PAGE
▼
Selasa, Mei 12, 2009
Perihal solat (sembahyang)
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pengunjung blog,
DALAM ajaran Islam, solat adalah ibu ibadat dan jika dijaga dengan betul, akan melahirkan kebaikan. Sebagai satu daripada rukun Islam, ia juga tiang seri kepada agama. Jika roboh ia, robohlah agama kita. Sabda Rasulullah SAW: “Sembahyang itu tiang agama, barang siapa mendirikan sembahyang bererti mendirikan agama dan barang siapa meninggalkan sembahyang bererti dia meruntuhkan agamanya.”
Dari Thalhah bin 'Ubaidillah r.a., katanya: “Seorang laki-laki penduduk Najed datang kepada Rasulullah SAW dengan rambut kusut. Kami mendengar suaranya, tetapi tidak jelas bagi kami apa yang dikatakannya. Akhirnya dia mendekat kepada Rasulullah SAW, kiranya dia menanyakan perihal Islam. Jawab Rasulullah SAW, "Solat lima kali sehari semalam." Tanya orang itu, "Adakah kewajiban kami selain itu?" Jawab Nabi SAW, "Tidak! Kecuali jika engkau mahu mengerjakan solat sunat." Kata beliau selanjutnya, "Puasa bulan Ramadhan." Tanya orang itu, "Adakah kewajiban kami selain itu?" Jawab Nabi SAW, "Tidak! Kecuali jika engkau mahu puasa sunat." Nabi SAW, melanjutkan pula, "Zakat." Tanya orang itu, "Adakah kewajiban kami selain itu?" Jawab Nabi SAW, "Tidak! Kecuali jika engkau mahu bersedekah sunat." Kata Thalhah, "Kemudian orang itu berlalu sambil berkata: "Demi Allah! Apa yang diajarkan Rasulullah itu tidak akan ku tambah dan tidak akan ku kurangi." Sabda Rasulullah SAW, "Beruntunglah dia, jika apa yang diucapkannya itu benar-benar ditepatinya."” (Sahih Muslim)
Seluruh amalan individu yang meninggalkan ibadat utama itu akan tertolak dan di akhirat nanti, perkara pertama ditanya ialah solat manakala ibadat lain seperti jihad, puasa, zakat dan haji diperiksa kemudian. Diwajibkan solat lima waktu bagi mengingatkan manusia kepada Pencipta. Tanpa peringatan, manusia tidak segan silu melakukan kemungkaran serta keganasan. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan dirikanlah sembahyang kerana sesungguhnya sembahyang itu mencegah kejahatan dan kemungkaran.” (Surah Al-Ankabut, ayat 45)
ALLAH mewajibkan solat fardu lima kali sehari semalam sebagai jadual untuk memberi peluang kepada manusia mengingati dan tidak melupai-Nya. Apabila ingat, bererti kita sentiasa dekat kepada Allah yang memberi jaminan bahawa kita berada dalam zon selamat dan mendapat rahmat-Nya. Kekuatan solat menentukan kualiti keislaman dan prestasi kecintaan kita kepada Allah serta mengukur kepatuhan syariat Islam. Kelemahan menjaga kualiti solat akan menjerumuskan diri sebagai manusia yang rugi.
Solat ialah penanda aras kekuatan agama, akhlak, kunci pintu syurga dan amal mulia. Tegak solat bermaksud tegaklah agama dan terabainya solat adalah meruntuhkan agama. Dengan demikian, kekuatan akar umbi ialah kesungguhan melakukan solat bermula dari rumah. Umat Islam digalak memulakan amalan solat ketika berumur tujuh tahun. Apabila 10 tahun, maka menjadi kewajipan ibu bapa atau penjaga menyuruhnya bersolat. Jika ingkar, diharuskan memukul sehingga perintah ini ditunaikan. Firman Allah bermaksud: "Dan perintahkan keluargamu serta umatmu mengerjakan solat dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang bertakwa." (Surah Thahaa, ayat 132)
Dalam masa sama, solat mampu membantu kita melawan sikap yang merosakkan kehidupan seperti bongkak, fitnah, dengki dan pelbagai lagi. Seseorang yang solatnya gagal mencetuskan rasa kehambaan dalam hatinya mustahil mampu menjadi insan bersifat kehambaan. Akibatnya mereka termasuk dalam golongan yang mempunyai sikap ‘mazmunah’ seperti gila kuasa, mengadu domba dan banyak lagi.
