PAGE

Rabu, Mei 06, 2009

Pemegang sijil halal mesti bertanggungjawab

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli



RAMAI kita suka memilih makanan mengikut kemampuan, keinginan dan selera masing-masing tetapi tidak ramai mengutamakan apakah makanan itu halal serta bersih menurut syariat Islam.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai orang beriman, makanlah barang yang bersih daripada apa yang kami kurniakan kepada kamu.” (Hadis riwayat Muslim)

Baginda SAW menyebut mengenai seorang lelaki yang berjalan jauh dengan keadaan kusut-masai rambutnya dan berlumuran debu. Sementara kedua-dua tangannya menadah ke langit sambil berdoa, padahal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, maka bolehkah diperkenankan Allah doanya.

Makanan suci dan bersih akan menjamin kesihatan yang baik. Justeru, di samping memilih makanan yang berzat dan berkhasiat, sebaik-baiknya perlu ditekankan akan kebersihan serta kesuciannya dari segi syariat agama.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh daripada makanan haram, maka api nerakalah yang layak baginya.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Seseorang insan mukmin yang prihatin terhadap kebersihan dan kesucian makanan lahir cahaya keimanan dalam dirinya serta terdorong memastikan kebersihan diri secara keseluruhannya termasuk pakaian dan tempat tinggal. Ibadat solat juga mengajar kepentingan menjaga kebersihan diri. Allah tidak akan menerima solat hambanya yang beribadat dalam keadaan kotor dan hina. Keadaan ini sesuai maksud hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Menjadi bersih kamu, kerana sesungguhnya Islam itu bersih.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Pemilihan makanan yang bersih dan halal menjurus kepada banyak perkara kerana pemakanan memberi kesan langsung kepada pembinaan sahsiah serta keperibadian. Namun, itu bukan bermakna kita dihalang menikmati makanan cuma disuruh menjaga apa yang dimakan.

Allah berfirman yang bermaksud: “Makanlah apa yang dikurniakan Allah kepada kamu dari benda yang halal lagi bersih. Bersyukurlah dengan nikmat Allah jika kamu benar-benar menyembah Allah. Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang sembelihan bukan kerana Allah. Maka, sesiapa yang di dalam keadaan terpaksa memakannya, sedang dia tidak sengaja dalam mencarinya, sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha penyayang.” (Surah al-Nahl ayat 114-115)

Makanan yang haram, sama ada dari bahan dicampur najis dan benda subahat atau daripada punca tidak halal, maka datang tiga bahaya besar kepada si pemakannya.

Pertama, makanan mempengaruhi jiwa seseorang sehingga dia merasa lebih gemar melakukan kejahatan dan maksiat serta bencikan kerja ketaatan.

Kedua, doanya tidak akan dimakbulkan Allah dan ketiga, menyebabkan dia akan mendapat seksaan neraka Allah pada hari akhirat kelak.

Apa juga bentuk makanan yang halal dan bersih perlu diikuti dengan peraturan memakannya. Makanan seimbang umpamanya dapat menghindarkan diri daripada dihidapi penyakit tertentu.
Rasulullah SAW menyarankan perut manusia diisi dengan satu pertiga air, satu pertiga makanan dan satu pertiga lagi adalah udara.

Daripada aspek adab pemilihan makanan, kita perlu menghindarkan diri daripada mengambil makanan yang sudah lama terbuka atau tin berkarat. Selain adab makan dan memilih makanan, Islam turut melarang umatnya berlebih-lebihan dalam makanan dan minuman.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada bahaya yang lebih dibenci Allah daripada perut yang dipenuhi dan ketat dengan makanan halal.”

Banyak jenis penyakit bermula daripada salah pemilihan makanan termasuk makan secara melampaui batasan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perut adalah sumber penyakit dan berpantang adalah sebaik-baik ubat. Biasakanlah setiap tubuh dengan apa yang lazimnya.”

Allah murka kepada hamba yang suka melampau batasan termasuk dalam soal pemilihan, adab dan cara makan. Balasannya, Allah akan menurunkan pelbagai penyakit, sama ada menyerang manusia secara keseluruhannya atau individu. Kelalaian serta kealpaan mereka menguruskan nikmat kurniaan Allah seperti makanan yang menjadi sumber tenaga untuk manusia melakukan kegiatan harian termasuk beribadat kepada-Nya.

Pembongkaran media massa mengenai penipuan penggunaan logo halal dan bahan makanan haram dijual sebagai halal di pasaran negara dari semasa ke semasa membuktikan masalah itu belum dapat ditangani dengan berkesan. Sebenarnya isu halal dan haram ini berkisar kepada tiga perkara asas iaitu sikap pengguna beragama Islam terhadap makanan dibeli, kesedaran penjual dan tindakan penguatkuasaan untuk membendung penipuan sijil halal.

Walaupun di negara ini permohonan sijil halal adalah secara sukarela, pemantauan perlu diadakan sekerap mungkin bagi mengelak peniaga mengambil kesempatan menggunakan sijil halal yang diperoleh demi mengaut keuntungan daripada pengguna Muslim. Menjadi tanggungjawab pihak berkuasa memastikan tahap kebersihan dan kesucian makanan menepati maksud sebenar dengan melakukan pemeriksaan berkala supaya syarikat pengeluar menjaga mutu kebersihan mengikut syarat ditetapkan.

Jangan hanya sebelum dikeluarkan sijil pemeriksaan teliti dibuat tetapi selepas itu, senyap begitu saja hingga berlaku penipuan penggunaan sijil palsu serta sijil yang sudah tamat tempoh. Sijil halal membolehkan umat Islam meyakini kebersihan serta kesucian makanan yang dijual di premis berkenaan.

Persoalannya sekarang siapakah yang akan dipertanggungjawab jika umat Islam termakan makanan tidak halal tetapi mempunyai label halal?

Sumber : BHarian 2009/05/06

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...