PAGE

Khamis, Mei 28, 2009

Mencari Allah SWT? Subhanallah, Allah itu dekat...

Salam,

Salah satu blog yang sering saya kunjungi ialah ARDi SYAMSUDDiN... Saya amat tertarik dengan artikel bertajuk Kenapa kita tidak bisa melihat Allah?. Menurutnya :
Apakah anak kita pernah bertanya kenapa kita tidak bisa melihat Allah? Menurut mungkin bingung karena agama-agama lainnya bisa melihat Tuhannya, tapi tidak dengan agama Islam. Apa kira-kira jawaban yang patut kita kemukakan? Sebenarnya mudah saja jawabannya. Kita gunakan pendekatan sains. Contohnya adalah dalam kasus melihat benda-benda di sekeliling kita.

Supaya kita mampu melihat benda tersebut, benda itu haruslah dalam kedudukan lemah yang bermaksud mengikuti peraturan atau undang-undang tertentu. Undang-undang itu adalah hukum alam atau hukum sains. Atau dalam istilah agama sering kita sebut sebagai Sunatullah.

Kenapa kita bisa melihat sebuah benda? Ini karena benda itu lemah atau tunduk kepada hukum sains. Benda itu perlu ada bentuk sehingga cahaya yang dipantulkan oleh benda tersebut dapat ditangkap oleh mata kita, diterjemahkan oleh mata dan kemudian dikirim ke otak untuk pemrosesan selanjutnya. Sehingga apa saja yang mampu dilihat oleh mata adalah berada dalam keadaan yang lemah. Sifat lemah ini adalah kepunyaan makhluk, bukan Tuhan. Allah berada di atas hukum sains itu, sehingga kita tidak bisa melihat Allah. Jadi bukannya Allah yang tidak mau kita melihat-Nya, tapi kita yang memang tidak mampu melihat Allah.
Saya setuju dengan pandangan Pak Ardi, boleh dijadikan panduan untuk saya menjawap, sekiranya anak-anak bertanya nanti.

Teringat saya kisah Nabi Musa a.s. yang teringin sangat hendak melihat Allah SWT, seperti yang diceritakan dalam al-Quran, "Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (Zat-Mu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihat-Mu." (Surah al-A'raf, ayat 143)

Firman Allah SWT yang bermaksud, "Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihat-Ku, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau dia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihatKu."

Setelah Tuhannya “Tajalla” (menzahirkan kebesaran-Nya) kepada gunung itu, (maka) “Tajalli-Nya” menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa a.s. pun jatuh pengsan. Setelah dia sedar semula, berkatalah Musa : “Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepada-Mu dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku).”

Kepada yang berminat untuk membaca kisah nabi Musa r.a. ini, boleh rujuk entry Nabi Musa bermunajat di Bukit Sina.

Mencari Allah SWT

Kali ini saya kongsikan artikel oleh Dr Azhar Hj Sarip. Sebenarnya artikel ini ada 2 bahagian, tetapi cukuplah saya kongsikan bahagian ke-2 tulisan beliau kerana intipati bahagian ini amat menarik untuk dikongsikan di sini. Saya juga masukkan sedikit tambahan sendiri kerana ia amat berkait rapat dengan tajuk kali ini.

Ramai manusia kini berada dalam satu keadaan kekosongan diri. Ada di kalangan mereka berfikir bahawa mereka sudah kehilangan Allah SWT dan perlu mencari-Nya. Persoalannya, perlukah kita mencari Allah SWT atau adakah perlu kita melihat Allah secara langsung, barulah kita mahu beriman kepada-Nya?

Kita perlu ingat sedalam-dalamnya bahawa Allah SWT tidak pernah hilang dan kita hanya perlu merasai kewujudan-Nya dan bukan melihat atau mencari-Nya. Kita perlu ingat sentiasa bahawasanya Allah itu wujud, Allah kekal dan Allah sentiasa bersama kita ketika kita susah mahupun senang. Mengenal Allah SWT itu dengan rasa dan kaedah sains juga memberi jalan mudah tanpa menempub kesusahan.

Allah SWT sentiasa mendengar, melihat serta memakbulkan. Kita tahu bahawa Allah SWT itu lebih dekat daripada urat leher kita. Ini bermakna Allah SWT itu lebih dekat daripada apa yang kita panggil nyawa, jika kita begitu menyayangi nyawa yang dekat dengan kita maka kita perlu lebih sayangkan Allah SWT.

