PAGE

Sabtu, Mei 02, 2009

Penyakit hati dan tips rawatannya


Salam,

Penyakit hati ialah satu penyakit yang akan melahirkan sifat tercela, sekiranya tidak dirawat ia akan merosakkan sifat-sifat kemanusiaan dalam dirinya dan akan memudaratkan orang lain. Sudah menjadi suatu kelaziman dalam setiap kehidupan masyarakat tidak kira kira di mana jua, asalkan ianya dihuni oleh manusia, kita akan pasti mendengar pelbagai permasalahan yang timbul akibat runtunan hati yang pernah diabadikan dalam sepatah syair Arab yang berbunyi “Hati adalah menteri yang menasihati” (l-qolbu wazeerun naaseh). Dengan kata lain, pada zahirnya kita lihat, tubuh badan kita yang menggerakkan sesuatu akan tetapi pemerintah sebenarnya dalam diri kita ialah hati.

Dalil tentang hati

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka siksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta.” (Surah al-Baqarah, ayat 10)

Sabda Rasulullah SAW kepada kita yang bermaksud, “Ketahuilah sesungguhnya dalam setiap tubuh (jasad) manusia terdapat seketul daging, jika elok daging itu maka eloklah keseluruhan tubuh badan dan jika rosak daging itu maka rosaklah juga seluruh tubuh badan, maka ketahuilah bahawa itu adalah hati.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sifat-sifat hati

1. Lalai - suka menangguh pekerjaan yang diamanahkan.
2. Sakit - nafsu menguasai diri membawa ke arah kejahatan.
3. Mati - menolak segala nasihat dan kebenaran
4. Hidup - hati yang dihiasi dengan nilai-nilai murni dan terpuji

Persoalan hati juga sering dikaitkan dengan jiwa (nafsu), oleh yang demikian, kalau seseorang itu sakit jiwa maka cara rawatannya mungkin dengan mendapatkan khidmat pakar psikologi dan pelbagai bahan ubatan lain akan tetapi sekiranya seseorang itu jiwanya sakit ini berkait rapat dengan rohani dan kekontangan dos aqidah yang mantap dan cara rawatannya lebih sukar andainya tidak menepati teknik penyembuhannya.

Dalam lipatan sejarah tentang berlakunya pembunuhan pertama atas dunia antara Habil dan Qabil, dua orang putera Nabi Adam a.s. adalah disebabkan ketidakpuasan hati antara satu sama lain lantaran dengki dan dendam berebut mendapatkan seorang wanita. Begitulah juga kisahnya, segala persoalan jenayah yang berlaku pada hari ini juga didorong oleh rasa hati yang dibantu oleh kekangan nafsu. Oleh yang demikian, terjadilah aneka bentuk jenayah seperti penipuan, pembunuhan, rompakan, pencabulan dan sebagainya.

Terdapat kesan penyakit hati yang boleh disenaraikan, seperti:
  1. Malas bekerja dan berfikir
  2. Percakapan yang tidak berfaedah
  3. Marah bukan pada tempatnya
  4. Hasad dengki
  5. Bakhil
  6. Cintakan keduniaan
  7. Cintakan kemegahan
  8. Takabur
  9. Ujub
  10. Riak

Sindrom penyakit hati ini sudah pasti akan memberi kesan buruk kepada setiap individu dan masyarakat sekiranya, usaha-usaha awal tidak dibendung. Sebagai contoh yang paling mudah dalam masyarakat sekeliling kita terutamanya masyarakat Islam – biasanya apabila seseorang itu lebih maju, lebih mahsyur daripada orang lain dalam sesuatu usaha yang dijalankannya seperti perniagaan, pelajaran dan lain-lain, ini akan mengundang keresahan dan kebengkakan hati rakan-rakan yang lain. Maka timbullah elemen-elemen yang mendorong kepada keretakan persahabatan dan melorongkan bibit-bibit permusuhan.

Memiliki hati yang tenang sebenarnya transformasi kepada kecerahan wajah yang dibaluti Nuur Iman (cahaya iman) pada setiap wajah setiap umat Islam. Ini jelas terbukti sekiranya seseorang itu menghadapi masalah, sudah pasti wajahnya juga secara fizikal akan turut terkesan seperti kemurungan dan dahi berkerutan. Akan tetapi sebaliknya jika seseorang itu, memiliki hati yang tenang, pasti akan mudah dan murah untuk berkongsi senyuman dengan orang lain-lain. Persoalan ketenangan hati bukan suatu barangan yang boleh dijual beli.

Sudah jelas diterangkan menerusi Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 10 yang bermaksud, “Dalam hati mereka ada penyakit (keyakinan mereka terhadap Nabi Muhammad SAW lemah. Kelemahan keyakinan itu menimbulkan kedengkian, iri hati dan dendam terhadap Nabi SAW agama dan orang-orang Islam), lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka siksa yang pedih disebabkan mereka berdusta.”

