PAMERAN Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2009 menyaksikan pelbagai rencam pedagang, pembeli serta barangan dan perkhidmatan dalam pasaran halal. Ada yang gembira kerana mendapat kontrak niaga, tidak kurang juga pulang dengan perasaan hampa.
Ada juga syarikat yang tidak dapat memasuki negara kerana ancaman penyakit berjangkit. Paling menyedihkan, ada syarikat yang dapat masuk pameran tetapi merintih kerana menanggung kos penyewaan tapak pameran ditambah kos pengangkutan, penginapan dan penyimpanan.
Nampaknya, menjadi penyedia dan penyelenggara tapak pameran lebih menguntungkan, sama seperti memperdagangkan piawaian halal untuk tujuan niaga tanpa menghiraukan kewibawaan halal itu sendiri.
Kini menjadi budaya menaja pameran halal kemudian giat disambung agensi lain di seluruh negara. Mungkin sudah tiba masanya kita merencana kembali arah tuju industri halal yang makin condong ini.
MIHAS bukan tempat untuk menjual tetapi salah satu acara antarabangsa bagi memasarkan barangan dan perkhidmatan halal. Membina pasaran dan menjual adalah dua perkara berbeza. Memang mudah jika kita mengupah orang untuk melakukan sesuatu tetapi kita mestilah mengekalkan kawalan ke atasnya.
Penubuhan sekretariat bukannya bertujuan semata-mata untuk melantik penyedia pameran, sebaliknya mengurus keseluruhannya supaya selari dengan matlamat perusahaan halal dan pada masa sama tidak mengorbankan kewibawaannya.
Kepada peniaga, mengambil bahagian bukan untuk tujuan menjual barangan tetapi menjadikannya medan perantara yang bakal menemukan matlamat urus niaga antara sesama peniaga. Marilah kita cuba bezakan di antara pameran MIHAS dan pasar malam.
MIHAS adalah satu jenama Malaysia dan menjadi tempat untuk memperkenalkan jenama barangan Malaysia kepada seluruh dunia. Maklum balas diterima daripada peniaga terutama pengusaha tempatan ialah kadar sewa ruang pameran terlalu tinggi menyebabkan peniaga menumpukan kepada jumlah jualan untuk mengimbangi kerugian berbanding membentuk rangkaian pasaran.
Sementara itu, pengusaha luar yang datang mengeluh melihatkan betapa pendekatan Islam di Malaysia terlalu terbuka sehingga mengabaikan sudut aurat, hak milik pameran dan keagungan Islam apabila melihat pengendali pameran bukan daripada mereka yang selayaknya atau orang Islam sendiri.
Justeru, kenapa mereka perlu menghiraukan aurat atau menjaga penampilan lebih halal? Apa yang kita harapkan jika kita abaikan pengurusan pameran? Memang ‘halal’ memberi makna kepada mereka, tetapi tidak kepada tuntutan Islam lain kerana kefahaman berbeza. Yang menjadi dalang kepada kemusnahan imej inilah yang perlu dipertanggungjawabkan.
Mengangkat industri halal tidak dinafikan memanglah bagus tetapi mengangkat martabat kewibawaan halal tidak boleh dikesampingkan begitu saja. Sudah sampai masanya pengurusan halal dilembagakan supaya kawalan dan penguatkuasaan menjadi lebih telus dan meyakinkan.
Seiring dengan penstrukturan ekonomi, politik dan kemasyarakatan yang rancak diusahakan sekarang, adalah wajar kita melihat kembali di mana letaknya kewibawaan industri ini. Rombakan bukan saja ke atas struktur sedia ada tetapi meliputi wadah baru mengangkat kembali keyakinan kepada persijilan halal di Malaysia.
Kita tidak mahu kerana kurang prihatin, akhirnya tanpa disedari kita seolah-olah menjadi tali barut yang menyusahkan pengguna Islam sendiri. Tahap keyakinan persijilan makin hari makin luntur bukan saja di kalangan rakyat tempatan malah masyarakat antarabangsa.
Berapa banyak barangan halal di Malaysia yang jika diselidiki sebenarnya tidak halal. Itu belum dikira dari sudut ‘halalan thoyyiba’ yang menyentuh mengenai mutu. Tahap kewaspadaan pengguna yang mencari barangan halal perlu ditingkatkan.
Sebagai menyahut tanggungjawab ini, badan pemantau perlu disegerakan. Mereka boleh memasuki gedung beli-belah dan melihat sendiri satu persatu kesemua barangan yang sudah diiktiraf halal. Adakah kandungannya kekal seperti semasa permohonan dibuat atau sudah berlaku perubahan.
Melangkah masuk ke ruang pameran cukup untuk menceritakan bahawa Islam ditinggalkan sedang mercu tanda halal dinaikkan untuk menarik amalan urus niaga. Nampaknya, pihak terbabit perlu dulu dihalalkan barulah masyarakat akan yakin dengan pensijilan halal yang kita canang.
Jika masyarakat Islam sendiri sudah mengalpakan fahaman halal sehingga mampu dijadikan sebagai sasaran serangan kembali ke atas ummah, apa faedahnya industri ini kepada ummah?
Agama Islam bukan terhad kepada halal saja, tetapi mencakupi keseluruhan kehidupan manusia. Halal adalah ketetapan utama kepada kepenggunaan kini sudah diiktiraf dan dipiawaikan bagi tujuan persijilan di seluruh dunia.
Persijilan dijadikan satu peluang perniagaan menguntungkan. Ketegasan makin luntur ditambah keinginan mengaut keuntungan, menjadikan badan persijilan menjadi makin lemah dan tidak meyakinkan pengguna. Akibatnya, pengguna menjadi bingung dengan mutu dan tahap piawaian.
Pengguna bukannya menghadapi masalah kerana tiadanya logo halal tetapi kegusaran kepada sejauh mana barangan itu betul-betul mematuhi piawaian halal yang dikehendaki Islam.
Badan pelaksana amanah piawaian perlu memikul tanggungjawab menjamin kewibawaan piawaian itu supaya dapat mengangkat kembali Islam di tempat selayaknya dan bukan dijadikan kenderaan mengaut keuntungan.
Sumber : BHarian 2009/05/19
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...