Sebagai tiang seri agama dan ibu segala ibadat, solat dengan sendiri diperakui sebagai satu ibadat agung. Ia semakin terserlah apabila Allah SWT menyampaikan perintah solat lima waktu kepada Rasulullah SAW di tempat tertinggi dan mulia iaitu ‘Arasy’, dan bukan daripada malaikat Jibril AS yang biasanya menjadi perantara menyampaikan wahyu kepada baginda. Hanya perintah solat diterima baginda secara berdepan dengan Allah SWT, manakala perintah lain diterima di bumi melalui wahyu disampaikan Jibril AS. Ternyata kedudukan solat sebagai ibadat teragung dinyatakan dengan tegas oleh Rasulullah SAW yang mengingatkan, sesiapa yang meninggalkannya boleh jatuh kafir. Ia menunjukkan betapa beratnya perintah bersolat kepada umat Islam.
Sabda Nabi Muhammad SAW: “Barang siapa meninggalkan sembahyang dengan sengaja, maka kafirlah ia dengan nyata.” Satu lagi sabda baginda: “Perbezaan antara orang mukmin dan kafir adalah meninggalkan sembahyang.” Dalam hadis yang lain pula, Dari Jabir r.a., katanya dia mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya tali penghubung antara seseorang dengan syirik dan kafir ialah meninggalkan solat.” (Sahih Muslim)
Demikianlah tingginya kewajipan seorang Muslim terhadap ibadah solat yang menjadi amanah Allah. Jika kita memelihara solat, nescaya sentiasa dipelihara Allah, manakala jika mengabaikannya kita tergolong orang yang rugi.
Hakikat solat
Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya, “Mana-mana muslim yang apabila masuk waktu sembahyang yang diwajibkan lalu dia pun berwuduk dengan wuduk yang baik, melakukan solat dengan sebaik-baiknya begitu juga dengan rukuknya, maka sembahyang itu merupakan kafarat (memadamkan) dosa-dosanya yang telah lalu, selagi dia tidak melakukan dosa besar.” (Hadis Riwayat Muslim)
Agak menghairankan apabila didapati ada orang yang mengerjakan solat, tetapi masih tidak segan silu melakukan dosa dan maksiat. Mengapa? Jawapannya adalah kemungkinan besar kerana solat yang dikerjakan itu sebenarnya tidak ikhlas kepada Allah melainkan untuk menunjuk-nunjuk, riya’ dan takabur. Solat yang sedemikian ini sama sekali tidak akan memberikan apa-apa kesan terhadap jiwa dan pembentukan peribadi serta tidak dapat menjamin serta mendinding diri daripada melakukan perkara-perkara negatif dan maksiat.
Sesungguhnya solat dalam erti kata yang sebenar ialah solat yang dikerjakan dengan hati yang khusyuk dan menghayati setiap apa yang dibaca. Hasilnya ia berupaya mendidik seseorang kepada pembangunan sahsiah muslim yang sejati. Hal ini bermula dengan berwuduk yang menganjurkan kebersihan tubuh badan serta pakaian, sehinggalah kepada geraklaku dan tatatertib khusus yang perlu diiltizamkan oleh orang yang solat.
Solat berjamaah contohnya, mendidik seseorang itu mematuhi seorang ketua yang tidak harus bagi seorang makmum mendahului imam dalam apa jua geraklakunya. Manakala dari hal menjaga saf-saf ketika bersolat pula memberikan satu pengajaran tentang kepentingan perpaduan dalam suatu masyarakat yang dipimpin. Selain kebersihan zahir, solat juga mampu melupuskan kotoran dosa yang pernah dilakukan kerana solat merupakan satu-satunya peluang keemasan untuk setiap hamba mencari pengampunan dari tuhan-Nya. Usaha ini diseiringkan dengan amalan zikir dan doa-doa yang dibaca sewaktu solat di mana ia akan menguatkan lagi hubungan dengan Allah SWT.