Jika kita merasai kewujudan nyawa, maka kita perlu merasa kewujudan Allah SWT. Kita boleh saja menguji perasaan kewujudan Allah ini. Cubalah kita pergi satu tempat seram, siapakah yang lebih kita rasai, adakah kita lebih merasa wujud hantu yang juga makhluk Allah SWT atau kita merasa keesaan Allah yang maha berkuasa? Jika kita dalam kesusahan, adakah kita merasakan Allah SWT yang mempu membantu kita atau kita merasakan teman yang akan membantu kita dan kita namakannya sebagai usaha untuk menutup kelemahan perasaan kita terhadap Allah SWT. Maka dengan ini jelas sekali bahawa Allah SWT tidak perlu dicari, tetapi perlu disarai kewujudannya dan Allah SWT tidak pernah sesaatpun menzalimi kita kerana Allah SWT itu maha adil lagi saksama. Mungkin satu persoalan yang timbul, mengapa kita terlalu sukar untuk merasai kewujudan Allah SWT?

Ukur perasaan anda

Kita terlalu sukar untuk merasai bahawa Allah SWT itu wujud kerana kita sentiasa merasakan bahawa setiap kejayaan itu adalah usaha kita dan ini bermaksud bahawa kita juga terlalu cintakan dunia kita lebih dari mengharapkan cinta Allah. Mari kita sama-sama lakukan satu latihan utnuk mengukur perasaan kita kepada Allah SWT.
  1. Pertama, ambil pen dan kertas.
  2. Kedua, tulis tiga perkara yang anda begitu sayang.
  3. Ketiga, tulis tiga perkara yang anda begitu benci.
  4. Keempat, pejamkan mata dan cuba anda berdoa supaya dihilangkan kesemua benda yang anda sayang. Sebut perlahan-lahan, nyatakan satu persatu dan lepaskan mereka dari lingkungan hidup anda.
  5. Kelima, buka mata cubaperhatikan perasaan anda, adakah anda jujur dalam melakukan hal ini dan adakah anda benar-benar mahu kehilangan benda-benda yang anda sayangi?
Kemudian, cuba anda perhatikan kembali senarai yang anda amat sayangi, adakah tertulis nama Allah SWT di situ? Anda tidak perlu menghebahkannya tentang apa yang berlaku tetapi anda perlu memeriksa senarai anda setiap bulan dan anda perlu melihat senarai itu sudah pun berubah yang mana terdapat nama Allah SWT dalam senarai yang anda sayangi.

Anda perlu ingat bahawa senarai tersebut perlu anda lakukan dengan perasaan kerana tiada guna anda menipu diri sendiri. Allah SWT maha lemah lembut, maka orang beriman itu akan dikurniakan sikap lemah lembut. Sikap dan kehidupan anda pasti berubah sekiranya anda sudah mula merasakan kewujudan Allah SWT.

Anda tidak takut tetapi anda juga bukan seorang yang berani, namun anda kelihatan berani kerana anda sentiasa berada dengan-Nya. Anda susah, tetapi anda masih boleh tersenyum, bukan kerana anda suka akan kesusahan tetapi anda bahagia dengan kehadiran-Nya. Anda menangis bukan kerana anda ahu Dia tidak pernah zalim tetapi kini anda menangis kerana anda begitu takut kehilangn-Nya.

Jika anda kehilangan-Nya, maka siapa lagi yang mampu menggantikan tempatnya dan siapa lagi yang dapat dipanggil Tuhan? Maka anda sentiasa menjaga-Nya kerana Dia sentiasa menjaga anda. Segala yang anda lakukan sekarang total kerana-Nya, bukan lagi kerana ciptaan-Nya. Semoga kita akan dapat rahmat Allah SWT untuk merasa keberadaan-Nya dan semoga kita sentiasa diberi petunjuk untuk berjalan di atas jalan yang lurus. Amiin.

Allah SWT itu dekat dengan kita

Allah ada di mana-mana, bahkan di aliran darah kita. Allah itu ‘Maha dekat’. Allah ada di lautan, di daratan, di langit, di sungai, di sawah, di bukti, di gunung, di rumah, di pejabat, di kereta, di pesawat, di kapal, malah di mana saja. Allah ada di tengah-tengah kita. Pernah mendengar kisah ‘Abdullah ibn ‘Umar ibn Khatthab dan seorang penggembala? Kisah ini sangat masyhur. Mari kita lihat dialog mereka.

Suatu hari, Ibnu ‘Umar berjalan dengan beberapa orang sahabatnya dan bertemu dengan seorang penggembala kambing. Kemudian dia berkata kepada sang penggembala itu, “Cuba kamu jual kepada kami satu ekor kambing mu! Penggembala itu menjawab, “Kambing-kambing ini bukan milik saya tuan, ia milik tuan saya.”