Memang umum kita ketahui, sifat hati sentiasa berubah, maka tidak hairanlah sebagai contohnya jika seseorang itu berjanji setia untuk mendirikan mahligai bahagia dengan pasangan pilihan hatinya tetapi akhirnya berkesudahan menukar fikiran akibat dorongan hati dan nafsu kepada wanita lain, oleh kita sentiasa digalakkan untuk memohon kepada Allah SWT agar kita sentiasa diberi keteguhan hati dan iman kita dengan melazimi membaca doa, “Wahai Tuhan yang sentiasa membalik-balikkan hati, tetapkanlah hati atas agama-Mu dan ketaatan-Mu.” (Ya Muqallibal Qulub , Thabbit Quluubana ‘ala Deenika Wa ‘ala Thoo’atik). (Surah Ali-Imran, ayat 8)

Islam telah menggariskan pelbagai langkah untuk kita sebagai penganutnya melakukan rawatan perubatan penyakit hati, antaranya dengan membaca al-Quran sambil bertafakkur (Tilaawatul Quraan Bittaffakuri). Ramai orang yang membaca al-Quran al-Karim akan tetapi berapa ramaikah di antara mereka yang benar-benar memahami makna kandungan kalamullah itu? Dewasa ini tidak ada alasan lagi bahawa, saya tidak memahami Bahasa Arab untuk memahami Bahasa al-Quran kerana sudah banyak usaha-usaha yang telah dibuat oleh pihak kerajaan seperti penterjemahan al-Quran dalam pelbagai bahasa seperti bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan pelbagai lagi. Oleh yang demikian, membaca al-Quran sambil menghayati kebesaran dan kandungan makna al-Quran sudah pasti akan dapat melembutkan hati dan jiwa kita. Sedangkan Saidina Umar Al-Khattab a.s. pun boleh lembut hatinya, bagaimana pula dengan keadaan kita?

Segala aspek kehidupan ini bermula daripada hati. Oleh itu, di bawah ini ada beberapa cara bagaimana hendak mencuci hati, diolah semula daripada pakar motivasi Datuk Dr. Haji Fadzilah Kamsah.

Antara tips merawat hati yang berpenyakit yang dapat dikongsi ialah :
  1. Dirikan solat dan banyakkan berdoa - Ini adalah salah satu kaedah yang sungguh berkesan. Semasa berdoa, turut katakan, “Ya Allah, jadikan hatiku bersih.”
  2. Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW - Paling minima 100 kali sebelum tidur. Ini merupakan satu pelaburan yang mudah dan murah. Di samping dosa-dosa diampunkan, otak tenang, murah rezeki, orang sayangkan kita dan mencetuskan semua perkara kebaikan.
  3. Integrasi antara ilmu, iman dan ihsan
  4. Cuba sedaya upaya melaksana Islam sebagai satu cara hidup dengan menghayati sunnah Rasulullah SAW, sentiasa bermuhasabah diri dan menghayati sifat-sifat mahmudah
  5. Melakukan solat taubat - Selain daripada memohon keampunan, dapat mencuci hati dan menenangkan minda.
  6. Membaca Al-Quran - Selain dapat mencuci hati juga menenangkan jiwa, penyembuh, penenang, terapi. Sekurang-kurangnya bacalah surah al-Ikhlas ("Qulhu-allah") sebanyak 3 kali.
  7. Bermaaf-maafan sesama kawan setiap hari - Semasa meminta maaf perlu sebutkan.
  8. Bisikan kepada diri perkara yang positif - Jangan sesekali mengkritik, kutuk diri sendiri, merendah-rendahkan kebolehan diri sendiri. Katakanlah: “Aku sebenarnya.....” (perkara yang elok-elok belaka).
  9. Program minda/cuci minda - Paling baik pada waktu malam sebelum tidur, senyum, pejam mata. Katakan di dalam hati: “Ya Allah, cuci otak aku, cuci hatiku. Esok aku nak jadi baik, berjaya, ceria, bersemangat, aktif, positif.” Menurut kajian psikologi, apa yang disebut sebelum tidur dapat dirakamkan sepanjang tidur sehingga keesokan harinya - CUBALAH!!)
  10. Berpuasa - Sekiranya dalam berpuasa, terhindar dari melakukan perkara-perkara maksiat dan kejahatan.
  11. Cuba ingat tentang mati - Sekiranya hendak melakukan sesuatu kejahatan, tidak sampai hati kerana bimbang akan mati bila-bila masa.
  12. Kekalkan diri dalam keadaan berwuduk.
  13. Bersedekah.
  14. Belanja orang makan (jangan lupa panggil saya kalau nak belanja orang makan. Heh.. heh...)
  15. Jaga makanan. Makanlah makanan yang halal,suci dan bersih dan jangan makan makanan yang subahat (was-was, tidak pasti halal atau tidak).
  16. Berkawan dengan ulama.
  17. Berkawan dengan orang miskin kerana ia mampu menimbulkan keinsafan.
  18. Berpesan-pesan sesama ahli keluarga, sanak saudara dan rakan-rakan terdekat.
  19. Menjaga pancaindera (mata, telinga, mulut... dsb)
  20. Jangan mengumpat dan elakkan mendengar orang mengumpat.

Kesan daripada merawat hati yang sakit
  1. IMAN semakin mantap dan kukuh
  2. Mendapat ketenangan hati dan jiwa
  3. Mendapat keredhaan Allah
  4. Mudah melakukan kebajikan
  5. Membudayakan nilai-nilai murni dalam kehidupan
  6. Kualiti kerja semakin meningkat
  7. Bersungguh-sungguh dalam menunaikan amanah
  8. Menyuburkan rasa ikhlas dalam pekerjaan
  9. Perasaan kasih sayang sesama manusia semakin erat.
  10. Mendapat kepercayaan daripada orang lain kerana kejujuran dan keikhlasan

Kesimpulan

Hati perlu disuburkan dengan asas-asas iman yang benar dan dipraktikkan secara berterusan dalam kehidupan. Usaha mencari panawar kepada penyakit hati hendaklah diberi perhatian yang berterusan agar kita terselamat daripada tipu-daya syaitan nirrojim.



Sumber : JAKIM

1 ulasan:

Kongsikan komen anda di sini...