Rahsia diwajibkan solat
SOLAT adalah satu perintah yang diwajibkan ke atas orang Islam setiap hari. Umat Islam dituntut melakukan ibadat itu menurut sebagaimana diperintahkan Rasulullah SAW, dari takbir, bacaan, perbuatan hingga ke akhir salamnya dengan penuh takwa. Orang yang mendirikan solat adalah orang yang beriman. Orang yang beriman mesti mendirikan solat. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Katakanlah kepada hamba-Ku yang beriman, hendaklah mereka itu mendirikan solat.” (Surah Ibrahim, ayat 31)
Dalam al-Quran, dilaporkan ada lebih 25 tempat ayat “aqama” yang merujuk kepada makna perintah mendirikan solat dan lebih 70 kali perkataan “as-solah” atau solat diulang dan disebut dalam al-Quran. Antaranya, firman yang bermaksud, “Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah berasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah solat itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (Surah an-Nisaa’ ayat 103)
Setiap individu Muslim dan Muslimah mesti mengerjakan solat. Malah, bagi ketua keluarga seharusnya memerintahkan ahli keluarganya melakukan solat. Ibu bapa pula wajib mengajar dan membimbing anak melakukan ibadat itu, seawal usia tujuh tahun. Ibadat solat adalah suatu perintah daripada Tuhan kepada hamba-Nya.
Banyak kelebihan, keberkatan dan rahsia yang terkandung di dalam solat, malah mengiringi mereka yang mengerjakannya. Antaranya :
1. Solat akan menjadikan seseorang sentiasa mengingati Allah dan menghampiri diri dengan-Nya, sekali gus menjadikan kehidupan seseorang itu sentiasa berhubungan dengan Tuhannya. “Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan aku, oleh itu, sembahlah akan daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati daku.” (Surah Toha, ayat 14)
2. Solat adalah tanda kesyukuran. Muslim atau Muslimah yang mengerjakan solat adalah mereka yang tahu bersyukur sebenarnya. Mereka bersyukur atas segala nikmat dan rahmat tidak terhingga yang Allah kurniakan dengan melakukan ibadat kepada-Nya.
3. Ibadat solat menghapuskan dosa. Manusia tidak terlepas daripada melakukan dosa dan solat lima kali sehari dapat menghapuskan dosa yang dilakukan. Sebagaimana satu hadis bermaksud, “Dari Abi Hurairah r.a., sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu solat-solat itu, selama dijauhinya dosa-dosa besar.” (Hadis riwayat Muslim)
4. Solat juga dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar. Ibadat solat yang dikerjakan dengan khusyuk dan menepati segala rukunnya boleh mencegah si pelakunya dari melakukan maksiat dan kemungkaran. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya), dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)
5. Solat dapat memberi keberkatan, kejayaan dan kebahagiaan hidup. Kita boleh lihat kehidupan orang yang memelihara solat dan orang yang tidak mengerjakan solat, jauh berbeza bukan! Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya berbahagia/berjayalah orang-orang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.” (Surah al-Mukminun, ayat 1-2)
6. Solat dapat mententeramkan jiwa. Orang yang melakukan solat secara sempurna dan penuh khusyuk, jiwanya aman damai, malah dapat mengawal segala tekanan sekali gus menjadikan kehidupannya lebih ceria. Seorang yang taat mengerjakan solat sepanjang hidup, lagi mengerti betapa besar kepentingan solat itu kepadanya serta memahami kelebihan dan rahsia bacaannya, sudah tentu akan tenang jiwanya. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya manusia itu dijadikan (bersifat) loba mengeluh apabila kesusahan menimpa dia dan kikir apabila keuntungan mengenai dia, kecuali orang-orang yang solat, yang berkekalan atas solat mereka.” (Surah al-Ma'arij, ayat 19-23)
Rasulullah SAW ketika berhadapan masalah akan memperbanyakkan solat kerana solat bagi baginda adalah amalan penyejuk hati. Kelebihan ini sekurang-kurangnya akan menyuntik diri kita umat Islam untuk lebih tekun mengerjakan solat, malah mereka yang selama ini tidak mengenali ibadat itu tertarik untuk turut sama melakukannya.