Ibnu ‘Umar berkata lagi, “Katakan kepada tuanmu bahawa kambingnya dimakan serigala.” Penggembala itu berkata, “Lalu di mana Allah?” Mendengar jawaban si penggembala itu Ibnu ‘Umar kemudian menangis dan selalu mengulang-ulangi pertanyaannya, “Lalu di mana Allah?” Ibnu ‘Umar akhirnya mendatangi tuan pemilik kambing-kambing itu dan membelinya. Bukan hanya itu, Ibnu ‘Umar membebaskan sang penggembala – kebetulan dia adalah seorang hamba sahaya. Dia kemudian membeli seekor kambing dan menghadiahkannya kepada si penggembala itu.

Subhanallah. Di mana Allah? Pertanyaan yang sangat luar biasa. Pertanyaan ini sebenarnya yang menjadi ‘disc brake’ kehidupan kita. Tidak ada ‘brake’ yang lebih kuat selain qalbu yang hidup, yang mampu merasakan kehadiran Allah, bila dan di mana saja. Ketika ingin berbuat maksiat, munculkan pertanyaan, “Lalu, di manakah Allah?” Mungkin kita sudah merasa jauh dari Allah SWT, atau, Allah tidak bersama kita, seolah-olah maksiat kita tidak diawasi oleh-Nya. Ketika ingin korupsi, lahirkan pertanyaan: “Di manakah Allah?” Dengan begitu niat korupsi dapat dibendung dan dibentengi. Ketika ingin berzina, timbulkan pertanyaan: “Di manakah Allah?”, sehingga niat untuk berzina boleh dikurungkan.

Ingatlah, setiap perbuatan jahat yang terlintas di benak fikiran atau di hati kita, insya Allah dapat dihindarkan, jika kita benar-benar yakin bahawa Allah itu Maha Esa, Maha Suci, Maha Menguasai, Maha Dekat, Maha Melihat, Maha Hadir dan “Serba Maha” yang lain-lain. Rujuk di sini --> Asmaul Husna - 99 nama Allah untuk melihat makna nama-nama Allah yang lainnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang ‘Aku’ maka (jawablah) bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka itu beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Surah al-Baqarah [002], ayat 186)

Firman-Nya lagi, “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat daripada urat lehernya.” (Surah Qaaf [050], ayat 16)

Pada ayat yang pertama, Allah menyatakan dirinya ‘dekat’, sedangkan pada ayat kedua terdapat jisim tafdhil, untuk menjelaskan lebih dari itu, iaitu ‘lebih dekat’, ertinya Tuhan ‘berada’ setelah anda mengetahui hakikat diri, siapa diri ini sebenarnya, yang mana diri ini … dst. Bagaimana kita akan tahu tempat Allah, sedangkan diri kita saja belum faham, barang siapa tahu akan dirinya maka pasti akan tahu Tuhannya.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Ingatlah bahwa sesungguhnya mereka adalah dalam keraguan tentang pertemuan dengan Tuhan mereka. Ingatlah, bahawa sesungguhnya Dia Maha Meliputi segala sesuatu.” (Surah al-Fushshilat [041]: 54)

Jadi untuk memandang Allah atau menyebut namanya jangan keliru melihat kepada batin manusia yang seolah-olah Allah bersemayam di dalam rongga dada manusia, akan tetapi lebih dari itu. Ingatlah, Rasulullah hanya sebagai abdi Tuhan, dan sebagai pemberi peringatan, … dan Rasulullah tidak mampu membuka hidayah pakciknya sendiri. Nabi Nuh tidak mampu memberi hidayah kepada anaknya yang kafir.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk.” (Surah al-Qashash [028], ayat 56), bermakna kita cuma mampu berdoa semoga Allah mengurniakan hidayah, kita tidak mampu sama sekali membuka jalan menuju kepada Allah SWT.

Jika kita masih tercari-cari Allah, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Firman Allah SWT, “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan) salat. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk, (yaitu) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya, dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya.” (Surah al-Baqarah [002], ayat 45-46)

Semoga kita tidak keliru dan tercari-cari lagi. Fikir-fikirkanlah...

1 ulasan:

  1. Artikel yang bagus, Bawang Goreng. Cuma satu yang saya tidak berapa berkenan yaitu ungkapan Allah itu ada di mana-mana. Ungkapan ini boleh membuat orang salah-paham.

    Saya lebih suka memakai pendapat yang mengatakan Allah itu ada di atas langit (di atas Kursi-Nya), karena hal ini memang sudah jelas dinyatakan di dalam Al-Quran dan Hadis.

    Untuk mengetahui hal-ihwal makhluk-Nya, Allah tidak perlu berada di dekat makhluk-Nya kalam pengertian dekat yang sebenarnya. Allah tidak perlu berada di dalam darah kita, gunung, ataupun laut. Allah memiliki caranya sendiri untuk mengetahui hal ihwal makhluk-Nya.

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...