas hingga berani meragut, memukul, mencederakan dan tergamak membunuh sesiapa yang cuba menghalang kegiatan mereka.
Petanda itu jelas menunjukkan gejala samseng jalanan tidak boleh dibiarkan begitu saja, malah menuntut perhatian serius dan tindakan drastik untuk menghapuskan gejala yang merosakkan remaja itu.
Jika ditinjau secara halus, ada banyak sebab mendorong remaja terbabit dalam gejala samseng jalanan antaranya sebagai satu cara untuk mencari keseronokan dan kepuasan dalam hidup kerana mereka tidak memperoleh ketenangan dan keseronokan bersama keluarga. Oleh itu, mereka mula mencari alternatif lain untuk berseronok dan akhirnya terjebak dalam gejala samseng jalan raya. Akibatnya, masa muda dihabiskan bukan saja dengan perkara sia-sia, malah boleh membahayakan diri serta orang ramai. Mereka seolah-olah tidak mempunyai matlamat hidup.
Dalam hal ini, ibu bapalah yang sepatutnya dipertanggungjawabkan atas pembabitan remaja dalam gejala samseng jalanan. Ini kerana ibu bapa sudah mengabaikan tanggungjawab untuk mengasuh dan mendidik anak sebagai insan bertakwa serta bermanfaat kepada masyarakat dan negara.
Barangkali ibu bapa begitu sibuk dengan pekerjaan sehingga anak di rumah terbiar tanpa belaian kasih ibu bapa. Pendidikan Islam sepatutnya berupaya membentuk anak yang salih tetapi tidak pula diberikan penekanan ketika membesarkan mereka.
Pendidikan akidah berfungsi sebagai perisai yang memelihara diri anak daripada gejala merosakkan diabaikan. Mereka juga tidak diajar untuk mengenal erti kehidupan dan matlamat sebenar kehidupan mereka di dunia ini.
Tanpa pendidikan agama dan perisai akhlak Islam, muda mudi sudah tentu tidak mampu menepis ancaman budaya luar yang mendominasi masyarakat masa kini seperti pergaulan bebas, dadah, video lucah dan pelbagai perkara negatif lain.
Apa yang berlaku mutakhir ini, anak begitu dimanjakan oleh ibu bapa sehingga sanggup memberikan apa saja yang diminta mereka tanpa sebarang persoalan. Ibu bapa juga tidak lagi menghiraukan keadaan anak, membiarkan ke mana saja mereka pergi dan tidak mengambil tahu dengan siapa mereka berkawan.
Yang penting anak memperoleh apa yang mereka hajatkan. Itulah bentuk kasih sayang material dicurahkan oleh ibu bapa dengan harapan dapat mengisi masa terluang anak akhirnya menjerumuskan anak mereka ke kancah gejala sosial memudaratkan.
Namun tanpa kawalan ketat daripada ibu bapa, sudah tentu anak begitu bebas dan berani melakukan sesuatu bertentangan dengan undang-undang.
Ringkasnya, pengisian yang salah semasa remaja, kecetekan ilmu agama, kekurangan perhatian ibu bapa, pengaruh budaya luar yang mendominasi kehidupan masa kini adalah antara punca masalah dan gejala sosial membabitkan muda mudi di negara ini.
Faktor itu menyebabkan muda mudi kekosongan jiwa yang akhirnya mendorong mereka mencari keseronokan di luar seperti berlumba haram, meragut, merompak, membunuh, bergaul bebas dengan pasangan masing-masing, malahan berzina dengan perempuan taruhan jika menang perlumbaan.
Sehubungan itu, Islam dari awal lagi menggariskan corak pendidikan yang sesuai kepada muda mudi supaya lahir sebagai generasi berkualiti serta bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara.
Dengan mempunyai jati diri seumpama itu, anak muda tidak mudah terpengaruh dengan lambakan budaya asing yang jelas bercanggah ajaran Islam kerana mereka memiliki kekebalan diri dengan perisai Islam dan tahu memilih antara yang hak dan batil.
Perlu diinsafi bahawa mendidik dan mengasuh anak termasuk dalam pengertian ibadah kepada Allah. Setiap ibu bapa akan dipertanggungjawabkan terhadap apa dilakukan terhadap anak mereka.
Lebih-lebih lagi anak itu seumpama helaian kertas putih melepak yang belum lagi diwarnai dan dicorakkan. Maka ibu bapalah yang mewarnai dan mencorakkannya berdasarkan kepada cita rasanya masing-masing.
Dalam hal ini, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawah pimpinan kamu; seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya; seorang lelaki adalah pemimpin kepada anggota keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anggota keluarganya; seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anak-anaknya dan pimpinannya; dan khadam adalah diamanahkan terhadap harta tuannya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berada di bawah amanahnya.” (Hadis riwayat Bukhari)
Islam membentuk disiplin umatnya melalui pelaksanaan ibadat yang diwajibkan kepada mereka. Ibadat solat adalah perisai yang kukuh daripada sebarang amalan keji. Puasa pula bertindak sebagai bengkel kerohanian menyucikan jiwa dan raga daripada penyakit hati.
Sementara zakat menyuburkan harta di samping memintal kemas jalinan ukhuwah sesama Muslim dan begitulah seterusnya. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kamu suruh anak kamu mengerjakan solat apabila sampai usia tujuh tahun dan pukullah mereka apabila sampai usia sepuluh tahun (jika masih belum mengerjakan solat).” (Hadis riwayat Abu Daud)
Selanjutnya, pendidikan akhlak memainkan peranan penting membentuk peribadi dan sahsiah muda mudi sebagai generasi berkualiti. Pendidikan akhlak perkara pertama diajar Rasulullah SAW kepada Asma’ binti Abu Bakar. Ketika anak gadis itu akil baligh, Baginda SAW berpesan kepada Asma’ supaya menutup aurat dan memelihara batas pergaulan dengan orang lelaki.
Selain itu, ibu bapa hendaklah membimbing anak cara menguruskan masa dengan baik. Zaman remaja seharusnya dimanfaatkan dengan aktiviti, program dan amalan berfaedah. Anak perlu diinsafkan bahawa zaman remaja adalah antara soalan akan ditanya kepada setiap Muslim apabila menghadap Allah pada hari akhirat kelak.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan tergelincir kedua kaki anak Adam pada hari kiamat nanti melainkan dia akan ditanya dengan lima soalan; mengenai umurnya ke mana dihabiskan; masa mudanya bagaimana dipergunakan; hartanya dari mana diperoleh dan ke mana pula dibelanjakannya; dan ilmunya apakah ia diamalkan.” (Hadis riwayat Tirmizi, Tabrani dan Ibnu Asakir)
Sumber : BHarian 2009/05/30
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...