Solat selongkar rahsia kejayaan, keselamatan ummah
Persoalan besar timbul ialah apakah rahsia di sebalik perintah solat yang begitu kuat? Antara faedahnya untuk kepentingan dan menjamin keselamatan umat manusia sendiri. Solat ialah benteng daripada melakukan maksiat dan kemungkaran. Ini bermakna, Muslim yang istiqamah solatnya menjadi insan berakhlak mulia, hidup dipenuhi amal salih, bersifat amanah, berintegriti tinggi dan berjiwa tawaduk.
Mereka yang mengabai dan meringankan solat dilihat cenderung menjadi seorang yang rosak akhlak, bergelumang dengan maksiat, kejam dan mengamalkan sifat keji sehingga mengancam kesejahteraan diri serta masyarakat.
Imam Ahmad meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang menjaga solat, nescaya solat itu menjadi cahaya, pembela, dan penyelamatnya pada hari kiamat. Sementara mereka yang tidak menjaganya tidak akan mendapat cahaya, pembela dan penyelamat. Bahkan mereka diletakkan bersama dengan Qarun, Firaun, Haman dan Ubay Khalaf.”
Orang meninggalkan solat disebabkan harta dihimpun bersama Qarun, jika disebabkan pangkat akan dihimpun bersama Firaun, jika disebabkan jawatan dihimpun bersama Haman dan jika disebabkan dunia korporat pula dihimpun bersama Ubay, seorang yang cintakan harta dan lupa akhirat. Semua watak itu boleh menyumbang kepada gejala negatif seperti pecah amanah, salah guna kuasa, pelanggaran kepada perlembagaan dan undang-undang negara, penyalahgunaan dadah, pelacuran, perzinaan, pembuangan bayi, kejadian jenayah, perceraian yang semakin meningkat, disebabkan kegagalan segelintir umat Islam menghayati fungsi solat.
Melakukan dosa besar bukan saja kerana berzina, mencuri, minum arak, menderhaka ibu bapa, tetapi termasuk juga perbuatan mengabai atau meninggalkan solat yang amat dimurkai Allah serta azabnya dahsyat di dunia dan akhirat. Ini dijelaskan Rasulullah SAW dalam salah satu gambaran azab ketika peristiwa Israk dan Mikraj, orang meninggalkan solat memukul kepalanya sehingga hancur berulang kali. Selain itu, Allah mencampakkan golongan itu ke dalam neraka Saqar.
Firman Allah SWT yang bermaksud, “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar? Orang yang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk orang yang mengerjakan solat.” (Surah al-Muddaththir, ayat 43)
Lupakah kita mengenai ingatan Rasulullah SAW supaya tidak mengabaikan solat pada saat akhir hayat Baginda? Begitu juga kisah Saidina Umar al-Khattab, walaupun tidak sihat akibat ditikam Abu Lu'lu'ah al-Majusi, apabila mendengar seruan solat, beliau segera bangun mendirikannya.
Sempena kempen bulan dakwah di seluruh negara, apakah peranan umat Islam sekalian dalam usaha menjadikan kekuatan solat sebagai penanda aras kekuatan kualiti beragama? Justeru, setiap kita perlu saling ingat mengingatkan supaya sentiasa menunaikan solat. Jangan bersifat lepas tangan. Sumbangan kita menggalakkan solat atau menyediakan kemudahan tempat solat yang selesa dianggap sebagai langkah mendekati Allah.
Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat baik, melarang berbuat kejahatan; mereka mendirikan solat dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah at-Taubah, ayat 71)
Sumber : diolah semula dari JAKIM, HMetro dan HMetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...